Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Obses jadi lelaki Asia

Posted: 02 Jun 2014 11:08 AM PDT

Sao Paulo: Seorang lelaki kulit putih warga Brazil sanggup mengambil risiko menjalani banyak pembedahan plastik dalam usaha kelihatan seperti orang Asia.

Xiahn atau nama asalnya Max, 25, menggemari lagu K-Pop dan drama Korea serta obses untuk kelihatan seperti orang tempatan ketika menyertai program pertukaran pelajar di Korea Selatan.


Tempoh satu tahun di Universiti Dongseo meningkatkan keinginannya untuk mempunyai 'mata sepet' dan rambut hitam.

"Saya sering menarik kelopak mata saya ketepi agar kelihatan sepet. Saya mahu ia kelihatan seperti itu," katanya.


Xiahn menjalani lebih 10 pembedahan untuk mendapatkan rupa yang diidamkan dan membelanjakan hampir RM10,000 untuk kelihatan seperti lelaki Asia.


"Saya rasa kini saya dapat apa yang saya mahukan. Cuma perlu tunggu bengkak pembedahan ini surut untuk mendapatkan hasil akhir. Saya tidak takut jika terjadi sesuatu yang buruk, tetapi bimbang jika terdapat parut di mata yang akan membuatkan saya kelihatan 'plastik'. Namun, semuanya berjalan baik," katanya.

Foto

XIAHN kini kelihatan sama seperti orang Asia. Gambar kecil, wajah asal Xiahn.

Selepas melakukan pembedahan, Xiahn mengenakan kanta lekap berwarna hitam dan mewarnakan rambutnya dengan warna sama Menjawab segala kritikan yang dilemparkan, Xiahn menulis di status di Facebook: "Walau siapapun kita, kita hanya hidup sekali dan perlu jadi sesuatu yang kita inginkan." Xiahn yang mendapat banyak 'like' di Facebook berkata dia terpikat dengan kehidupan di Korea Selatan sejak berusia 19 tahun.


Dia menemui pakar pembedahan plastik di Brazil bagi melakukan beberapa siri pembedahan dan ayahnya menyokong pilihan yang dibuat, namun ibunya tidak memberi galakan.

"Bagi saya, menukar penampilan adalah normal," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Mati kerana nombor

Posted: 02 Jun 2014 11:04 AM PDT

Shandong (China): Seorang wanita dipukul hingga mati oleh enam orang dalam kejadian ngeri di sebuah restoran Mcdonald's.

Menurut laporan stesen televisyen ABC News, polis Zhaoyuan berkata, penyerang terdiri daripada pengikut ajaran sesat yang mengumpulkan nombor telefon dalam usaha merekrut ahli baru.


Wanita yang dikenali sebagai Wu, 20-an tahun itu sudah berkahwin dan mempunyai anak. Dia didatangi seorang pembunuhnya, Zhang yang meminta nombor telefonnya ketika menikmati makan malam.

Wu bagaimanapun enggan menyerahkan apa yang diminta Zhang, menyebabkan mereka bergaduh.


Lima lagi ahli kumpulan termasuk keluarga Zhang menendang kepala Wu selepas wanita itu jatuh sebelum mencapai batang besi dan menghentak kepala mangsa.


Hentakan itu begitu kuat sehingga besi berkenaan bengkok. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Anak Pele dihukum penjara 33 tahun

Posted: 02 Jun 2014 11:04 AM PDT

Brasília: Anak bekas bintang bola sepak Brazil, Pele, dijatuhi hukuman penjara 33 tahun atas kesalahan penggubahan wang haram yang diperoleh hasil daripada kegiatan mengedar dadah.

Media Brazil melaporkan Edinho, yang pernah menjadi penjaga gol untuk bekas kelab bapanya, Santos, pernah dipenjara pada 2005 dan 2006 atas kesalahan mengedar dadah.


Bagaimanapun, dia hanya mengaku menagih, bukan pengedar.

Edinho didapati bersalah Jumaat lalu oleh hakim di Praia Grande.


Empat yang lain yang dituduh bersama-samanya turut dikenakan hukuman sama.


Edinho yang nama sebenarnya Edson Cholbi do Nascimento dijangka merayu terhadap keputusan itu. Dia akan terus ditahan sementara mahkamah tinggi menimbang rayuannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

'Heret' bayi ketika langsung perkahwinan

Posted: 02 Jun 2014 11:03 AM PDT

Jackson (Amerika Syarikat): Seorang pengantin perempuan mempertahankan 'keputusannya' mengikat bayinya yang baru lahir pada belakang gaun yang dipakai ketika dia melangsungkan perkahwinan.

Menurutnya, bayinya dalam keadaan berjaga, selamat dan 'dilindungi Tuhan.' Perbuatan Shona Carter yang dilakukannya ketika berkahwin dengan Johnathan Brooks di Riplet bulan lalu mengundang kecaman banyak pihak.


Beberapa komen yang mempertikaikan tindak-tanduknya mengancam melaporkan perkara itu kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak.

Pasangan yang tinggal di Jackson, di Nashville itu dipercayai menimang bayi perempuan mereka, Aubrey sebulan sebelum mereka berkahwin.


Gaun yang dipakai pada majlis itu dipercayai berharga kira-kira RM1,300 hingga RM4,500 dan digubah bagi membolehkan bayi itu diheret bersama.


Shona tidak mengendahkan pandangan orang ramai sebaliknya berkata, dia tidak pernah kesal dengan keputusannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Parti Demokrat berkecuali

Posted: 02 Jun 2014 11:03 AM PDT

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam berkata, Parti Demokrat pimpinannya akan bersikap neutral dalam isu pemilihan presiden bulan depan.

Kenyataan itu dibuat walaupun Parti Gerindra pimpinan Prabowo Subianto berusaha gigih menarik Parti Demokrat menyokong mereka. Sebelum ini pun Susilo pernah menyatakan pendirian Parti Demokrat untuk tidak menyertai kem Prabowo atau Joko Widodo (Jokowi).


Pengerusi Eksekutif Parti Demokrat Syariefuddin Hasan turut menyatakan pendirian itu semalam.

"Perhimpunan agung parti bersetuju supaya Parti Demokrat kekal bersikap neutral," katanya kepada media. Syariefuddin yang juga Menteri Koperasi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana berkata, walaupun begitu setiap ahli Parti Demokrat berhak membuat pilihan masing-masing dalam pilihan raya 9 Julai ini.


Sementara itu, sejurus selepas majlis mengundi nombor turutan di pejabat badan pengendali pilihan raya kelmarin, Prabowo dan regunya, Hatta Rajasa, menghadiri perhimpunan Parti Demokrat.


Di situ Prabowo menyampaikan ucapan dan berjanji meneruskan program diasas Susilo sejak 10 tahun lalu.

Prabowo juga memuji Susilo kerana komitmennya mempertahankan undang-undang serta mengekalkan pertumbuhan ekonomi.


Bagaimanapun, majlis itu tidak dihadiri Susilo. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Susilo herdik, sindir pegawai tentera, polis

Posted: 02 Jun 2014 11:02 AM PDT

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam mempamerkan kemarahannya di depan 200 pegawai kanan tentera dan polis Indonesia dalam pertemuan di Kementerian Pertahanan.

Menurut Susilo, ada sesetengah pegawai kanan pasukan keselamatan tidak bersikap berkecuali menghadapi pilihan raya presiden bulan depan.


Kata Susilo, berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai ada pihak tertentu mempengaruhi sejumlah pegawai tinggi tentera dan polis untuk menyokong calon tertentu.

"Ia maklumat yang telah disahkan dan tentu saja pengesahan yang kukuh," katanya.


Susilo juga beberapa kali menggeleng-geleng kepala ketika menyampaikan ucapannya. Menurutnya, dia tidak bercakap berdasarkan fitnah kerana sudah mengarahkan kesahihan maklumat itu diteliti.


Dalam nada menyindir, Susilo berkata, ada sesetengah jeneral yang tidak lagi setia kepada presiden sebagai pegawai tertinggi pasukan bersenjata Indonesia. Susilo juga sempat terdiam beberapa kali untuk membolehkan dia melihat kepada seluruh pegawai kanan pasukan bersenjata yang hadir dalam pertemuan itu. "Bahkan, sesetengah pegawai kanan rasanya tidak perlu lagi mendengar arahan presiden kerana presiden yang ada kini seolah-olah kapal karam.

"Maka patutlah ada pegawai yang mahu segera mencari kapal baru," katanya. Bagaimanapun, tidak diketahui teguran Susilo itu ditujukan kepada pihak mana. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Reaksi Megawati di depan Prabowo ditegur

Posted: 02 Jun 2014 11:02 AM PDT

Jakarta: Sikap Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) membalas salam Prabowo Subianto kelmarin mendapat kritikan banyak pihak kerana dianggap tidak mempamerkan sikap nasionalis sejati.

Penganalisis Politik Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Pangi Syarwi Chaniago berkata, sejak dulu Megawati Sukarnoputri memang dilihat tidak demokratik dalam amalannya.


"Dia menerapkan unsur oligarki dalam politik," katanya.

Di majlis mencabut nombor turutan untuk pemilihan presiden di ibu pejabat badan pengendali pilihan raya kelmarin, Prabowo - bekas pegawai kanan tentera elit - mengenakan songkok hitam, baju kemeja putih lengan panjang dan seluar krim memberi tabik hormat kepada Megawati yang juga bekas Presiden Indonesia kelima.


Bagaimanapun, Megawati langsung tidak membalas tabik hormat itu.


Melalui gambar yang tersebar, Megawati kelihatan cuma membalasnya dengan senyuman. Ia berbeza daripada Ketua Umum parti Nasdem, Surya Paloh serta Joko Widodo yang duduk di kiri serta kanan Megawati.

Surya dan Joko segera berdiri sebagai reaksi tabik hormat diberi Prabowo. Pangi berkata, sikap kenegaraan bapa Megawati, Presiden Soekano, nampaknya tidak menurun kepada anaknya itu. "Dulu walaupun berselisih fahaman politik dengan M Natsir (Perdana Menteri kelima Indonesia dan pengasas parti Majlis Syura Muslimin - Masyumi) serta Mohammad Hatta (Naib Presiden Pertama Indonesia), Sukarno tetap menghormati kedua-dua tokoh terbabit," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Pakar bom dicekup

Posted: 02 Jun 2014 11:01 AM PDT

Manila: Pasukan keselamatan Filipina menahan seorang pemberontak Muslim yang dikaitkan dengan pengeboman pada 2009 di Jolo, kata polis semalam.

Mihaji Hamjuda juga dikenali sebagai Mahang ditahan dalam operasi bersama polis dan tentera kelmarin.


Ketua Siasatan Jenayah Filipina, Benjamin Magalong berkata, Mahang terbabit dalam serangan bom lima tahun lalu yang menyebabkan tiga tentera - termasuk tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh. "Mahang boleh dianggap sebagai pakar bom dan memang dikehendaki polis sejak lama dulu," katanya. Jolo adalah kubu kuat militan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan kebanyakan mereka mempunyai kepakaran membuat bom atau menculik untuk mendapatkan wang. Dua tentera yang maut itu adalah sebahagian daripada ratusan anggota keselamatan AS yang bertugas di selatan Filipina bagi membantu Manila memerangi militan Islam.

Mangsa berada dalam kenderaan tentera apabila sebutir bom diletupkan.


Magalong berkata, tentera menyerbu tempat persembunyian Mahang di kawasan Indanan yang terpencil di Jolo. "Mahang adalah anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro yang ada kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf," katanya. Abu Sayyaf dianggotai ratusan pejuang dipercayai masih menahan beberapa tebusan warga asing di Jolo.


Antaranya, dia peminat burung warga Eropah serta seorang rakyat Jepun yang diculik beberapa tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Risau taktik polis menyamar wartawan

Posted: 02 Jun 2014 11:01 AM PDT

Bangkok: Persatuan Wartawan Thailand semalam menyatakan kebimbangan terhadap tindakan polis menyamar sebagai petugas media untuk menangkap penunjuk perasaan antikudeta di Bangkok.

Kebimbangan itu dinyatakan selepas satu rakaman video menunjukkan polis memakai pengenalan wartawan ketika membuat tangkapan tersebar dengan meluas. Satu lagi klip video menunjukkan dua lelaki menolak seorang wanita yang menyertai protes aman ke arah sebuah teksi yang sedang bergerak di Bangkok.


Junta tentera Thailand kini melancarkan kempen besar-besaran mengekang bantahan orang awam terhadap tindakan mereka merampas kuasa pada 22 Mei lalu.

Kelmarin pihak berkuasa berkata, kira-kira 5,700 tentera dan polis dikerah berkawal di sekitar Bangkok bagi mematahkan demonstrasi yang dirancang. Melalui klip video itu seorang wanita dilihat mempertikaikan tindakan beberapa lelaki berpakaian awam mengiringi ke sebuah motosikal.


Seorang daripada lelaki terbabit jelas memakai lencana bertulis 'PRESS' serta lilitan lengan hijau seperti pengenalan dikeluarkan dua persatuan wartawan berkenaan.


Jurucakap Persatuan Wartawan Thailand, Manop Thip-osod berkata, mereka amat bimbang dengan taktik pihak berkuasa itu. "Kami menggesa polis mengkaji semula strategi menghantar anggotanya menyamar sebagai wartawan untuk menahan penunjuk perasaan kerana ia memberi kesan besar terhadap keselamatan serta kredibiliti media negara," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Raja Sepanyol serah takhta kepada anak

Posted: 02 Jun 2014 11:00 AM PDT

Madrid: Raja Juan Carlos yang membawa Sepanyol beralih dari sistem diktator kepada demokrasi semalam mengumumkan pengundurannya bagi membolehkan anaknya, Felipe, menaiki takhta.

Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy berkata, kerajaan perlu menggubal peraturan bagi mewujudkan mekanisme perundangan bagi membolehkan proses itu berlangsung.


Penggubalan itu juga, kata Rajoy, perlu dibuat bagi membuka jalan kepada Felipe, 46, mengambil alih kuasa Juan Carlos. Bagaimanapun, Rajoy tidak menyatakan bila peralihan itu akan berlaku. Juan Carlos dijangka memberi ucapan kepada rakyatnya malam tadi. Istana Sepanyol turut memuat naik gambar raja itu bersalaman dengan di Twitter.

Melalui gambar berkenaan Juan Carlos menyerahkan sepucuk surat memaklumkan pengundurannya. Juan Carlos, 76, menjadi raja sejak 1975 dan dianggap wira oleh rakyat Sepanyol kerana memimpin negara itu melalui proses peralihan demokratik dan ekonomi.


Namun, dia menghadapi pelbagai masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

No comments:

Post a Comment