Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kambing berkepala dua

Posted: 11 Jun 2014 12:30 PM PDT

Jazan: Satu perkara pelik yang jarang terjadi di Arab Saudi berlaku apabila seekor kambing dilahirkan dengan dua kepala.

Menurut akhbar tempatan, kambing itu dilahirkan di sebuah ladang di Jazan, selatan negara itu dengan satu badan tetapi dua kepala.

Menurut pemiliknya, Abdo Jarab, ia kejadian yang jarang ditemuinya.

"Ia mempunyai satu badan tetapi dua kepala yang sempurna, dengan setiap kepala lengkap dengan dua mata dan mulut," katanya kepada wartawan, semalam. - Agensi

Foto

KAMBING dua kepala yang dilahirkan di Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Bunuh, lapah, makan mayat

Posted: 11 Jun 2014 10:39 AM PDT

Tennessee: Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) ditahan kerana didakwa membunuh, melapah dan memakan cebisan mayat seorang wanita.

Pendakwa raya Daerah Coffee, Mickey Layne berkata, Gregory S.

Hale, 37, ditahan di kediamannya di sini Ahad lalu dan dituduh membunuh dengan niat serta salah laku ke atas mayat.

Hale mengaku membunuh wanita berkenaan yang dikenali sebagai Lisa Marie Hyder, menurut waran tangkap yang dikeluarkan.

Dalam kenyataannya kepada pihak berkuasa, dia mengaku memenggal Lisa dan memotong tangan serta kaki mangsa lalu meletakkan bahagian badan ke dalam bekas.

Dia kemudian menanam tubuh mangsa dalam longgokan sampah yang dibakar di kediamannya.

"Di samping itu, Hale juga mengaku memakan cebisan mayat mangsa," menurut waran berkenaan.

Layne berkata, jiran suspek memberitahu polis, dia pernah berbual dengan Hale dan mempunyai sebab untuk mempercayai kejadian itu dilakukannya.

Hale kini ditahan sementara menunggu untuk dibicarakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Aniaya anak sendiri kerana nak popular

Posted: 11 Jun 2014 10:38 AM PDT

Brisbane: Seorang wanita Australia dijatuhi hukuman enam tahun penjara semalam selepas didapati bersalah meracun anaknya dengan dadah yang mengaktifkan sel kanser.

Dia juga dikatakan memuat naik cerita mengenai 'pertarungan hidup mati' anaknya itu ke Facebook untuk mendapatkan perhatian orang ramai.

Ibu kejam berusia 23 tahun itu mengaku bersalah menyebabkan kecederaan pada tubuh anaknya.

Hakim Tony Rafter menyifatkan perkara itu 'pencabulan amanah yang tidak boleh diterima.' "Kamu pasti tahu kesan buruk yang akan menimpa anak kamu," katanya.

Mahkamah Daerah Brisbane dimaklumkan mengenai perbuatan wanita itu yang sengaja meracun anak perempuannya dengan memberikan dadah yang dibeli menerusi Internet dan membuat satu laman sesawang untuk meminta bantuan pemindahan tulang sum-sum untuk anaknya.

Pendakwa raya Glen Cash memberitahu mahkamah wanita terbabit memberikan dadah itu kepada anaknya selama sembilan bulan untuk mempopularkan dirinya.

Dadah terbabit menyebabkan kanak-kanak yang tidak berpenyakit itu menderita apabila tulang sum-sumnya gagal berfungsi tahun lepas.

Menurut Cash, pakar perubatan mengesyaki kanak-kanak itu diracun dan keraguan mereka disahkan apabila polis menemui pil dan resit pembelian di kediaman wanita itu.

Peguamnya, Catherine Morgan berkata, wanita itu mengalami gangguan mental yang jarang ditemui, mendorong penghidapnya membesar-besarkan simptom yang dimiliki seseorang dalam jagaannya.

Mahkamah dimaklumkan, kanak-kanak yang nyaris maut itu kini dijaga datuk dan neneknya dan semakin pulih.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Dendam bini tua

Posted: 11 Jun 2014 10:37 AM PDT

Sakakah: Seorang wanita Saudi yang mengetahui suaminya berkahwin lain, menanti kepulangan lelaki itu bersama isteri barunya sebelum menembak mereka.

Menurut polis, lelaki itu dikejarkan ke hospital tetapi disahkan sudah tidak bernyawa.

Isteri barunya pula cedera parah dalam 'serangan kerana cemburu' itu.

"Dia menunggu mereka di rumah dan sebaik suaminya tiba bersama isteri barunya, dia menembak mereka," lapor akhbar tempatan yang memetik kenyataan polis, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Tak percaya Jokowi dahului

Posted: 11 Jun 2014 10:34 AM PDT

Jakarta: Ketua kempen pasangan Prabowo Subianto-Hatta Radjasa, Mahfud MD semalam menempelak hasil tinjauan pendapat yang meramalkan pasangan berkenaan akan kalah dalam pilihan raya presiden 9 Julai depan.

Mahfud memberitahu wartawan, beliau tidak percaya hasil penyelidikan yang dilakukan Cyrus Network dan Lingkaran Survei Indonesia (LSI).

"Saya tidak pernah percaya penyelidikan kedua-duanya," kata bekas ketua Mahkamah Perlembagaan itu.

Beliau mengulas keputusan tinjauan pendapat yang diumumkan oleh Cyrus Network kelmarin yang mendakwa pasangan Prabowo-Hatta tidak mungkin dapat memintas lawan mereka, Joko Widodo (Jokowi)-Jusuf Kalla (JK).

"Siapa di belakang Cyrus? Bukankah Cyrus itu yang menyokong Jokowi sejak dulu lagi?" kata Mahfud.

Menurutnya, tinjauan yang dilakukan sendiri oleh sukarelawan Prabowo-Hatta menunjukkan keputusan berbeza dengan hasil tinjauan pihak lain.

"Kami akan membentangkan kajian dalaman itu kepada umum esok (hari ini).

Tetapi secara kasarnya, hasil tinjauan itu menunjukkan kami akan menang," kata Mahfud.

Apabila ditanya mengenai hasil kajian yang menunjukkan Prabowo-Hatta akan menang di Medan dan Bandung, beliau dengan tersenyum berkata: "Prabowo-Hatta akan menang di seluruh Indonesia." Dia juga berkata, peratusan peluang untuk Prabowo-Hatta memenangi pilihan raya itu meningkat dari sehari ke sehari.

Kelmarin, Cyrus berkata, hasil kajiannya menunjukkan peluang pasangan itu meningkat, tetapi dengan hanya tinggal tiga minggu sebelum pilihan raya diadakan, calon yang disokong oleh pakatan Parti Gerindra, PAN, PKS, PPP, Parti Golkar dan PBB, tidak mungkin dapat memintas Jokowi-JK.

Cyrus meramalkan, pada pilihan raya 9 Julai depan, Jokowi-JK berupaya memperoleh paling tidak 56.5 peratus undi sementara Prabowo-Hatta, 43.5 peratus.

Hasil tinjauan LSI pula mendapati, Jokowi-JK yang disokong oleh PDI-P, PKB, NasDem dan Hanura akan menang di 31 daripada 33 wilayah seluruh negara berkenaan.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Ahok: Saya pilih Prabowo

Posted: 11 Jun 2014 10:32 AM PDT

Jakarta: Pemangku Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama berkata, beliau sudah membuat keputusan untuk memilih pasangan Prabowo Subianto-Hatta Radjasa dalam pilihan raya presiden 9 Julai depan.

"Saya memilih Prabowo.

Sekali lagi, saya katakan, saya akan mengundi Prabowo," kata ahli politik Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) itu.

Beliau memberitahu demikian kepada wartawan di Jakarta selepas laporan mendakwa dia memilih pasangan Joko 'Jokowi' Widodo-Jusuf Kalla.

Jokowi ialah Gabenor Jakarta, ketua Ahok sementara Prabowo ialah ketua parti Gerindra yang dianggotainya.

"Jangan ada dalam kalangan wartawan yang tersilap memetik kata-kata saya selepas ini," kata Ahok.

Menurutnya, kemenangan Prabowo akan memudahkannya untuk melaksanakan program di Jakarta yang memerlukan kerjasama dengan kerajaan pusat.

Ahok yang juga penasihat kempen Prabowo-Hatta di Jakarta berkata, beliau mengharapkan Jokowi kalah supaya calon dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) itu menjadi Gabenor Jakarta semula.

"Sejak Jokowi bercuti sementara kerana berkempen, saya terpaksa menyelesaikan masalah bandar raya ini bersendirian.


Saya berserah.


Jika Tuhan sayangkannya (Jokowi), beliau akan balik ke sini," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Tentera Thai edar tiket wayang percuma

Posted: 11 Jun 2014 10:31 AM PDT

Bangkok: Junta tentera Thailand mengedarkan tiket wayang bagi mempromosikan 'kasih sayang dan keharmonian' dalam usaha memenangi hati rakyat negara itu selepas merampas kuasa bulan lalu.

Menurut jurucakap tentera, tiket percuma berkenaan adalah bagi tayangan filem 'The Legend of King Naresuan Part V' yang mengisahkan mengenai Raja Naresuan yang memerintah Siam (nama asal Thailand) dari tahun 1590 hingga 1605.

Filem itu mengketengahkan tema patriotik dan pengorbanan demi negara.

Pihak junta melancarkan kempen 'Kembalikan Kebahagiaan di Thailand' selepas mengambil alih kuasa, termasuk mengadakan konsert dan festival makanan percuma dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat.

"Kami mahu rakyat faham erti pengorbanan dan perpaduan raja dan rakyat supaya generasi kini menyemai kasih sayang yang sekian lama terjerumus dalam kemelut politik," kata jurucakap tentera, Winthai Suvaree.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Komander Abu Sayyaf ditangkap

Posted: 11 Jun 2014 10:30 AM PDT

Manila: Pasukan keselamatan Filipina semalam menangkap komander kanan kumpulan Abu Sayyaf, Khair Mundos.

Khair termasuk dalam senarai orang paling dikehendaki Amerika Syarikat selepas mengakui menerima bantuan kewangan daripada al-Qaeda untuk membiayai kegiatan pengeboman di negara itu.

Dia tidak melawan ketika ditahan tentera dan polis di kawasan setinggan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Manila.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan mengapa dia berada di bandar raya berkenaan.


Khair ialah seorang daripada suspek militan berpangkat paling kanan ditangkap di Filipina tahun ini.


Penahanannya memberi tamparan hebat kepada Abu Sayyaf memandangkan Khair ialah komander kanan, jurulatih kumpulan itu, pemimpin spiritual di samping didakwa menjadi perancang serangan bom dan penculikan.

Di samping itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menawarkan AS$500,000 (RM1.6 juta) kepada mereka yang berjaya menangkap atau membunuhnya.
Kerajaan Filipina pula menawarkan wang sebanyak 1.2 juta peso (RM87,000).

Khair yang ditangkap pada 2004 tetapi melarikan diri pada 2007 mengaku memperoleh bantuan kewangan daripada al-Qaeda untuk membiayai kegiatan Abu Sayyaf. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

500,000 tinggalkan Mosul

Posted: 11 Jun 2014 10:29 AM PDT

Bashiqa: Kira-kira 500,000 penduduk Iraq meninggalkan Mosul semalam selepas kumpulan penentang mengukuhkan cengkaman mereka di bandar itu dan melebarkan penguasaan mereka di wilayah lain.

Kejayaan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) menawan Mosul, beberapa kawasan di Kirkuk serta wilayah Nineveh dan Salaheddin menjadi tamparan hebat kepada kerajaan Iraq yang dikuasai puak Syiah.

Kumpulan itu juga semalam dilapor cuba menguasai daerah Baiji di wilayah Salaheddin namun terpaksa berundur apabila pasukan tentera dan polis tiba.

Kejayaan mereka menjadi cabaran besar buat Baghdad dengan penganalisis berkata, ISIL akan bertambah kuat dengan wang tunai yang diambil daripada bank di Mosul, kelengkapan perang daripada pangkalan tentera yang mereka tawan serta ratusan tahanan - kebanyakannya anggota ISIL - yang mereka bebaskan dari penjara.

Perkembangan itu mendorong penghijrahan besar-besaran penduduk, dengan ribuan keluarga berebut-rebut menaiki kenderaan menuju ke tempat yang lebih selamat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Nuri al-Maliki mengarah parlimen mengisytiharkan darurat dan berkata orang awam akan diberi senjata untuk menentang kumpulan itu.

Amerika Syarikat (AS) pula menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan ISIL mengancam seluruh wilayah itu selepas berjaya meluaskan penguasaan mereka.

Seorang penduduk di Bashiwa yang dihubungi menerusi telefon berkata, kumpulan lelaki bersenjata yang berpakaian serba hitam mengawal bangunan kerajaan dan bank di Mosul.

Mereka menggunakan pembesar suara mengarah pegawai kerajaan kembali bertugas.

Pemilik sebuah kedai di daerah itu, Abu Ahmed, 30 berkata: "Saya tidak menjalankan perniagaan sejak minggu lalu atas sebab keselamatan." Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IMO) berkata, kira-kira setengah juta penduduk meninggalkan kediaman mereka di Mosul selepas ia jatuh ke tangan kumpulan penentang kerana bimbang keganasan akan meningkat.

Menurut Abu Ahmed, dia tidak bercadang meninggalkan Mosul.

"Ini bandar saya dan ia sudah kembali tenang," katanya.

ISIL, menerusi kenyataan melalui Twitter mengaku bertanggungjawab terhadap operasi di Nineveh.

Bagaimanapun, ada kemungkinan ia turut membabitkan kumpulan penentang lain.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Ikon kebangkitan rakyat Mesir dipenjara 15 tahun

Posted: 11 Jun 2014 10:23 AM PDT

Kaherah: Mahkamah Mesir semalam menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas aktivis terkenal kebangkitan rakyat pada 2011 selepas didapati bersalah berhimpun tanpa permit dan menyerang polis.

Hukuman yang dijatuhkan ke atas Alaa Abdel-Fattah adalah yang terberat setakat ini ke atas aktivis yang terbabit secara langsung dalam kebangkitan menggulingkan rejim Hosni Mubarak.

Ia juga kes pertama ke atas aktivis terkenal sejak bekas panglima tentera, Abdel Fattah al-Sisi menjadi presiden.

Dalam tempoh kira-kira 11 bulan selepas Fattah menggulingkan bekas presiden Mohamed Mursi, pihak berkuasa melancarkan tindakan keras secara besar-besaran ke atas penyokong dan anggota Ikhwanul Muslimin dengan menahan sekurang-kurangnya 16,000 orang dan membunuh ratusan pengikut yang lain.


Alaa dijatuhkan hukuman tanpa kehadirannya.


Di samping itu, seramai 24 defendan lain yang didakwa dengan kes sama turut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara.

Alaa yang juga seorang penulis blog yang lantang menyuarakan pendapat dan kritikannya sudah beberapa kali dipenjarakan sejak tiga tahun lalu.

Dia dan adiknya, Mona Seif yang juga aktivis, adalah antara pemimpin pergerakan yang menggulingkan Hosni pada 2011 dan kerap berkempen menentang perbicaraan tentera ke atas orang awam sejak tentera mengambil alih pemerintahan selama hampir 17 bulan selepas penggulingan berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

No comments:

Post a Comment