Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pistol 'tipu' meletup

Posted: 19 Jun 2014 03:00 PM PDT

Petaling Jaya: Tiga tukang urut lelaki yang bergelut dan cuba menumpaskan seorang perompak sebaliknya bertempiaran melarikan diri selepas penjenayah melepaskan tembakan dari pistol yang disangkakan mangsa sebagai senjata tiruan.

Dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, suspek lelaki berusia sekitar 30-an itu sempat menarik picu pistol ketika dipukul kumpulan tukang urut terbabit yang cuba menghalang rompakan di sebuah pusat urutan tradisional di SS2, di sini.


Seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Law, 40-an berkata, suspek yang memakai seluar pendek dan bertopi sebelum itu memasuki premis dengan menyamar sebagai pelanggan.

Menurutnya, suspek bagaimanapun bertindak mengeluarkan sepucuk pistol sebelum mengacukannya ke arah pekerja di kaunter pembayaran.


"Dia memaksa pekerja itu menyerahkan wang jualan selain mengugut kami dan dua tukang urut wanita yang sedang duduk berhampiran kaunter tidak cuba melawan.


"Bagaimanapun pekerja terbabit bertindak menarik tangan suspek sebelum cuba merampas senjata api dipegang. Pada masa sama kami membantu dengan memukul suspek hingga terjatuh di pintu masuk premis," katanya.

Foto

SUSPEK mengacukan pistol ke arah pekerja kaunter.

Menurutnya, mereka bertindak memukul suspek kerana menyangka pistol digunakan itu adalah senjata api tiruan untuk menakut-nakutkan kami.


"Namun, kami terkejut apabila senjata api itu meletup secara mendadak sebaik penjenayah menarik picunya. Kami kemudian bergegas melarikan diri ke bahagian belakang premis berikutan bimbang ditembak.

"Mujur penjenayah meninggalkan premis tanpa mengejar kami. Kejadian itu bagaimanapun berjaya dirakam kamera litar tersembunyi (CCTV) premis," katanya.


Menurutnya, suspek disifatkan amat berani berikutan melakukan rompakan ketika premis dipenuhi pekerja serta terdapat pasar malam di hadapan kedai.


"Berdasarkan maklumat polis, suspek individu sama yang melakukan rompakan nekad pada jam 3 petang kelmarin di dua lagi pusat urutan tradisional di sekitar kawasan ini.


"Suspek sudah berkeliaran melakukan rompakan sejak dua minggu lalu dan gemar menjadikan pusat urutan tradisional dan refleksologi sebagai sasaran utama kegiatan," katanya. Sementara itu pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya mengesahkan menerima laporan dari mangsa berhubung kes rompakan dilakukan oleh lelaki tempatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Amukan Ribut Sumatera

Posted: 19 Jun 2014 02:42 PM PDT

Pelabuhan Klang: "Kalau bukan kerana ada orang yang selamatkan saya, mungkin nasib saya sama dengan anak saudara yang hilang dipukul ombak," kata seorang wanita dikenali sebagai Dahlia, 22, seorang daripada 18 mangsa yang terselamat dalam kejadian bot terbalik di Beacon Api Gila di perairan Sepang.

Dalam kejadian jam 5 pagi kelmarin, bot dinaiki mangsa bersama 27 penumpang lain terbalik selepas dibadai angin kencang dipercayai angkara Ribut Sumatera selepas mereka bertolak dua jam dari pantai Morib.

Ribut Sumatera ialah satu konsep geografi yang merujuk kepada keadaan ribut kencang yang melanda pantai barat Semenanjung dari Pelabuhan Klang hingga Kukup di selatan Johor.

Biasanya Ribut Sumatera berlaku di antara peralihan Angin Monsun Barat Daya dengan Angin Monsun Timur Laut. Angin Monsun Timur Laut bertiup dari bulan November hingga Mac setiap tahun manakala Angin Monsun Barat Daya bertiup dari Jun hingga Oktober.


Dahlia berkata, dia bersama kakak ipar dan anak saudara perempuannya berusia dua tahun menaiki bot untuk pulang ke Tanjung Balai, Indonesia bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Elak dipukul hilang di laut

Posted: 19 Jun 2014 02:42 PM PDT

Oleh Nur Saliawati Salberi, Mohd Hasbi Sidek, Muhammad Yusri Muzamir dan Syafiq Aznan

Banting: Akibat sering dipukul bakal suami, seorang wanita yang mahu melarikan diri dan pulang ke kampung halamannya di Indonesia sementara waktu antara mangsa yang dipercayai lemas apabila masih hilang selepas tongkang yang dinaiki bersama 96 penumpang lain karam di Sungai Air Hitam, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, sepupu wanita dikenali sebagai Kasmawati, 36, Maryana Madan, 52, berkata, dia adalah individu yang membawa Kasmawati datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah, dua tahun lalu sebelum wanita itu menukar kerja sebagai tukang masak di Kuala Selangor.

Menurutnya, sepupunya itu pulang ke kampung menggunakan khidmat tongkang haram kerana tidak tahan apabila sering dipukul bakal suaminya yang juga warga Indonesia.

"Saya pesan kepada dia (Kasmawati) supaya berurusan dengan pihak berkuasa mengenai keinginannya pulang ke kampung walaupun permit perjalanannya sudah tamat tempoh.


"Namun, pesanan saya tidak diendahkan dan dia berdegil untuk pulang menggunakan khidmat tongkang haram, malah merahsiakan hasratnya itu hingga dimaklumkan kenalan mengenai insiden itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Cam mayat rakan senegara

Posted: 19 Jun 2014 02:42 PM PDT

Oleh Nur Saliawati Salberi, Mohd Hasbi Sidek, Muhammad Yusri Muzamir dan Syafiq Aznan

Klang: Mangsa yang terselamat dalam kejadian tongkang karam di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey diminta membuat pengecaman terhadap mayat rakan senegara mereka yang ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat dilakukan pihak berkuasa Malaysia.

Permintaan itu dikeluarkan sendiri Kedutaan Indonesia melalui penasihat kedutaan berkenaan Dino Nurwahyudin yang meminta semua penumpang terselamat membantu proses pengecaman.


Menurutnya, sehingga jam 11 pagi semalam, enam daripada 10 mayat yang dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kelmarin untuk proses bedah siasat sudah dikenal pasti berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ada pada mereka.

Katanya, pihaknya sudah mendapat maklumat mengenai mangsa yang terkorban dan mengambil langkah susulan bagi memaklumkan kepada waris dan keluarga mereka.


Menurutnya, waris mangsa boleh datang ke HTAR untuk membuat urusan menuntut jenazah atau berhubung dengan wakil Kedutaan Indonesia berhubung perkara itu.


Beliau ditemui di perkarangan HTAR, di sini, semalam.

Foto

PASUKAN penyelamat mengangkat mayat mangsa bot karam di perairan Sungai Air Hitam, Banting.

"Kami percaya mangsa yang belum dapat dikenal pasti kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri akan dicam rakan mereka dan akan berusaha mengenal pasti identiti mayat dan mengetahui maklumat serta latar belakang mangsa.


"Cara ini pastinya memudahkan urusan pengumpulan maklumat dan melancarkan lagi operasi menyalurkan maklumat kepada waris mangsa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha sedaya upaya mengenal pasti mayat yang ditemui walaupun keadaan mayat sudah reput dengan rupanya sudah tidak dapat dikenal pasti.


"Kami akan menggunakan teknologi terkini mengesan DNA menggunakan gigi atau cap jari supaya mayat itu boleh dikenal pasti dan diuruskan oleh waris, namun jika mayat tidak mempunyai waris atau tidak dituntut, kita akan memikirkan tindakan susulan termasuk mengebumikan mereka di negara ini," katanya.


Pada masa sama, beliau memuji kecekapan anggota keselamatan dan pihak hospital yang membantu menyalurkan maklumat terkini kepada Kedutaan Indonesia selain menyokong setiap pelan tindakan diambil Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat dikendalikan.


Sementara itu, wakil Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur Herman Prayinto berkata, pihaknya belum menerima maklumat terperinci berhubung insiden yang berlaku di Sepang awal pagi semalam, kurang 24 jam daripada insiden pertama yang berlaku di muara Sungai Langat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

MPV terbalik tayar meletup

Posted: 19 Jun 2014 02:42 PM PDT

Alor Gajah: Seorang pengusaha kain warga Pakistan nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu terbabas dan terbalik di Kilometer 219.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu dipercayai berlaku selepas tayar belakang sebelah kanan Nissan Grand Livina dipandu Mohamad Sahir berusia awal 40-an, tiba-tiba meletup.


Sumber berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan kain di sebuah pasar raya terkemuka di Bandar Melaka memandu bersendirian dari arah Seremban menuju ke Ayer Keroh sebelum terbabit kemalangan.

"Berdasarkan keterangannya, lelaki itu mendakwa terdengar letupan di bahagian belakang setibanya di tempat kejadian sebelum kenderaan dipandunya hilang kawalan.


"Mangsa cuba mengawal stereng dan menekan brek, namun kenderaan dipandu terus meluncur ke kiri dan menjunam ke longkang di tepi lebuh raya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Sumber berkata, peniaga kain itu yang terperangkap beberapa minit dalam kenderaan dibantu pengguna jalan raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

No comments:

Post a Comment