Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kasut raya tiruan

Posted: 22 Jun 2014 11:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang pemborong kasut berjenama tiruan menjadikan sebuah rumah kedai di tingkat bawah rumah flat di Taman Bukit Angsana, Cheras sebagai stor simpanan.

Kegiatan pemborong yang sudah setahun beroperasi itu terbongkar selepas premis berkenaan diserbu Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) malam kelmarin.

Serbuan pada jam 7 malam oleh enam pegawai itu merampas 50,000 pasang kasut dan selipar menggunakan jenama Adidas, Nike, Crocs, Timberland, Puma, Ferrari dan Reef yang diimport dari China.

Selain itu, turut dirampas sebuah lori tiga tan yang digunakan untuk penghantaran yang semuanya dianggarkan bernilai RM600,000.

Foto

ANGGOTA penguat kuasa memeriksa stok yang ditemui dalam serbuan.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, permintaan yang tinggi menjelang Aidilfitri tidak lama lagi menjadi alasan pemborong menambah jumlah stok.


"Siasatan tidak menolak mereka sedang dalam proses menghantar pesanan kepada pelanggan terutama kedai dan peniaga pasar malam di sekitar Lembah Klang.

"Serbuan ke atas premis ini dilakukan hasil aduan awam dan risikan selama sebulan," katanya.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai pekerja dan pemandu lori di premis itu ditahan untuk siasatan.

"Hasil soal siasat mendapati mereka menjual barangan itu antara RM3 hingga RM10 sepasang bergantung kepada saiz dan jenama kasut.

"Setiap kasut dibungkus dalam satu kotak besar yang mengandungi 48 pasang setiap satu," katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh membawa hukuman denda RM10,000 bagi setiap satu barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan individu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Terlalu awal sahkan didera emak

Posted: 22 Jun 2014 11:21 AM PDT

Seremban: "Berdasarkan pemeriksaan awal, badan remaja itu tinggal tulang dan kulit kerana tidak diberi makan secara sempurna. Dia memerlukan tempoh lama untuk pulih sepenuhnya." kata Pengarah Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Datuk Dr Jaafar Che Mat ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada remaja orang kelainan upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, didera ibunya.

Menurutnya, pakar masih menjalankan rawatan rapi terhadap Muhammad Firdaus untuk meningkatkan tahap kesihatan remaja itu.

"Setakat ini, dia dilaporkan stabil dan pakar menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti wujud penderaan fizikal atau sebaliknya," katanya.


Beliau berkata, pihaknya juga terpaksa memberi kaunseling kepada Muhammad Firdaus supaya dia membiasakan diri dengan persekitaran baru dan percaya dengan doktor pakar yang memberikan rawatan.


Dr Jaafar berkata, beliau meletakkan harapan tinggi remaja malang terbabit akan sembuh dan pihaknya akan memberikan perhatian dan rawatan khusus sepanjang ditempatkan di HTJS.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Serah pada JKM sebagai langkah terakhir

Posted: 22 Jun 2014 11:20 AM PDT

Kuching: Ibu bapa yang tidak mampu menjaga anak Orang Kurang Upaya (OKU) disaran merujuk masalah mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada menganiayai anak istimewa itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata walaupun sering menekankan penglibatan JKM cara terakhir menyelesaikan masalah dihadapi, namun jika tiada penyelesaian pihaknya tidak menolak untuk mengambil alih tanggungjawab itu.

"Bagi saya daripada mereka mendera, membiarkan tanpa arah, serta mengabaikan anak istimewa yang seharusnya dibantu itu, kalau betul ibu bapa tidak mampu lagi, sila serahkan kepada kami, Insya-Allah kami meletakkan anak OKU ini di dalam institusi kementerian untuk kita pulihkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kes remaja OKU ditemui dikurung dalam keadaan menyedihkan di rumah di Nilai, awal pagi kelmarin.

Sebelum itu, beliau menghadiri majlis makan malam Selami Kasih dan Apresiasi Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti (STB) Kuching, di sini, malam kelmarin.

Rohani berkata jika ibu bapa anak OKU ingin terus menjaga anak istimewa itu biarpun menghadapi masalah, pihaknya masih mampu menyalurkan bantuan menerusi Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

"Ada 488 PDK di seluruh negara ketika ini.

Seperti yang saya sebut tadi, pembabitan JKM jalan terakhir kerana kami mahu semua OKU ini tidak dipisahkan daripada keluarga dan pemulihan boleh dilakukan di dalam komuniti menerusi PDK itu sendiri," katanya.

Rohani berkata PDK ini diwujudkan sebagai program alternatif kepada perkhidmatan pemulihan di institusi.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Doktor lemas di pantai PD

Posted: 22 Jun 2014 11:17 AM PDT

Port Dickson: Percutian seorang doktor bersama ahli keluarga bertukar tragik apabila mangsa ditemui lemas ketika mandi di pantai berhampiran hotel penginapannya Batu 4, Jalan Pantai di sini, pagi semalam.

Mangsa, Alexander Isaac Gurubatham, 80, berasal dari Bukit Pantai, Kuala Lumpur dikatakan menginap di hotel berkenaan bersama isteri, anak serta cucunya sejak tiga hari lalu untuk menghabiskan percutian hujung minggu.

Menurut seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali, mangsa amat gembira ketika bercuti di sini tanpa menyangka sesuatu yang buruk bakal menimpa mereka.

"Mendiang seorang yang sentiasa mengambil berat soal keluarga. Dia seorang ayah dan datuk yang penyayang kepada anak serta cucunya.

Foto

ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas.


"Kehilangannya pasti dirasai kerana dia amat rapat dengan semua ahli keluarga," katanya yang enggan ditemu bual ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa dan keluarga turun ke pantai untuk mandi sekitar jam 9 pagi.

"Mangsa bagaimanapun dilihat tenggelam secara tiba-tiba pada jam 9.30 pagi. Anak lelaki mangsa menyelam mencari mangsa tetapi gagal.

"Bagaimanapun, 20 minit kemudian mangsa dilihat timbul 50 meter dari lokasi dia tenggelam. Mangsa dibawa naik ke pantai oleh anak serta saudaranya sebelum didapati sudah tidak bernyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Kereta pelakon remuk dirempuh

Posted: 22 Jun 2014 11:03 AM PDT

Port Dickson: Kereta milik pelakon utama drama popular 'Love You Mr Arrogant', Zara Zya, remuk selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Batu 3, Jalan Pantai di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, sebuah kereta model Honda Prelude dikatakan terbabas sebelum merempuh empat kenderaan yang diletakkan di bahu jalan termasuk kereta model Suzuki Swift milik pelakon wanita itu.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 29, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama rakan-rakan sedang menjamu selera di sebuah gerai tepi pantai di Bagan Pinang di sini.

Menurutnya, dia bagaimanapun terkejut sejurus mendengar bunyi dentuman kuat dari arah tempat keretanya diletakkan.

Foto

KERETA Zara remuk dirempuh kereta terbabas.


"Sejurus mendengar dentuman itu, saya dan rakan bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati kereta saya remuk teruk akibat dirempuh. Namun saya bersyukur kerana tidak berada di dalam kereta ketika kejadian.


"Saya tidak menyangka kedatangan ke Port Dickson kali ini untuk bercuti menjadi pengalaman mengejutkan dan esok (semalam) kami akan balik ke Damansara, Kuala Lumpur," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

No comments:

Post a Comment