Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Penjara 11 tahun kerana masak kari mayat

Posted: 12 Jun 2014 09:44 AM PDT

Lahore: Dua lelaki adik beradik semalam dipenjara 11 tahun sebuah mahkamah di sini kerana memakan mayat bayi dalam kes yang mengejutkan rakyat Pakistan.

Mereka melakukan demikian setahun selepas dibebaskan atas kesalahan sama.


Farman Ali dan Mohammad Arif ditahan April lalu selepas polis menemui kepala bayi berusia dua hari di rumah mereka.

Mereka mencuri mayat bayi itu dari tanah perkuburan di kampung mereka di Darya Khan, kira-kira 300 kilometer ke selatan Islamabad.


Menurut polis lagi, kedua-dua beradik itu yang berusia lewat 30-an, memasak dan memakan kari yang dimasak daripada mayat berkenaan.


Mereka pernah ditahan kerana memakan mayat di kampung sama pada 2011 dan menjalani hukuman penjara dua tahun serta menjalani rawatan psikiatrik. - Agensi

Foto

SUSPEK yang dihukum penjara semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Tak pernah serik

Posted: 12 Jun 2014 09:38 AM PDT

Hamilton: Seorang lelaki ditahan semalam selepas didakwa melakukan seks dengan pelampung rakit di tepi jalan raya.

Ini kali keempat dia ditahan atas kesalahan serupa.


Menurut sumber, pada 2011, Edwin Tobergta, 35 pernah ditahan kerana menanggalkan seluar dan melakukan seks dengan pelampung rakit berwarna merah jambu milik jirannya.

"Dia dipenjara tetapi kemudian ditahan sekali lagi pada 2013 kerana melakukan seks dengan rakit sama," katanya.


Kejadian 2013 itu berlaku di rumah Tobergta tetapi dia dituduh dan mengaku bersalah kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat terbuka yang boleh disaksikan kanak-kanak.


Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kesalahan terbaru Tobergta membabitkan rakit yang sama.

Sementara itu, pada 2002, Tobergta ditahan kerana melampiaskan nafsunya dengan 'permainan labu angin' di depan khalayak ramai.


Walaupun ia bukan permainan kolam, namun Tobergta pandai mencari kepelbagaian cita rasanya.

Dalam satu gambar terbarunya, Tobergta memakai kemeja-T yang bertulis, "Saya tidak waras. Sila tinggalkan pesanan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Makan hati kekasih teman wanita

Posted: 12 Jun 2014 09:37 AM PDT

Cape Town: Seorang lelaki yang cemburu, menikam kekasih baru teman wanita, memotong mayat mangsa dan mengeluarkan hatinya sebelum memakannya.

Polis bergegas ke tempat kejadian di sebuah rumah di bandar Gugulethu, di sini semalam selepas menerima aduan daripada jiran yang ketakutan. "Di tempat kejadian, mereka menemui suspek, warga Zimbabwe, sedang asyik memakan hati mangsa dengan mengguna pisau dan garpu," kata jurucakap polis Frederick van Wyk kepada akhbar Cape Times.


Wanita yang menjadi tumpuan dalam cinta tiga segi itu memberitahu polis, kekasih lamanya datang ke rumah yang didiaminya bersama kekasih baru dan mereka berbual sebelum dia memberinya duit dan menyuruhnya membeli arak.

Van Wyk berkata, sekembalinya ke rumah, dia terkejut mendapati kekasihnya Mbuyiselo Manona, 62, terlantar kerana ditikam.


Jiran yang menyedari kekecohan di rumah itu berkata, mereka mengintai menerusi tingkap dan ternampak suspek memotong hati mangsa dan memakannya.


"Kami tidak percaya melihat apa yang berlaku. Kami menjerit menyuruhnya dia berhenti tetapi dia tidak mengendahkannya. "Polis yang tiba juga takut untuk masuk ke dalam rumah itu," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Makin buruk

Posted: 12 Jun 2014 09:36 AM PDT

Jakarta: Calon pilihan raya Presiden dari Parti Gerindra, Prabowo Subianto kelmarin mengajak penyokongnya supaya tidak mengundi pemimpin yang berpura-pura memperjuangkan kepentingan rakyat tetapi sering tidak menunaikan janji.

Pesaingnya dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Joko 'Jokowi' Widodo pula memberitahu penyokongnya, pemimpin yang berlatar belakangkan kehidupan mewah tidak mempunyai perasaan simpati terhadap rakyat.

Dalam kempennya di Medan, Sumatera Utara, Prabowo yang dijadual tiba jam 9 pagi hanya muncul 3 setengah jam kemudian.

Dia diiringi pegawai kanan pakatannya, termasuk pengerusi Parti Golkar Aburizal Bakrie, penasihat Golkar, Akbar Tandjung, Pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Anis Matta dan tokoh politik PKS yang juga gabenor Sumatera Utara, Gator Pujo Nugroho.


"Kita akan buktikan pada 9 Julai ini (hari mengundi) bahawa Indonesia masih mempunyai pemimpin yang tidak menipu rakyat, tidak berpura-pura mementingkan rakyat dan tidak mencuri wang rakyat," kata Prabowo, merujuk kepada Jokowi.


Anis yang turut berucap, mengajak orang ramai mengundi Prabowo kerana kekacakkannya.

"Lihat calon presiden kita. Dia kacak dan mempunyai aura seorang presiden," katan Anis.

Orang ramai yang kebanyakan wanita, bersorak, menyokong kenyataan pemimpin PKS itu.

Prabowo hanya tersenyum dan mengangguk sebelum menanggalkan cermin mata hitamnya.

Sementara itu, di Bandung, Jokowi menarik simpati orang ramai dengan menceritakan pergelutan keluarganya menjalani kehidupan seharian ketika dia kanak-kanak.

Dia memberitahu bagaimana dia sekeluarga diusir dari rumah.

"Saya tahu dari mana anda datang. Jika ada pemimpin berlatar belakang sama dan seorang lagi yang dilahirkan kaya, siapa yang lebih memahami dan bersimpati kepada anda," kata Jokowi, semalam.

Mereka yang hadir melaungkan namanya berulang kali.

Jokowi ialah anak tukang kayu dari Surakarta, Jawa Tengah sementara Prabowo anak Soemitro Djojohadikoesoemo, menteri kanan ketika pentadbiran Presiden Sukarno dan Suharto.

Calon naib presidennya Jusuf Kalla yang berkempen di Kendari, Sulawesi Selatan mengambil kesempatan untuk meyakinkan pengundi bahawa Jokowi ialah Muslim yang taat.

"Ada yang menuduhnya Muslim yang tidak baik. Saya memberi jaminan, Jokowi imam yang baik.

"Dan saya berani berkata, dia lebih baik daripada orang di sana," kata Jusuf, merujuk kepada Prabowo. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Tonton percuma

Posted: 12 Jun 2014 09:35 AM PDT

Bangkok: Peminat bola sepak Thai boleh menonton semua perlawanan Piala Dunia di kediaman masing-masing secara percuma selepas junta tentera campur tangan dalam usaha melebarkan 'kegembiraan' selepas rampasan kuasa bulan lalu.

Pertelingkahan berhubung hak siaran mengancam penduduk negara itu tanpa akses kepada sebahagian besar perlawanan terbabit yang bermula awal pagi ini di Brazil.


Tetapi dengan upacara perasmian tinggal beberapa jam, pihak berkuasa penyiaran Thai bersetuju membayar AS$13 juta (RM42 juta) kepada syarikat hiburan tempatan, RS, bagi berkongsi hak siaran secara langsung semua 64 perlawanan di saluran televisyen awam.

Langkah itu diambil selepas junta Thai mendesak Suruhanjaya Telekomunikasi Penyiaran Kebangsaan menyelesaikan isu berkenaan.


"RS perlu menyiarkan semua 64 perlawanan. "Matlamat kami ialah membenarkan semua rakyat Thai menonton perlawanan itu," kata Pesuruhjaya Suthiphon Thaweechaiyagarn.


RS pada mulanya bersetuju berkongsi hak untuk 22 perlawanan dengan stesen televisyen percuma.

Saluran 5, saluran televisyen yang dikendalikan tentera kini akan menyiarkan 38 perlawanan.


Langkah itu dianggap sebagai usaha untuk menggembirakan seluruh negara.

"Kami berharap rakyat Thai bergembira. Itu lebih penting daripada wang," kata seorang jurucakap junta kepada wartawan, semalam.


Persetujuan itu akan melegakan peminat bola sepak Thai yang tidak boleh menonton perrlawanan itu di bar dan restoran kerana pelaksanaan perintah berkurung di kebanyakan kawasan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Tokoh aktivis berdepan jel 14 tahun

Posted: 12 Jun 2014 09:34 AM PDT

Bangkok: Seorang tokoh aktivis berdepan hukuman penjara 14 tahun jika didapati bersalah atas tuduhan menghasut, melakukan jenayah komputer dan tidak mengendah arahan junta.

Sombat Boonngamanong yang mengetuai kempen media sosial untuk mengadakan tunjuk perasaan secara aman menentang junta, akan dibicarakan di mahkamah tentera. "Kami akan membawanya ke mahkamah tentera untuk mendapatkan kebenaran menahannya," kata timbalan komander bahagian jenayah polis Thai, Prasopchoke Prommul.


Jika didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara tujuh tahun atas tuduhan menghasut, lima tahun atas tuduhan sebar maklumat palsu di Internet dan dua tahun kerana tidak mengendahkan arahan," kata Prasopchoke.

Sombat ialah antara ratusan ahli politik, aktivis, ahli akademik dan wartawan yang diarah melapor diri kepada pihak berkuasa tentera selepas rampasan kuasa 22 Mei lalu.


Mereka yang mematuhi arahan ditahan di lokasi rahsia selama seminggu serta diarah menjauhkan diri daripada kegiatan politik.


Sombat, aktivis terkenal prodemokrasi, enggan menyerah diri sebaliknya menghantar mesej menerusi Facebook dengan berkata: "Tangkap saya jika kamu boleh."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Diperkosa di balai polis

Posted: 12 Jun 2014 09:33 AM PDT

Lucknow: Seorang wanita semalam mendakwa dirogol empat anggota polis di sebuah balai di Uttar Pradesh.

Kejadian itu ialah kes terbaru dalam siri serangan seksual yang mengejutkan di India.


Menurut wanita itu, dia pergi ke balai di daerah Hamirpur malam Isnin lalu untuk meminta suaminya dibebaskan dari lokap sebelum dia diserang polis yang berada di situ.

"Pada 11.30 malam (waktu tempatan) ketika tiada orang di situ, keempat-empat anggota itu membawa saya ke sebuah bilik dan merogol saya bergilir-gilir," katanya.


Wanita berkenaan melaporkan kejadian berkenaan kepada seorang pegawai kanan kelmarin dan mendakwa ia berlaku selepas dia enggan memberi rasuah yang diminta untuk membebaskan suaminya.


Jurucakap polis, Virendra Kumar Shekhar berkata, siasatan akan dijalankan bagi mengenalpasti dan menahan suspek terbabit.

"Kami akan mengikut prosedur, mangsa sudah membuat laporan dan mereka yang bersalah akan ditahan tidak lama lagi," katanya, semalam.


Sub-Inspektor Balbir Singh berkata kes membabitkan empat pegawai dari balai berkenaan diletakkan di bawah kes jenayah.

Kes serangan seksual terbaru di Uttar Pradesh itu meningkatkan lagi tekanan politik ke atas ketua menterinya, Akhilesh Yadav.


Hujung bulan lalu, dua gadis berusia 12 dan 14 tahun dirogol beramai-ramai sebelum dibunuh dan mayat mereka digantung pada pokok.


Kejadian berlaku selepas mereka keluar untuk membuang air di kawasan lapang kerana rumah mereka tidak mempunyai tandas.


Keluarga mereka enggan menurunkan mayat berkenaan sebagai tanda protes kepada polis yang enggan bertindak kerana gadis itu datang dari keluarga kasta rendah. Perdana Menteri Narendra Modi kelmarin menggesa semua ahli politik bekerjasama bagi melindungi wanita, kenyataan pertamanya sejak kejadian itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Pervez dibenar tinggalkan Pakistan

Posted: 12 Jun 2014 09:31 AM PDT

Karachi: Mahkamah Pakistan semalam mengarahkan kerajaan negara itu menarik balik sekatan keluar negara yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri, Pervez Musharraf.

Karachi: Mahkamah Pakistan semalam mengarahkan kerajaan negara itu menarik balik sekatan keluar negara yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri, Pervez Musharraf.


Arahan ini membolehkan Pervez meninggalkan negara itu dalam tempoh 15 hari.

Pervez yang menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk pengkhianatan selepas kembali daripada buangan tahun lalu, menanti keputusan sekatan keluar negara yang dikenakan ke atasnya ditarik balik sejak April.


'Pemergiannya' dari Pakistan akan mengurangkan pergeseran dengan Perdana Menteri Nawaz Sharif.


"Larangan keluar negara yang dikenakan ke atas Pervez dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Sindh tetapi ia hanya akan berkuat kuasa selepas 15 hari. Sepanjang tempoh itu, kerajaan boleh merayu keputusan berkenaan," kata peguamnya Farough Naseem.

Kerajaan Pakistan sebelum ini enggan membenarkan Pervez yang juga bekas panglima tentera negara iu selagi ia tidak mendapat perintah mahkamah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

No comments:

Post a Comment