Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jurulatih tak dihargai?

Posted: 21 Jun 2014 03:23 PM PDT

Kuala Lumpur: Susah senang sepatutnya dipikul bersama sebagai satu pasukan, namun lain pula halnya dengan skuad Piala Thomas negara apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya memberikan insentif kepada pemain tetapi tidak kepada jurulatih.

Memang pemain sudah bertungkus-lumus di atas gelanggang untuk membawa Malaysia muncul naib juara Piala Thomas 2014 di New Delhi bulan lalu, namun tanpa jurulatih mahupun pegawai sokongan, kejayaan itu tidak akan tercapai.


Semalam, BAM sudah memberikan insentif RM25,000 kepada setiap pemain yang beraksi di Piala Thomas termasuk ketua pasukan, Liew Daren, Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat, Tan Boon Heong, Tan Wee Kiong, Hoon Thien How, Goh V Shem, Lim Khim Wah dan Chan Peng Soon.

Bagaimanapun, tiada insentif walau satu sen pun kepada barisan kejurulatihan mahupun pegawai sokongan yang turut mengerah tenaga ketika di New Delhi.


Menjawab persoalan itu, Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff memberi alasan kaedah pemberian insentif antara pemain dan jurulatih adalah berbeza.


"Pemain dan jurulatih lain. Jurulatih ada kontrak dan mereka juga menerima bayaran gaji yang besar.

Foto

PEMAIN badminton negara bergambar dengan insentif masing-masing.

"Mereka ada bonus pada hujung tahun dan kita akan menimbangkan (kejayaan Piala Thomas) apabila pemberian bonus diberikan nanti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis dan Agung Tahunan BAM semalam.


Jelas Tengku Mahaleel, sekiranya pemberian insentif turut diberikan kepada jurulatih setiap kali anak buah mereka meraih kejayaan, ia akan menyebabkan budaya 'meminta-minta' dari jurulatih.

Sementara itu, ketua pasukan Piala Thomas, Liew Daren berkata, barisan jurulatih dan pegawai sokongan wajar menerima sesuatu hasil kejayaan itu.


"Kami sebenarnya tidak tahu pasal perkara ini dan hanya diberitahu semalam (kelmarin), saya ingatkan jurulatih pun ada pada majlis ini, tidak tahu kenapa mereka tidak diraikan, perkara ini perlu tanya presiden," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Zaqhwan dominasi ujian masa

Posted: 21 Jun 2014 03:19 PM PDT

Termerloh: Mohd Zaqhwan Zaidi terus mendominasi sesi ujian masa apabila muncul pelumba terpantas buat kali kelima berturut-turut dalam saingan CP130 pada pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2014 yang berlangsung di Temerloh, Pahang semalam.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu turut muncul pelumba tunggal mencatat masa di bawah 44 saat selepas melakar 43.753s pada pusingan ke-15, 0.595s di depan Ahmad Fazrul Sham (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) yang mencatat masa terbaik 44.348s.


Turut menempatkan diri di kelompok depan ialah Mohd Iskandar Raduan (Yamalube AHM) yang mencatat 44.583s.

"Keadaan litar pada musim ini sedikit berbeza berbanding musim lalu. Jika pada musim lalu bentuk litar di Temerloh ini agak teknikal, namun kali ini selekohnya lebih lebar dan laju. Memang saya sukakan bentuk litar seperti ini yang memberikan banyak kelebihan kepada saya," kata Zaqhwan.


Tampak seperti sukar dicabar oleh pencabar lain, Zaqhwan yang dikenali dengan gelaran 'Raja Ujian Masa' itu bagaimanapun tetap positif dan mengambil langkah berhati-hati menjelang sesi Superpole dan juga perlumbaan akhir, hari ini.


"Cuaca minggu ini sangat panas, saya rasa perlumbaan minggu ini adalah yang paling panas berbanding litar lain. Cuaca sebegini bukan saja memerlukan ketahanan fizikal, malah turut memerlukan ketahanan jentera.

"Mungkin daripada segi pelarasan jentera, saya dan jurutera pasukan perlu memberi tumpuan terhadap ketahanan enjin berbanding mendapatkan kelajuan maksimum. Kesilapan di Muar memberi pengajaran berguna kepada saya. Saya tidak mahu kejadian seperti itu berulang. Kami akan merencana strategi terbaik menjelang perlumbaan nanti," tambah Zaqhwan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Taraf dunia

Posted: 21 Jun 2014 03:18 PM PDT

Pada Piala Dunia 2014 ini yang berjalan lancar dengan majoriti pasukan beraksi menyerang, kita sering mencari sesuatu yang istimewa, sama ada persembahan Individu mahupun sepasukan.

Dengan liputan media zaman kini, kita saling kenal-mengenali kesemua pemain dan pasukan. Tiada kejutan yang membuat kita terpegun dengan persembahan dihidang. Maka dengan Piala Dunia 2014 yang sudah masuk minggu kedua, ada beberapa pemain dan pasukan yang menyerlah.


Persembahan pemain tengah Brazil, Oscar dalam perlawanan menentang pasukan Croatia bertaraf dunia. Aksinya lebih baik serta matang jika dibandingkan sebelum ini. Malangnya, Oscar tidak konsisten dalam perlawanan kedua.

Penjaga gol pasukan Mexico, Guillermo Ochoa pula mempersembahkan persembahan bertaraf dunia menentang pasukan Brazil. Pemain tengah pasukan Colombia, James Rodriguez sudah membuktikan kebolehannya dalam dua perlawanan. Dia merupakan seorang pemain perancang paling tulen di Piala Dunia 2014 ini. Rodriguez boleh melakukan segalanya. Dari menjadi playmaker dengan hantaran memecah benteng lawan hingga menjaringkan gol, Rodriguez bertaraf dunia.


Seorang lagi pemain yang bertaraf dunia serta mempersembahkan prestasi sebenar adalah Alexis Sanchez. Kita sudah melihat peningkatan persembahannya daripada aksi sebelum ini. Sementara itu, penyerang pasukan Uruguay Luis Suarez mempamerkan kemampuan sebenar ketika menentang England. Kita beruntung dapat menyaksikan kelibat Suarez setiap minggu di Liga Perdana Inggeris.


Manakala pemain seperti Leo Messi Dan Neymar mempersembahkan prestasi yang sedia ada. Kedua pemain ini bertaraf Dunia namun persembahan mereka sama seperti yang kerap kita saksikan setiap minggu di kaca televisyen.

Namun kedua-dua pemain ini mampu melonjak ke satu tahap lagi. Kebolehan luar biasa mereka ini menjanjikan kita satu lagi kelainan.


Penyerang pasukan Jerman, Thomas Mueller pula membawa prestasinya ke satu lagi tahap dalam perlawanan menentang pasukan Portugal. Sekurang-kurangnya satu atau dua lagi persembahan sebegitu dan dia boleh dinobat sebagai pemain bertaraf dunia.

Begitu juga penyerang pasukan Perancis, Karim Benzema yang mempamerkan aksi bertaraf dunia secara konsisten setakat ini. Kebolehannya beraksi sebagai penyerang utama mahupun menyerang dari sayap kiri atau kanan sudah membuahkan hasil untuk pasukannya.


Ini adalah pendapat awal dan kita harap dapat lihat banyak lagi persembahan bertaraf dunia, aksi yang akan menjadi buah mulut generasi akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Lembaran baru

Posted: 21 Jun 2014 03:18 PM PDT

Porto Alegre, Brazil: Jurulatih Algeria Vahid Halilhodzic mahu anak buahnya melupakan kesedihan menjelang pertembungan dengan Korea Selatan, awal pagi esok memandangkan kekalahan akan menyebabkan mereka sekali lagi terpaksa menamatkan kempen Piala Dunia lebih awal.

Algeria yang kini terdesak untuk menamatkan kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan Piala Dunia, gagal meraih sebarang mata dan menduduki tangga tercorot selepas tewas 1-2 kepada pasukan pilihan Kumpulan H, Belgium.


Selain kejutan ke atas Jerman pada 1982, tiada catatan yang boleh membanggakan Algeria dalam sejarah Piala Dunia.

Wakil utara Afrika itu tidak pernah melepasi halangan pusingan pertama dan jaringan penalti Sofiane Feghouli menentang Belgium adalah gol pertama mereka pada kejohanan itu dalam tempoh 28 tahun.


Dengan harapan kepada skuad itu cukup tinggi, pengendali kelahiran Bosnia Halilhodzic mahu anak buahnya bangkit semula.


"Sekarang bukan masanya untuk bersedih, perlawanan ini amat penting," kata jurulatih berusia 62 tahun itu.

Dalam pada itu, kemenangan di Porto Alegre akan mencerahkan peluang Korea Selatan mara ke pusingan kedua.


Korea yang mempamerkan corak permainan pantas ketika seri 1-1 dengan Russia pada perlawanan pertama memberikan keyakinan kepada skuad kendalian Hong Myung Bo itu selepas kurang menyerlah pada aksi pemanas badan.

Pemain pertahanan Korea, Park Joo Ho menjangkakan pertembungan yang sengit.


"Saya tidak fikir kedua-dua pasukan akan mencipta banyak peluang," katanya.


"Jika kami boleh menjaringkan gol menerusi peluang yang dicipta, kami boleh memenangi perlawanan itu." Penyerang Korea Ji Dong Won pula percaya ada peningkatan dalam pasukan yang pernah melangkah ke separuh akhir pada 2002 dan tampil buat kali kelapan berturut-turut di Piala Dunia, namun hanya sekali berjaya melepasi pusingan kedua sejak 1986.


"Saya menyaksikan perlawanan Algeria dan Belgium," kata penyerang yang berpangkalan di Bundesliga itu dan berada di bangku simpanan dalam perlawanan dengan Russia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Cinta bola sepak

Posted: 21 Jun 2014 03:17 PM PDT

Kolkata: Hubungan cinta mereka yang dibina berasaskan minatterhadap bola sepak bermula sejak lebih tiga dekad lalu di Sepanyol. Kini, pada usia 81 tahun, Pannalal Chatterjee dan isterinya Chaitali, 72, masih lagi tidak boleh melupakan sukan itu.

"Ini mungkin kali terakhir saya menyaksikan Piala Dunia, tetapi saya sangat gembira berpeluang ke Brazil untuk menyaksikan kejohanan itu," kata Pannalal ketika ditemui di Singapura sebelum ke Amerika Selatan untuk menyaksikan Piala Dunia kesembilan pasangan berkenaan.


"Memang menjadi impian saya untuk menyaksikan Piala Dunia di Brazil. Ia seolah-olah tempat bola sepak dilahirkan," katanya.

Pasangan berkenaan yang menetap di Kolkata, sudah lama meminati bola sepak dan Pannalal terbabit sebagai sukarelawan sukan itu sejak 1970.


Keinginan mereka untuk menyaksikan bola sepak tahap tinggi terlaksana pada 1982 apabila rakan mereka yang menetap di London membelikan tiket kejohanan Piala Dunia di Sepanyol, edisi Diego Maradona mula dikenali.


"Sejak menyaksikan pertandingan di Sepanyol, saya berazam untuk tidak melepaskan peluang menikmati setiap pertandingan di depan mata," kata Pannalal.

Empat tahun selepas itu, pasangan terbabit berada di Mexico.


"Perlawanan akhir antara Argentina dan Jerman Barat pasti tidak boleh kami lupakan. Argentina menang 3-2 dan kami seronok melihatnya," katanya.

Ketika Maradona kekal menjadi wira di hati Chaitali, suaminya pula sangat meminati Brazil dan bangga setiap kali membicarakan mengenai Pele dan mereka pernah mengambil gambar bersama.


Mereka tidak mempunyai anak dan kehidupan pasangan itu bergantung kepada pencen bulanan Pannalal hasil kerja kerasnya selama puluhan tahun sebagai kerani di sebuah syarikat perkapalan.


"Sejak empat tahun lalu, kami berjimat cermat dan saya terpaksa melupakan keenakan ikan digemari semata-mata mahu mengumpul wang untuk ke Brazil," katanya.


Chaitali turut membantu menyediakan wang hasil jualan sari di pasar dan bagi membolehkan mereka menampung kos perbelanjaan di Brazil, pasangan itu turut membawa makanan sendiri termasuk kentang dan teh.


Kagum dengan kesungguhan pasangan itu, badan induk bola sepak dunia, FIFA memberikan penginapan percuma kepada mereka manakala stesen televisyen tempatan turut membantu mendapatkan tiket perlawanan akhir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Korea Utara kritik tiki-taka

Posted: 21 Jun 2014 03:17 PM PDT

Seoul: Penyingkiran mengejut Sepanyol di Piala Dunia menarik minat media Korea Utara semalam yang sebelum ini hanya memaparkan berita mengenai perang saraf terhadap musuh selain mengagungkan pemimpin mereka, Kim Jong-Un.

Peminat dari Korea Utara berkata, corak hantaran tiki-taka Sepanyol menyusahkan pemain dan ia adalah gaya lama sebaik pasukan gergasi itu tersingkir awal dari kejohanan, lapor Korean Central News Agency (KCNA).


Kata KCNA, negara itu memang mengamalkan dasar tutup pintu, tetapi televisyen tempatan sudah menyiarkan rakaman perlawanan berkenaan hingga mendapat perhatian daripada pemain bola sepak dan penonton.

"Tidak ada berita lain yang mampu menandingi penyingkiran mengejut Sepanyol di awal saingan," katanya.


Pegawai Persatuan Bolasepak Korea Utara Yu Myong-Uk memberitahu KCNA, beliau terkejut dengan kekalahan Sepanyol itu dan paling memalukan, mereka kalah kepada pasukan yang berada di ranking bawah mereka iaitu Belanda.


"Taktik tiki-taka Sepanyol sudah tidak boleh digunakan lagi," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Ubah rentak

Posted: 21 Jun 2014 03:16 PM PDT

Rio de Janeiro: Selepas mempamerkan kebangkitan menewaskan Algeria pada perlawanan pembukaan, Belgium akan melangkah ke peringkat kalah mati Piala Dunia jika menewaskan Russia di Stadium Maracana, awal pagi esok.

Generasi emas kendalian Marc Wilmots memulakan kejohanan dengan negatif selepas ketinggalan menerusi sepakan penalti Sofiane Feghouli di Belo Horizonte, Rabu lalu namun jaringan lewat pemain gantian, Marouane Fellaini dan Dries Mertens membolehkan mereka bermula dengan rentak kemenangan.


Ketika Russia seri 1-1 dengan Korea Selatan pada perlawanan pembukaan Kumpulan H, pusingan kedua kelihatan berada dalam jangkauan Belgium, dilabel pasukan yang mampu melakar kejutan untuk memenangi kejohanan selepas mengharungi aksi kelayakan tanpa tewas.

Pertahanan tengah Belgium, Nicolas Lombaerts, 29 yang beraksi untuk kelab Russia, Zenit Saint-Petersburg, mengetahui apa yang boleh dijangkakan daripada skuad kendalian Fabio Capello dan menjangkakan rakan sepasukannya mempunyai kelebihan fizikal.


"Capello memberi penekanan bermain secara tersusun," katanya yang bersama skuad beraksi pada kejohanan utama pertama sejak 2002.


"Kami perlu beri perhatian apabila lawan mendapat bola. Russia tidak mempunyai fizikal besar. Saiz kami memberikan kelebihan.

"Hanya dua pemain mereka mempunyai ketinggian melebihi 1.85 meter. Mereka pasti tidak bermain bola tinggi." Lombaerts sedia diturunkan andai kapten Belgium, Vincent Kompany gagal mengatasi masalah pangkal paha.


Pertahanan Manchester City itu terlepas sesi latihan sejak dua hari lalu namun Wilmots yakin dia mampu tampil bagi sesi memanaskan badan di Stadium Maracana.

"Vincent berasa tidak selesa dalam beberapa minit akhir menentang Algeria dan cergas 100 peratus," katanya pada sidang media di kem latihan di Mogi das Cruzes, berhampiran Sao Paulo, kelmarin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Sanjung etika

Posted: 21 Jun 2014 03:16 PM PDT

Itu, Brazil: Pemain tengah Russia, Denis Glushakov memuji sikap profesional skuad itu di bawah kendalian Fabio Capello ketika mereka bersedia menentang pasukan pilihan, Belgium pada perlawanan Piala Dunia di Rio de Janeiro.

Russia yang seri dengan Korea Selatan dalam aksi pembukaan Kumpulan H,menentang barisan muda bertenaga kendalian Marc Wilmots awal pagi esok, dalam usaha memadam rekod hambar Piala Dunia.


Bekas pengurus England, Capello mengambil-alih selepas Kejohanan Euro pada 2012 dan Russia menonjol dalam aksi kelayakan ke Brazil, muncul juara peringkat kumpulan untuk mengatasi Portugal yang turut membariskan Cristiano Ronaldo. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Krisis Portugal?

Posted: 21 Jun 2014 03:15 PM PDT

Manaus, Brazil: Tahap kecergasan pemain terbaik dunia Cristiano Ronaldo yang meragukan mencetuskan kebimbangan kepada Portugal menjelang pertembungan dengan Amerika Syarikat (AS) dalam saingan Kumpulan E Piala Dunia di Manaus, awal pagi esok.

Selepas kecundang 0-4 di tangan Jerman pada perlawanan pembukaan, Portugal akan tersingkir jika tumpas kepada AS.


Namun persiapan mereka sebelum turun pada perlawanan penting itu tampak terjejas teruk.

Meskipun kem Portugal memaklumkan penyerang Real Madrid itu cergas, dia dilihat masih membalut bahagian lututnya dengan ais pada sesi latihan dan menamatkan latihan lebih awal manakala prestasinya ketika menentang Jerman kurang memberangsangkan.


Media lebih banyak membuat spekulasi kedudukannya dalam pasukan bagi perlawanan menentang AS sama ada dia akan bermain, atau jika bermain adakah dia benar-benar cergas.


Namun rakan serangannya, Helder Postiga kurang senang dengan laporan itu yang dianggap keterlaluan.

"Saya secara peribadi berasa terlalu banyak cerita mengenai Ronaldo yang tidak betul dan boleh membayangkan perasaannya mengenai perkara itu," kata Postiga.


"Namun mengenai keadaan fizikalnya itu, dia sudah menjalani latihan keras dan tiada maklumat kesihatan dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Portugal kerana dia cergas untuk bermain." Namun Ronaldo bukan satu-satunya masalah dihadapi Portugal kerana mereka juga kehilangan beberapa pemain.

Pertahanan tengah Real, Pepe digantung satu perlawanan selepas melakukan tindakan bodoh menghantuk kepala Thomas Mueller ketika menentang Jerman yang meledak hatrik pada perlawanan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Klinsmann waspada amarah Ronaldo

Posted: 21 Jun 2014 03:14 PM PDT

Manaus, Brazil: Amerika Syarikat (AS) berharap mereka boleh mengulangi persembahan hebat pada Piala Dunia 2002 apabila mengalahkan Portugal 3-2 pada peringkat kumpulan, kemenangan yang membolehkan mereka menyingkirkan pencabar itu untuk mara ke pusingan kedua.

Jurulatih Juergen Klinsmann yang membimbing skuad negara kelahirannya Jerman ketika menewaskan Portugal 3-1 untuk mengakhiri kejohanan 2006 di tangga ketiga berkata, beliau menjangkakan Cristiano Ronaldo akan memberikan ancaman dalam aksi dalam cuaca panas di Manaus.


Klinsmann berharap beberapa pemainnya yang mengalami kecederaan kembali pulih khususnya Clint Dempsey yang patah hidung kerana dikasari pada perlawanan menentang Ghana selepas menjaringkan gol dalam tempoh kurang seminit.

"Kini Portugal akan datang ke Manaus dengan kemarahan dan saya tidak tahu bagaimana Ronaldo akan beraksi apabila dia marah. Kami perlu menunjukkan kepada Portugal kemampuan sebenar kami," katanya.


Klinsmann tidak pasti sama ada mahu menurunkan John Brooks yang menjaringkan gol kemenangan menentang Ghana pada penampilan pertama Piala Dunia selepas masuk menggantikan Matt Besler manakala penyerang Aron Johansson dijangka akan mengambil tempat Jozy Altidore yang cedera.


"Anda perlu berdepan dengan masalah kecederaan ini," kata bekas penyerang Jerman berusia 49 tahun itu. "Ia kerap berlaku pada Piala Dunia. Pemain perlu bersedia." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

No comments:

Post a Comment