Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Jangan kalah'

Posted: 08 Jun 2014 01:38 PM PDT

"Kami kena kuatkan semangat dan terus bermain untuk mencapai sasaran yang ditetapkan."

Demikian pandangan ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menjelang pertemuan getir menentang Sepanyol hari ini dan ia adalah peluang terakhir untuk mengutip tiga mata berharga bagi mengelak daripada perlu beraksi untuk penentuan tempat tercorot.

Bagi Dhaarma, semangat tinggi yang diperlu disematkan dalam hati setiap pemain adalah antara 'senjata' paling penting untuk memastikan Malaysia tidak mengalami kekalahan lanjut sekali gus tewas dalam semua perlawanan peringkat kumpulan.

Sebelum ini, anak buah Dhaarma tewas dalam empat perlawanan berturut-turut iaitu di tangan Australia, Belgium, England dan India.

"Pemain perlu kurang membuat kesilapan mudah yang menyebabkan lawan melancarkan serangan balas.

"Sepanyol bukanlah pasukan yang mudah dan pemain mereka ketika ini berada pada tahap terbaik untuk meraih kemenangan.

"Yang penting ialah pemain perlu ingat jika seri atau kalah kita terpaksa bermain untuk kedudukan tempat ke-11/12," katanya ketika dihubungi semalam.

Dhaarma turut mengesahkan selain penyerang negara Hafifi Hafiz Hanafi yang perlu berehat selama lapan minggu berikutan kecederaan di bahu kanannya, baki 17 lagi pemain cergas sepenuhnya dan boleh diturunkan hari ini.

"Apapun, seperti yang saya katakan sebelum ini, situasi di Piala Dunia memang sukar tetapi kami tidak pernah putus asa daripada cuba dan terus mencuba untuk mencatatkan kemenangan," katanya.

Foto
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Shanshan dahului dua pukulan

Posted: 08 Jun 2014 10:06 AM PDT

Waterloo, Kanada: Bintang China, Shanshan Feng (gambar) membenam eagle dan tiga birdie untuk mencatat empat di bawah par 67 sekali gus mendahului pemain lain dengan kelebihan dua pukulan di Kejohanan LPGA Manulife Financial Classic.

Secara keseluruhan, Shanshan mengumpul 15 di bawah par 198, dua pukulan mengatasi bintang Korea Selatan Park In-Bee dan pemain Amerika Syarikat Michelle Wie.

Park yang muncul pemain nombor satu dunia buat minggu ke-59 sebelum ini, kini dipintas Stacy Lewis, Isnin lalu, mencatat enam birdie untuk mengumpul 65 pukulan.

Michelle berkongsi kedudukan di tempat kedua bersama Park apabila mengumpul 68 pukulan, enam birdie dan tiga bogey di lapangan Grey Silo itu.

Shanshan sedang memburu gelaran Jelajah LPGA keempat dan yang pertama sejak menamatkan saingan selaku juara Kejohanan CME Group Titleholders hujung tahun lalu manakala Park pula memburu kejuaraan pertamanya musim ini.

Shanshan memulakan aksi dengan sedikit tempang, tetapi berjaya mencatat empat di bawah par sepanjang enam lubang terakhirnya apabila berjaya melakar satu eagle dan dua birdie.

Dia kemudiannya mengaku bahawa aksinya menurun disebabkan terlalu berhati-hati untuk mempertahankan pendahuluan.

"Mungkin saya terlalu memikirkan cara mempertahankan pendahuluan dan membuatkan saya mahu melakukan pukulan lebih baik.

Disebabkan itu, saya kehilangan beberapa putt yang sepatutnya tidak menjadi masalah." Shanshan satu ketika mendahului pemain lain dengan empat pukulan sebelum mencatat bogey di lubang ke-16.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

RATU TANAH LIAT

Posted: 08 Jun 2014 10:06 AM PDT

Gelaran kedua Terbuka Perancis buat Maria Sharapova hadir di gelanggang tanah liat Roland Garros kelmarin sekali gus membuatkannya tercari-cari jawapan paling baik mengenai aksinya yang semakin digeruni lawan ketika ini.

Maria sedikit bergelut di gelanggang keras di Russia dan Florida, tetapi muncul pemain paling gembira di gelanggang rumput Wimbledon.

Dia pernah menyifatkan aksinya di gelanggang tanah liat sebagai tidak menentu, tetapi kejayaannya mengatasi pemain Romania Simona Halep 6-4, 6-7 (5/7) 6-4 di final kelmarin pantas melonjakkan namanya selaku legenda di gelanggang terbabit.

Ketika ditanya mengenai reaksinya berhubung perubahan positif di gelanggang tanah liat, Maria menjawab: "Saya sendiri tidak tahu dan saya bersetuju dengan anda jika anda mengatakan bahawa kemerosotan aksi saya di gelanggang keras ditebus dengan kecemerlangan di gelanggang tanah liat.

"Jika ada yang menganggap gelaran di Roland Garros milik saya lebih banyak berbanding Grand Slam, saya tidak boleh kata apa-apa.

"Ia sesuatu yang mengejutkan.

Saya berusaha keras untuk cemerlang di permukaan ini.

Tidak ada jalan mudah.

"Anda tidak dilahirkan untuk bermain di gelanggang tanah liat atau permukaan lain.


Anda perlu berusaha.


Mungkin pemain seperti (Rafael) Nadal memang dilahirkan untuk menakluk gelanggang tanah liat tetapi bukan saya.

Saya berusaha untuk mahir bermain di permukaan sebegini.

"Tidak ada sesiapa yang boleh menggantikan tempat saya dan saya perlu lakukan semuanya sendirian." Kerja keras dan pengorbanan adalah sesuatu yang tidak pernah dielak bintang Russia itu sejak menyertai tenis pada usia sembilan tahun.

Gelaran pertama Grand Slam hadir pada usianya 17 tahun di Wimbledon 2004 dan kejayaan itu disusuli kejuaraan Terbuka AS dua tahun kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Suarez kembali berlatih

Posted: 08 Jun 2014 10:05 AM PDT

Montevideo: Menjelang sepak mula kempen Piala Dunia Jumaat ini, penyerang Uruguay Luis Suarez (gambar) kembali turun menjalani latihan bersama pasukan kebangsaannya selepas menjalani pembedahan lutut sebelum ini.

Menurut laporan media negaranya yang disiarkan menerusi laman web Uruguay Tenfield, penyerang Liverpool itu sudah boleh berjalan, berlari dan buat pertama kalinya mula menendang bola dalam tempoh 16 hari selepas pembedahan.

"Dia (suarez) mula menyepak bola serta melakukan beberapa latihan tandukan," kata media negaranya.

Jumaat lalu, ketua jurulatih Uruguay Oscar Tabarez berkata proses penyembuhan pemain harapannya itu berjalan lancar.

Pemain berusia 27 tahun itu antara tonggak penting buat pasukan Uruguay dalam mengharungi kempen Piala Dunia di Brazil ketika dia turut cemerlang bersama kelabnya dalam Liga Perdana Inggeris apabila merekodkan 31 gol untuk Liverpool buat menamatkan kedudukan selaku naib juara di belakang Manchester City.

Suarez menjalani pembedahan lutut pada 22 Mei lalu di Montevideo selepas mengadu mengalami kesakitan di bahagian lutut.

Bekas juara dua kali Piala Dunia pada edisi pertama 1930 dan 1950 itu diletakkan dalam kumpulan D bersama England, Itali dan Costa Rica.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Penyokong jejas persiapan Argentina

Posted: 08 Jun 2014 10:05 AM PDT

La Plata, Argentina: Impian dua pasukan terbaik dunia Argentina dengan England untuk melangkah ke Piala Dunia dengan tenang sedikit terganggu apabila ribuan penyokong Argentina mengibar sepanduk berbaur politik berhubung kedaulatan kepulauan Falkland ketika bekas juara Piala Dunia dua kali itu merakam kemenangan 2-0 ke atas Slovenia, kelmarin.

Dua jaringan Ricardo Alvarez dan Lionel Messi memastikan kemenangan berharga buat tuan rumah sebelum kira-kira 52,000 penyokong melakukan protes di bandar La Plata di utara Buenos Aires.

Sepanduk yang dibawa kumpulan protes dengan perkataan 'The Malvinas are Argentine' ditujukan kepada Britain akibat rasa tidak puas hati mengenai campur tangan negara itu di kepulauan Falkland.

Messi, Sergio Aguero dan Angel di Maria yang bermula di bangku simpanan dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.

Kelibat bintang tonggak Argentina itu membuahkan hasil apabila pemain Inter Milan Alvarez melepaskan rembatan kencang daripada jarak 25 meter untuk meletakkan pasukannya di depan.

Pada minit ke-75, Messi menghadiahkan gol kedua buat negaranya selepas menerima hantaran daripada gerakan rakan sepasukannya Di Maria dan Aguero buat bekas juara dunia itu menang 2-0.

"Kami akan hadir ke Brazil dengan keinginan yang tinggi," kata bintang Barcelona itu selepas perlawanan di mana dia menjaringkan gol ke-38 untuk Argentina sepanjang aksinya bersama skuad kebangsaan.

"Kami akan berjuang habis-habisan dan kembali ke Argentina dengan membawa pulang Piala Dunia," katanya.

Pada edisi kali ini, Argentina diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan selepas tuan rumah, Brazil bagi menjulang mahkota Piala Dunia.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

MAGIS RONALDO

Posted: 08 Jun 2014 10:05 AM PDT

Bintang Portugal Cristiano Ronaldo kembali menghidupkan harapan beraksi di pentas Piala Dunia apabila turun menjalani latihan bersama pasukan kebangsaannya selepas direhatkan akibat kecederaan sebelum ini.

Episod malang penyerang terbaik dunia itu bermula ketika khidmatnya terpaksa diketepikan dalam dua aksi pemanas badan apabila dia dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha dan lutut serta kemungkinan terlepas perlawanan pembukaan Piala Dunia.

Portugal dijadualkan memulakan aksi sulung Kumpulan G bertemu Jerman pada 16 Jun yang turut disertai dua lagi pencabar terkuat iaitu AS dan Ghana.

Ronaldo, 29, menyertai semula kem latihan bersama rakan sepasukan di New Jersey, AS dan kehadirannya itu dijangka mewarnai semula kesebelasan utama pada aksi persahabatan terakhir menentang Ireland esok.

Skuad Portugal yang dibarisi ramai pemain ternama dari kelab Real Madrid, terpaksa berhempas pulas dalam dua aksi pemanas badan bertemu Brazil yang berkesudahan seri 0-0 serta menang ke atas Mexico dengan keputusan 1-0.

Pemain tengah berpengalaman Raul Meireles hanya akan menyertai latihan bermula Sabtu ini di samping tonggak pertahanan kental Pepe yang masing-masing disisihkan akibat kecederaan sebelum ini.

Jurulatih Portugal Paulo Bento pasti kecewa jika benar Ronaldo yang sudah merekodkan 49 jaringan sepanjang 110 penampilan buat negaranya itu terpaksa diketepikan daripada kesebelasan utama pasukannya.

"Ronaldo antara aset terbaik yang kami ada.

Apapun, terima kasih kepada Bruno Alves hasil daripada tandukan padunya Jumaat lalu memberi kemenangan 1-0 ke atas Mexico.

Namun jika ada kelibat Ronaldo, saya yakin kesannya terhadap pasukan pasti lebih bermakna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Vidal bikin Chile resah

Posted: 08 Jun 2014 10:04 AM PDT

Belo Horizonte, Brazil: Bintang tengah Chile Arturo Vidal (gambar) masih belum pasti diturunkan menentang Australia di Cuiaba susulan kesan lebam pada lututnya, kata staf perubatan La Roja di kem latihan mereka di Belo Horizonte, kelmarin.

Vidal disenaraikan untuk berdepan Australia, Sepanyol dan Belanda susulan pembedahan lutut bulan lalu dan dia masih dalam proses pemulihan.

"Ujian menunjukkan terdapat lebam susulan pembedahan itu," kata doktor pasukan, Giovanni Carcuro.

"Namun ia hanya lebam kecil dan ia sesuatu yang normal," tegas Carcuro.

Vidal menjalani pembedahan pada 6 Mei dan kemudian bertandang ke Brazil namun tidak menjalani latihan dan beraksi selama 15 minit pada perlawanan persahabatan pertengahan minggu menentang Ireland Utara.

Carcuro berkata, beliau sangat optimis namun menambah pasukan itu perlu menunggu dan melihat bagaimana keadaan lutut Vidal menjelang perlawanan menentang Socceroos, Jumaat ini.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Chamberlain kian pulih

Posted: 08 Jun 2014 10:04 AM PDT

Miami: Pemain sayap England Alex-Oxlade Chamberlain akan kembali cergas untuk beraksi di Piala Dunia selepas menunjukkan perkembangan positif susulan kecederaan lutut dialaminya, kata pengurus pasukan, Roy Hodgson selepas anak buahnya terikat tanpa jaringan ketika menentang Honduras.

Oxlade-Chamberlain mengalami kecederaan ketika seri 2-2 pada perlawanan persahabatan dengan Ecuador awal pagi Khamis dan Hodgson berkata beliau mungkin perlu menunggu sehingga 24 jam sebelum perlawanan pembukaan England menentang Itali dalam Kumpulan D pada 14 Jun sebelum memutuskan sama ada pemain itu boleh disenaraikan atau tidak.

Namun kelmarin, nada Hodgson kedengaran lebih positif.

"Semua pemain cergas.

Oxlade-Chamberlain mempamerkan perkembangan yang bagus.

Saya fikir dia akan berada dalam kejohanan tanpa sebarang keraguan," kata Hodgson.

England menarik nafas lega selepas mengharungi cabaran sengit Honduras tanpa sebarang kecederaan lanjut ke atas pemainnya.

Kapten pasukan, Steven Gerrard digantikan tamat separuh masa pertama namun berkata ia sesuatu yang sudah dirancang sebelum perlawanan kerana pengurus bimbang dengan keadaan pangkal pahanya selepas perlawanan menentang Ecuador.

"Saya mengalami sedikit kesakitan pada pangkal paha pertengahan minggu ini.


Justeru, memang terdapat rancangan untuk saya beraksi hanya 45 minit.


Kami sedikit kecewa di bilik persalinan.

Kami merasakan pengadil tidak bagus kerana melakukan kesilapan yang sama.

"Mungkin kami perlu lebih pantas menggerakkan bola namun terdapat terjahan yang menakutkan.

Saya sendiri turut merasai bahangnya," katanya.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

La Roja tak gentar!

Posted: 08 Jun 2014 10:03 AM PDT

Juara bertahan, Sepanyol berlepas ke Brazil dengan penuh yakin serta percaya peluang untuk mengulangi kejayaan pasti ada sekali gus menegaskan mereka tidak gentar menjelang aksi pembukaan menentang Belanda yang disifatkan sebagai ulangan final Piala Dunia 2010.

"Kami tidak gusar langsung namun kami tetap menghormati mereka," kata pengurus Sepanyol Vicente del Bosque.

"Mereka adalah naib juara Piala Dunia empat tahun lalu.

Justeru tidak ada sebab untuk kami memandang rendah Belanda." Selepas aksi pertama Sepanyol dalam kempen Kumpulan B Piala Dunia menentang Belanda, mereka akan berdepan Chile dan Australia.

"Kami sangat optimis selepas sesi latihan dan dua aksi persahabatan," kata del Bosque.


"Kami berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.


Kami yakin untuk mara lebih jauh." Del Bosque berkata, kecederaan yang menyebabkan pemain bintang seperti Franck Ribery dari Perancis dan penarikan diri bintang Colombia Radamel Falcao tidak akan menjelaskan kemeriahan Piala Dunia.

"Segelintir bintang dunia tidak akan berada di Piala Dunia namun saya tidak fikir ia akan menjadi kurang menarik.

"Ia tidak menjadikan acara besar seperti Piala Dunia seolah-olah kekurangan," katanya.

David Villa, penjaring terbanyak Sepanyol, menambah jumlah jaringannya kepada 58 selepas meledak dua lagi gol untuk membolehkan mereka menewaskan El Salvador 2-0.

Hadir ke Brazil sebagai juara bertahan menjadi kebanggaan buat Sepanyol dan kini menjadi sasaran 31 pasukan lain untuk menyingkirkan mereka.

"Ia (gelaran juara bertahan) penting namun ia tidak memberikan sebarang kelebihan atau sesuatu sepertinya," kata Villa.

"Saya bangga kerana sudah menjulang Piala Dunia dan akan berusaha mengulanginya."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Orang lama Azzurri masih bersemangat!

Posted: 08 Jun 2014 10:03 AM PDT

Milan: Jika umur mereka digabungkan, angkanya mencecah 71 tahun tetapi Gianluigi Buffon dan Andrea Pirlo masih lagi dahagakan kejayaan seperti pemain muda Itali lain menjelang saingan Piala Dunia 2014 Brazil.

Buffon yang pernah muncul juara pada 2006, sudah berusia 36 tahun tetapi penjaga gol Juventus itu awal-awal lagi menepis tanggapan bahawa semangatnya semakin menurun.

"Saya masih dahagakan kejayaan," kata Buffon selepas ditanya mengenai keinginannya membantu Itali memburu kejuaraan Piala Dunia buat kali kelima.

Jika Itali berjaya melepasi saingan sengit Kumpulan D sebelum bertemu Sepanyol atau Brazil, ia membuktikan bahawa penjaga gol dan rangkaian pemain tengah mereka berjaya beraksi dengan cemerlang.

Jika digabungkan, Buffon dan Pirlo sudah 247 kali beraksi untuk Itali dengan rekod paling banyak dipegang penjaga gol berkenaan sebanyak 139 kali, tatkala kedua-duanya bakal beraksi dalam Piala Dunia keempat dan ketiga.

Pengalaman dan keserasian antara kedua-dua pemain yang beraksi bersama-sama di Juventus itu bakal memberi manfaat kepada skuad Cesare Prandelli yang sudah membawa masuk beberapa muka baru.

Buffon kebal sebagai penjaga gol utama Itali sejak mengenepikan Francesco Toldo dalam empat perlawanan kelayakan Piala Dunia 2002.

Aksi terbaiknya adalah di Piala Dunia 2006 dengan mencatat rekod hanya bolos dua gol dan berjaya mengawal gawang tanpa dibocori sebanyak lima kali seterusnya membantu Itali bertemu Perancis dalam perlawanan akhir.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

No comments:

Post a Comment