Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lari telanjang elak ditahan

Posted: 06 Jun 2014 03:10 PM PDT

Georgetown: Tanpa rasa malu, dua wanita warga asing disyaki sedang melakukan seks dengan pelanggan melarikan diri dalam keadaan telanjang bulat dalam dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Lebuh Chulia, di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan jam 2 pagi itu, wanita berkenaan dikatakan sedang leka melayan pelanggan masing-masing, namun terus berlari keluar dari bilik hotel tanpa sempat mencapai pakaian sebaik mendapat tahu premis berkenaan diserbu.


Tindakan itu turut menyebabkan pelanggan masing-masing kebingungan dan hanya mengetahui premis itu diserbu pihak berkuasa selepas anggota imigresen memperkenalkan diri ketika pemeriksaan dilakukan.

Bagaimanapun, langkah kedua-dua wanita bogel itu terhenti ketika menuruni tangga apabila ditahan dan diarahkan masuk semula ke bilik untuk memakai pakaian masing-masing.


Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang Basri Othman berkata, serbuan ke atas dua hotel bajet itu dilakukan serentak selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti persundalan ditawarkan wanita warga asing berkenaan.


Beliau berkata, pihaknya menahan enam wanita iaitu dua warga Laos, dua warga Indonesia dan masing-masing seorang dari Vietnam dan Nigeria berusia 20-an hingga 30-an selepas mereka didapati memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar.

Foto

DUA anggota penguat kuasa wanita menggari GRO sebaik ditahan, semalam.

"Lima daripada wanita berkenaan menggunakan pas lawatan sosial manakala wanita warga Nigeria pula didapati menjadikan pas pelajar sebagai lesen untuk masuk ke negara ini dan dia disyaki menyalahgunakan kebenaran diberikan dengan menawarkan perkhidmatan seks.


"Siasatan awal kami tidak menolak mereka ini bergerak sendiri tanpa didalangi mana-mana sindiket," katanya. Modus operandi digunakan ialah menggunakan susuk tubuh yang seksi bagi memikat pelanggan di sekitar hotel tempat menginap atau restoran berhampiran.

"Jika ada persetujuan, pelanggan akan dibawa ke bilik di hotel bajet berkenaan dipercayai bagi tujuan mendapatkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM120 hingga RM150 bagi setiap langganan," katanya.


Basri berkata, berdasarkan keadaan bilik berkenaan, pihaknya percaya wanita terbabit sudah menginap di premis berkenaan sejak beberapa minggu lalu dan akan berpindah ke hotel bajet lain bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Jejas tauke madu asli

Posted: 06 Jun 2014 02:56 PM PDT

Kuala Lumpur: "Tidak mustahil ada banyak lagi pengusaha madu tiruan seperti ini dan saya berharap pihak berkuasa dapat membanterasnya habis-habisan. Tindakan mereka bukan saja menipu pengguna, tetapi turut menjejaskan imej pengusaha madu asli."

Demikian tegas Pengerusi Persatuan Usahawan Madu Kelulut Kedah Ramli Abdul Rahman mengenai penjualan madu tiruan sindiket yang menghasilkannya menggunakan ramuan bancuhan cecair madu tiruan dicampur serbuk tadalafil iaitu sejenis bahan kimia perangsang seks.


Laporan muka hadapan Harian Metro semalam mendedahkan, perniagaan itu yang didalangi jutawan berusia 40-an mengaut keuntungan puluhan juta ringgit setahun dengan memasarkannya kepada ribuan Pak Arab di 10 negara Timur Tengah.

Mengulas lanjut Ramli berkata, walaupun madu tiruan terbabit tidak dipasarkan dalam skala yang besar di dalam negara, ia masih boleh menjejaskan industri madu lebah kerana mungkin dipasarkan dalam skala kecil menggunakan kaedah pembungkusan yang berlainan.


"Sebab itu, persatuan sentiasa menasihati pengguna supaya memeriksa latar belakang syarikat pengeluar madu dan bukannya tertarik pada bungkusan atau keberkesanannya saja.


"Zaman sekarang ini terdapat pelbagai bahan kimia yang boleh menjadikan keadaan fizikal madu asli dan tiruan kelihatan hampir sama tetapi walaupun kandungan yang berlainan," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Laporan akhbar turut menyebut, produk yang didakwa dihasilkan sepenuhnya madu asli dari hutan Malaysia itu dijual melalui kiriman pos ke Qatar, Arab Saudi, Mesir, Libya, Pakistan, Maghribi, Bahrain, Oman, Iran, Kuwait dan Lubnan berdasarkan tempahan atas talian pada harga AS$300 (RM900) sekotak yang berisi 10 bungkusan kecil.


Sementara itu Pengarah TYB Industry Sdn Bhd Md Bahrin Ibrahim yang memasarkan madu tualang dari lebah hutan berkata, penggunaan madu asli bukannya hanya memberi kesan kepada prestasi seks semata-mata.

"Sebaliknya, ia membantu memperbaiki sistem peredaran darah dalam badan mengikut kaedah semula jadi dan memerlukan tempoh yang lama antara tiga hingga lima hari selepas ia dimakan.


"Jika kesannya dirasai selepas 20 minit, dikhuatiri madu itu dicampur bahan kimia untuk memberi kesan segera tetapi boleh merosakkan organ dalaman badan dalam jangkamasa panjang," katanya.


Jelasnya, cara terbaik untuk memastikan kandungan madu itu adalah asli dari sarang lebah ialah melalui proses pemeriksaan di makmal bertauliah yang kini banyak di universiti tempatan dengan kos antara RM300 hingga RM400 setiap sampel.


"Walaupun dikenakan bayaran, itu lebih bernilai daripada tanpa disedari rupanya kita mengamalkan pemakanan madu beracun yang membunuh badan secara perlahan-lahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Mahu pukul mentua cuba lerai pertengkaran

Posted: 06 Jun 2014 02:55 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang lelaki tergamak mahu memukul bapa dan ibu mentuanya dengan pisau dan kayu selepas pasangan itu cuba membantu meleraikan pertengkaran antara menantunya dengan anak perempuan mereka di Setapak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, anak perempuan mangsa berusia 22 tahun cedera di tangan terkena pisau digunakan untuk menyerang mereka.


Bimbang dengan tindakan ganas suaminya yang berusia 20-an, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Setapak. Sumber berkata, pertengkaran berlaku ketika mangsa dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas melawat keluarganya jam 3.30 pagi.

"Pertengkaran itu kemudian bertukar ganas apabila lelaki terbabit memberhentikan kereta sebelum menarik rambut isterinya supaya keluar daripada kereta lalu terus memukul wanita berkenaan.


"Mangsa yang ketakutan sempat menghubungi ibu bapanya meminta bantuan, tambahan jarak lokasi kejadian dengan rumah keluarganya tidak jauh," katanya.


Ibu bapa mangsa tiba tidak lama kemudian terkejut melihat anak perempuan mereka dibelasah menantu menyebabkan mereka cuba membantu meleraikan pertengkaran itu.

"Bagaimanapun, tindakan mereka hanya mengundang padah apabila menantu lelaki terus mengamuk dan mengambil pisau serta kayu disimpan dalam but kereta sebelum cuba menyerang mereka menyebabkan berlaku lagi pertengkaran ," katanya.


"Pertengkaran itu menjadi ganas apabila suspek cuba menyerang bapa mentuanya dengan pisau menyebabkan isterinya yang terkejut cuba menghalang menyebabkan tangannya luka terkena pisau," katanya.

Katanya, bimbang berlaku kejadian lebih teruk, mangsa bersama ibu bapanya beredar dari kawasan itu sebelum membuat laporan polis.


Mangsa kini mendapatkan perlindungan di rumah keluarganya kerana bimbang dicederakan suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

KPKSM mahu tindakan diambil

Posted: 06 Jun 2014 02:55 PM PDT

Kuala Lumpur: "Perkara ini tidak patut berlaku. Dalam masyarakat kita tak perlu orang macam ini. Dalam kerajaan juga kita tak perlu orang macam begini," kata Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Ibrahim Ahmad.

Beliau berkata, tindakan perlu diambil kerana ini membabitkan wang yang besar, jutaan ringgit.


"Siasat. Tidak kiralah sama ada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau Jabatan Pengangkutan Jalan kena ambil tindakan untuk beri pengajaran kepada orang lain supaya tidak buat perkara sama," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan bersiri akhbar ini mengenai 107 kereta mewah dan kelas pertengahan pelbagai jenama bernilai RM100 juta disita JKDM selepas didapati mengelak daripada cukai dengan menggunakan plat G1M atau Gagasan 1Malaysia.


Ibrahim berkata, syarikat pengimportan kereta yang didapati membeli plat G1M itu secara pukal daripada pengendali juga patut disiasat.


"Syarikat import kenderaan inilah yang dipercayai menjadi dalang sehingga timbul masalah ini. Mereka pandai. Mereka mahir dengan undang-undang kastam dan JPJ. Sebab mungkin ada membabitkan dokumen palsu.

"Jika dokumen palsu, jelas salah. Memalsukan dokumen kerajaan. Jadi kena dakwa mereka ini. Kita mesti telus di bawah kepemimpinan Perdana Menteri sekarang, kita nak lihat satu ketelusan berlaku," katanya.


Tambah menyedihkan pula katanya, pihak tidak bertanggungjawab itu menyalahgunakan G1M yang diketahui umum ilham pemimpin nombor satu negara untuk menaikkan semangat patriotik rakyat.

Beliau berkata, kesalahan lari cukai merugikan negara manakala perbuatan menggunakan plat pendaftaran G1M untuk melakukan perbuatan salah itu mencemarkan imej gagasan diilhamkan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Usah pertikai keputusan JAKIM

Posted: 06 Jun 2014 02:54 PM PDT

Kuala Pilah: "Masyarakat di negara ini tidak seharusnya mempertikaikan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu coklat Cadbury yang didakwa mengandungi DNA babi.

"Ini kerana keputusan terbaru itu diperoleh hasil kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi makmal Jabatan Kimia," kata Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sembilan Sazali Ismail.


Beliau meminta masyarakat di negara ini tidak terus memperbesarkan isu coklat Cadbury yang didakwa masih mengandungi DNA babi.

Katanya, orang ramai terutama umat Islam perlu memberi sokongan kepada JAKIM kerana jabatan itu adalah badan yang bertanggungjawab terhadap kemajuan dan pembangunan Islam sejagat.


"Sebelum sesuatu keputusan dibuat, sudah tentu JAKIM membuat kajian dan penilaian mereka.


"Sehubungan itu, keputusan halal diumumkan baru-baru ini diharapkan memuaskan hati semua pihak kerana apa yang berlaku selepas ini, JAKIM yang bertanggungjawab," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-9, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Juasseh di Balai Raya Padang Lebar, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua PBTM Cawangan Juasseh Leftenan Kolonel (B) Mohd Nasir Abd Hadi.


Sazali berkata, bagi mereka yang masih meragui kenyataan JAKIM berkenaan isu halal, ia terpulang hak peribadi untuk terus membeli produk itu atau sebaliknya.

Dalam mesyuarat itu, Sazali turut menyampaikan sumbangan kepada enam anak ahli PBTM Cawangan Juasseh yang meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.


Selain itu sumbangan turut disampaikan kepada seorang bekas anggota tentera, Azam Abu, 40 yang menghidapi penyakit ketumbuhan dalam otak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

No comments:

Post a Comment