Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Johor DT rampas takhta

Posted: 13 Jun 2014 02:31 PM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (Johor DT) berjaya merampas takhta Liga Super apabila menundukkan Terengganu 4-3 pada saingan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, malam tadi.

Ketinggalan pada awal babak saingan ketika menentang Terengganu, Johor DT bagaimanapun garang merempuh benteng Terengganu dengan penyerang berbisa, Jorge Diaz mencatat nama sebagai penjaring hatrik.


Kemenangan itu membolehkan Johor DT menduduki persada liga apabila Selangor gagal mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila tumpas 0-2 kepada ATM dalam satu lagi aksi Liga Super malam tadi.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada anak buah Abd Rahman Ibrahim kerana berjaya mempamerkan persembahan bertenaga apabila meledak dua gol awal menerusi Moustapha Dabo pada minit ketiga disusuli jaringan Farhan Muhamad, m-13.


Tersentak dengan tamparan skuad Penyu itu, Johor DT mengejar melalui gol Diaz pada m-21 sebelum sensasi Harimau Selatan itu membolosi gawang lawan buat kali kedua untuk menyamakan kedudukan pada m-36 disusuli jaringan Mahali Jasuli pada m-44.


Aksi cemerlang Johor DT itu membuatkan skuad Penyu kecewa lagi apabila gawang mereka dirobek buat kali keempat untuk jaringan hatrik Diaz pada m-53.

Foto

DIAZ (kiri) ledak hatrik.

Berada selesa di depan, ketika perlawanan berbaki 10 minit, penyokong tuan rumah bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pasukan pelawat pada m-83 melalui Vincent Bikana.


Beraksi pada masa kecederaan, Johor DT mula menerima asakan skuad Penyu yang tidak mahu mengalah, namun wisel penamat pengadil Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim menguburkan impian pasukan pelawat itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Chong Wei lega, Lin Dan hampa

Posted: 13 Jun 2014 01:28 PM PDT

Kuala Lumpur: Pertemuan sulung antara Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan tahun ini tidak menjadi kenyataan apabila kedua-duanya mengalami nasib berbeza di pusingan suku Siri Super Terbuka Jepun 2014 semalam.

Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan terpaksa berhempas pulas semalam sebelum menewaskan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 21-15, 12-21, 21-17.


Lin Dan yang beraksi dari peringkat kelayakan ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Denmark, Jan O Jorgensen selepas tewas 19-21, 21-13, 16-21.

Turut mengalami nasib sama seorang lagi pemain China, Chen Long apabila tewas mengejut di tangan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-18, 19-21 15-21. Menanti Chong Wei di separuh akhir hari ini pemain Jepun, Kenichi Tago yang menewaskan wakil Denmark, Hans-Kristian Vittinghus 21-16, 16-21, 21-13.


Pasangan beregu lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Weei Kiong yang juga pilihan ketujuh terkandas apabila kalah kepada gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 16-21, 19-21.


Menurut jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock, walaupun Chong Wei berjaya mencatat kemenangan, fokus pemain nombor satu dunia itu sedikit terganggu hingga mengheret perlawanan ke rubber set.

"Bukan mudah buatnya untuk bermain dengan pergerakan bulu tangkis yang perlahan, seterusnya menghasilkan banyak permainan rali antara kedua-dua pemain," katanya.


Bagaimanapun, di set penentuan Chong Wei berjaya fokus semula terutama ketika di mata ke-11 dan tidak menoleh ke belakang untuk menempah tempat ke separuh akhir.

"Dia memang melakukan banyak kesilapan terutama di set kedua dan saya lihat keyakinannya juga seolah-olah hilang hingga membenarkan lawan mengatasinya," kata Seu Bock.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

El Nino tak jejas atlet: Khairy

Posted: 13 Jun 2014 01:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Fenomena El Nino iaitu cuaca panas kering yang dijangka melanda negara tidak memberi kesan ketara kepada persiapan kontinjen negara untuk menghadapi Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland bermula 23 Julai.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, atlet negara sudah biasa menghadapi keadaan sedemikian dan yakin mereka dapat mempamerkan prestasi cemerlang pada temasya berkenaan.


"Ini perkara biasa di Malaysia dan bukan pertama kali kita berdepan keadaan sedemikian. Semua perkara ini sudah diambil kira Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Khairy berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Fiesta Samba Brasil sempena kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2014, di Dataran Merdeka, semalam.


Beliau berkata, MSN dan ISN sentiasa memantau keadaan cuaca yang melanda negara sambil tidak menolak kemungkinan meminta persatuan sukan kebangsaan melakukan perubahan dalam jadual latihan atlet masing-masing sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.


"Setakat ini tiada perubahan jadual terutamanya persiapan atlet kita. Sekiranya cuaca tidak mengizinkan, kita akan buat beberapa penyesuaian, bukan hanya disebabkan fenomena El Nino, tapi juga disebabkan kehadiran Ramadan yang dijangka memberi kesan kepada atlet negara," kata Khairy.

Mei lalu, Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino akan melanda rantau Asia Tenggara pada pertengahan tahun ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

ATM bedil Gergasi Merah

Posted: 13 Jun 2014 01:25 PM PDT

Shah Alam: Selangor akhirnya terlepas kedudukan teratas Liga Super kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) ketika saingan hanya berbaki tiga perlawanan.

Anak buah Mehmet Durakovic tewas 0-2 kepada pasukan bawahan liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi dua jaringan Juan Manuel Arostegui pada setiap babak.


Kekalahan di Stadium Shah Alam itu menyebabkan Merah Kuning kekal 37 mata manakala Johor DT mengumpul 38 mata selepas menewaskan Terengganu 4-3 di Larkin.

Selangor kini perlu mengharapkan Johor DT tercicir mata dan mereka perlu memenangi tiga baki perlawanan andai mahu meraih kejuaraan Liga Super.


Turun tanpa penggempur utamanya, Paulo Rangel yang digantung, jentera serangan Merah Kuning gagal menembusi kubu pelawat apabila gagal menghasilkan percubaan yang benar-benar berbahaya.


Kelincahan Andik Vermansah dan S Kunanlan di bahagian sayap turut gagal memecah kebuntuan.

Terdahulu ATM diberikan sepakan penalti pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohd pada minit ke-27 apabila Evaldo Silva Dos Santos didakwa mengasari Fabrice Noel.


Bantahan pemain Selangor yang mendakwa insiden berkenaan berlaku di luar kotak penalti tidak dilayan Nagor Amir dan Arostegui tampil menewaskan Mohd Farizal Marlias.

Pemain import dari Argentina itu menambah jaringan kedua pada minit ke-63 untuk membolehkan anak buah B Sathianathan keluar daripada zon penyingkiran apabila berada di kedudukan kesembilan liga dengan 19 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Janji Alex, Fauzi

Posted: 13 Jun 2014 01:23 PM PDT

Kuantan: Menyedari Kelantan mempamerkan peningkatan, dua tonggak utama Pahang, Azamuddin Akil dan Fauzi Rozlan akan memastikan tiga mata menjadi milik Pahang apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Berikutan kemampuan kedua-dua pemain itu menjaringkan gol, Azamuddin dan Fauzi akan berusaha membantu merobek gawang lawan sekali gus memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super.


Bagi Azamuddin atau Alex, kejayaan muncul juara Piala FA baru-baru ini membangkitkan semangat rakan sepasukan untuk mengekori rapat tiga pasukan teratas iaitu Selangor, Johor Darul Ta'zim dan Terengganu.

"Kami akan bermati-matian untuk memastikan tiga mata menjadi milik Pahang terutama bagi menghargai sokongan peminat yang selama ini tidak jemu-jemu memberi semangat kepada pemain.


"Bagi membalasnya, kami perlu menang ke atas Kelantan kerana peluang untuk muncul juara Liga Super masih ada," kata pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.


Sementara itu, Fauzi atau Kojie sedar semua pemain perlu kekal fokus biarpun terlepas peluang mengutip tiga mata selepas seri 2-2 dengan Angkatan Tentera Malaysia, Selasa lalu.

Menurutnya, dengan kehadiran penyokong Tok Gajah, kemenangan diharap berpihak kepada pasukan untuk mencatat pencapaian cemerlang musim ini.


"Saya bersedia fizikal dan mental untuk berdepan Kelantan yang sudah pasti mahu mencari kemenangan dan pada masa sama Pahang juga mahu memperbaiki kedudukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Dilema Boateng

Posted: 13 Jun 2014 01:23 PM PDT

Kota Bharu: Kelantan berada dalam keadaan terdesak apabila dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Hussein Alaa Salman tidak dapat beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Ketua jurulatih The Red Warriors George Boateng berkata, pasukan itu menghadapi krisis berikutan kehilangan dua tonggak itu apabila Forkey Doe digantung satu perlawanan manakala Hussein mengalami kecederaan pangkal paha.


"Kami akan memantau keadaan Hussein sama ada akan diturunkan atau tidak. Saya tidak mempunyai idea dengan barisan kesebelasan utama esok," katanya.

"Saya akan memilih pemain terbaik yang sedia ada kerana kami mahu menang setiap perlawanan, mungkin barisan sama ketika menewaskan LionsXII 2-1 minggu lalu," katanya.


Boateng berkata, Mohamad Shawky Aly mungkin diturunkan di barisan pertahanan manakala Nik Shahrul Azim Abdul Halim boleh bertindak sebagai pemain tengah.


Beliau menyifatkan Pahang sebagai pasukan yang mempunyai semangat tinggi selepas merangkul Piala FA, baru-baru ini.

"Mereka mempunyai pemain hebat seperti Mohd Faizol Hussein, Mohd Hafiz Kamal dan Dickson Nwakaeme, tetapi kehilangan Matias Conti yang turut digantung satu perlawanan," katanya.


Beliau berkata, pasukannya tidak gentar dan berazam untuk menang perlawanan itu.

Kelantan kini mengumpul 28 mata untuk menghuni tempat kelima liga selepas 18 perlawanan, ketinggalan sembilan mata dengan pendahulu liga, Selangor. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Pulang hampa tanpa mata

Posted: 13 Jun 2014 01:20 PM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia menutup kempen hoki Piala Dunia 2014 dengan lakaran cerita paling menyedihkan selepas sekadar meraih tempat ke-12 yang juga kedudukan tercorot pernah diraih skuad negara dalam tujuh penampilan sejak 1973.

Sejarah mengaibkan itu dilakar apabila anak buah kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah pulang ke tanah air pagi ini tanpa sebarang kemenangan dan mata dari bumi Belanda yang menjadi tuan rumah edisi kali ini.


Sepanjang penampilan di Piala Dunia, skuad hoki kebangsaan pernah menghasilkan aksi terpuji ketika menjadi tuan rumah pada 1975 dengan menduduki tempat keempat.

Dalam lima kemunculan selepas itu (1973, 1978, 1982, 1998, 2002), pasukan negara paling corot pun hanya menamatkan kempen pada kedudukan ke-11 (1973, 1998) berbanding kali ini di tangga ke-12.


Menurut Dhaarma Raj, kegagalan utama skuad bimbingannya disebabkan kurangnya pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia, di samping tujuh tonggak dari skuad remaja menguatkan hujahnya betapa barisan kali ini tidak cukup pengalaman. "Kita perlu faham pasukan kali ini memiliki ramai pemain remaja yang dinaikkan pangkat untuk beraksi di Piala Dunia.


"Pasukan kita tidak mampu menerima asakan hebat lawan yang rata-ratanya mempertaruhkan skuad terbaik dengan dibekalkan pemain berpengalaman berbanding kita.

Foto

PASUKAN hoki negara huni tempat ke-12 dalam saingan hoki Piala Dunia di Belanda.

"Tapi yang bagusnya, kita sudah menyediakan barisan pemain masa depan yang akan memikul tugas negara pada Piala Dunia akan datang. Saya akui, kita beraksi tidak cukup baik, namun saya yakin pasukan hoki Malaysia bakal tampil lebih mantap dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi," katanya.


Mengulas kekalahan kepada pasukan Afrika Selatan kelmarin walaupun mendahului lawan pada babak pertama, jurulatih berasal dari Melaka itu mengakui anak buahnya hilang fokus apabila diasak bertali arus sepanjang babak kedua permainan hingga diratah Afrika Selatan.

"Mereka mula hilang fokus selepas lawan diberikan pukulan penalti dan melepaskan tiga gol pantas. Ini pengajaran berguna buat pemain apabila beraksi di tahap seperti ini.


"Anda tidak boleh melakukan kesilapan mudah dan meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang. Kami bermain baik di awal permainan, namun tidak cukup bagus untuk mengekalkan rentak," kata Dhaarma.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

RTM komited siar perlawanan Piala Dunia berkualiti

Posted: 13 Jun 2014 01:20 PM PDT

Kuala Lumpur: Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited memberikan siaran terbaik dan berkualiti dalam menyiarkan kejohanan bola sepak Piala Dunia Brazil.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abd Rahim Mohamad Radzi berkata, penonton RTM diberi jaminan tidak akan kecewa dengan siaran 35 perlawanan, 24 siaran langsung dan 11 perlawanan tertunda.


"Seperti yang kita tahu, siaran sukan terbaik hanya di RTM," katanya selepas menjadi tetamu program SAMBARIA Khas Piala Dunia 2014, di Angkasapuri, pagi semalam.

Beliau turut melancarkan Kuiz SAMBARIA yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM60,000.


RTM menyasar memperoleh tiga juta penonton untuk setiap perlawanan Piala Dunia.


SAMBARIA, program bual bicara secara santai setiap Jumaat dan Sabtu jam 12 tengah malam di TV2 sepanjang kejohanan berlangsung. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Tonton aksi guna aplikasi

Posted: 13 Jun 2014 01:20 PM PDT

Kuala Lumpur: Kehangatan Piala Dunia akan lebih dirasai peminat bola sepak tanah air apabila mereka boleh menonton 64 perlawanan secara langsung aksi perlawanan Piala Dunia di Brazil menerusi aplikasi Astro Go 2014 FIFA World Cup.

Menerusi aplikasi digital itu, pengguna yang mempunyai Football Pass boleh menyaksikan perlawanan melalui tablet, telefon pintar dan komputer yang berkonsepkan 'Tonton, Main, Baca dan Dengar'.


Ketua Bahagian Sukan Astro Lee Choong Khay berkata, rancangan lengkap itu turut menyokong operasi IOS dan Android, selain boleh diakses menerusi laman sawang www.stadiumastro.com.

"Pengguna hanya perlu membeli Football Pass dengan harga RM100 untuk menyaksikan semua perlawanan, malah disertakan dengan akses lebih 100 jam rangkaian perlawanan Piala Dunia, sebelum ini," katanya.


Aplikasi disediakan turut membolehkan peminat bola sepak menikmati permainan ramalan bola sepak secara langsung menerusi aplikasi Football Predictor yang boleh diperoleh di Google Play Store dan Apple App Store, secara percuma.


Bagi bukan pemegang Football Pass pula, mereka boleh menonton 30 perlawanan terpilih di Astro On The Go dengan bayaran RM6 untuk setiap tontonan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh mendapatkan maklumat di www.astroonthego.com atau terus menghubungi talian 1300823838.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Fabregas pilih Chelsea

Posted: 13 Jun 2014 01:19 PM PDT

London: Pemain tengah Sepanyol, Cesc Fabregas semalam mengesahkan sudah menandatangani kontrak untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea dari Barcelona.

Fabregas yang beraksi untuk pasukan juara dunia itu di Brazil, dipercayai menandatangani kontrak lima tahun bagi bayaran sekitar £30 juta (RM164 juta).


Bekas bintang berusia 27 tahun yang pernah menyertai pencabar Chelsea di London, Arsenal berkata, dia mempunyai 'perjuangan yang belum selesai' dalam bola sepak Inggeris dan mendedahkan Arsenal tidak mengambil kesempatan untuk mendapatkan semula khidmatnya.

"Saya menimbangkan semua tawaran dengan teliti dan percaya Chelsea pilihan terbaik. Ya, semua orang tahu Arsenal menjadi pilihan utama untuk mendapatkan saya. Tapi mereka tidak mengambil kesempatan itu dan oleh itu, apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Saya doakan yang terbaik untuk mereka pada masa depan," kata Fabregas.


Fabregas berkata, amat penting baginya perpindahan itu dimuktamadkan sebelum Sepanyol memulakan kempen mempertahankan Piala Dunia supaya seluruh pemikiran tertumpu terhadap membantu negaranya mengekalkan trofi kejuaraan.


Berikutan Barcelona tidak mempunyai sebarang trofi musim ini dan Luis Enrique dilantik ketua jurulatih baru, Fabregas dibenarkan untuk meninggalkan kelab gergasi Catalan itu dan dia berkata, Chelsea menawarkan pilihan menarik.

Foto

Cesc Fabregas

"Cita-cita mereka menyamai impian saya apabila kami masing-masing begitu laparkan kejuaraan serta keghairahan untuk memenangi trofi," katanya. "Mereka mempunyai barisan pemain dan pengurus yang menakjubkan. Saya akan komited sepenuhnya terhadap pasukan ini dan tidak sabar-sabar untuk beraksi." Fabregas menyertai Arsenal dari kem remaja Barcelona pada 2003 sebelum akhirnya menjadi kapten, tetapi dia hanya menang satu trofi di England, Piala FA 2005.


Dia kembali ke Barcelona pada 2011, tetapi kini pulang ke Liga Perdana Inggeris dengan Chelsea dipimpin Jose Mourinho, beraksi di bahagian tengah bersama Eden Hazard dari Belgium dan pemain Brazil, Oscar.

"Saya mempunyai tugas yang belum selesai dalam Liga Perdana, sekarang masa tepat saya kembali," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

No comments:

Post a Comment