Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


UPSR tinggal kenangan

Posted: 08 Jun 2014 01:46 PM PDT

"Kali terakhir saya bertemu Osama, Ahad minggu lalu, dan dia asyik bercerita mengenai pelajaran di sekolah serta tidak sabar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

"Tidak sangka itu pertemuan terakhir dengannya sebelum dia tergelincir ketika mahu membasuh tangan," kata Suparman Senan, 46, bapa Mohd Osama, 12, yang dikhuatiri lemas ketika berkelah bersama keluarga di tapak perkelahan di Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Mohd Osama berasal dari Kemaman, Terengganu, bersama lima yang lain termasuk adik, sepupu dan bapa saudaranya hampir lemas selepas dihanyutkan arus deras akibat tergelincir ketika mahu membasuh tangan.

Bagaimanapun, adiknya Mohd Firman Shah Suparman, 8, sepupu Nur Fatihah Mohd Sukri, 8, Nur Fatihan Aisyah Mohd Faizal, 10, Mohd Syed Hakimi Syed Putra, 8, serta bapa saudara, Mohd Hafiz Mohd Zaki, 10, berjaya diselamatkan oleh dua pemancing.

Suparman berkata, ketika kejadian, dia berada di Kuala Lumpur kerana menyelesaikan urusan kerja apabila dihubungi isterinya, Khairatul Salmiah Ahmad Sabri, 35, sebelum bergegas pulang dan tiba di lokasi kejadian, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Menurutnya, tragedi itu meninggalkan kesan amat mendalam terhadapnya memandangkan mangsa satu-satunya anak yang paling rapat dengannya.

Katanya, dia diberitahu anaknya menjadi pendiam dan kurang ceria sebaik tiba di tapak perkelahan.

"Saya amat berharap dia ditemui dengan secepat mungkin dan kami sekeluarga reda dengan kejadian yang berlaku," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Turut berada di lokasi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sungai Lembing Datuk Sohaimi Mohamed Shah yang meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan penyelamat.

Bapa saudara mangsa, Mohd Saari Mohd Sabri, 34, berkata dia tiba di tapak perkelahan berkenaan pada jam 4 petang dan berteduh di bawah pokok untuk minum petang sebelum ke sungai untuk mandi.

Menurutnya, dia kemudian mengarahkan mangsa bersama ahli keluarga yang lain turun ke sungai untuk membasuh tangan sebelum makan.

Katanya, selang beberapa minit kemudian terdengar seperti orang menjerit meminta tolong dan dua lelaki sedang menyelamatkan kanak-kanak lemas.

"Saya syak mangsa bersama sepupunya lemas lalu bergegas berlari ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa lemas itu adalah Osama manakala mangsa lain dapat diselamatkan.

"Osama tidak menunjukkan apa-apa perubahan kecuali hasratnya untuk makan buah tembikai terbantut kerana buah itu busuk," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Indera Manhkota Muhamad Najib Hashim berkata, seramai 11 anggota bersama empat pegawai bertugas di lokasi untuk mencari dan menyelamat bermula kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

'Tolonglah siasat'

Posted: 08 Jun 2014 11:59 AM PDT

Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat kes penipuan tawaran barangan murah dan pekerjaan sambilan yang didakwa dilakukan sebuah syarikat hingga 1,000 penduduk sekitar negeri ini dikatakan menjadi mangsa.

Syarikat berkenaan dikatakan memperdayakan mangsa dengan menawarkan khidmat kerja sambilan dan menjual barangan runcit pada harga 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Ahli Parlimen Kapar G Manivannan berkata, susulan tiada perkembangan berhubung kes berkenaan, beliau memberi tempoh 48 jam kepada polis untuk melakukan siasatan.

"Sekiranya tiada perkembangan lanjut, kes ini akan saya bawa ke Parlimen," katanya selepas berjumpa 100 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat berkenaan, di sini, petang kelmarin.

Manivannan berkata, kes itu membabitkan ramai mangsa dan sepatutnya pihak polis yang berurusan dengan wakil syarikat berkenaan bukannya membiarkan mangsa menguruskan kes ini bersendirian.

"Saya mahu polis menahan individu yang bertanggungjawab melakukan penipuan ini dan siasatan perlu dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang ada," katanya.

Menurutnya, beliau terkejut apabila dimaklumkan mangsa penipuan ada berhubung dengan wakil syarikat berkenaan melalui media sosial Facebook yang mana wakil syarikat berkenaan memberi jaminan membayar semula ganti rugi.

Harian Metro pada 29 Mei melaporkan, sebuah syarikat didakwa melakukan penipuan dengan menawarkan harga barangan 50 peratus lebih murah daripada pasaran sehingga mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit sejak pertengahan April lalu kepada orang rama di sekitar Shah Alam dan beberapa daerah lain di negeri ini.

Syarikat berkenaan akan 'memancing' mangsa membeli barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah dan diminta menyerahkan wang tunai sebelum diberikan kupon khas.

Kupon bercetak ringgit Malaysia kemudian diberikan sebelum pekerja syarikat mengarahkan mangsa menebus barangan yang dipesan di pejabat syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Penyamun pecah bilik guna tong gas

Posted: 08 Jun 2014 11:58 AM PDT

Bangi: Tiga penjenayah disyaki warga asing menggunakan tong gas untuk memecahkan pintu bilik kediaman seorang lelaki di sekitar Bandar Baru Bangi di sini, sebelum melarikan hasil samun dianggarkan bernilai lebih RM30,000, awal pagi Jumaat lalu.

Difahamkan, dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa berusia 50-an dan beberapa ahli keluarga termasuk pembantu rumahnya turut diikat dengan tali sebelum berjaya melepaskan diri.

Sumber polis berkata, mangsa terjaga daripada tidur apabila mendapati alat penggera keselamatan rumahnya itu berbunyi namun tidak mengesyaki apa-apa.

"Tidak lama kemudian, tiga lelaki dipercayai warga negara jiran memecah pintu bilik mangsa dengan menggunakan tong gas dan seorang daripada suspek meletakkan parang di leher anak saudaranya lalu menyuruh mereka duduk atas katil.

"Seorang lagi ahli keluarga mangsa yang tidur di bilik berdekatan turut menyedari perkara itu dan bergelut dengan seorang suspek di ruang tamu rumah berkenaan," katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Gerak hati lelaki selamat tiga kereta

Posted: 08 Jun 2014 11:58 AM PDT

Alor Gajah: Gerak hati seorang lelaki berjaya menyelamatkan tiga keretanya daripada dihempap runtuhan tebing bukit di Taman Cempaka Heights, Durian Tunggal, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, runtuhan tebing yang dipercayai berpunca akibat hujan lebat meranapkan garaj kenderaan yang terletak berhampiran banglo milik mangsa.

Pemilik kenderaan, K Krishnan, 52, berkata, kebiasaannya dia akan meletakkan tiga kenderaanya itu di dalam garaj terbabit.

"Namun, entah mengapa saya tergerak mengeluarkan ketiga-tiga kenderaan itu sebelum meletakkannya di hadapan rumah pada petang sebe lum kejadian.

"Akibat runtuhan itu, saya menanggung kos hampir RM40,000 untuk membaiki garaj," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Krishnan berkata, tragedi runtuhan tebing itu berlaku ketika dia sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum terdengar dentuman kuat yang disangkakan petir.

"Saya kemudian melihat keluar melalui tingkap rumah untuk memeriksa apa yang berlaku.

Namun, saya terkejut apabila mendapati tebing tinggi berhampiran runtuh bersama lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Cemburu hubungan isteri, majikan

Posted: 08 Jun 2014 11:48 AM PDT

Kuching: Cemburu terhadap hubungan isteri dan majikan dipercayai motif utama pembunuhan seorang lelaki di rumah tidak bernombor di Jalan Batu Kawa-Matang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Pauzi Bujang berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada sikap cemburu suspek yang menyangkakan isterinya mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes dan kronologi kejadian.

"Polis masih menyiasat bagaimana isteri suspek boleh berada di lokasi kejadian dan parah di kepala pada hari kejadian.

Polis juga masih mencari senjata digunakan suspek ketika menyerang mangsa.

"Keterangan wanita itu belum diambil sepenuhnya kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Selain itu, keterangan saksi di lokasi kejadian turut diambil bagi membantu siasatan," katanya.

Pauzi berkata, suspek berusia 40-an ditahan di Hospital Umum Sarawak (HUS) petang kelmarin selepas dia menghantar isterinya untuk mendapatkan rawatan.

"Suspek direman tujuh hari sehingga 15 Jun ini bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian itu, mayat seorang lelaki dikenali sebagai Lee Mui Chai, 57, ditemui dalam keadaan tertangkup di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Batu Kawa-Matang, di sini, jam 2.30 petang.

Turut ditemui wanita berusia 39 tahun dalam keadaan berlumuran darah berhampiran lokasi kejadian yang kemudiannya dihantar ke hospital oleh suaminya yang tinggal 100 meter dari lokasi kejadian.

Terdahulu, polis menerima laporan kemalangan di lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati tiada kemalangan, tetapi menemui tompokan darah membawa kepada penemuan mayat mangsa.

Sejurus selepas kejadian, seorang lelaki yang juga suami kepada wanita berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

No comments:

Post a Comment