Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Chong Wei ada kelas!

Posted: 15 Jun 2014 03:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei terus mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama merangkul kejuaraan Siri Super Terbuka Jepun buat kali ketiga berturut-turut.

Chong Wei yang diletak sebagai pilihan utama muncul juara apabila tidak berdepan masalah menewaskan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-14, 21-12.


Kemenangan di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu menjadikan jumlah keseluruhan kejuaraan Terbuka Jepun diraih Chong Wei sebanyak lima kali.

"Saya sangat gembira menang kejuaraan ini lima kali dan juga puas hati dengan corak permainan sepanjang minggu ini.


"Sekarang tumpuan saya untuk melakukan perkara sama menjelang Siri Super Premier Terbuka Indonesia minggu depan (esok)," katanya.


Selain muncul juara 2012 dan tahun lalu, pemain ranking nombor satu dunia itu juga pernah mengungguli takhta pada 2007 dan 2010.

Foto

Lee Chong Wei

Kemenangan ke atas pemain pilihan kelapan itu juga menjadikan Chong Wei gah melakar rekod tahun ini dengan mara ke perlawanan akhir sebanyak enam kali dan muncul juara empat kali.


Keempat-empat kejuaraan itu membabitkan Siri Super Premier Terbuka Malaysia, All-England, Siri Super Terbuka India dan terkini Terbuka Jepun.

Mengimbas kembali perlawanan akhir yang berlangsung selama 34 minit itu, Chong Wei nyata menguasai pertemuan dengan Hu Yun yang tidak begitu mencabar.


Bagaimanapun, pemain ranking ke-15 dunia itu sudah mencuba sedaya upaya untuk menyekat Chong Wei terutama pada set kedua namun ternyata pemain kelahiran Bagai Serai, Perak itu berada dalam kelas tersendiri.


Kemenangan itu membolehkan Chong Wei membawa pulang trofi dan wang tunai AS$18,750 (RM60,346).


Trofi disampaikan Duta Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som.


Sementara itu dalam pertarungan beregu lelaki, pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong mengejutkan pilihan pertama, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia apabila menang 21-12, 26-24.


Juara perseorangan wanita milik Li Xuerui dari China yang menumpaskan pemain Taiwan, Tai Tzu Ying 21-16, 21-6 manakala beregu wanita menyaksikan Misaki Matsutomo-Ayaka Takahash dari Jepun menumbangkan rakan senegara, Reika Kakiiwa-Miyuki Maeda 21-13, 21-17.


Beregu campuran memperlihatkan pasangan China, Zhang Nan-Zhao Yunlei muncul juara selepas menang 21-12, 21-16 ke atas pasangan Jerman, Michael Fuchs-Birgit Michels.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

'Waktu tak sama'

Posted: 15 Jun 2014 02:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Ada yang menganggap kehangatan Piala Dunia di Brazil hanya dirasai sepenuhnya peminat di negara ini apabila Liga Malaysia (Liga M) berakhir 25 Jun ini dan ada pula yang merasakan bahang Liga M yang kini menghampiri kemuncaknya tenggelam dengan kejohanan berprestij itu.

Namun bagi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mereka mempunyai alasan tersendiri kenapa liga domestik terus berlangsung biarpun ketika tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia lebih terarah kepada apa yang berlaku di Brazil ketika ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (JKPT) Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, berdasarkan perbincangan pihaknya sebelum ini, mereka merasakan tumpuan peminat tempatan kepada persaingan Liga M tidak terjejas kerana waktu perlawanan berbeza.

"Bagi saya, ia bukan satu masalah untuk penyokong tempatan datang ke stadium memberi sokongan kepada penyokong masing-masing kerana waktu perlawanan Liga Perdana dan Liga Super dijalankan pada sebelah petang dan malam manakala perlawanan Piala Dunia di Brazil pula lewat malam dan awal pagi," katanya kepada Arena Metro semalam.


Isu penjadualan Liga M 'tidak kena masa' ini dibangkitkan bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh di ruangan khas 'Bicara Shebby' sempena Piala Dunia dalam akhbar Harian Metro apabila beliau berpendapat kehangatan temasya bola sepak terbesar di dunia itu hanya akan dirasai sepenuhnya apabila berakhirnya Liga Super.


Namun Afandi yang juga Timbalan Presiden FAM menegaskan, perlawanan Liga Super dan Liga Perdana tidak boleh ditangguhkan dan perlu berakhir mengikut jadual sebelum umat Islam negara ini menyambut Ramadan yang dijangka pada 29 Jun ini.

"Kita sudah meneliti jadual liga dan mahu semua baki perlawanan berakhir sebelum Ramadan. Sebolehnya juara liga sudah diketahui sebelum Ramadan supaya kami boleh mengadakan perlawanan play-off Piala Malaysia pada 28 Jun ini," katanya.


Berdasarkan jadual Liga M, Liga Super kini berbaki tiga perlawanan dan bakal tamat pada 25 Jun manakala saingan Liga Perdana pula berakhir sehari lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Jangan buat silap: Rosman

Posted: 15 Jun 2014 02:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Kejuaraan Liga Super bukan lagi berada dalam genggaman Selangor kerana kini terpaksa mengharapkan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) tercicir mata dalam baki tiga perlawanan mereka, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan dan Sarawak seandainya mahu menamatkan kemarau piala sejak 2010.

Anak buah Mehmet Durakovic kini di kedudukan kedua dengan 37 mata, ketinggalan satu mata kepada Johor DT selepas tewas mengejut 0-2 kepada pasukan bawahan liga, ATM Jumaat lalu sekali gus terpaksa melepaskan kedudukan teratas kepada Harimau Selatan kendalian Bojan Hodak.


Merah Kuning perlu meraih sembilan mata maksimum dalam baki tiga perlawanan bermula aksi menentang Kelantan di Kota Bharu, malam esok tanpa penyerang berbisanya, Paulo Rangel yang menjalani penggantungan kad merah.

"Saya harap pemain melupakan kekalahan kepada ATM dan kembali fokus untuk menentang Kelantan bagi meneruskan saingan sengit di kedudukan teratas. Jangan sia-siakan peluang yang ada, teruskan perjuangan," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim.


Menurutnya, kesilapan hingga membenarkan ATM meledak dua jaringan menerusi Juan Manuel Arostegui tidak seharusnya diulangi apabila menentang The Red Warriors (TRW) di gelanggang keramat mereka dan cabaran pasti sengit kerana lawan turut mahu membaiki kedudukan dalam liga.


Tanpa Rangel, ketajaman sentuhan penyudah perlu diberikan perhatian utama Durakovic dalam mempersiapkan pasukannya selepas aksi menentang ATM gagal memberikan impak diharapkan.

Pengendali dari Australia itu harus memanfaatkan sepenuhnya pengalaman dimiliki dua bekas penyerang Harimau Muda A, A Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri sekiranya mahu memburu jaringan di Kota Bharu.


Ketika menentang ATM, Ahmad Hazwan menggantikan Afiq Azmi pada minit ke-61 manakala Thamil sekadar memanaskan bangku simpanan. pada malam itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Titans tekad elak tersingkir

Posted: 15 Jun 2014 02:36 PM PDT

Kuala Terengganu: T-Team mesti memenangi tiga baki perlawanan sekiranya mahu melihat pasukan terus kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

Kelmarin, The Titans meraih tiga mata penuh selepas membenam pasukan tercorot liga, PKNS FC, 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.


Pengendali T-Team Azraai Khor Abdullah mengakui pasukannya belum selamat dan masih banyak yang perlu diperbaiki anak didiknya terutama dalam aspek corak permainan.

Menurutnya, pada perlawanan itu, anak buahnya dilihat sedikit tertekan untuk mencari jaringan sehingga menyebabkan corak permainan tidak menjadi.


"Saya sudah ingatkan pemain, kita perlu menang perlawanan ini walau apa cara sekali pun untuk terus kekal dalam aksi Liga Super musim depan.


"Saya bersyukur kerana pemain berjaya meraih tiga mata penuh sekali gus memberi peluang untuk pasukan bernafas," katanya.

Pada perlawanan itu, The Titans menjaringkan gol menerusi Patrich Steve Wanggai yang melakukan sepakan gunting terus menerjah jaring hasil hantaran lintang Leandro Dos Santos pada minit ke-45 sebelum penyerang, Nizab Ayub menambah duka PKNS untuk gol kedua pada minit ke-85.


Azraai berkata, The Titans masih berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan dalam baki tiga perlawanan menentang Perak, Sime Darby FC dan Lions XII.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Yob 'pulang' ke stadium

Posted: 15 Jun 2014 02:34 PM PDT

Selayang: Penyokong bola sepak skuad The Bos Gaurus mendapat perkhabaran gembira apabila Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengesahkan status baki dua aksi Liga Super tanpa penonton di Stadium Ipoh ditangguhkan hingga rayuan didengar dan peminat dibenarkan menyaksikan perlawanan.

Setiausaha Kehormat PAFA Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, aksi membabitkan pertemuan Perak di halaman sendiri menentang T-Team (esok) dan Pahang (25 Jun) boleh disaksikan penyokong setia pasukan di stadium seperti biasa.


"Selaras dengan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) atas kesalahan sebelum ini, PAFA sudah membuat rayuan berdasarkan beberapa alasan.

"Pertama keadaan pasukan yang kami rasa amat getir kerana memerlukan kemenangan dan bagi mencapai objektif itu, pemain memerlukan sokongan padu penonton. "Kedua, ketika perlawanan bertemu ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan Sarawak, kami sudah mengambil langkah berkesan dengan kerjasama padu PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengawal keadaan dengan baik daripada kejadian tidak diingini seperti pembakaran suar dan mercun serta sikap penonton.


"Memandangkan FAM baru mengadakan kongres 25 Mei lalu dan jawatankuasa baru masih lagi belum dibentuk hingga mesyuarat exco pertama 28 Jun ini, kami akan bermain seperti biasa dengan kehadiran penonton di tempat sendiri hingga keputusan muktamad berhubung rayuan itu diputuskan Jawatankuasa Rayuan baru FAM nanti," katanya ketika ditemui di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.


Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, pasukan kelompok bawahan Liga Super itu didenda RM140,000 dan terpaksa beraksi tanpa penonton dalam empat perlawanan gara-gara kekecohan dicetuskan penyokong sendiri mengikut peruntukan Perkara 80 Kod Tatatertib FAM.

Hukuman berat itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan FAM selepas membicarakan lapan pertuduhan ke atas PAFA berhubung dua kes kekecohan penyokong skuad 'Kejor Yob Skor' di Stadium Perak, Ipoh dalam perlawanan Liga Super menentang Selangor pada 5 April dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada 15 April.


"Bagi pihak PAFA, peluang kedua ini tidak harus disalah gunakan dan saya harap penyokong setia hadir bagi membantu Perak untuk keluar daripada zon penyingkiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

The Bos Gaurus hilang taring

Posted: 15 Jun 2014 02:09 PM PDT

Selayang: Disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari! Itu antara peribahasa paling cocok boleh disamakan dengan luahan pengendali Perak Abu Bakar Fadzim rentetan aksi longlai anak buahnya yang merudum secara tiba-tiba.

Turun dengan misi mencari tiga mata penuh untuk keluar dari kelompok bawahan Liga Super selepas meraih dua kemenangan berturut-turut ketika bertemu PKNS FC (3-1) dan Sarawak (4-1) sebelum ini, rentak kemenangan itu terencat seketika apabila diaib kekalahan besar 0-4 di tangan pasukan berstatus kelab, Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang), kelmarin.


Prestasi buruk itu menyaksikan skuad The Bos Gaurus 'berputih mata', malah kembali turun ke tangga ke-11 liga daripada menghuni tangga ke-10 sebelum aksi di Selayang itu.

"Pemain beraksi di bawah tahap sebenar sepanjang 90 minit dan saya sama sekali tidak menduga kami akan dibelasah empat gol.


"Nampak semua bahagian dari bawah hingga atas tidak berfungsi seperti dua aksi sebelum ini. Mereka seolah-olah tidak tahu menggerakkan bola dan kebuntuan idea menembusi benteng tuan rumah.


"Keputusan malam ini, benar-benar mengganggu fokus kami untuk memperbaiki kedudukan liga," katanya kepada pemberita sejurus tamat aksi kelmarin. Menurut Abu Bakar Fadzim yang lebih mesra disapa Burn itu, ketiadaan tonggak tengah yang juga ketua pasukan, Mohd Nasir Basharuddin serba sedikit membawa kesan negatif kepada permainan anak didiknya terutama dalam aspek menyerang.

"Saya akui, ketiadaan Nasir yang tidak dapat diturunkan akibat kad kuning mengganggu rentak pasukan kerana dia nadi dan jeneral utama di bahagian tengah.


"Bagaimanapun, untuk baki tiga lagi aksi selepas ini, kami wajib bangkit semula dan berusaha mencatat kemenangan bagi membolehkan kami terus beraksi di Liga Super musim depan," katanya.

Dalam aksi yang disaksikan hampir 15,000 penyokong Perak di halaman Sime Darby, pemain import tuan rumah Dilshod Sharofetdinov meletakkan namanya selaku penjaring dengan dua gol pada minit ke-40 dan minit ke-55. Muhammad Nazrul Kamaruzaman dan bekas pemain Perak musim lalu Muhammad Shafiq Jamal menambah derita pelawat dengan jaringan ketiga dan keempat masing-masing pada minit ke-80 dan ke-89 untuk skuad Yob pulang ke Ipoh dengan tangan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Yakin tamat dalam kelompok 6 terbaik

Posted: 15 Jun 2014 02:02 PM PDT

Selayang: Ketua jurulatih Sime Darby FC Ismail Zakaria melahirkan keyakinan betapa pasukannya mampu menamatkan kedudukan dalam kelompok enam terbaik pada saingan Liga Super musim ini selaras dengan sasaran diletakkan pengurusan tertinggi pasukan kelab itu.

Nada keyakinan itu lahir selepas anak didiknya melakar kemenangan besar ke atas Perak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang) dengan keputusan 4-0 yang meletakkan skuad The Giant Killer berkongsi 28 mata dengan Kelantan, cuma dibezakan jumlah jaringan.


"Dari mula saya cukup yakin yang kami akan menang malam ini (malam kelmarin) dan meraih tiga mata di tempat sendiri kerana kami menyasarkan menamatkan kempen pada kedudukan enam teratas.

"Cuma yang mengejutkan saya jumlah gol besar. Sekali lagi, pemain mengikut arahan dengan baik dan mereka bermain sebagai satu unit. Dinov (Dilshod Sharofetdinov) muncul penyelamat kami dengan dua gol.


"Hasil jaringannya, kami terus mengejar gol berikutnya dan akhirnya kami menang besar ke atas Perak. Saya berikan kredit kepada semua pemain terutama Dinov," katanya.


Kemenangan besar tuan rumah bermula pada lima minit terakhir babak pertama apabila awang import Sime Darby, Dinov menggegar jaring pelawat menerusi serangan balas yang mengejutkan Perak yang ketika itu asyik menyerang kubu tuan rumah.

Pemain kelahiran Uzbekistan itu terus mengamuk dengan gol kedua pada minit ke-55, sebelum Muhammad Nazrul Kamaruzaman (minit ke-80) dan Muhammad Shafiq Jamal (minit ke-89) buat pasukan berstatus kelab itu ceria mengutip tiga mata berharga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Kaymer terus unggul

Posted: 15 Jun 2014 01:56 PM PDT

Pinehurst, Carolina Utara: Martin Kaymer yang menampilkan persembahan hampir sempurna sepanjang dua hari pertama, melakukan tiga bogey untuk terus mendahului Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan lima pukulan pada saingan pusingan ketiga, semalam.

Dalam buruan merangkul takhta besar keduanya, pemain Jerman berusia 29 tahun itu melakukan eagle menakjubkan pada lubang kelima par 5 dalam laluannya untuk mencatat dua atas par 72 di bawah cuaca panas di Pinehurst Resort apabila catatan rendah sukar dicatat sepanjang minggu ini.


Berikutan tiada ruang untuk melakukan kesilapan dalam pendekatan terhadap permukaan green yang semakin laju, Kaymer melakukan bogey di dua daripada enam lubang terakhir, tetapi membenam birdie dari jarak enam kaki di lubang ke-18 untuk mengumpul lapan bawah 202 keseluruhan.

"Dua atas par tidak seburuk yang dilihat di kad markah," kata bekas pemain nombor satu dunia itu kepada wartawan. "Corak permainan saya masih lagi OK walaupun saya tidak melakukan banyak pukulan hebat seperti semalam dan Khamis. Secara keseluruhan, persembahan saya tidaklah begitu buruk.


"Mereka meletakkan pin di tempat yang sukar. Saya fikir lubang ke-18 satu-satunya pin yang anda boleh bertindak agresif. Bagi lubang lain, jika anda dapat memukul 25 kaki, ia sudah boleh dianggap baik.


"Pukulan saya kebanyakannya tidak singgah di fairway hari ini dan cabaran esok lebih kepada terus bermain dan cuba mempertahankan pendahuluan itu. Jika anda cuba bertahan, anda tidak boleh menghayun sesuka hati." Kaymer yang sebelum itu mempunyai kelebihan enam pukulan selepas catatan terendah Terbuka AS bagi 36 lubang dengan 10 bawah par 130, menamatkan cabaran semalam di depan pemain tuan rumah, Rickie Fowler dan Erik Compton. Kedua-dua pemain mencatatkan 67 pukulan yang dianggap sebagai catatan terbaik pusingan itu.

Pemain nombor dua dunia dari Sweden, Henrik Stenson dan pemain AS yang mempunyai pukulan kuat, Dustin Johnson ketinggalan satu lagi pukulan dengan dua bawah par selepas masing-masing mencatat 70 pukulan pada hari yang menyaksikan Fowler dan Compton menjadi pemain dalam kelompok 67 pencabar, melakukan catatan bawah par.


"Sangat gembira dengan kerja saya hari ini," kata Fowler selepas melakukan lima birdie yang menyaksikan catatan purata 73.82 pukulan dicatatkan. "Saya hanya bermain baik dan cuba mengelak daripada masalah. Kini saya boleh mencabar pemain lain dan kita lihat apa yang Martin boleh lakukan," kata Fowler mengenai aksi hari terakhir hari ini.

"Jika dia melakukan digit berganda (bawah par), agak mustahil untuk kami mengejarnya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Marquez lakar gelaran ketujuh

Posted: 15 Jun 2014 01:55 PM PDT

Montmelo, Sepanyol: Penunggang Sepanyol, Marc Marquez menjuarai perlumbaan ketujuh berturut-turut semalam apabila dia memenangi MotoGP Catalunya di depan pelumba Itali, Valentino Rossi dan rakan sepasukan Honda dan senegara, Dani Pedrosa.

Pendahulu kejuaraan itu yang juga juara dunia berjaya mengekang saingan hebat Pedrosa bagi dua pusingan terakhir selepas memintas Rossi untuk meneraju perlumbaan selepas Rossi di depan pada pertengahan perlumbaan.


Dia berjaya melebarkan kutipan kepada 175 mata manakala Rossi kekal di tangga kedua, 117 selepas memintas Pedrosa pada pusingan terakhir apabila penunggang Sepanyol itu berlaga tayar dengan Marquez.

Pedrosa di tangga ketiga dengan 112 mata namun pasti kecewa gagal menduduki tangga kedua ketika kemenangan semakin hampir dalam genggamannya.


Ia catatan podium ke-62 buat Marquez dan kemenangan MotoGP ke-100 bagi Honda.


"Terlalu menyeronokkan menang di depan penyokong saya sendiri," jelas Marquez, selepas menyepak beberapa biji bola sepak berwarna kuning ke arah penonton.

"Beberapa pusingan terakhir saya bangkit selepas hampir berlanggar dengan Valentino pada awal perlumbaan. Ia pertarungan hebat pada pusingan terakhir pertama dengan Valentino kemudian dengan Dani. Ini amat istimewa." Ketika Marquez merakam kemenangan ketujuh daripada tujuh perlumbaan, kali pertama sejak Rossi melakukannya pada 2002, dia masih jauh daripada rekod sepanjang zaman 20 kemenangan berturut-turut dipegang pelumba legenda Itali, Giacomo Agostini antara 1968 dan 1969. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Dimitrov pamer wibawa

Posted: 15 Jun 2014 01:54 PM PDT

London: Pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov kini semakin hampir membuktikan dirinya sebagai pencabar yang boleh beraksi di atas semua permukaan padang selepas menewaskan pilihan utama, Stan Wawrinka 6-2, 6-4 untuk mara ke final Kejohanan Aegon di Queen's Club, kelmarin.

Selepas menang di atas permukaan tanah liat dan padang keras musim ini, pemain nombor 13 dunia itu kini boleh menambah takhta padang rumput kepada koleksi juaranya selepas mengecewakan Wawrinka yang juga juara Terbuka Australia itu dalam tempoh 61 minit.


Pemain Sepanyol, Feliciano Lopez menantinya di final selepas pilihan ke-10 itu menewaskan penakluk Andy Murray, Radek Stepanek 7-6 (7), 6-4.

"Saya sentiasa ingin beraksi di final," kata Dimitrov, pilihan keempat kejohanan kepada wartawan. "Kejohanan ini antara acara besar buat saya. Tiada apa yang lebih baik selain berada di final. Saya tidak sabar-sabar beraksi. Saya pasti akan memberikan 100 peratus." Wawrinka memberikan Dimitrov peluang apabila melakukan kesalahan berganda pada permainan kelima dan pemain Bulgaria itu melebarkan pendahuluannya dengan satu lagi break pada permainan ketujuh.


Terikat 3-3 pada set kedua, Wawrinka mula kehilangan rentak, melakukan dua pukulan kilas liar untuk kehilangan servisnya sebelum menghempas raketnya kerana terlalu kecewa.


Dimitrov yang tidak tertekan memanfaatkan mata terakhir dengan pukulan ace untuk mara ke final ketiganya tahun ini dan yang pertama di padang rumput. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

No comments:

Post a Comment