Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sesat di Bukit Tabur

Posted: 09 Jun 2014 01:59 PM PDT

Ampang: Tindakan pantas anggota bomba menyelamatkan seorang lelaki yang sesat ketika mendaki di satu lokasi larangan di Bukit Tabur, dekat sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang Timbalan Penguasa Bomba Ariff Mohamad Kassim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 12.40 tengah hari daripada lelaki itu yang memberitahu dia sesat ketika menuruni bukit.

Menurutnya, sepasukan lima pegawai dan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Kaha Abdul Halim dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang sesat di kawasan bukit berkenaan.

"Setibanya di lokasi itu, kami mempergiatkan usaha mencari lelaki berusia 30-an itu dan menemuinya yang didapati selamat dalam masa lebih kurang dua jam. Operasi ditamatkan pada jam 2.50 petang," katanya, semalam.

Foto

ANGGOTA bomba membawa mangsa turun.


Beliau berkata, kawasan itu dilarang mendaki dan mengikut peraturan setiap pendaki Bukit Tabur perlu mendapat kebenaran atau permit daripada Jabatan Perhutanan sekiranya masih mahu berbuat demikian.


Ariff berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, mangsa yang bersendirian dikatakan keliru dengan laluan menyebabkannya tersesat ketika mahu menuruni bukit terbabit.

Sehubungan itu, Ariff menasihatkan orang ramai tidak pergi ke kawasan berkenaan yang ditutup dan dikawal daripada sebarang aktiviti pendakian bagi mengelak ditimpa kejadian sama.

"Penutupan itu dikatakan berikutan kejadian seorang wanita yang maut selepas terjatuh dari kawasan atas puncak bukit berkenaan," katanya.

Pada pertengahan Januari lalu, seorang pendaki, Soleha Abd Rahman, 25, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter di Bukit Tabur itu.

Dalam kejadian jam 10.40 pagi itu, Soleha Abd Rahman mendaki bukit berkenaan bersama lapan rakannya sebelum tergelincir lalu terjatuh ke dalam gaung berbatu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Tak perlu panik

Posted: 09 Jun 2014 01:56 PM PDT

Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihati tidak panik susulan penyebaran maklumat palsu melalui Whatsapp yang mendakwa kononnya muncul seorang perogol bersiri berkeliaran membunuh mangsa untuk mendapatkan organ.

Mengikut maklumat palsu yang disebarkan, suspek yang kononnya dikenali sebagai Mohd Faris Farhan Akhlaken Ahmad dikehendaki polis kerana sudah membunuh lima lelaki dan 16 wanita untuk mendapatkan organ sebelum dijual di negara jiran.

Menurut kenyataan media Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, maklumat palsu terbabit dimanipulasi dengan mendakwa ia didedahkan oleh Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad.

Bagaimanapun Asmawati menafikan perkara itu dan PDRM tidak pernah menerima sebarang maklumat yang mengesahkan bahawa kejadian pembunuhan itu berlaku.


"Orang awam dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang tidak disahkan kesahihannya," katanya.


Beliau berkata, orang ramai boleh menyalurkan pertanyaan berhubung perkara itu kepada pihak polis melalui Facebook rasmi PDRM di www.facebook.com/polisdirajamalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Ibu kena dakwa

Posted: 09 Jun 2014 01:55 PM PDT

Ampang: Seorang pemandu teksi dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan melakukan penganiayaan terhadap anak wanita itu, bulan lalu.

Tertuduh, Zuhairy Kassim, 38, dan Nor Zuliana Tahir, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu terhadap Muhammad Akhil Mustaqim Rasidy, 6, yang juga anak tiri Zuhairy di sebuah rumah di Tasik Permai dekat sini, jam 12.30 tengah hari pada 23 Mei hingga 26 Mei 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Badrul Munir yang mewakili Zuhairy memohon mahkamah membenarkan ikat jamin ke atas anak guamnya dengan alasan ia kesalahan pertama tertuduh.

Peguam Donny Abdullah yang mewakili Nor Zuliana pula memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan wanita itu mengandung lima bulan, selain mempunyai tanggungan enam anak, termasuk empat hasil perkahwinan terdahulu.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Nor Zuliana turut berdepan dengan satu lagi pertuduhan iaitu dengan menyebabkan kematian terhadap anaknya itu.


Wanita itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Unaizah Mohd.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan hari ini untuk mendengar hujahan peguam supaya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene.

Pada 26 Mei lalu, polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun yang disyaki didera.

Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan terdapat kesan lebam pada badan, kaki dan tangannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Kedutaan Britain tuntut mayat sukarelawan

Posted: 09 Jun 2014 01:54 PM PDT

Kuantan: Mayat warga Britain, Gareth David Huntley, 34, yang ditemui mati di Sungai Mentawak di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rabu lalu, sudah dituntut sebuah syarikat pengurusan jenazah dari Kuala Lumpur yang dilantik Kedutaan Britain, semalam.

Mayat Huntley yang juga sukarelawan pusat perlindungan penyu dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada jam 1.30 petang.

Wakil syarikat pengurusan jenazah itu yang enggan dikenali berkata, mayat Huntley dibawa ke Kuala Lumpur, semalam, dan dijangka dibawa pulang ke London, esok, untuk proses pengebumian dilakukan.

"Saya tidak boleh memberikan ulasan atau komen.

Saya hanya ditugaskan membawa mayatnya ke Kuala Lumpur," katanya.

Wartawan Harian Metro yang berada di Jabatan Forensik HTAA seawal jam 9 pagi, semalam, mendapati tiada wakil daripada keluarga mangsa atau Kedutaan Britain kelihatan ketika proses tuntutan dilakukan, sebaliknya hanya dua lelaki daripada syarikat pengurusan jenazah berada di situ.

Difahamkan, ibu mangsa, Janet Southwell, 55, kini berada di Kuala Lumpur untuk menyelesaikan urusan dokumen perjalanan membawa pulang mayat anaknya.

Akhbar ini pada Ahad lalu melaporkan, keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor, mendapati spesimen darah mayat dan ibunya, Janet, sepadan 99.99 peratus.

Huntley dilaporkan hilang di pulau itu sejak 27 Mei lalu sebelum pasukan mencari dan menyelamat menemui mayatnya pada jam 1.30 petang, Rabu lalu, tanpa dokumen pengenalan diri, kurang 500 meter dari chalet penginapannya di Kampung Juara.

Mayat itu dihantar ke Jabatan Forensik HTAA untuk dibedah siasat dan sehari kemudian, polis menemui telefon bimbit milik Huntley berhampiran lokasi mayatnya ditemui.

Dia dilaporkan hilang selepas dikatakan mahu ke Air Terjun Lubuk Teja seorang diri.

Bagaimanapun, timbul sedikit percanggahan maklumat apabila media asing mendakwa Huntley sebenarnya terbabit dalam pergaduhan sebelum dikelar dan mayatnya dicampak ke Sungai Mentawak.

Susulan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Mohd Zakaria Ahmad tampil membuat penjelasan apabila menafikan dakwaan media asing terbabit.

"Saya berada di Pulau Tioman pada Sabtu lalu untuk mengambil keterangan daripada beberapa saksi bagi membantu siasatan dan keterangan itu bercanggah dengan apa yang media asing laporkan.

Foto

KAKITANGAN Unit Forensik HTAA mengusung keranda mayat Huntley untuk dibawa ke Kuala Lumpur.


Ia tidak benar sama sekali.

"Hasil bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik HTAA terhadap mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan ditemui, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Anak cuba selamat

Posted: 09 Jun 2014 01:41 PM PDT

Kunak: Asap tebal dipercayai menjadi punca sepasang suami isteri terperangkap di dalam rumah mereka yang terbakar sebelum ditemui rentung dalam kejadian di Kampung Kunak Jaya, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, mangsa yang maut dikenali Jumadi Sakka dan isterinya, Dahati Juma, masing-masing lingkungan 50-an ditemui rentung di dapur berhampiran pintu belakang, dipercayai cuba menyelamatkan diri sebaik menyedari rumah didiami terbakar.

Menurut saksi, Mohd Riduan Husin, 18, ketika kejadian dia bersama tiga rakannya berada di halaman rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah pasangan itu sebelum menyedari kediaman itu terbakar.

"Tiba-tiba saya melihat cahaya terang benderang dan mendapati rumah pasangan suami isteri ini terbakar.

"Kami bergegas ke rumah itu dan mendapati anak mangsa sedang berusaha membuka pintu bagi menyelamatkan ibu bapanya," katanya.

Katanya, ketika itu juga, dia terdengar jeritan meminta tolong dari seorang wanita dari dalam rumah itu.

"Kami mendengar dengan jelas jeritan seorang wanita meminta tolong dan cuba membantu anak mangsa untuk membuka pintu dapur dengan merempuhnya tetapi gagal.

"Api semakin marak selain asap terlalu tebal menyebabkan kami terpaksa beredar dari rumah berkenaan," katanya.

Mohd Riduan berkata, difahamkan, lelaki lingkungan 20-an itu berada di rumah rakannya sebelum bergegas pulang sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kunak Jaafar Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.08 pagi dan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati sebuah rumah jenis kayu sudah terbakar 100 peratus dan operasi mengawal kebakaran segera dilakukan bagi mengelak api terus merebak ke kawasan lain.

"Api berjaya dikawal pada jam 1.40 pagi dan ketika pemeriksaan, bomba menemui dua mayat rentung dipercayai pasangan suami isteri di pintu dapur," katanya.

Menurut Jaafar, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kunak untuk bedah siasat.

"Bomba masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kejadian termasuk punca kematian.

"Jumlah kerugian juga masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Foto

RUMAH didiami sepasang suami isteri terbakar sebelum mayat mereka ditemui rentung di Kampung Kunak Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

No comments:

Post a Comment