Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


25 tahun jalan gostan

Posted: 06 Jun 2014 03:16 PM PDT

New Delhi: Seorang lelaki yang berjalan secara mengundur sejak 25 tahun lalu dalam usaha untuk membantu mewujudkan keamanan di seluruh dunia kini sudah lupa untuk berjalan ke depan.

Mani Manithan memilih untuk berjalan secara berundur pada 1989 kerana membantah keganasan yang berlaku di India.

Dia bertegas menyatakan, rutin luar biasa itu tidak mengganggu kehidupan sehariannya kerana selepas 25 tahun, dia telah mahir dengan berjalan seperti itu, termasuk menaiki tangga, menyeberang jalan dan ketika menggunakan kenderaan awam.

Bagaimanapun, menurut pemilik sebuah kedai telefon bimbit di daerah Tiruppatur, Tamil Nadu itu, dia sudah lupa cara berjalan ke depan.

"Berjalan seperti orang biasa kini menjadi cabaran kepada saya.

Jiwa saya sudah lupa cara untuk melakukannya.

Foto
Foto


Saya lebih selesa jalan berundur.

"Kehidupan saya penuh dengan perjuangan, pengorbanan, pencapaian dan bantahan.


Kerana itu, saya tidak ada masalah untuk meneruskan kehidupan dengan berjalan gostan sehingga dunia ini aman sepenuhnya," katanya.

Dia pernah berjalan secara berundur sejauh 480 kilometer di Chennai dalam keadaan berbogel.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Robot pandai pujuk manusia

Posted: 06 Jun 2014 10:54 AM PDT

Tokyo: Sebuah syarikat di sini menghasilkan apa yang dipercayai robot pertama di dunia yang boleh 'membaca' emosi manusia.

Menurut syarikat berkenaan, Softbank, robotnya yang diberi nama Pepper akan mula dijual Februari dengan dengan harga 198,000 yen (RM5,900).

Meskipun tidak berkaki, Pepper dilengkapi tangan yang boleh memujuk.

Menurut syarikat berkenaan, Pepper menggunakan 'enjin emosi' dan kepintaran buatan untuk mengkaji tingkah laku, ekspresi dan nada perbualan manusia.

"Matlamat kami ialah untuk menghasilkan robot pengasih yang boleh membuat orang tersenyum," kata syarikat berkenaan.

Menjadikan robot sahabat adalah popular di Jepun, tetapi sehingga ini belum ada robot seumpama itu yang mencapai kejayaan besar di pasaran.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Sorok mayat dua beranak bawah katil

Posted: 06 Jun 2014 10:54 AM PDT

Hong Kong: Seorang lelaki dengan dua keluarga ditangkap selepas pekerja menemui mayat wanita simpanannya dan anak mereka berusia dua tahun yang hilang 14 tahun lalu di bawah katil di apartmen yang mereka sewa.

Lelaki itu didakwa mencekik kedua-dua mangsa sebelum menyembunyikan mayat berkenaan.

Kan Wai-nam, 53, ditangkap minggu lalu selepas mayat keluarga keduanya itu di temui dalam beg di Shenzhen.

Kan yang mempunyai seorang lagi isteri dan dua anak di Hong Kong dilapor mengaku membunuh wanita simpanannya dan anak mereka pada Mei 2000.

Kan dilapor memberitahu polis, dia membunuh wanita dan kanak-kanak itu selepas berdepan bebanan hutang mencecah ratusan ribu yuan akibat ketagihan judi.

Mayat itu ditemui selepas Kan meminta pemilik rumah sewanya membersihkan dua apartmen yang disewanya di Shenzhen.

Dia dilapor memberitahu tuan rumah, sebuah apartmen berkenaan digunakan untuk didiami sementara satu lagi digunakan sebagai bilik serba guna.

Pekerja yang dihantar untuk membersihkan apartmen itu menemui beg berisi mayat selepas tersilap memasuki apartmen yang digunakan sebagai bilik serba guna.

Kan masih membayar sewa apartmen itu walaupun selepas membunuh mangsa 14 tahun lalu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Perang siber rancak

Posted: 06 Jun 2014 10:51 AM PDT

Jakarta: Perang siber antara kedua-dua pasangan calon presiden dan naib presiden pada pilihan raya presiden Indonesia dilapor semakin sengit.

Pengarah Lembaga Pemantau Jejaring Sosial Indonesia, Deddy Rahman bagaimanapun berkata, paling banyak menggunakan khidmat pasukan itu ialah pasangan Joko Widodo-Jusuf Kalla.

"Pasukan siber bekerja dengan menggunakan pelbagai akaun di laman sosial.

Tujuannya, mempengaruhi pengundi.

Mereka dibayar oleh calon," katanya.

Menurut Deddy, penggunaan pasukan siber bermula sejak pilihan raya gabenor Jakarta pada 2012.

"Pengaruh penggunaan laman sosial amat penting kerana pilihan masyarakat menerusi laman itu mencerminkan pilihan di dunia nyata.

Lebih-lebih lagi kerana rakyat Indonesia adalah pengguna terbanyak laman sosial seperti Facebook, Twitter, Path dan Instagram.

"Mereka yang menang di laman sosial akan menang dalam pilihan raya sebenar.


Ini yang berlaku pada pilihan raya gabenor Jakarta, Jawa Timur dan Sumatera Selatan," katanya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Aktivis terperangkap

Posted: 06 Jun 2014 10:51 AM PDT

Seorang aktivis antirampasan kuasa tentera ditangkap semalam selepas polis menjejakinya menerusi komen yang dimuat naik dalam Internet.

Mejar Jeneral Pisit Pao-in dari Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi berkata, Sombat Boonngamanong ditahan di Chonburi, wilayah di timur Bangkok menerusi rangkaian Internet yang digunakannya.

"Tentera dan polis dimaklumkan mengenai alamat Protokol Internet (IP) yang diguna oleh Sombat.

Kami mengerah pasukan menyerbu sebuah rumah di Chonburi dan memberkasnya.

Dia kini berada di pangkalan tentera di wilayah berkenaan.

"Kes ini akan diurus dan disiasat oleh tentera sebelum memutuskan tindakan selanjutnya," kata Pisit.

Penahanan itu adalah yang terbaru dalam usaha tentera membanteras aktivis pro-demokrasi dan penyokong perdana menteri yang digulingkan, Yingluck Shinawatra.

Yingluck, kabinetnya dan penyokong kuat keluarga Shinawatra sebelum ini ditahan, kebanyakannya untuk tempoh yang singkat dan diberi amaran supaya tidak terbabit dalam kegiatan antitentera.

Hingga kini pihak tentera tidak mengumumkan jumlah mereka yang ditahan.

Rampasan kuasa tentera Thailand itu adalah babak terbaru dalam konflik antara penyokong diraja yang dikuasai tentera dan golongan kaya dengan penyokong Yingluck dan abangnya, Thaksin Shinawatra.

Yingluck menjadi perdana menteri sehingga 7 Mei apabila mahkamah mendapati dia bersalah atas tuduhan salah guna kuasa.

Tentera menggulingkan saki-baki kerajaannya pada 22 Mei lalu dengan alasan ia perlu untuk memulihkan keadaan negara selepas tunjuk perasaan sejak November menyebabkan ekonomi negara itu hampir meleset.

Sejak itu, junta menyekat segala maklumat yang mengkritiknya.

Sombat yang enggan menyerah diri kepada pihak berkuasa tentera selepas diminta berbuat demikian, berjaya memuat naik status terakhir dalam Facebooknya dengan berkata: "Saya ditahan."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Dibunuh ketika tidur

Posted: 06 Jun 2014 10:50 AM PDT

Amman: Seorang wanita membunuh suaminya dengan menikam mangsa 25 kali ketika lelaki itu tidur.

Menurut laporan akhbar tempatan, wanita berusia 20-an tahun itu memberitahu polis penyerang tidak dikenali memasuki rumah dan membunuh suaminya.

Bagaimanapun, polis meragui kenyataan wanita itu.

Ujian forensik menunjukkan lelaki berkenaan mati akibat kecederaan selepas ditikam 25 kali.

Wanita berkenaan akhirnya mengaku membunuh suaminya kerana perselisihan faham yang berterusan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Bapa laksana hukuman rogol

Posted: 06 Jun 2014 10:50 AM PDT

Harare (Zimbabwe): Seorang bapa mengambil kesempatan merogol anaknya yang berusia 14 tahun ketika menghukum mangsa.

Lelaki berusia 34 tahun yang sudah bercerai dengan isterinya mengesyaki kanak-kanak itu mempunyai hubungan seksual dengan teman lelakinya.

Ketika pulang dari bekerja pada hari kejadian, dia menemui anaknya berdua-duaan dengan teman lelakinya.

Dia kemudiannya meminta mangsa menjelaskan kejadian itu, tetapi anaknya berkata, dia hanya teman biasa.

Selesai makan malam, lelaki itu memasuki bilik tidur anaknya, menguatkan bunyi radio dan merogolnya.

Jeritan remaja itu tidak didengari kerana bunyi radio yang terlalu kuat, lapor media.

Keesokan harinya, remaja itu melarikan diri ke rumah ibunya dan memberitahu mengenai perbuatan bapanya.

Lelaki berkenaan ditahan atas tuduhan merogol selepas bekas isterinya membuat laporan polis.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Suami isteri ditahan kerana anak gemuk

Posted: 06 Jun 2014 10:49 AM PDT

Norfolk: Sepasang suami isteri di sini ditahan selepas berat anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun meningkat sehingga 96 kilogram.

Keadaan si anak itu menyebabkan dia terpaksa dirawat dua kali sebulan oleh doktor.

Pihak berkuasa kesihatan yang memandang serius keadaan itu melaporkannya kepada polis.

Pasangan itu ditahan dan didakwa atas tuduhan mengabai anak mereka.

Menurut Daily Mail, suami isteri itu kini bebas atas ikat jamin.

Bagaimanapun, mereka membela diri dengan berkata, berat badan si anak disebabkan faktor genetik yang diwarisinya.

Pasangan itu mungkin hilang hak hak penjagaan ke atas anak mereka jika didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak berkenaan.

Si ibu berkata, dia memang sentiasa montel dan keluarga suaminya juga bersaiz besar.

Menurutnya lagi, dia tidak bimbang dengan saiz anaknya kerana dia aktif bermain Nintendo dan menjalani diet yang ketat.

Doktor mendakwa berat kanak-kanak itu tiga kali ganda daripada sepatutnya.

Ramai kanak-kanak di United Kingdom diserahkan kepada jabatan kebajikan kerana terlalu gemuk.

Pegawai menyalahkan ibu bapa kerana cuai.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Umur panjang

Posted: 06 Jun 2014 10:49 AM PDT

Lagi isu 'pembunuhan bermaruah' terjadi di Pakistan.

Kali ini membabitkan seorang remaja yang ditembak dua kali dan 'mayatnya' dibuang ke dalam tali air oleh keluarganya.

Namun, gadis itu bernasib baik kerana masih hidup selepas kejadian.

Seperti biasa, alasan serangan itu adalah 'memelihara' maruah keluarga selepas gadis itu, Saba Maqsood memilih untuk mengahwini kekasihnya dan menolak lelaki pilihan keluarga.

Jurucakap polis, Ali Akbar berkata, Saba diserang oleh bapa kandung, bapa dan ibu saudaranya sebelum dicampak ke dalam tali air.

"Mangsa mengahwini kekasih yang juga jirannya, Muhammad Qaiser lima hari lalu.

Dia menolak pilihan keluarganya.


Mereka membawa mangsa ke Hafizabad, menembaknya dua kali dan mencampak mangsa ke dalam terusan selepas memasukkannya ke dalam guni kerana menyangka mangsa sudah mati," kata Ali.

Kejadian itu berlaku tidak lama selepas kes serupa terjadi kepada seorang wanita hamil di Lahore yang mengundang kecaman antarabangsa.

Menurut Ali, Saba cedera di pipi dan tangan kanannya.

Saba dikatakan tersedar sendiri lima minit selepas dicampak dan ditinggalkan di dalam tali air itu.


Dia cuba berenang ke tebing sebelum dibantu orang yang lalu lalang di situ.

"Dia gadis berani.

Selepas berjaya keluar dari terusan, dia menuju ke stesen minyak berhampiran dan dari situ dia dikejarkan ke hospital oleh pasukan kecemasan," kata Ali.

Dalam kes serupa bulan lalu, Farzana Iqbal diserang dan dibunuh keluarganya kerana mengahwini lelaki pilihannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Lawan pedang di Kuil Emas

Posted: 06 Jun 2014 10:47 AM PDT

New Delhi: Kira-kira 10 orang cedera apabila sekumpulan penganut Sikh bertempur menggunakan pedang dan kayu dengan pengawal di kuil paling suci penganut itu di India, semalam.

Kejadian berlaku ketika sambutan ulang tahun serbuan tentera pada Jun 1984 terhadap kuil berkenaan di Amritsar.

Jurucakap pengurusan Kuil Emas Kiran Iyoti Kaur berkata, penyokong Shiromani Akali Dal yang diketuai Simranjeet Singh Mann bertindak ganas menyebabkan mereka diusir oleh pengawal.

"Mereka melaungkan slogan menuntut sebuah negara merdeka untuk Sikh," katanya.

Media tempatan melaporkan, polis menahan kira-kira 50 orang selepas kejadian dan kebanyakan kedai di bandar Amritsar terpaksa ditutup berikutan ketegangan itu.

Operasi tentera yang dilancarkan kerajaan India pada 1984 untuk menguasai kuil berkenaan atas arahan perdana menteri ketika itu, Indira Gandhi, menjadi antara peristiwa paling bersejarah dalam usaha India menangani kumpulan pemisah Sikh pada 1980-an.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

No comments:

Post a Comment