Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tunggu Sabtu'

Posted: 23 Jun 2014 11:04 AM PDT

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan mereka mempunyai nama baru untuk jawatan ketua jurulatih kebangsaan sebelum membuat keputusan akhir pada Mesyuarat Exco FAM, Sabtu ini.

Tanpa mahu mendedahkan nama calon itu, beliau hanya menyatakan FAM sudah mempunyai senarai akhir untuk diberikan tugas mengendalikan skuad Harimau Malaya bagi menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

"Exco FAM akan bermesyuarat pada 28 Jun ini dan antara yang akan dibincangkan pelantikan jurulatih baru skuad kebangsaan. Kami sudah mempunyai senarai akhir calon jurulatih yang akan dibawa pada mesyuarat itu, mungkin keputusan untuk melantik jurulatih baru akan dicapai pada mesyuarat itu," kata Hamidin kepada Arena Metro semalam.

FAM kini terdesak untuk mengumumkan jurulatih baru sepenuh masa memandangkan skuad kebangsaan hanya mempunyai kira-kira empat bulan untuk membuat persiapan menjelang kejohanan Piala AFF pada November ini yang bakal dianjurkan secara bersama Singapura dan Vietnam.

Foto

KIM Swee (kanan) pengendali sementara Harimau Malaya.


Buat masa ini, tugas mengendalikan Harimau Malaya dipikul Datuk Ong Kim Swee namun beliau dalam masa sama turut membimbing Harimau Muda A serta skuad bawah 23 bagi Sukan Asia di Incheon, September ini.


Sebelum ini FAM menyatakan sudah mengadakan perbincangan dengan tiga jurulatih asing iaitu bekas jurulatih kebangsaan Mozambique kelahiran Jerman Gert Engels, bekas jurulatih skuad remaja Sepanyol Luis Milla Aspas dan bekas jurulatih Iraq dari Jerman Wolfgang Sidka.

Ini berikutan usaha mereka untuk memancing bekas pengendali skuad Piala Dunia Jepun kelahiran Perancis Philippe Troussier tidak kesampaian apabila kedua-dua pihak gagal mencapai kata putus awal tahun ini.

Namun dua jurulatih tempatan Kim Swee dan jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh masih berada dalam senarai dan sesetengah bekas pemain kebangsaan dan pemerhati bola sepak berasa, jurulatih tempatan lebih layak berbanding calon luar yang dimiliki FAM.

Namun seperti pernah dilaporkan sebelum ini, delegasi FAM diketuai Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ke Brazil sempena Kongres AFC dan FIFA, baru-baru ini juga memasang hajat memantau perkembangan jurulatih Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Peluang Daren tamat kemarau

Posted: 23 Jun 2014 10:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketiadaan beberapa nama besar seperti Datuk Lee Chong Wei, Chen Long, Jan O Jorgensen dan Kenichi Tago pada Siri Super Terbuka Australia 2014 dilihat menyediakan peluang terbaik untuk pemain perseorangan negara, Liew Daren menamatkan kemarau kejuaraan.

Kali terakhir ketua pasukan Piala Thomas itu mengecapi kejuaraan utama ialah Oktober 2012 di Siri Super Terbuka Perancis dan selepas itu prestasinya terus merudum serta tidak konsisten.

Pemain berusia 26 tahun itu menunjukkan sedikit peningkatan pada perlawanan akhir Piala Thomas menentang Jepun walaupun tewas, begitu juga di Siri Super Terbuka Jepun dua minggu lalu.

"Saya meletakkan sasaran mara ke suku akhir," katanya yang menghuni tangga ke-52 ranking dunia.

Bagaimanapun, untuk mencapai sasaran ditetapkan, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu perlu melepasi pusingan pertama apabila turun menentang pemain Jepun, Takuma Ueda esok.

"Tahap kecergasan saya terbaik dan tidak berdepan masalah kecederaan," katanya yang berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila menerima insentif RM25,000 selepas meraih kedudukan naib juara di Piala Thomas.

Mengulas mengenai aksinya ketika ditewaskan jaguh China, Lin Dan di pusingan kelayakan Terbuka Jepun, Daren berkata, dia bermain seperti biasa namun tahapnya masih belum setaraf pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 London itu.

Jika Daren berjaya melepasi pusingan pertama, menantinya di pusingan kedua adalah pemain China, Tian Houwei ataupun Derek Wong dari Singapura.

Halangan sukar menanti di suku akhir apabila dia dijangka berdepan Wang Zhengming dari China dan sekali lagi mampu mengulangi pertemuan dengan Lin Dan di separuh akhir jika perjuangannya masih belum tamat.

Hari ini di pusingan kelayakan, aksi pemain negara bakal memperlihatkan pertemuan antara Mohamad Arif Latif dan pemain tuan rumah, Mitchell Wheller, manakala Chiang Jiann Shiarng pula bertemu seorang lagi pemain Australia, Jeff Tho.

Beregu lelaki peringkat kelayakan menyaksikan gandingan Chan Kwong Beng-Jiann Shiarng menentang Anthony Joe-Low Pit Seng (Australia), manakala Lim Khim Wah-Ow Yao Han pula berdepan Oon Hoe Keat-Pham Tran Hoang (Australia).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Sekat Selangor!

Posted: 23 Jun 2014 10:40 AM PDT

Kuala Lumpur: "PKNS FC akan pastikan Selangor tidak muncul juara Liga Super". Itu janji jurulatih sementara PKNS FC Anuar Abu Bakar apabila anak buahnya turun menentang pencabar kejuaraan Liga Super, Selangor dalam perlawanan terakhir di Stadium Shah Alam, malam esok.

"Kami sudah bersedia untuk menentang Selangor, perlawanan itu demi mempertahankan maruah walaupun sudah sah tersingkir ke Liga Perdana musim depan," kata Anuar yang dilantik mengendalikan kelab itu selepas ketua jurulatih Wan Jamak Wan Hassan direhatkan, baru-baru ini.

Selangor yang ketinggalan satu mata kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT), perlu menewaskan PKNS dan pada masa sama mengharapkan Sarawak menggagalkan usaha Johor DT meraih tiga mata penuh di Stadium Negeri, malam esok.

"Pada dua perlawanan terakhir (menang ke atas LionsXII dan tewas kepada Pahang), kami mempamerkan corak permainan lebih baik dan mahu meneruskannya terutamanya bagi menghadapi aksi play-off Piala Malaysia.

Saya merancang untuk menurunkan kesebelasan terbaik di Stadium Shah Alam nanti," tambahnya.

Andai mahu melakar kemenangan, anak buah Mehmet Durakovic tidak boleh memandang rendah kemampuan PKNS kerana mereka jelas mampu menundukkan pasukan gergasi musim ini seperti menumbangkan juara musim lalu, LionsXII dan Kelantan dalam kancah Liga Super manakala di Piala FA, mereka menumbangkan Terengganu.

Malah pertemuan PKNS dan Selangor di pusingan pertama Liga Super berakhir seri 2-2.

PKNS mula dihimpit kemerosotan selepas melepaskan pemain tengah, Mohd Nazmi Faiz Mansor kepada Selangor pada jendela perpindahan kedua April lalu dan sejak itu mereka hanya menang sekali.

Selepas mengharungi 21 perlawanan, PKNS hanya meraih empat kemenangan, lima seri dan 12 kalah dan hanya mengumpul 17 mata.

Foto

PERPINDAHAN Nazmi (kanan) beri kesan kepada prestasi PKNS.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Idam penamat bergaya

Posted: 23 Jun 2014 10:39 AM PDT

Kuantan: Biarpun terlepas peluang meraih gelaran juara Liga Super musim ini, Pahang mahu menamatkan saingan dengan kemenangan apabila bertemu Perak di Stadium Perak di Ipoh, malam esok.

Justeru, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan mahu menamatkan Liga Super dengan keputusan membanggakan biarpun impian sudah berakhir.

Pemain pertahanan Saiful Nizam Miswan berkata, kunjungan ke Stadium Perak akan diiringi misi membawa pulang tiga mata sebagai pelengkap prestasi membanggakan musim ini.

"Tiada istilah memberi ruang kepada tuan rumah walaupun mereka memerlukan kemenangan bagi mengelak tersingkirmengekalkan tempat dalam Liga Super musim depan," katanya.

Saiful Nizam yang menjaringkan satu gol ketika Pahang menewaskan PKNS FC, 2-0 Sabtu lalu percaya dengan prestasi meyakinkan ketika ini, tiga mata akan menjadi milik skuad Tok Gajah.

Katanya, barisan pemain yang beraksi adalah kesebelasan terbaik bakal diturunkan Zainal Abidin biarpun sedar kedudukan ketiga liga tidak akan dicabar pasukan lain.

"Saya jangka perlawanan sengit kerana Perak perlukan kemenangan dan kami tidak akan beri peluang.

Kalau boleh saya mahu menjaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

ATM perlu kukuh benteng

Posted: 23 Jun 2014 10:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Berdasarkan jumlah bolos 33 gol direkodkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) jelas menunjukkan barisan pertahanan skuad The Gladiators begitu rapuh sepanjang 21 perlawanan Liga Super musim ini.

Berikutan aksi hambar itu, nasib bekas finalis Piala Malaysia 2012 itu kini ibarat seperti telur di hujung tanduk apabila wajib mencatatkan kemenangan dalam aksi terakhir liga bertemu Sime Darby FC yang turut mengidamkan tiga mata penuh bagi menamatkan kedudukan di tangga keenam.

Untuk itu, penjaga gol ATM Syed Adney Syed Hussein (gambar) yang menjadi benteng terakhir pasukannya perlu memastikan gawang tidak dibolosi andai mahu kekal beraksi di Liga Super serta merasai bahang saingan Piala Malaysia September ini.

"Tekanan memang ada apatah lagi kami tiada pilihan selain meraih kemenangan untuk terus kekal di Liga Super.

Walaupun kami beraksi kurang konsisten di awal musim, tetapi sejak menumbangkan Selangor (2-0) dan Johor Darul Ta'zim (2-1), rakan sepasukan makin bersemangat.

"Jurulatih banyak membantu dengan sering memberi motivasi kepada saya.

Saya mahu membalas kepercayaan jurulatih dengan cuba menghalang segala percubaan lawan dan mengharapkan bahagian serangan menyumbang gol," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Bekas penjaga gol Sabah dan Terengganu kelahiran Liverpool itu berkata, pemain import Sime Darby, Dilshod Sharofetdinov dari Uzbekistan antara ancaman utama mampu meranapkan impian ATM malam esok.


"Jentera serangan mereka sememangnya berbisa.


namun saya sudah bersedia.

Bukan saja pemain import malah dengan kehadiran beberapa tonggak berpengalaman seperti Mohd Fadzli Saari dan Muhammad Juzaili Samion turut menjadi ancaman.

"Bagaimanapun saya masih menaruh kepercayaan kepada barisan pertahanan untuk menghalang mereka terutama Dilshod," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Takkan turun!

Posted: 23 Jun 2014 10:36 AM PDT

Kuala Lumpur: LionsXII tetap bertegas pasukan jemputan di Liga Super itu tidak akan tersingkir ke Liga Perdana musim depan sekiranya menamatkan saingan di kedudukan ke-11 musim ini.

Pengurus pasukan S Visakan menjelaskan terdapat perjanjian ditandatangani bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengatakan mereka dikecualikan daripada tersingkir ke liga bawahan.

"Kami tidak bimbang untuk tersingkir ke Liga Perdana atau terlalu memikirkannya kerana perjanjian ditandatangani mengatakan LionsXII dikecualikan turun ke bahagian dua.

"Fokus kami kini untuk meraih mata di Kuala Terengganu bagi memastikan layak secara automatik ke Piala Malaysia," katanya.

LionsXII kendalian Fandi Ahmad kini berada di kedudukan kelapan liga dengan mengumpul 25 mata namun memerlukan kemenangan mengatasi pasukan di kedudukan kesembilan liga, T-Team (24 mata) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok bagi mengelak daripada mengharungi aksi play-off ke Piala Malaysia.

Namun andai tewas kepada T-Team manakala pasukan di kedudukan ke-10, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ke-11, Perak mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir masing-masing, kedudukan pasukan jemputan dari Singapura itu akan jatuh ke kedudukan ke-11 dengan peraturan mengatakan dua pasukan terbawah Liga Super akan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

PKNS kini menghuni tangga terbawah Liga Super dengan 17 mata dan sah tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

LionsXII hadir dalam Liga Malaysia selepas FAM dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) menandatangani perjanjian empat tahun sehingga 2015 dengan pasukan Harimau Muda B yang dikendalikan Razip Ismail beraksi di Liga Singapura (Liga-S) musim ini.

Mereka kini berada di tempat tercorot apabila sekadar mengumpul sembilan mata dengan saingan berbaki empat perlawanan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kelmarin menerusi laporan Arena Metro berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) jika LionsXII menamatkan saingan di kedudukan ke-11 Liga Super yang bakal menutup tirai malam esok.

Menurut Hamidin, perkara itu tidak terdapat dalam perjanjian persefahaman yang ditandatangani dan hanya terdapat perbincangan lisan dengan mereka memohon untuk tidak disingkirkan ke liga bawahan.

PDRM dan FELDA United sudah mengesahkan tempat mereka di Liga Super musim depan selepas muncul juara dan naib juara Liga Perdana musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Kuantan FA catat sejarah

Posted: 23 Jun 2014 10:36 AM PDT

Kuantan: Pasukan Kuantan FA dinobat juara Piala Liga FAM musim 2014 walaupun saingan liga masih berbaki satu perlawanan selepas menewaskan Cebagoo FC, 3-0 di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Kejayaan skuad kendalian Ahmad Syukri Ismail itu membolehkan Kuantan FA beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan, sekali gus meraih wang tunai RM60,000 daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagi Ahmad Syukri, secara keseluruhannya beliau puas hati dengan komitmen tinggi dipersembahkan anak buahnya hingga bergelar juara.

Menurutnya, semangat juang tinggi dipamerkan sepanjang saingan liga membuktikan ia berbaloi jika pemain bijak memanfaatkan peluang dimiliki.

"Sebenarnya membariskan beberapa bekas pemain Pahang antara faktor kejayaan Kuantan FA yang diharap lebih bersedia mengharungi Liga Perdana," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Datuk Wan Solihin Wan Hassan berkata, sebagai menghargai komitmen tinggi pemain, pihak pengurusan memberikan imbuhan tambahan RM50,000 kepada pegawai dan pemain skuad itu.

"Saya harap pemain yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan akan bermain lebih baik kerana cabarannya lebih besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Pamer bakat terpendam

Posted: 23 Jun 2014 10:34 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan Futsal Jabatan Ortopedik Hospital Kajang (Ortho Malunited) muncul juara Pesta Futsal Piala Datuk Dr Abdul Rauf yang berlangsung di Uptown Sports Bangi, baru-baru ini.

Pertandingan edisi ketiga itu membabitkan saingan antara pegawai perubatan serta doktor pakar dari Jabatan Ortopedik hospital sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pada saingan kali ini, 10 pasukan, Jabatan Ortopedik Hospital Selayang selaku penganjur, Hospital Kajang, Hospital UKM, Hospital Serdang, Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Pilah, Hospital Melaka, Hospital Seremban dan pasukan jemputan menyertai kejohanan itu.

Pada peringkat awal, Ortho Malunited menewaskan Hospital UKM 2-1, Hospital Kuala Pilah (3-0), Hospital Sungai Buloh (8-0) sebelum seri dengan Hospital Selayang (2-2) untuk menjadi juara kumpulan.

Di separuh akhir, pasukan yang diwakili tiga pakar ortopedik dan selebihnya pegawai perubatan Hospital Kajang itu, menewaskan pasukan jemputan, 3-2 menerusi sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3.

Pada perlawanan akhir, Ortho Malunited menewaskan juara bertahan tahun lalu, Hospital Selayang selepas menang penalti 2-1.

Kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa penuh perlawanan selepas Ortho Malunited bangkit daripada ketinggalan 3-0 untuk menyamakan kedudukan.

Dua pemain Ortho Malunited, Dr Azlan Sulaiman yang juga ketua pasukan menerima anugerah Penjaring Terbanyak dengan 10 gol manakala penjaga gol Dr Mohd Khairul Anwar Kamdi dinobat Pemain Terbaik.

Pertandingan diilhamkan pakar ortopedik Dr Anuar Ali yang ketika itu bertugas di Hospital Kuala Pilah bertujuan mengeratkan hubungan antara Jabatan Ortopedik di negara ini.

Kali pertama kejohanan ini dipertandingkan, hanya empat pasukan menyertai, tetapi masuk edisi ketiga ini penyertaan begitu memberangsangkan dengan lebih banyak pasukan jabatan ortopedik dari hospital lain diharapkan akan turut serta pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Jasmine, Syafiq cemerlang

Posted: 23 Jun 2014 10:34 AM PDT

Ipoh: Atlet terjun, Jasmine Lai Pui Yee dan Muhammad Syafiq Puteh masing-masing muncul penerima terbanyak skim insentif sukan negeri Perak berikutan pencapaian cemerlang pada Sukan Malaysia( SUKMA) XVII Perlis, bulan lalu.

Jasmine menerima RM13,000 berikutan sumbangan dua pingat emas melalui acara 1m papan anjal dan 3m terjun seirama serta perak platform dan gangsa 3m papan anjal wanita.

Syafiq pula meraih emas 1m papan anjal dan platform seirama serta perak (3m papan anjal) dan gangsa (3m terjun seirama) lelaki.

Acara olahraga meraih RM60,000 berikutan sumbangan 6 emas, 7 perak dan 6 gangsa dengan G Aravinthevar muncul penerima terbanyak, RM8,000 hasil sumbangan 1 emas dan 2 perak.

Mereka antara penerima sumbangan kerajaan negeri pada majlis penyampaian skim insentif SUKMA XVII Perlis di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, pagi kelmarin.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mewakili Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap ketua kontinjen Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mohd Ghazali Jalal serta Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Negeri Datuk Razali Othman.

Pada temasya itu kontinjen Perak meraih 24 emas, 24 perak dan 36 gangsa untuk menduduki kedudukan keenam daripada 15 negeri.

Sementara itu, Puhat berkata, selain memperbaiki kedudukan, beberapa acara juga berjaya melonjakkan lagi imej dan maruah negeri Perak pada temasya itu membabitkan atlet menembak Siaw Chuli yang memecah rekod kejohanan dalam acara 10 meter air pistol.

Beliau turut melontarkan cabaran kepada atlet Perak agar mensasarkan kutipan 45 emas pada temasya di Sarawak 2016.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

Sabah juara Sukan Orang Pekak

Posted: 23 Jun 2014 10:33 AM PDT

Melaka: Sabah muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA XVIII) 2014 berlangsung selama tujuh hari di Stadium Hang Tuah Melaka, baru-baru ini.

Saingan membabitkan 16 kontinjen termasuk Singapura dan Brunei itu menyaksikan Sabah unggul dengan 9 emas, 9 perak dan 9 gangsa bagi meraih gelaran juara keseluruhan dan anugerah trofi pencapaian cemerlang 2014.

Ketua kontinjen Sabah Spencer Soo berkata, komitmen tinggi 58 atlet disenaraikan amat membang gakan selepas sekadar meraih tangga keempat di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Menurutnya, ketika kejohanan itu, kontinjen terbabit sekadar meraih tiga emas.

"Kecemerlangan atlet olahraga meraih tujuh emas selain sukan tenpin boling meletakkan pencapaian kami di luar jangkaan," katanya.

Sebanyak 119 pingat dipertandingkan termasuk bola sepak, futsal, badminton dan bola jaring.

SOPMA kali ini juga menjadi pentas pemilihan atlet mewakili Malaysia ke Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) dan Sukan Olimpik Pekak (Deaflympic Games).

Kejohanan anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Orang Pekak Malaysia itu diadakan di beberapa venue termasuk Kompleks Komuniti Paya Rumput dan Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) Ayer Keroh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/24

No comments:

Post a Comment