Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Doa pistol tak meletup

Posted: 23 Jun 2014 12:05 PM PDT

Chukai: Seorang pembantu kedai bersyukur dirinya tidak ditembak oleh seorang daripada empat perompak yang mengacukan pistol ke arahnya ketika mereka merompak kedai runcit di Kampung FELDA Neram 1, dekat sini, pagi semalam.

Nor Atikah Fatihah Mat Ghani, 20, berkata ketika kejadian dia berada di kaunter bersama seorang pekerja lain, Mariana Sabri, 30, apabila seorang wanita dipercayai rakan perompak, masuk membeli minuman pada jam 9.30 pagi.

Katanya, sebaik membeli minuman dan keluar dari kedai, seorang lelaki masuk dalam kedai dan berpura-pura membeli rokok sebelum memberi isyarat kepada seorang rakannya di luar supaya masuk.

"Kedua-dua lelaki itu meluru ke kaunter tempat saya berada dan mengacukan pistol sebelum mengarahkan saya diam jika tidak mahu diapa-apakan.

Foto

RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek mengacukan pistol ke arah mangsa.


"Saya tidak tahu sama ada pistol yang diacukan itu benar atau palsu kerana sangat takut. Ketika itu hanya mampu berdoa agar pistol itu tidak meletup," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Menurutnya, seorang daripada perompak itu mengeluarkan beg dan mengarahkan dia memasukkan wang yang ada dalam laci kaunter.

"Saya yang ketakutan mengikut arahannya itu, perompak terbabit melarikan wang tunai RM500 serta kad prabayar bernilai RM600," katanya.

Menurutnya, sebelum melarikan diri perompak terbabit menyingkap tudung yang dipakainya untuk melihat sama ada dia memakai barang kemas atau tidak.

"Semua suspek melarikan diri dengan kereta Proton Persona berwarna perak ke arah Kuantan. Saya menghubungi majikan memaklumkan kejadian itu," katanya.

Nor Atikah Fatihah berkata, dia dan rakan bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan berharap agar perompak terbabit segera ditangkap pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Kereta singgah 'makan' di restoran

Posted: 23 Jun 2014 12:04 PM PDT

Puchong: "Saya tergamam sejurus melihat sebuah kereta meluru laju ke arah restoran dan nyaris merempuh kami," kata pekerja restoran yang mahu dikenali sebagai Iwan, 29 mengenai tempat kerjanya di rempuh sebuah kereta.

Kejadian berlaku jam 6.30 petang kelmarin ketika enam pekerja sedang melakukan tugas di restoran berkenaan yang terletak di Bukit Puchong, di sini.

Iwan berkata, mujur dia dan lima rakan sempat mengelak daripada rempuhan kereta Kia Spectra yang dipandu seorang wanita warga asing.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika dia dan rakan lain sedang berada berhampiran kaunter pembayaran.

Foto

KEADAAN restoran yang dirempuh kereta dipandu wanita warga asing.


"Ketika itu, saya lihat kereta itu melencong masuk ke arah restoran sebelum merempuh beberapa meja dan kerusi. Mujur meja dan kerusi itu menyekat kereta berkenaan daripada merempuh kami yang berada di kaunter bayaran," katanya.


Sementara itu, pemilik restoran, Rahimah Husin berkata, dia membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Bukit Puchong, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Intip ladang 3 bulan

Posted: 23 Jun 2014 12:02 PM PDT

Gombak: Kewujudan tiga gudang terbiar dalam sebuah ladang sawit di Batu Arang di sini, akhirnya membongkar rahsia kegiatan sindiket penyeludupan yang menjadikan premis itu tempat menyembunyikan mercun dan minuman keras.

Sindiket terancang itu dipercayai sudah mengatur strategi dari awal dengan menyeludup semua bahan terlarang bernilai hampir RM1 juta itu untuk dipasarkan di Lembah Klang.

Kegiatan itu dibongkar sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang melakukan serbuan di lokasi terletak di Ladang Kaledonia, Batu Arang di sini, Jumaat lalu.

Hasil serbuan diketuai Superintendan Mohamad Hasbullah Ali itu, polis menemui longgokan kotak berisi mercun dan minuman keras yang disembunyikan di dalam gudang dan kontena.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, serbuan dilakukan selepas risikan dan intipan di ladang itu selama tiga bulan.

"Hasil serbuan, tiga pekerja dipercayai warga asing ditahan biarpun cuba meloloskan diri.

Semua mercun dan minuman keras yang dirampas itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran," katanya pada sidang media di IPD Gombak, semalam.

Ali berkata, rampasan mercun dan bunga api itu kejayaan terbesar IPD Gombak tahun ini.

Serbuan itu disertai empat pegawai dan 22 anggota.

Foto

ANGGOTA polis memeriksa kotak yang berisi mercun terlarang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Beras tutup DUKE

Posted: 23 Jun 2014 12:00 PM PDT

Kuala Lumpur: Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Lebuhraya SPRINT mengalami kesesakan teruk apabila 20 tan beras bertaburan di atas jalan selepas lori treler yang membawa muatan itu terbabas dan nyaris terbalik, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu menyebabkan susur ke Lebuhraya Duke arah Sri Hartamas ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas dan menyebabkan kesesakan lebih lima jam bermula dari Plaza Tol Duta.

Jurucakap ITIS Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, lori berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Kedah ke Hulu Klang, Selangor yang membawa muatan mencecah 40 tan beras.

"Sebaik melalui laluan mendaki dan berselekoh tajam di sini, sebahagian muatan beras yang dibawa treler ini terjatuh ke atas jalan kerana dinding kanan treler tercabut.

"Kira-kira 20 guni beras yang setiap satu dianggarkan seberat setan terjatuh dan bertaburan di atas jalan menutupi tiga lorong laluan di lebuh raya," katanya.

Menurutnya, skuad peronda DUKE yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi dan bertindak menutup laluan terbabit sehingga menyebabkan kesesakan teruk menghala ke ibu negara.

Katanya, sebuah kren digunakan untuk kerja pembersihan dan memindahkan beras berkenaan ke sebuah lori treler lain yang berakhir lewat petang semalam.

Foto

SEBAHAGIAN beras yang bertaburan di Lebuhraya DUKE.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Tubuh tabung khas kutip dana

Posted: 23 Jun 2014 11:58 AM PDT

Seremban: Pergerakan Wanita UMNO Malaysia akan menubuhkan tabung khas bagi mengutip dana membantu remaja orang kelainan upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang menghidap penyakit cerebral palsy.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya bersama 19 cawangan sayap pergerakan itu akan menggerakkan kutipan dana berkenaan dan bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghulurkan bantuan.

Shahrizat yang melawat remaja terbabit di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam, sedih melihat keadaannya yang disifatkan tertindas.

Katanya, kesalahan bukan hanya diletakkan di atas bahu ibu bapa Muhammad Firdaus semata-mata, tetapi masyarakat yang mengetahui nasib malang menimpanya perlu memaklumkan lebih awal kepada JKM untuk menyalurkan bantuan.

"Dalam hal begini, kita sedia maklum ibu bapa Muhammad Firdaus bercerai sejak 14 tahun lalu dan mereka hidup kesempitan di Flat Semarak.

Sewajarnya, di peringkat lebih awal, penduduk perlu membantu dengan memaklumkan kepada JKM atau Wanita UMNO," katanya.

Shahrizat turut meminta orang ramai yang mengetahui kes membabitkan OKU, orang miskin dan warga emas hidup daif memaklumkan kepada pihaknya yang menjadi mata dan telinga kepada JKM.

"Kami simpati dengan nasib menimpa Muhammad Firdaus dan pemantauan dibuat termasuk dengan bantuan pihak HTJS, JKM Negeri Sembilan, polis dan individu perseorangan," katanya.

"Wanita UMNO akan menubuhkan Tabung Khas Bantu Adik Muhammad Firdaus dengan segera," katanya.

Hadir sama, melawat Muhammad Firdaus, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Norhayati Omar dan Exco Pendidikan dan Kesihatan negeri Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.


Turut melawat remaja OKU terbabit, Ahli Parlimen Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JKM Negeri Sembilan Mohamad Hapil berkata, selepas remaja itu pulih sepenuhnya, pihaknya akan menempatkan dia di rumah jagaan terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

No comments:

Post a Comment