Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Penghuni cemas

Posted: 04 Jun 2014 01:06 PM PDT

Gombak: Seramai 25 penghuni dua rumah di Jalan Gombak, Batu 7 1/4, Kampung Sungai Cincin, di sini, cemas selepas tanah bukit di belakang rumah mereka runtuh mendadak akibat hujan lebat.

Dalam kejadian jam 8.30 malam tadi, kebanyakan mangsa sedang menonton televisyen sebelum lari menyelamatkan diri.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Ismail Kamaruddin berkata, hanya sebuah rumah mengalami kerosakan 10 peratus di bahagian dapurnya manakala rumah kedua pula dipenuhi longgokan tanah di bahagian belakang rumah akibat kejadian ini.

"Bagaimanapun, semua penghuni rumah selamat dan tidak mengalami kecederaan akibat kejadian ini," katanya kepada Harian Metro.


Menurutnya, penghuni kedua-dua rumah itu berpindah sementara ke rumah saudara mereka yang terletak berdekatan lokasi kejadian.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.41 malam dan sepasukan anggota dan jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Foto

BAHAGIAN belakang rumah yang rosak akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Sungai Cincin, Gombak malam tadi.

Katanya, semua mangsa didapati selamat dan mereka dipindahkan ke kawasan lain bagi membolehkan runtuhan itu dibersihkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Persatuan gesa had teksi bandar di klia2

Posted: 04 Jun 2014 12:58 PM PDT

Sepang: "Kita tidak menghalang teksi bandar beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), namun biarlah jumlah mereka dihadkan antara 100 hingga 200 teksi sahaja sehari," kata Pengerusi Persatuan Kelab Kebajikan Pemandu Teksi klia2 R Vela.

Menurutnya, pemandu teksi klia2 yang sebahagian besarnya adalah teksi bajet, teksi premier dan van tidak kisah dengan kehadiran teksi bandar untuk mengambil penumpang di lapangan terbang baru itu, namun jumlah mereka sepatutnya dihadkan.


"Jumlah mereka perlu dihadkan terutama pada waktu puncak iaitu dari jam 5 petang hingga 8 malam serta hari Jumaat hingga Isnin kerana pada waktu itu, jumlah teksi klia2 memang tidak dapat menampung penumpang agak ramai.

"Kemasukan teksi bandar yang tidak terkawal ketika ini menyebabkan pendapatan pemandu teksi klia2 merudum hingga 70 peratus. Jika dulu, jualan kupon untuk mengambil penumpang melebihi 2,500 sehari, tetapi kini hanya antara 1,800 ke 2,000 saja," katanya ketika ditemui di Tapak Letak Kereta Jangka Panjang (LTCP) di sini, semalam.


Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Premier Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT)/KLIA Rusli Sharif dan hampir 100 pemandu teksi klia2.


Vela berkata, dari segi individu, pemandu teksi klia2 mampu memperoleh empat kupon dalam masa 18 jam, namun kini hanya dua atau tiga kupon diperoleh dalam sehari.

"Justeru, kami meminta supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melihat isu ini dalam memastikan kebajikan kami terjaga," katanya.


Katanya, masalah berkenaan sudah diajukan kepada SPAD sebelum ini, namun sehingga kini belum ada sebarang tindakan susulan terhadap perkara itu.

Dalam pada itu, Vela meminta supaya teksi di klia2 dibenarkan beroperasi di aras ketibaan di lapangan terbang baru berkenaan bagi memudahkan penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Campak bayi dalam gaung

Posted: 04 Jun 2014 12:56 PM PDT

Shah Alam: Seorang dalang agensi pembantu rumah haram dikesan memandu kereta sejauh lebih 80 kilometer sebelum mencampak mayat bayi lelaki ke dalam gaung sedalam lebih 70 meter di kilometer (KM) 3.2 Jalan Genting Highlands, Pahang, Sabtu lalu.

Dia yang berusia 41 tahun disyaki membungkus mayat bayi terbabit menggunakan plastik sebelum menyumbatkannya ke dalam beg pakaian bagi mengelakkan mangsa ditemui.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas polis menerima aduan daripada ibu mangsa berusia 33 tahun berhubung kehilangan bayi lelakinya itu yang sudah berusia enam bulan.

Menurutnya, mangsa mendakwa bayi itu hasil perbuatan terkutuk seorang daripada rakan suspek yang merogolnya, Mac tahun lalu.

Foto

ANGGOTA polis membawa bungkusan mayat bayi ditemui dalam gaung.


"Kehilangan bayi itu hanya disedari Sabtu lalu apabila ibu mangsa menerima panggilan rakan serumahnya mendakwa anaknya sudah meninggal dunia. Dia menghubungi suspek untuk menanyakan keadaan bayinya itu, namun suspek mendakwa sudah menyerahkan kepada individu lain.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

UIAM tenggelam

Posted: 04 Jun 2014 12:55 PM PDT

Gombak: "Bencana banjir kilat ini dianggap paling buruk dalam sejarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Berpuluh kereta penuntut dan kakitangan tenggelam sebelum sempat diselamatkan," kata penuntut, Amirul Al Hafiz Abdul Hamid, 24, berhubung kejadian banjir kilat melanda pekarangan kampus UIAM di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, dia bergegas keluar dari makmal sebelum terkejut apabila mendapati kereta yang berada di parkir sudah ditenggelami air.

"Kejadian itu bukan hanya mengakibatkan beberapa laluan utama di kawasan UIAM terjejas malah berpuluh kenderaan turut ditenggelami banjir setinggi dua meter.

"Hujan lebat berterusan lebih satu jam dipercayai menyebabkan air dari beberapa anak sungai berdekatan melimpah masuk ke kawasan UIAM. Banjir kilat ini lebih buruk berbanding bencana sama berlaku beberapa tahun sebelum ini," katanya.

Foto

PENUNTUT menolak kereta yang terperangkap dalam banjir kilat.


Keadaan itu bagaimanapun hanya berlaku selama 30 minit dan kembali terkawal selepas air banjir surut kira-kira jam 3.15 petang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Kawasan telap air berkurangan

Posted: 04 Jun 2014 12:54 PM PDT

Kuala Lumpur: Faktor tekanan sungai semakin tinggi boleh mengakibatkan air hujan tidak dapat diserap bumi seterusnya melimpah dan mengakibatkan banjir kilat berlaku.

Pensyarah Perancang Bandar Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Ahmad Nazri Muhamad Ludin berkata, andaian itu secara logiknya bersangkutan dengan pembangunan berlebihan di sesebuah kawasan.


"Kemungkinan besar, apabila berlaku perkembangan pembangunan, kawasan hutan akan berkurangan menjadikan kawasan telap air kurang dan mengakibatkan permukaan bumi tidak menyerap air lagi.

"Sedangkan kelompok pokok tadi berfungsi sebagai tempat takungan sementara air yang paling baik," katanya ketika dihubungi semalam.


Beliau mengulas berkaitan kejadian banjir yang berlaku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak petang semalam.


Menurut beliau, melalui kajian yang pernah dilakukan sebelum ini, kebarangkalian banjir berlaku memang tinggi apabila hujan turun dengan lebat lebih dari biasa dan akan meningkatkan tekanan sungai.

"Apabila hujan turun dengan lebat, permukaan bumi tidak dapat melakukan penyerapan menyebabkan air mengalir laju masuk terus ke mana-mana saluran longkang.


"Pada masa sama, apabila tekanan sungai menjadi tinggi, air tadi tidak dapat menampung sejumlah isipadu air dan akan melimpah ke permukaan bumi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

No comments:

Post a Comment