Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya rasa bersalah'

Posted: 02 Jun 2014 11:35 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya masih rasa bersalah!" Demikian luahan pemain perseorangan negara Liew Daren yang masih tidak dapat mengatasi perasaan kecewa kerana dikatakan punca kepada kegagalan skuad negara memenangi Piala Thomas di New Delhi baru-baru ini.

Daren yang kembali menjalani latihan bersama skuad negara sejak minggu lalu bagaimanapun berkata, dia cuba melupakan sedikit demi sedikit kenangan pahit itu.


"Banyak yang saya belajar sepanjang beraksi di Piala Thomas, terutama pada aksi final apabila seluruh negara tertumpu kepada kami. "Sebelum ini saya tidak pernah merasai situasi seperti itu. Memang masih ada rasa bersalah, tapi sekarang kurang sedikit," katanya.

Daren berkata, dia mahu menutup kisah pahit itu dengan memulakan misi baru.


Namun ketika pemain berusia 27 tahun itu cukup bersemangat untuk membuka buku baru dalam kariernya, Daren terpaksa berdepan detik sukar kerana mungkin tersingkir awal pada saingan Siri Super Jepun bermula Jumaat ini, kejohanan pertama yang bakal disertainya selepas Piala Thomas berakhir.


Ini kerana, Daren kemungkinan besar bertemu bekas sensasi China, Lin Dan pada pusingan kelayakan kedua.

Foto

DAREN ketika beraksi pada Piala Thomas, baru-baru ini.

"Saya cuma berharap dapat memberikan saingan kepadanya sebab sebelum ini pernah bertemu Lin Dan dan mengheret perlawanan hingga set ketiga.


"Yang penting ketika ini ialah saya mahu bermain dengan baik untuk tebus kegagalan pada Piala Thomas," katanya.

Daren menerima kritikan hebat termasuk daripada pemain perseorangan pertama negara, Datuk Lee Chong Wei apabila beraksi hambar sepanjang saingan Piala Thomas lalu yang dimenangi Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Hajat besar Super Eagles

Posted: 02 Jun 2014 11:31 AM PDT

Mampukah Nigeria mara ke separuh akhir Piala Dunia? Bagi penjaga gol Nigeria Vincent Enyeama, jika segala perancangan menjadi, dia yakin skuad dikenali 'Super Eagles' itu akan berada dalam kelompok empat terakhir di Brazil.

Enyeama, bertindak selaku kapten, hadir selepas memenangi anugerah Marc-Vivien Foe selaku pemain Terbaik Afrika dalam Ligue 1 Perancis.

Dia yakin skuad kendalian Stephen Keshi memiliki kemampuan itu berdasarkan pencapaian Piala Dunia Afrika Selatan 2010.

Enyeama meletakkan jangkaan tinggi terhadap Nigeria.

Foto

Vincent Enyeama


Biarpun Nigeria bergelut pada dua Piala Dunia terakhir mereka, penjaga gawang Lille itu memberitahu juara Afrika itu mampu melepasi halangan sukar di Brazil. Mereka diundi berada dalam Kumpulan F menentang Iran, Bosnia-Herzegovina dan Argentina.


"Saya rasa kami akan mara hingga ke peringkat empat pasukan terakhir," kata Enyeama.

"Kami fokus menghadapi Piala Dunia dan mahu Afrika muncul benua paling membanggakan di Brazil.

"Nigeria hampir ke separuh akhir empat tahun lalu. Kali ini kami hadir dengan keputusan meyakinkan dan akan menjadi pasukan Afrika pertama beraksi di separuh akhir Piala Dunia."

Pemain berusia 31 tahun itu beraksi kali pertama bersama Nigeria pada Piala Dunia di Korea/Jepun 2002. Ketika itu dia baru berusia 19 tahun dan diberi kepercayaan jurulatih Festus Onigbinde berada dalam kesebelasan utama menghadapi perlawanan terakhir menentang England ketika Nigeria sudah tersingkir pada peringkat kumpulan.

Prestasi cemerlang Enyeama membantu Super Eagles mencatat seri tanpa jaringan sekali gus membolehkan penjaga gol kelahiran Kaduna itu mengambil tugas penjaga gol utama daripada Ike Shorunmu yang mengambil keputusan bersara sebaik Piala Dunia berakhir. Sejak itu, Enyeama terus tampil bersama negaranya dan menyinar pada Piala Dunia di Afrika Selatan 2010 dan Piala Konfederasi FIFA tahun lalu sebelum menjulang Piala Negara Afrika 2013. Nigeria turut berharap dapat mempertahankan status juara apabila Maghribi menjadi tuan rumah Kejohanan Negara-negara Afrika tahun depan.

Piala Dunia di Brazil akan menjadi kejohanan ketiga berturut-turut Nigeria berdepan Argentina pada temasya berprestij dunia itu tetapi apa paling penting buat Enyeama adalah prospek berdepan Perancis pada pusingan kedua yang menanti mereka.

"Jika berdepan Perancis, perlawanan pasti menarik tetapi kalan menentang Switzerland, ia juga menarik. Paling penting melayakkan diri.

"Bermain menentang Perancis bukan keutamaan sekarang kerana saya mahu pasukan mara ke pusingan kedua. Jika kami juara kumpulan, kami tidak perlu menghadapi Perancis."

INFO:

Nama penuh: Vincent Enyeama
Tarikh lahir: 29 Ogos 1982
Tempat lahir: Kaduna, Nigeria
Tinggi: 182sm
Posisi: Penjaga gol
Kelab: Lille Skuad kebangsaan Senior Nigeria (2002 hingga sekarang)
Piala Dunia: 2014, 2010, 2002

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Kena tumbuk kalah tenis

Posted: 02 Jun 2014 10:44 AM PDT

Kangar: Seorang atlet junior Sabah berusia 13 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa ditumbuk rakannya apabila mereka tewas dalam acara tenis, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang di gelanggang tenis Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra itu, mangsa mendakwa ditumbuk suspek berusia 17 tahun selepas atlet senior terbabit tidak puas hati dengan permainan dipamerkannya.


Timbalan Ketua Polis Perlis Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kes berkenaan antara 16 laporan diterima pihaknya membabitkan atlet dan pegawai SUKMA Perlis sejak 24 Mei lalu.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kangar sebelum polis mengambil keterangan kedua-dua pihak.


"Suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.


Menurut Md Zukir, setakat semalam, sebanyak 16 laporan polis diterima membabitkan insiden sepanjang SUKMA.

Foto

ZUKIR (tengah) pada sidang media persiapan majlis penutup SUKMA di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perlis.

Katanya, daripada jumlah itu kertas siasatan untuk tujuh kes sudah dibuka masing-masing membabitkan empat mencuri di dalam bangunan, dua curi dan satu mendatangkan kecederaan.


"Salah satu daripada kes mencuri di dalam bangunan membabitkan pelajar tingkatan tiga dan empat sebuah sekolah. Mereka terbabit ketika upacara perasmian SUKMA.

"Kedua-dua tertuduh sudah didakwa di Mahkamah Majistret 29 Mei lalu dan mengaku bersalah mencuri beg dan beberapa barangan peserta SUKMA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Pemanas badan sengit

Posted: 02 Jun 2014 10:27 AM PDT

Paris: Jerman dan Perancis masing-masing seri manakala dua pemain Chelsea, Eden Hazard dan Romelu Lukaku menjaringkan gol buat Belgium dalam perlawanan pemanas badan Piala Dunia, awal pagi semalam.

Cameroon yang turut akan ke Brazil bangkit daripada ketinggalan untuk memaksa Jerman seri 2-2. menentang Jerman.


Semua empat gol hadir pada babak kedua yang menarik apabila Cameroon, dilatih warga Jerman, Volker Finke hampir meraih kemenangan bersejarah ke atas Jerman.

Wakil Afrika itu melakukan kejutan apabila mendahului awal menerusi seorang lagi pemain Chelsea, Samuel Eto'o pada minit ke-62 sebelum Jerman menyamakan kedudukan empat minit kemudian melalui Thomas Mueller.


Pemain gantian Jerman, Andre Schuerrle kemudian membantu tuan rumah mendahului sebelum sayap kiri Cameroon, Eric Choupo-Moting, yang beraksi dalam Bundesliga bersama Mainz 05, menyumbat gol penyamaan pada minit ke-78.


Jurulatih Jerman Joachim Loew tidak puas hati dengan persembahan pasukannya terutama pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil yang beraksi di bawah keupayaan sebenar.

"Dari satu segi mereka lawan yang bagus dan satu ujian sebenar tahap ketahanan kami," jelas Loew.


"Namun anda boleh lihat tiada keserasian dalam permainan kami. Hantaran tidak bagus dan kami banyak melakukan kesilapan.

"Ozil tidak bermain dengan bagus, dia perlukan dua minggu lagi, kemudian anda akan lihat Ozil yang hebat pada Piala Dunia." Dalam suasana hujan di Cote d'Azur, Franck Ribery bermula di bangku simpanan ketika Perancis seri 1-1 dengan Paraguay.


Pemain gantian Antoine Griezmann membantu Perancis mendahului dengan satu sepakan lencong pada minit ke-82 namun Victor Caceres melenyapkan sorakan penyokong di Nice apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-89. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Scolari kritik pemain Selecao

Posted: 02 Jun 2014 10:25 AM PDT

Teresopolis, Brazil: Jurulatih Brazil Luiz Felipe Scolari mengkritik barisan pemainnya menjelang saingan Piala Dunia kerana langsung tidak memuaskan hatinya.

Brazil akan bertemu Panama dan Serbia dalam dua perlawanan persahabatan terakhir sebelum Piala Dunia dan Scolari menegaskan, beliau akan merehatkan kapten Thiago Silva, Fernandinho dan Paulinho.
"Saya tidak suka situasi ketika sesi latihan. Segala-galanya tidak kena," kata pengurus itu yang merangkul Piala Dunia bersama skuad Selecao pada 2002.

Beliau berkata, pemain seperti kurang bersemangat ketika tinggal berbaki 10 hari sebelum Brazil turun pada perlawanan pertama peringkat kumpulan bertemu Croatia di Sao Paulo.
"Apabila saya tidak suka satu-satu perkara, saya akan cari jalan penyelesaian dan cuba menyesuaikannya di atas padang hinggalah saya puas hati," kata Scolari.
Sesi latihan menyaksikan kesebelasan utama menewaskan barisan simpanan 3-2 dengan Neymar menyumbat gol di depan teman wanitanya, Bruna Marquezine.

Bruna lebih menjadi tumpuan sekalipun memakai topi besar dan kaca mata hitam ketika dia sibuk melayan autograf peminat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Eto'o bakar semangat

Posted: 02 Jun 2014 10:25 AM PDT

Moenchengladbach, Jerman: Jurulatih Cameroon Volker Finke menegaskan penyerang Chelsea, Samuel Eto'o memberikan rangsangan tepat pada masanya bagi Piala Dunia dengan persembahan menakjubkan ketika seri 2-2 dengan Jerman pada perlawanan persahabatan, semalam.

Kapten Cameroon berusia 33 tahun itu dilanda kecederaan pangkal paha dan hamstring ketika menyertai kem pra-Piala Dunia Indomitable Lions di Austria.


Namun bintang Chelsea itu yang kini berstatus ejen bebas dan dikaitkan berpindah ke Arsenal, menghasilkan permainan mengagumkan sepanjang 92 minit menentang Jerman, awal pagi semalam.

Dia sering mengucar-kacirkan benteng tuan rumah malah meletakkan Cameroon di depan menerusi jaringan menarik pada minit ke-62.


Dengan 114 cap dan kini 55 gol buat Cameroon, Eto'o menjadi kunci utama negaranya dalam usaha layak ke peringkat kalah mati Piala Dunia kali pertama sejak 1990.


"Saya gembira dia mampu bermain lama di padang selepas hadir dengan kecederaan dari Chelsea. Kami akan memantau keadaannya dalam beberapa hari akan datang," ujar Finke. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Henjutan JU Pha

Posted: 02 Jun 2014 10:24 AM PDT

Chuping: Atlet kebangsaan, Ju Pha Som Net nyata sukar digugat apabila mengungguli acara berbasikal lepas beramai-ramai wanita di FELDA Chuping, semalam.

Ju Pha mencatat 3 jam 31 minit 49.18 saat dalam acara sejauh 123.4 kilometer itu.


Atlet Terengganu, Ummi Hamimah Mohamad dan Nur Aisyah Mohamad Zubir masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

"Pada hujung saingan, saya berkayuh sendirian kerana dua rakan sepasukan sudah berhenti manakala seorang lagi di belakang.


"Saya sendiri tak sangka boleh menang kerana saya pelumba trek, bukan acara lebuh raya," katanya.


Ju Pha yang sebelum ini meraih emas dalam acara kriterium berkata, pada 2km terakhir, pelumba Melaka menjarakkan diri tetapi dia berjaya mengejar.

"Saya memulakan pecutan pada 300 meter terakhir dan berjaya mengambil peluang ketika pelumba lain keletihan.


"Saya tidak pernah buat latihan khusus untuk acara lebuh raya ini kerana saya pelumba trek, ia memerlukan kemahiran berbeza," katanya.

Sementara itu dalam acara lepas beramai-ramai berpasukan, trio Terengganu diketuai Ummi, Nur Aisyah dan Nurul Najihah Inani A Aziz meraih emas.


Perak dimenangi trio Kedah manakala gangsa milik Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Permata takraw negara makin bersinar

Posted: 02 Jun 2014 10:24 AM PDT

Kangar: Berbanding dua atau tiga temasya SUKMA yang lalu, penganjuran di Perlis kali ini dilihat menghidangkan lebih banyak pilihan buat jurulatih skuad sepak takraw wanita kebangsaan, Md Fikri Md Nor.

"Saya puas hati dengan peningkatan jumlah atlet wanita berbakat dalam sepak takraw. Ini perkembangan baik dan sebagai jurulatih skuad kebangsaan, saya gembira.


"Bukan setakat seorang dua, tapi dalam setiap pasukan, ada sekurang-kurangnya empat pemain yang boleh diketengahkan dan saya yakin jika diberi pendedahan sewajarnya, mereka mampu menyarung jersi negara," kata Md Fikri.

Saingan sepak takraw wanita di temasya SUKMA kali ini sudah berakhir dan Md Fikri kini meneliti senarai panjang nama pemain yang bakal dipanggil menjalani latihan pusat kebangsaan tidak lama lagi.


Md Fikri berkata, antara negeri yang dikesan melahirkan pemain berbakat termasuk Sabah, Kelantan serta beberapa negeri lain.


"Kalau dulu, kita nak cari seorang pemain pun susah, tapi sekarang tidak lagi. Program yang dilakukan di setiap negeri berjaya melahirkan ramai pemain dan sebahagian besarnya boleh diketengahkan.

"Saya percaya, dalam masa kurang 10 tahun kita akan memiliki skuad wanita yang mampu menggegar.


"Cuma, saya harap pemain yang berbakat dalam sukan ini jangan mudah mengalah dan mereka perlu sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

'Keluarga Badang' taruhan Warga Kota

Posted: 02 Jun 2014 10:23 AM PDT

Kuala Perlis: 'Keluarga Badang'. Ungkapan itu cukup untuk menggambarkan situasi keluarga Samuel Dingan.

Samuel bergiat aktif dalam sukan bina badan sejak 1990-an manakala tiga anaknya, Jacqueline Teo Samuel, 19, Jabriella, 16, dan Jordan, 14, pula memilih angkat berat sebagai pilihan.


Jabriella mengharumkan nama keluarganya apabila meraih dua emas dalam acara 69 kilogram (kg) kelmarin dan kejayaannya itu kemungkinan besar bakal disusuli kakaknya yang bertanding dalam kelas 75kg hari ini.

Samuel yang juga pegawai penguat kuasa di Majlis Bandaraya Shah Alam bangga dengan kejayaan anak-anaknya yang mewakili Wilayah Persekutuan dalam acara angkat berat.


"Jacqueline sudah dua kali menyertai SUKMA manakala adiknya Jabriella kali pertama.


"Adik mereka Jordan pula pemegang rekod remaja bawah 12 tahun dengan angkatan 53kg dalam acara snatch dan 65kg dalam acara clean and jerk.

"Saya harap Jordan juga akan dapat menyertai SUKMA tidak lama lagi," katanya.


Samuel berkata, dia aktif dalam acara bina badan sejak menyertai Angkatan Tentera Malaysia dan mewakili pasukan itu dari 1994 hingga 2001.

Minatnya dalam sukan bina badan diteruskan dengan mewakili majikan tempatnya berkhidmat ketika ini.


"Saya sentiasa memberi kebebasan buat anak-anak untuk menceburi sukan yang mereka sukai dan saya sentiasa memberikan sokongan," katanya yang sentiasa mengikut ketiga-tiga anaknya itu setiap kali pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Badi Ballon d'Or

Posted: 02 Jun 2014 10:21 AM PDT

Paris: Apabila bintang Portugal, Cristiano Ronaldo memenangi anugerah Ballon d'Or tahun lalu selepas mempamer aksi cemerlang, dia diraikan tetapi ramai yang mungkin sependapat dengannya apabila dia sendiri tidak begitu yakin dengan perjuangan Portugal pada Piala Dunia di Brazil.

Portugal akan beraksi pada kejohanan itu dengan meletakkan harapan sepenuhnya kepada sentuhan Ronaldo selaku kapten yang perlu mengelakkan 'sumpahan' sama berulang kepada pemain terbaik dunia sepertinya.


Sejak anugerah Ballon d'Or diperkenal pada 1956, mereka yang dinobat selaku pemain terbaik tidak pernah berjaya mempamerkan aksi cemerlang pada pentas Piala Dunia.

Sebaik anugerah itu terbuka kepada pemain yang beraksi di Eropah sejak 1995, pemain yang diangkat selaku pemain terbaik masih gagal untuk menyerlah pada Piala Dunia bagaikan ada satu badi.


Contohnya bintang Barcelona, Lionel Messi yang memenangi anugerah itu empat kali dengan kali pertama pada 2009.


Argentina sekadar mampu melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan dengan Messi gagal menyumbang walau satu gol.

Apabila khidmatnya benar-benar diperlukan, dia gagal memberi sumbangan diharapkan hingga menyaksikan skuad bimbingan Diego Maradona ketika itu dibelasah Jerman 4-0 pada suku akhir.


Itulah antara kisah terbaru membabitkan pemain terbaik yang gagal di Piala Dunia, mengulangi kisah legenda Real Madrid, Alfredo Di Stefano yang menerima anugerah Ballon d'Or pada 1957.

Di Stefano yang juga kelahiran Argentina, tidak pernah beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

No comments:

Post a Comment