Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Leka bawa padah

Posted: 31 May 2014 10:28 AM PDT

Kuala Lumpur: Kelekaan benteng mengekang asakan bertali arus pada babak kedua menyaksikan Malaysia kecundang 0-4 kepada juara bertahan, Australia pada perlawanan pertama Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 di Stadium Kyocera, The Hague, Belanda, semalam.

Skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mensia-siakan beberapa peluang terbaik babak pertama sebelum Australia memanfaatkan peluang membuka jaringan menerusi penyudah berseorangan Glenn Turner pada minit ke-25.

Australia beraksi dengan gerakan pantas meledak tiga gol dalam masa empat minit pada separuh masa kedua.

Eddie Ockenden menjaringkan gol kedua Australia pada m-50 sebelum Turner menjadikan kedudukan 3-0 dua minit kemudian. Jamie Dwyer menjadikan kedudukan 4-0 pada m-52.

Foto


Pujian harus diberikan kepada penjaga gol berpengalaman, S Kumar kerana menafikan lebih daripada empat peluang terbaik Australia menambah jaringan pada perlawanan itu.


Mengulas kekalahan anak-anak buahnya, Dhaarma berkata, skuad negara bermain dengan baik pada separuh masa pertama.

"Kami dapat mengurangkan jaringan pasukan lawan menerusi pukulan sudut penalti berbanding kesilapan sama sering dilakukan ketika berdepan mereka sebelum ini," katanya selepas perlawanan.

Malaysia akan beraksi pada perlawanan kedua menentang Belgium esok di Stadium Greenfields.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan A akan menentang England pada 5 Jun, India (7 Jun) dan Sepanyol pada perlawanan terakhir 9 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Penat Mek Na berbaloi

Posted: 31 May 2014 10:26 AM PDT

Kuala Perlis: "Saya tiba di sini kelmarin (Khamis) dari Astana (Kazakhstan). Belum balik rumah lagi tetapi Alhamdullillah, kepenatan saya berbaloi," kata atlet Selangor Farina Shawati Mohd Adnan, 18.

Farina atau 'Mek Na' memenangi dua emas temasya SUKMA buat kontinjen Merah Kuning apabila mengungguli acara 200 meter pecut dan 500 meter individu, pagi semalam.

Ketika menyertai Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Astana, pelumba negara itu memenangi gangsa dalam acara keirin.

"Sebaik tiba di KLIA, saya terus menaiki pesawat ke Kedah untuk menyertai acara ini, saya tak sempat mencuba laluan ini dan terus berlumba.

Foto

FARINA (kiri) bersama pingat yang dimenangi.


"Laluan di sini mendatar dan angin kuat agak membantu kerana ia datang dari arah belakang," kata bekas pelajar SMK Bukit Jalil itu.


Farina melakar 12.754 saat dalam acara 200m untuk menewaskan Laureta Eva dari Sabah dan Ummi Hamimah Mohamad dari Terengganu.

Dalam acara 500m, Farina meneruskan kecemerlangannya apabila mencatat 39.029s menewaskan Ummi Hamimah serta seorang lagi pelumba Terengganu Nur Aisyah Mohd Zubir.

"Saya hadiahkan kemenangan ini untuk kedua ibu bapa dan jurulatih yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan selama ini," kata Farina yang sudah tiga tahun menyertai skuad kebangsaan.

Selain dua acara berkenaan, Farina juga akan menyertai acara kriterium dan lepas beramai-ramai berpasukan hari ini.

Sementara itu acara pecut 200m lelaki dimenangi pelumba Melaka, Mohd Arfy Qhairant Amran manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Mohd Firdaus Mohd Zonis (Selangor) dan Mohd Firdaus Shahrom (Johor).

Acara 1 kilometer lelaki pula dikuasai Mohd Firdaus Zonis diikuti Mohd Arfy dan Mohd Firdaus Shahrom.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Pena Arena: Kegagalan Perlis bawa impak buruk

Posted: 31 May 2014 10:24 AM PDT

Perlis, negeri kecil di utara tanah air akhirnya menjadi tumpuan, tetapi lebih kerana sebab yang salah.

Ketika negeri itu sepatutnya boleh berbangga menjadi tuan rumah SUKMA Ke-17 yang membabitkan atlet terbaik di bawah umur 21 tahun dari seluruh pelusuk negara, tapi apa yang berlaku menjelang dan semasa kejohanan itu berlangsung memalitkan imej Perlis sebagai penganjur.

Kegagalan menyiapkan pusat akuatik dan dewan badminton mengikut tempoh dan spesifikasi ditetapkan mendorong kepada timbulnya pelbagai masalah.

Tidak cukup dengan acara renang ditangguhkan sehari lewat kerana kerja-kerja pengubahsuaian, lebih malang kanvas yang dijadikan bumbung di bahagian kolam renang Pusat Akuatik, Kangar terkoyak hanya selepas 10 minit hujan lebat akibat tidak dapat menampung lebihan takungan air.

Semalam, hujan lebat juga menyaksikan bumbung dewan badminton bocor yang menyebabkan lantai digenangi air.

Ada banyak perkara yang menjadi punca kepada kegagalan projek besar ini, terutama apabila elemen utama pengurusan projek yang baik dipandang sambil lewa atau tidak diendahkan pada peringkat awal, semasa dan selepas projek itu dilaksanakan sehingga mengundang masalah berkenaan.

Lantaran peristiwa itu berlakulah tuding menuding, mempersalahkan yang lain apabila masing-masing ingin melepaskan tangan, tidak ubah seperti lagu Bangau oh Bangau! yang mungkin tiada kesudahannya.

Nasib baik apa yang berlaku itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.


Bayangkan jika atlet muda yang akan mewakili negara kita pada masa depan kehilangan nyawa akibat masalah yang berlaku itu.

Jika itu berlaku, seluruh rakyat Malaysia pasti tidak akan memaafkan mereka yang terbabit kerana dari segi keselamatan, sepatutnya tidak ada kompromi.


Agak malang Perlis seperti mana tuan rumah, Pahang dan Terengganu sebelum mereka, masih gagal melarikan diri daripada badi menjadi tuan rumah SUKMA.

Terengganu, terutamanya pasti diingati kerana runtuhnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada 2009.

Tapi, apa yang penting pembinaan 'projek mega' di Perlis itu diharapkan tidak akan menjadi projek gajah putih selepas ini.

Justeru, baik kerajaan negeri mahupun persatuan sukan di negeri itu, mereka harus memastikan bukan saja pembinaan kompleks sukan itu menjadi pemangkin ekonomi, yang lebih penting ada atlet berwibawa boleh diketengahkan bagi memberi justifikasi yang pelaburan dilakukan itu berbaloi.

Sarawak, tuan rumah selepas ini sepatutnya boleh menjadikan apa yang berlaku di Perlis sebagai iktibar apabila tiba giliran mereka menganjurkan temasya ini pada 2016.

Segala bentuk pembinaan infrastruktur sepatutnya sudah bermula daripada sekarang supaya segala-galanya tersedia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Bagi Perlis, marilah kita berdoa agar tiada lagi insiden tidak diingini dalam beberapa hari ini sebelum temasya berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Pengorbanan berbaloi

Posted: 31 May 2014 10:22 AM PDT

Kangar: Bukan sesuatu yang luar biasa bagi seorang atlet memenangi lebih daripada satu emas dalam mana-mana pertandingan sekali pun tetapi apa yang dilakukan atlet Wilayah Persekutuan Christina Edris, 21, agak mengejutkan.

Apakan tidak, pada temasya SUKMA Perlis kali ini, Christina bertanding dalam dua sukan berbeza - pencak silat serta karatedo.

Dia memenangi emas kedua-dua acara berkenaan.

Kalau ada gelaran untuk 'atlet tempur terbaik' Christina mampu merebutnya kerana bukan calang-calang individu mampu beraksi cemerlang dalam kedua-dua sukan terbabit.

Ketangkasannya di dalam acara akhir karate bawah 68 kilogram (kg) memberikan emas peribadi pertamanya selepas menewaskan wakil Terengganu.

Pada petang hari yang sama, dia turun ke gelanggang silat untuk menyertai separuh akhir dan sehari kemudian, Christina memahat namanya dalam tinta SUKMA apabila merangkul emas kedua peribadi kategori Puteri E.

Berasal dari Kampung Kerupang Satu, Labuan, graduan dari Politeknik Kota Kinabalu dalam jurusan diploma pengurusan perniagaan itu mengakui pengorbanannya selama ini yang terpaksa membahagikan masa antara pelajaran dan latihan berbaloi.

"Bukan mudah bagi saya untuk berada di tahap ini.

Saya perlu berlatih dalam dua acara, silat dan karate-do setiap hari di samping menghadiri kelas kerana itu tanggungjawab saya sebagai penuntut.

"Penat memang penat.

Foto

CHRISTINA (kiri) ketika menentang atlet Terengganu, Kanagalatchumi Nagendran dalam kategori Kumite Individu Wanita 68 Kilogram.


Tapi kepenatan itu hilang sesudah berjaya menggenggam emas di sini," kata anak bongsu tiga beradik itu.

Sejak menyertai dua temasya SUKMA pada 2010 dan 2012, gadis lasak berketurunan Kadazan itu hanya mampu membawa dua pingat perak.

"Saya agak sedih kerana selepas ini tidak dapat lagi mewakili WP pada SUKMA akan datang.


Banyak kenangan manis dan kejayaan diraih sepanjang bergelar atlet buat kontinjen WP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Pahang bidik dua emas

Posted: 31 May 2014 10:21 AM PDT

Kangar: Pahang menambah dua lagi emas temasya SUKMA menerusi acara menembak di Lapang Sasar Sungai Batu Pahat, semalam.

Pingat emas pertama disumbangkan Nur Afifah Tarmizy menerusi kategori 50m rifle prone individu wanita selepas mengumpul 586.37 mata manakala perak diraih atlet Selangor, Nur Syahirah Zulkifli (585.32 mata) dan gangsa milik atlet kebangsaan dari Pahang, Aina Zahiran (584.24 mata).

Emas kedua Pahang diraih menerusi kategori 50m rifle prone berpasukan wanita dengan trio Nur Afifah, Aina dan Nurfadhilah Ahmad Kamal mengumpul 1,745.89 mata manakala perak Negeri Sembilan (1,738.71 mata) dan gangsa milik Selangor (1,729.77 mata).

Aina, 20, berkata, persembahan kontinjen Pahang kali ini meningkat hasil kerjasama semua ahli pasukan.

"Saya gagal mempertahankan pingat emas dalam acara individu yang dimenangi sebelum ini selepas tewas kepada rakan sepasukan tetapi rekod bagi acara itu yang saya lakukan di SUKMA Melaka belum dipecahkan," katanya.

Atlet kebangsaan, Zul Haziq Rosli menyumbang satu pingat emas untuk Wilayah Persekutuan menerusi acara 10m air rifle individu lelaki dengan 615 mata, perak Mohamad Lutfi Othman (609 mata) dan gangsa atlet Terengganu, Ahmad Adib Aiman Mohd.

Rafii (603 mata).

Pulau Pinang meraih satu emas menerusi acara 10m air rifle berpasukan lelaki selepas mengumpul 1800 mata, perak milik Terengganu (1,796 mata) dan Pahang gangsa (1,782 mata).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Kelibat Haris curi tumpuan

Posted: 31 May 2014 10:20 AM PDT

Kangar: Jika sebelum ini negara berbangga dengan kemunculan Bryan Nickson Lomas, atlet cilik yang pernah diberi penghormatan selaku pembawa bendera Jalur Gemilang pada temasya Sukan Olimpik Athens, Greece 2004, kehadiran atlet paling muda Muhamad Haris Mohd Rezal di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Negeri paling mencuri tumpuan pada SUKMA kali ini.

Baru menginjak usia seawal 9 tahun, Haris yang ditemani bapanya juga pengurus skuad renang Selangor Mohd Rezal Zambri mengakui anaknya ingin menjadi sehebat dua penerjun senior negara iaitu Bryan dan Pandalela Rinong.

"Pada awalnya, saya tidak tahu bakat Haris dalam sukan terjun kerana dia aktif pada sukan renang.

Tetapi selepas jurulatih di sekolahnya cuba menukar kepada sukan terjun, saya dapat lihat dia lebih berbakat dalam acara itu.

"Saya menyenaraikan namanya pada SUKMA kali ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada Haris buat persediaan SUKMA di Sarawak nanti," kata bapanya.

Haris murid darjah tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Subang itu hanya tersenyum dan berdiam diri apabila ditemui.

Haris bakal menyertai acara satu meter papan anjal lelaki bersama abangnya Muhamad Shah Mohd Rezal adalah pertaruhan terbaik kontinjen Selangor dalam acara itu.

"Memang untuk Haris kami tidak meletakkan harapan tinggi, tetapi abangnya Shah adalah prospek pingat buat Selangor.

"Shah sudah lama bersama skuad terjun Selangor, walaupun dia juga masih muda namun pengalaman abangnya yang menyertai pelbagai kejohanan tempatan dapat membantu pasukan meraih pingat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Irfan lakar rekod baru

Posted: 31 May 2014 10:19 AM PDT

Kangar: Atlet Negeri Sembilan Muhammad Irfan Shamshuddin (gambar) melakar rekod baru kebangsaan dengan emas acara lempar cakera pada SUKMA Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, semalam.

Anak kelahiran Seremban berusia 19 tahun itu mencatat 54.26 meter (m), mengatasi rekod kebangsaan miliknya 53.16m yang dilakar ketika memenangi emas Sukan SEA Myanmar hujung tahun lalu.

"Saya memang tak jangka dapat pecahkan rekod kebangsaan.

Sebenarnya saya hanya mahu pecahkan rekod temasya kerana persiapan saya cuma ala kadar saja.

"Tiada apa-apa rahsia, mungkin saya cuma dapat berikan tumpuan sepenuhnya semasa sesi latihan dan kekalkan tahap kecergasan saya.

"Boleh dikatakan pencapaian ini adalah permulaan terbaik untuk lebih konsisten sebelum beraksi dalam beberapa kejohanan besar seperti Kejohanan Remaja Dunia di Amerika Syarikat Julai depan dan Sukan Asia di Korea Selatan September ini," katanya.

Sementara itu, dalam acara akhir lompat jauh lelaki, Nik Lukmanul Hakim Nik Yahya dari Kelantan muncul juara selepas melakukan lompatan 7.18m.

Atlet tuan rumah, Abdul Latif Romly berada di tempat kedua dengan 7.12m diikuti Jonathan Larus dari Sabah dengan 7.02m.

Atlet Wilayah Persekutuan Elena Goh pula menepati sasaran selepas meraih emas kedua dalam acara 10,000 meter jalan kaki wanita dengan masa 54 minit 06.25 saat.

Pingat perak menjadi milik Pua Ling En dari Johor 55:43.67s sementara Nur Aisyah Ahmat dari Sarawak meraih gangsa 56:43.67s.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Dhabitah teruskan aksi cemerlang

Posted: 31 May 2014 10:18 AM PDT

Kangar: Penerjun pelapis kebangsaan dari Wilayah Persekutuan Nur Dhabitah Sabri memperagakan aksi cemerlang apabila merangkul dua daripada tiga emas yang ditawarkan pada hari ketiga acara terjun di Pusat Akuatik, semalam.

Dia meraih pingat emas dalam acara 3m papan anjal wanita dengan pungutan 298.90 mata sebelum berganding dengan Loh Zhiayi untuk merangkul emas dalam acara 10m platform seirama.

Atlet berusia 15 tahun itu mengakui prestasinya lebih baik dalam acara 3m papan anjal berbanding acara 10m platform seirama.

"Saya berpuas hati dengan persembahan papan anjal...memang saya sasarkan pingat emas bagi kedua-dua acara dan pencapaian ini mencapai sasaran SUKMA saya," katanya.

Bagi acara 3m papan anjal wanita, Nur Dhabitah mendahului penerjun Selangor Adeline Chin Wei Ling yang mengumpul 244.65 mata.

Penerjun kebangsaan Jasmine Lai Pui Yee yang mewakili Perak meraih pingat gangsa, 223.65 mata.

Bagi acara 10m platform terjun seirama, Nur Dhabitah/Loh dengan catatan 261.78 mata menewaskan pasangan Kimberly Bong/Tracia Irene dari Sarawak (193.38) manakala gangsa oleh gandingan Selangor Lim Min/Erica Pan ((157.86).

Pasangan Nur Dhabita/Loh sebelum ini meraih pingat emas dalam acara sama pada SUKMA Pahang, dua tahun lalu.

Sementara itu, pingat emas bagi acara 1m papan anjal lelaki dimenangi oleh penerjun Wilayah Persekutuan Muhammad Syafiq Puteh dengan 319.10 mata.

Pingat perak diraih oleh atlet Selangor Chew Yi Wei (317.60) dan diikuti dengan Carlyse Chan (315.70) dari Sarawak meraih pingat gangsa.

Pada hari pertama acara terjun, Khamis lepas, Muhammad Syafiq turut meraih pingat emas dalam acara 3m Papan Anjal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Singa Utara idam ibu emas

Posted: 31 May 2014 10:18 AM PDT

Arau: Dengan status sebagai pasukan 'under dog', Perlis tidak pernah bermimpi untuk berada di kelompok empat pasukan terakhir bola sepak SUKMA apatah lagi pencapaian terbaik mereka hanyalah pingat perak yang dimenangi ketika temasya serupa berlangsung di Terengganu, enam tahun lalu.

Namun kini, Singa Utara semakin berani mengidam untuk mendapatkan ibu pingat emas SUKMA dan yakin mempunyai peluang cerah merealisasikannya memandangkan mereka mempunyai beberapa senjata dan taktik tersendiri termasuk kelebihan selaku tuan rumah.

Pengurus Perlis, Wan Muhamad Fitri Wan Zahari berkata, persiapan anak buahnya untuk menghadapi SUKMA bermula sejak Oktober lalu dan sebahagian besar pemain datang dari pasukan Piala Presiden.

Atas kertas, Wan Muhamad Fitri yakin Perlis berpeluang mendapat emas walaupun bakal berdepan saingan Perak yang pernah menjadi naib juara SUKMA Pahang dua tahun lalu.

Beliau berkata, Perlis mendapat bimbingan bekas pemain negeri dan kebangsaan Yusri Che Lah.

"Pada peringkat awal, bola sepak tidak langsung diletakkan sebagai penyumbang pingat oleh Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNPs).

"Namun, kejayaan melangkah ke separuh akhir membayangkan kami mempunyai peluang yang amat cerah untuk meraih pingat emas iaitu ibu pingat bagi SUKMA.

"Peluang ini tidak datang dengan mudah dan bukannya selalu.

Justeru, kami akan cuba sehabis baik untuk memastikan impian meraih emas tercapai.

"Kami berharap sokongan daripada peminat tidak akan luntur kerana mereka adalah pemain ke-12 dalam pasukan dan membantu memberikan sokongan moral kepada pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Sokongan ibu buat Wan Hafiz

Posted: 31 May 2014 10:17 AM PDT

Biarpun terpaksa menempuh perjalanan selama lapan jam dari Kuala Terengganu ke Kangar, ianya tidak sedikitpun menghalang Rosliza Said untuk hadir memberi sokongan kepada kontijen negeri kelahirannya itu, terutama acara hoki yang turut diwakili anaknya.

Sejak hari pertama pasukan hoki lelaki Terengganu turun ke arena, jeritan dan sorakan penuh bersemangat sentiasa meriuhkan suasana gelanggang hoki di Kompleks Sukan Negeri Kangar.

Rosliza, 41, yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Padang Midin Kuala Terengganu, mengakui amat teruja dan puas setiap kali hadir ke stadium untuk memberi sokongan berbanding hanya melihat di depan kaca televisyen.

"Memang dari dulu sejak zaman remaja lagi saya minat bersukan lebih-lebih lagi bowling. Kebetulan anak saya memakai jersi nombor 12 (Wan Hafiz Syazwan Wan Mazlan) mewakili Terengganu dalam acara hoki, jadi saya datang bersama keluarga bagi menyokong anak dan sekaligus pasukan negeri kerana kita adalah juara bertahan.

Foto
Foto

TERENGGANU juara hoki lelaki dan wanita SUKMA 2012


"Walaupun teknologi sekarang semakin canggih dan moden di mana kita boleh menonton perlawanan di depan televisyen, tapi bagi saya kepuasan sebenar hadir bila kita berada di stadium dengan melihat sendiri aksi depan mata.


"Disamping itu, saya sendiri boleh menjerit nama anak untuk memberi semangat kepadanya dan secara tidak langsung motivasinya akan bertambah ketika dia sedang bermain," kata ibu kepada lima orang anak itu.

Menurut guru yang mengajar mata­pelajaran Sains dan Matematik itu, dia bersama suami tidak kisah mengeluarkan duit poket sendiri setiap kali mengikuti rombangan pasukan hoki remaja Terengganu yang bermain di dalam mahupun luar negara.

"Kami sekeluarga datang ke sini menggunakan perbelanjaan sendiri dan menetap di homestay sepanjang SUKMA Perlis ini. Bagi saya ini salah satu cara kami sebagai ahli keluarga menyokong minat anak-anak agar dia (Wan Hafiz) terus berjaya meraih apa yang diidamkannya.

"Kalau boleh saya mahu melihat dia mewakili negara di peringkat antarabangsa seterusnya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia," katanya.

Apabila ditanya peluang skuad hoki negara pada Piala Dunia Hoki di Belanda, Rosliza dengan penuh keyakinan percaya anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mampu mencatatkan keputusan terpuji di sana.

"Ada dua pemain dalam skuad Piala Dunia negara yang saya kenal iaitu Mohd Fitri Shaari dan Muhammad Firhan Ashaari. Mereka berdua antara tonggak penting Terengganu pada SUKMA lalu di mana anak saya juga bersama pasukan itu.

"Berdasarkan pencapaian pasukan hoki negara dalam beberapa kejohanan utama antarabangsa seperti Piala Sultan Azlan Shah (naib juara) dan Cabaran Juara-juara 1 (tempat ketiga) dapat dikekalkan, saya percaya mereka boleh tewaskan pasukan lain.

"Sebagai peminat setia sukan hoki negara, saya doakan yang terbaik buat pasukan kebangsaan dan pulang engan kejayaan cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

No comments:

Post a Comment