Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Beli jiwa' rakyat

Posted: 01 Jun 2014 10:23 AM PDT

Bangkok: Cubaan pertama junta tentera mewujudkan perdamaian dengan rakyat Thailand di Pathium Thani semalam mendapat pelbagai reaksi daripada penduduk setempat.

Kawasan itu dulunya terkenal sebagai stesen radio penyokong kerajaan Yingluck Shinawatra itu tidak lagi beroperasi setelah peralatan komunikasinya minggu lalu. Kini di premis stesen radio berkenaan, tentera menjadi 'tuan rumah' untuk meraikan penduduk kampung bagi membolehkan kedua-dua pihak mencapai persefahaman. Left Pitchaya Boonserm berkata, apabila semua pihak memahami apa yang berlaku di Thailand kini, perdamaian dapat dicapai. Bermula dari jam 9.30 pagi hingga tengah hari, tentera menerima kedatangan sesiapa saja untuk mendapatkan khidmat memotong rambut, pemeriksaan kesihatan, makanan, minuman atau menyanyi.


Semuanya secara percuma. Ia seakan karnival dan dihadiri sekurang-kurangnya 1,500 orang, selain sejumlah lagi memerhati dari jauh. Pelan perdamaian nasional itu adalah langkah pertama dirangka junta tentera sebelum pilihan raya diadakan. Ia dibentang Panglima Tentera Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha Jumaat lalu. Penyokong Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) Getsuda Gosalavanid, 43, berkata dia gembira tentera mengadakan acara itu kerana memberi peluang kepadanya meluahkan pandangan.

Seorang lagi penduduk setempat berkata, tiada seorang pun penyokong Baju Merah yang dikenalinya hadir.


"Mereka hanya melihat dari luar, mereka tidak melakukan kekecohan, hanya memerhati dari rumah," katanya.


Kebanyakan yang hadir memakai baju tentera atau hitam dengan bendera Thailand.

Foto

ANGGOTA tentera menyanyi bersama orang awam dalam aktiviti karaoke yang dianjurkan di sebuah stesen radio, semalam.

Bagaimanapun, tidak semua berpuas hati dengan apa yang dianjurkan oleh tentera, seorang lelaki ketika diwawancara berkata, acara perdamaian tidak mampu mengubah fikirannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Apabila hati sudah benci

Posted: 01 Jun 2014 10:19 AM PDT

Kingsdale, Afrika Selatan: Seorang lelaki menyaman pasangannya kerana 'melanggar kontrak cinta' mereka selepas wanita terbabit menghalau mentuanya keluar dari rumah sehingga memaksa mereka mencari rumah lain.

Mark Lenoury kini menetap di rumah yang menjadi pertikaian dengan isterinya di Jalan Waterlea, Kingsdale.


Turut tinggal di situ, seorang anak lelaki mereka yang berusia empat tahun. Lenoury bekerja sebagai kontraktor AS di Sudan dan Djibouti.

Lenoury menegaskan dia layak duduk di rumah berkenaan kerana turut membantu membiayai pengubahsuaiannya. Dia juga mendakwa menanggung nafkah pasangannya itu, Vanessa van Vuuren.


"Perkara yang menyakitkan hati, saya dilayan dengan tidak adil selepas melaksanakan pengubahsuaian lebih dari AS$30,000 (RM96,000) ke atas rumah itu. Saya tidak akan berganjak keluar kami rumah berkenaan tanpa perintah mahkamah," katanya. Berdasarkan perjanjian dibuat antara pasangan itu, Vanessa dilarang menghadiri sebarang majlis atau parti, menggunakan Internet, menghubungi keluarga atau menjemput rakan ke rumah, dan meninggalkan tempat tinggal pasangan itu tanpa kebenaran terlebih dulu daripada Lenoury.


Ketika diwawancara oleh akhbar semalam, dengan penuh emosi, Vanessa memberitahu sebab dia menandatangani kontrak berkenaan.

"Lenoury berkata kepada saya jika sesuatu terjadi kepada bayi kami dan saya tidak menandatangani kontrak itu, dia akan membunuh saya.


"Bukan itu saja. Apabila Lenoury meninggalkan rumah dia akan mengurung kami berdua di dalam rumah. Dia menjadikan saya seperti banduan. Bila saya bertanya bagaimana jika terjadi sesuatu seperti kebakaran, dia hanya menjawab kamu akan selamat," katanya.

Vanessa turut memberitahu ketika dia hidup bersama dia dilarang berjumpa dengan ibu dan rakannya.


"Semasa kami tinggal di Harare, ibu saya datang menjenguk. Lenoury menghalaunya dan mengatakan tidak cukup katil untuk orang tambahan di rumah ini," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Lelaki tunjuk kemaluan kepada gadis 10 kali setahun

Posted: 01 Jun 2014 10:18 AM PDT

Tokyo: Polis Jepun menahan seorang lelaki berusia 35 tahun selepas dia 'mendedahkan' dirinya di depan seorang remaja sekolah di tepi jalan di wad Edogawa, Sabtu lalu.

Menurut jurucakap polis, Akira Imazu dituduh melakukan perbuatan keji depan khalayak umum.


Stesen televisyen Asahi melaporkan kira-kira jam 8 pagi 21 Mei, Imazu mendedahkan dirinya di hadapan seorang remaja perempuan yang menunggang basikal ke sekolah.

Polis berkata, pekerja industri perkhidmatan makanan dan minuman itu membuat lubang di celah kelangkang seluarnya sebelum keluar melakukan perkara itu.


"Saya memang sentiasa seronok mendedahkan bahagian itu kepada remaja perempuan. Saya melakukannya selama 10 kali tahun ini seorang diri," katanya ketika ditahan polis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Padah 'berkepit' telefon bimbit

Posted: 01 Jun 2014 10:18 AM PDT

Qingdao (China): Seorang lelaki mengalami masalah penglihatan selepas menghabiskan masa terlalu lama menghantar pesanan ringkas telefon bimbit dalam gelap.

Lelaki tidak dikenali berusia 26 tahun itu mendakwa, dia mula melihat 'cahaya' depan matanya selepas beberapa jam menggunakan WeChat.


Sumber berkata, lelaki terbabit tidak henti-henti menggunakan telefon pintarnya di mana saja dia berada, sama ada di pejabat, di atas katil dan dalam gelap.

Bimbang dengan apa yang berlaku, dia mendapatkan rawatan doktor.


Malangnya, ia terlambat kerana doktor mengesahkan retina kirinya terpisah sepenuhnya.


Lelaki itu menjalani pembedahan kecemasan dan mungkin bernasib baik jika penglihatannya kembali pulih.

Pakar mata Yu Bin berkata, walaupun kes itu dianggap ekstrem. Dia juga berkata, pemisahan retina kerap berlaku dalam dalam kalangan orang lebih tua.


"Bagaimanapun umur purata pesakit berubah kerana aktiviti melampau telefon berkenaan dipelopori orang lebih muda," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Jangan main-main pakaian celoreng

Posted: 01 Jun 2014 10:17 AM PDT

Bangkok: Junta tentera semalam memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memakai pakaian celoreng ketika menghadiri sebarang acara.

Jurucakap Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam Kebangsaan (NCPO), Kol Winthai Suvaree berkata, tindakan itu boleh mengelirukan banyak pihak. Katanya, tambahan pula ada pihak tertentu yang bertindak di luar undang-undang ketika memakai pakaian ala tentera itu.


"Ia menyebabkan orang ramai memberi tanggapan salah kepada tentera," katanya.

Winthai berkata, tentera mahu orang ramai bekerjasama dengan mematuhi arahan dikeluarkan itu.


"Arahan ini juga dikenakan ke atas mereka yang mahu berfesyen dengan baju tentera," katanya.


Kenyataan itu dipercayai dibuat ekoran khabar angin mengatakan beberapa lelaki menyamar sebagai anggota tentera dan merompak petani di timur laut Thailand.

Bagaimanapun Winthai berkata, laporan mengenai rompakan itu tidak benar. "Orang ramai masih boleh membezakan antara seragam tentera sebenar atau palsu melalui cara pangkat pada pakaian berkenaan. "Orang ramai juga boleh meminta dokumen pengesahan daripada sesiapa yang mendakwa anggota tentera," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Mangsa lumpur Lapindo terus diabai

Posted: 01 Jun 2014 10:17 AM PDT

Jakarta: Penduduk Kampung Siring di daerah Sidoarjo, Tjarwadi sebelum ini tidak mengenali pun Sadawi Priadi, 65 dari kampung Glagah Arum.

Namun, mereka disatukan oleh nasib yang sama kehilangan rumah serta harta-benda akibat dihanyutkan banjir lumpur hasil operasi penggerudian minyak milik PT Lapindo Brantas Inc pada 2006.


Syarikat itu pula dimiliki keluarga Bakrie yang dinaungi Ketua Umum Parti Golkar Aburizal Bakrie.

Sama ada Tjarwadi, 68, atau Sadawi, mereka tidak pernah mendapat bayaran pampasan seperti dijanji kerajaan.


Kata Tjarwadi yang menjadi penjaja jalanan itu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pernah berjanji memberi pampasan kepada setiap mangsa banjir lumpur Lapindo pada Februari 2010.


"Cuma janji tinggal janji," katanya.

Khamis lalu, genap lapan tahun penduduk kampung berkenaan menjadi mangsa banjir lumpur berkenaan. Kata Tjarwadi, Lapindo sepatutnya menjelaskan pampasan Rp635 juta (RM55,000) untuk rumahnya tetapi dia dan isterinya Saropah, 55, hanya menerima Rp247 juta (RM21,000).


Perkara sama juga terjadi kepada Sadawi - seorang pemandu syarikat membuat kasut - yang kehilangan rumah dan tanah. Dia dijanjikan pampasan Rp1.1 bilion (RM275,000) tetapi setakat ini hanya menerima Rp320 juta (RM26,000).

Menurut Lembaga Perancang Pembangunan Negara, banjir lumpur itu menyebabkan kerugian Rp27.7 trilion (RM7.4 juta) serta melenyapkan lebih 600 hektar tanah dan menyisihkan 39,700 orang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

6 juruukur diculik lelaki bersenjata

Posted: 01 Jun 2014 10:17 AM PDT

Manila: Sekumpulan lelaki bersenjata menculik enam juruukur perhutanan di selatan Filipina, lapor tentera semalam dalam serangan terbaru ke atas pekerja alam sekitar di sana sejak beberapa tahun ini.

Jurucakap tentera Leftenan Jeneral Ricardo Rainier Cruz berkata, anggota tentera dikerah membantu polis mengesan mangsa yang bekerja untuk Jabatan Persekitaran Dan Sumber Asli.


"Keutamaan kami ialah membebaskan semua mangsa dengan selamat," katanya.

Keenam-enam mangsa dalam perjalanan membuat kajian program perhutanan di pergunungan lembah Compostela yang terpencil di Kepulauan Mindanao.


Mereka diculik pada Jumaat lalu.


Bagaimanapun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan penculikan walaupun ada beberapa kumpulan bersenjata beroperasi di kawasan berkenaan, termasuk gerila komunis dan anggota keselamatan swasta yang bekerja secara haram untuk pembalak dan pelombong.

Sekurang-kurangnya 20 orang renjer terbunuh sejak kerajaan mengenakan mengenakan larangan pembalakan di seluruh negara untuk membanteras aktiviti haram berkenaan sejak 2010. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Prabowo janji jadikan rakyat kaya

Posted: 01 Jun 2014 10:16 AM PDT

Jakarta: Pemimpin parti Gerindra yang kini dalam usaha menjadi presiden, Prabowo Subianto semalam berikrar menjadikan seluruh rakyat Indonesia 'kaya' jika gandingannya bersama Hatta Rajasa berjaya mengatasi Joko Widodo (Jokowi) - Jusuf Kalla.

Bekas pegawai kanan tentera elit itu berkata, ketika ini sebahagian besar rakyat Indonesia masih hidup di bawah paras kemiskinan.


Justeru, katanya, menjadi azamnya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat negara itu .

"Yang pertama perlu kita lakukan ialah membuat bangsa Indonesia kaya.


"Jika bangsa Indonesia miskin, bermakna majoriti rakyat akan hidup miskin," katanya. Prabowo berpasangan dengan pemimpin daripada Parti Amanat Nasional, Hatta untuk merebut jawatan presiden dan naib presiden dalam pemilihan 9 Julai ini. Mereka dicabar Jokowi yang semakin dikenali kerana tugasnya sebagai Gabenor Jakarta serta Jusuf yang pernah dilantik sebagai naib presiden di bawah Susilo Bambang Yudhoyono antara 2004 hingga 2009.


Menurut Prabowo, kekayaan Indonesia ketika ini tidak diagih secara rata dan dikuasai segelintir pihak. Justeru, katanya, keadaan itu tidak akan menghasilkan keadilan sosial kepada seluruh warga. "Keadilan bukan saja untuk pihak yang kuat dan kaya, malah buat golongan miskin juga," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

'Perisik' PDI-P undang provokasi

Posted: 01 Jun 2014 10:16 AM PDT

Jakarta: Tindakan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menghantar 'perisik' untuk memantau khutbah di masjid dianggap sangat provokatif serta membawa Indonesia kembali ke zaman Suharto.

Ketua Umum Pemuda Muhammadiyah Saleh Daulay berkata, belum ada bukti kukuh menunjukkan masjid menjadi tempat kempen memburuk-burukkan mana-mana calon presiden atau naib presiden. "Langkah mengawasi khatib sangat provokatif seolah-olah sudah ada seseorang sedang dizalimi sedangkan belum ada bukti mimbar Jumaat menjadi landasan memfitnah sesiapa," katanya. Saleh berkata, setakat ini tiada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan mimbar masjid menjadi alat menjatuhkan Joko Widodo (Jokowi). Malah, kata Saleh, individu yang mempunyai ruang paling luas memanfaatkan masjid adalah regu Jokowi sendii, Jusuf Kalla yang kini memegang jawatan Ketua Umum Dewan Masjid Indonesia.


"Jusuf menguasai jaringan besar masjid di seluruh Indonesia," katanya. Semalam media melaporkan, PDI-P menghantar 'perisik' mereka untuk mengawasi isi khutbah Jumaat bagi mengelak calon mereka diburuk-burukkan. Sementara itu, Setiausaha Kabinet Indonesia Dipo Alam berkata, langkah PDI-P itu mengingatkan rakyat kepada Indonesia di bawah pengawasan ketat tentera di era Orde Baru.

Ketika itu kehidupan rakyat sentiasa dicurigai kumpulan elit tentera di bawah kendalian Jen Benny Moerdani.


"Pada masa itu ada tokoh ilmuan Islam dibelasah teruk kerana didakwa membahayakan negara," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Kumpulan Naif rahsiakan undi

Posted: 01 Jun 2014 10:15 AM PDT

Jakarta: Walaupun sudah beberapa tahun bersama, anggota kumpulan Naif tidak pernah berbincang mengenai tokoh mana yang perlu disokong pada pemilihan presiden bulan depan.

Gitaris Naif, Fajar Endra Taruna berkata, mereka mencapai persefahaman untuk merahsiakan pilihan masing-masing.


"Ahli muzik sepatutnya bersikap neutral atau tidak berpihak kepada mana-mana calon sebaliknya tekun mengawasi tindak-tanduk ahli politik," katanya.

Justeru, kata Fajar, jika ada mana-mana pemimpin atau menteri yang tidak menjalankan tugas dengan baik, aktivis seni boleh menyampaikan teguran melalui karya masing-masing.masing-masing. "Sehingga kini pun kedua-dua pasangan masih belum mampu menjelaskan misi dan visi masing-masing," katanya.


Vokalis Naif, David Bagus Danang Jaya juga bersetuju.


Katanya, dia belum membuat keputusan untuk memilih siapa dalam pemilihan akan datang.

"Namun, saya berjanji akan menggunakan hak saya untuk mengundi," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

No comments:

Post a Comment