Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Siapa pemain tanpa jurulatih?'

Posted: 22 Jun 2014 03:50 PM PDT

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan dan juara Seluruh England 2003, Hafiz Hashim mengakui jurulatih dan pegawai sokongan skuad Piala Thomas 2014 harus diberi ganjaran walaupun jumlahnya tidak sebesar pemain.

Hafiz yang juga ketua jurulatih Kelab Jaguh Tangkis yang berpangkalan di Kota Damansara berkata, tanpa jurulatih siapalah pemain.

"Jurulatih juga menanggung tekanan yang sama seperti pemain dan kita dapat lihat bagaimana perasaan mereka apabila berada di belakang gelanggang," katanya.

Kelmarin Persatuan Badminton Malaysia (BAM), memberi insentif RM25,000 kepada setiap pemain kerana kejayaan muncul naib juara pada Piala Thomas di New Delhi bulan lalu.

Bagaimanapun, hanya pemain yang diketuai Liew Daren, Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat, Tan Boon Heong, Hoon Thien How, Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Lim Khim Wah dan Chan Peng Soon yang menerima insentif itu, sebaliknya jurulatih mahupun pegawai sokongan tidak menerimanya, "Kalau tidak dapat sebanyak pemain, RM10,000 pun sudah mencukupi dan tidak akan ada isu.

"Separuh daripada pemain dapat, bagi saya sudah cukup kerana jurulatih juga memainkan peranan penting dan itulah yang sepatutnya dibuat BAM," katanya.

Sementara itu, pasangan kembar, Hafifi Hashim-Hafizi Hashim mula menunjukkan taring apabila berjaya muncul juara acara beregu lelaki di Siri Antarabangsa Bahrain 2014 kelmarin.

Hafifi-Hafizi yang bernaung di bawah Kelab Jaguh Tangkis menewaskan pasangan tuan rumah, Al-Sayed Jafar Ebrahim Jafar-Heri Setiawan 19-21, 22-20, 21-19 dan ia kejohanan antarabangsa pertama beregu berusia 24 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

LionsXII kebal?

Posted: 22 Jun 2014 03:49 PM PDT

Kuala Lumpur: Adakah pasukan jemputan, LionsXII akan beraksi di Liga Perdana andai menamatkan saingan di kedudukan ke-11 ataupun kekal 'kebal' di Liga Super musim depan?

Kelab dari Singapura itu akan berada di kedudukan ke-11 Liga Super jika tewas kepada T-Team di Kuala Terengganu, Rabu ini selain dua lagi pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perak melakar kemenangan pada perlawanan terakhir.

Pungutan mata diraih T-Team, ATM dan Perak akan mengatasi 25 mata yang dikumpul skuad kendalian Fandi Ahmad sekiranya menang pada perlawanan terakhir itu.

ATM akan menentang Sime Darby manakala Perak menanti kunjungan pasukan di kedudukan ketiga liga, Pahang di Stadium Perak.

Namun andai LionsXII menamatkan saingan di kedudukan ke-11 Liga Super dan dikekalkan ketika pasukan tempatan bermain rmati-matian untuk tidak mengiringi PKNS FC ke saingan bahagian dua Liga Malaysia itu, ia pasti menimbulkan kemarahan segelintir pasukan.

LionsXII dijadual beraksi selama empat tahun dalam kancah Liga Malaysia sejak 2012.

"Jika tidak silap saya, ketika perjanjian persefahaman antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) ditandatangani, perkara ini tidak terkandung dalamnya.

Namun ia dinyatakan menerusi perbincangan secara lisan dengan mereka memohon untuk tidak disingkirkan ke liga bawahan.

"Bagaimanapun FAM tidak memandang ringan perkara ini dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) akan datang," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Pasukan menduduki tempat ke-11 dan 12 Liga Super tidak akan layak secara automatik ke Piala Malaysia musim ini kerana perlu mengharungi aksi kelayakan play-off menentang pasukan yang menduduki tempat kelima dan keenam Liga Perdana.

PDRM dan FELDA United yang muncul juara dan naib juara Liga Perdana mengesahkan dua tiket ke Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Merah Kuning belum undur!

Posted: 22 Jun 2014 03:49 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor Mehmet Durakovic tidak mahu mengangkat 'bendera putih' walaupun terpaksa mengharapkan Sarawak menghalang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) meraih tiga mata bagi memastikan Merah Kuning bergelar juara Liga Super.

Anak buah Durakovic kini ketinggalan satu mata kepada Johor DT yang mengumpul 41 mata dengan baki satu perlawanan dan akan turun berdepan PKNS FC di Stadium Shah Alam, Rabu ini dalam misi meraih tiga mata.

"Segala-galanya masih belum tamat hingga perlawanan terakhir.

Bola itu bulat dan kami tetap perlu mengharungi baki 90 minit terakhir.

"Kami akan memberikan yang terbaik menentang PKNS FC dan menanti keputusan perlawanan Sarawak dan Johor DT," kata Durakovic selepas Selangor kembali menghambat Harimau Selatan apabila menundukkan Sarawak, 3-0 di Shah Alam, malam kelmarin.

Paulo Rangel melebarkan jumlah jaringannya kepada 14 gol apabila meledak dua gol selepas menamatkan penggantungan dua perlawanan manakala Ahmad Hazwan Bakri melengkapkan kemenangan Merah Kuning.

Dua gol pada minit ke-42 dan 60 membolehkan Rangel semakin hampir dinobat sebagai pemenang Kasut Emas musim ini dengan penyerang Johor DT, Luciano Figueroa mengumpul 11 gol.

"Bagi saya, biar apa pun keputusan Rabu ini, Selangor sudah mencapai kejayaan menakjubkan kerana tidak dibarisi pemain bintang musim ini.

Mereka memberikan komitmen 100 peratus pada setiap perlawanan dan saya gembira dengan usaha yang kami lakukan dalam tempoh enam bulan setengah ini," kata pengendali dari Australia itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Pemain letih punca seri

Posted: 22 Jun 2014 03:48 PM PDT

Kuala Lumpur: Faktor kepenatan menjadi punca Sime Darby sekadar seri 1-1 dengan T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Selayang, kelmarin.

Ketua jurulatih Sime Darby FC, Ismail Zakaria mengakui semua pasukan dalam Liga Super turut merasai faktor itu kerana terpaksa bermain lima perlawanan dalam tempoh 14 hari.

"Jika diperhatikan aksi pemain saya, rata-rata pemain kelihatan agak letih akibat jadual yang begitu padat.

"Mereka sepatutnya boleh beraksi lebih baik daripada ini, tapi disebabkan faktor kepenatan kami hanya mampu meraih satu mata di tempat sendiri.

"Walaupun seri, saya tetap bersyukur kerana kami bangkit selepas lawan menjaringkan gol pendahuluan yang sememangnya mengejutkan.

"Namun karakter serta keinginan tinggi untuk menang dalam kalangan pemain, kami berjaya mendapatkan gol penyamaan.

"Bagi perlawanan terakhir menentang ATM (Angkatan Tentera Malaysia) Rabu ini, saya akan cuba memastikan semua pemain memperoleh rehat secukupnya bagi menghadapi aksi terakhir.


Saya jangkakan ATM pasti bermain mati-matian untuk mencapai kemenangan kerana mereka mahu kekal di Liga Super," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Sathianathan puas hati

Posted: 22 Jun 2014 03:47 PM PDT

Kuala Lumpur: Ketika dua pasukan teratas, Johor Darul Ta'zim dan Selangor bersaing hebat merampas mahkota kejuaraan Liga Super, lain pula ceritanya buat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bergelut untuk menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Walaupun sekadar seri 1-1 dengan Terengganu di halaman lawan, ia sudah cukup melegakan hati pengendali ATM B Sathianathan tatkala di bahunya diletakkan seribu harapan bagi menyelamatkan maruah skuad The Gladiators.

"Kami berada di landasan tepat untuk memperbaiki kedudukan dalam liga, walaupun hanya seri menentang Terengganu.

Bagi saya satu mata itu cukup bermakna daripada tiada sebarang mata.

"Bermain di sana bukanlah mudah, lebih-lebih lagi mereka juga turut bersaing untuk menamatkan tempat di kelompok tiga terbaik.

Kami kini mengumpul 23 mata dan saya harap Perak dan T-Team keciciran mata dalam aksi terakhir dan kami pula wajib menang," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Mengulas lanjut mengenai aksi anak didiknya setakat ini, Sathianathan, 56, nyata puas hati dengan persembahan pemain namun sedikit risau memikirkan kecederaan yang menimpa dua awang importnya Fabrice Noel dan Park Yong Ho sejurus tamat aksi di Kuala Terengganu.

"Apa yang membimbangkan saya sekarang masalah kecederaan dialami Noel.


Saya memang menagih sentuhannya bagi perlawanan seterusnya kerana dia sajalah satu-satunya harapan kami untuk mencari gol selepas Juan (Juan Manuel Arostegui) disahkan berehat selama enam minggu akibat patah tangan."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Zainal puji semangat pemain

Posted: 22 Jun 2014 03:47 PM PDT

Kuantan: Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan memuji kesungguhan pemainnya walaupun pada separuh masa pertama anak buahnya gagal memanfaatkan peluang selepas menewaskan PKNS FC 2-1, kelmarin.

Namun, menurut bekas pemain kebangsaan itu, komitmen tinggi pemain berjaya menghasilkan dua gol pada babak kedua perlawanan dan memastikan tiga mata memihak kepada skuad Tok Gajah.

"Justeru, saya harap pemain mengekalkan rentak cemerlang ini untuk meraih tiga mata apabila bertemu Perak, Rabu ini.

"Bagi saya, pemain sudah mempamerkan prestasi terbaik dan keputusan ini sudah cukup menggembirakan sekali gus memperbaiki pencapaian musim lalu," katanya.

Mengulas prestasi pemain, Zainal Abidin nyata gembira apabila skuadnya berjaya mencapai misi mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan kelab dari Selangor itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Wajah baru Zaqhwan

Posted: 22 Jun 2014 03:45 PM PDT

Temerloh: Kepantasan Mohd Zaqhwan Zaidi tidak mampu dihalang pelumba lain apabila berjaya meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas menjuarai perlumbaan CP130 pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, semalam.

Sekalipun berada di kedudukan kedua pada satu ketika, pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu berjaya menamatkan 18 pusingan dengan masa keseluruhan 13 minit 24.203 saat, 6.585s di depan pelumba di tempat kedua, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) yang menamatkan perlumbaan dengan masa 13:30.788s manakala Mohd Adib Rosley (Motul Yama ha YY Pang) di tempat ketiga, 13:30.844s.

"Tidak tergambar kegembiraan saya dengan kemenangan ini.

Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan dan juga keluarga serta penyokong.

Lebih manis, kejayaan ini diraih di kampung halaman saya," jelas Zaqhwan yang bermula dari petak pertama.

"Sebenarnya ini adalah kejayaan paling manis dalam karier saya setakat ini.

"Gelaran hatrik ini kejayaan terbaik terutama selepas saya berjaya memenangi perlumbaan SuperSports 600cc buat kali pertama dalam karier pada Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Indonesia, minggu lalu.

"Usaha dan kerja keras saya sejak bermulanya saingan musim 2014 ini tidak sia-sia.


Sebenarnya jika dibandingkan jentera musim ini dengan musim lalu, tidak banyak perbezaan namun apa yang menjadikan ia berbeza adalah dari segi persediaan fizikal dan mental saya sendiri.

"Saya tidak pernah jemu menjalani latihan fizikal bersama jurulatih peribadi dan setiap kali turun ke litar, saya berasa seperti mempunyai semangat baru dan yakin berdepan pencabar lain.

"Saya tidak lagi takut-takut atau kurang yakin seperti musim lalu.


Kejayaan mendominasi sesi ujian masa dan Superpole digunakan sepenuhnya untuk memenangi perlumbaan," ulas Zaqhwan mengenai prestasinya musim ini.

Empat gelaran juara yang diperoleh selepas lima pusingan perlumbaan membantu Zaqhwan untuk terus mendahului senarai keseluruhan dengan mengumpul 100 mata, 27 mata di depan Norizman dan Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) yang berkongsi 73 mata.

Dalam saingan CP115, pasukan Motul Yamaha YY Pang mendominasi ketiga-tiga kedudukan teratas dengan Mohd Izzat Zaidi Salehan muncul juara perlumbaan diikuti juara dua pusingan berturut-turut sebelum ini, Zaidy Mohd Zaifaizal di kedudukan kedua dan juara pusingan kedua di Muar, Tengku Amirul Haffirudin di tempat ketiga.

Izzat yang juga juara pusingan pertama di Batu Kawan menamatkan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 11:25.239s diikuti Zaidy, 11:25.387s dan Tengku Amirul, 11:25.683s.

Gelaran naib juara bagaimanapun sudah cukup buat Zaidy untuk kekal di tangga teratas keseluruhan dengan 103 mata manakala Izzat di tangga kedua dengan 87 mata.

Tengku Amirul di tangga ketiga selepas mengumpul 75 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Terengganu tebus duka

Posted: 22 Jun 2014 03:45 PM PDT

Kuantan: Pengalaman menjadi kelebihan buat Terengganu muncul juara Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) selepas menjinakkan Johor, 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Indera Mahkota, baru-baru ini.

Selepas terikat 1-1 pada babak pertama, kebangkitan pasukan bimbingan Mohd Fikri Harun terserlah apabila dua gol pemusnah dihasilkan pada babak kedua sekali gus muncul juara kali pertama.

Tiga gol padang skuad Penyu yang menewaskan tuan rumah Pahang, 4-2 pada separuh akhir disumbangkan pemain lincah, Aqimullah Sidek (minit kelima dan 69) dan Fikri Abdullah (m45).

Mohd Fikri berkata, pengalaman luas lima pemain yang mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis, bulan lalu dibantu pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, melengkapkan kekuatan pasukan.

Menurutnya, kesungguhan dan impian tinggi pemain yang kecewa 1-4 di tangan Kuala Lumpur pada perlawanan akhir tahun lalu di Johor nyata menjadi pembakar semangat kepada pemainnya.

"Selepas gagal beberapa kali pada perlawanan akhir sebelum ini, akhirnya impian menjulang kejuaraan menjadi kenyataan.

"Kami hanya sempat menjalani latihan pusat selama seminggu saja berikutan pemain masih bersekolah selain beraksi di SUKMA namun saya bersyukur dengan kesungguhan dipamerkan pemain akhirnya kejuaraan berjaya diraih," katanya.

Pahang menduduki tempat ketiga diikuti Melaka manakala bagi kategori perempuan, juara milik Kuala Lumpur, naib juara Selangor, ketiga Pulau Pinang dan keempat Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

KBSR Kajang puas takluk Karnival B-12 TMS

Posted: 22 Jun 2014 03:44 PM PDT

Seremban: Tuah menyebelahi Kelab Bola Sepak Remaja Kajang (KBSRK) apabila mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas Kelab Akademi TMS Boys Kuala Pilah (TMS Boys) menerusi sepakan penalti untuk menjuarai Karnival Remaja Bawah 12 Tahun TMS 2014 di padang Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, baru-baru ini.

Terdahulu, kedua-dua pasukan itu terikat 0-0 pada tempoh perlawanan sebenar hingga membawa kepada penentuan sepakan penalti.

KBSRK turut meraih anugerah berganda apabila penyerang utama, Muhamad Danish Edwar dinobat sebagai pemain terbaik kejohanan.

Penyelaras karnival Mohd Noor Azam Abdullah berkata, 22 pasukan dari Negeri Sembilan dan Lembah Klang menyertai karnival bertujuan untuk mencungkil bakat baru.

Katanya, Akademi TMS Boys yang bertindak sebagai penganjur karnival itu tidak menyangka program kali ini mendapat sambutan baik terutama dari luar negeri itu.

"Kami menganjurkan karnival ini setiap tahun, tapi kali ini banyak pasukan menyertainya berbanding sebelum ini hanya pasukan di Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, Muhamad Danish, 10, gembira memenangi gelaran pemain terbaik dan mahu terus meningkatkan lagi permainan pada masa depan.

"Saya menyertai KBSRK ketika berusia lapan tahun dan menjalani latihan setiap hujung minggu.

Kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk saya meningkatkan permainan," katanya yang meminati penyerang Johor Darul Ta'zim, Amri Yahyah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Rosberg gegar Austria

Posted: 22 Jun 2014 03:44 PM PDT

Spielberg, Austria: Nico Rosberg mengenepikan cabaran rakan sepasukan, Lewis Hamilton untuk memenangi GP Austria malam tadi sekali gus mencatat kejayaan 1-2 buat kali keenam untuk Mercedes musim ini.

Kemenangan itu yang ketiga buat Rosberg tahun ini dan keenam keseluruhan ketika dia semakin menjarakkan diri dalam senarai pelumba dengan kelebihan 29 mata berbanding Hamilton.

Valtteri Bottas menduduki tempat ketiga buat kali pertama sepanjang kariernya manakala rakan sepasukannya di Williams, Felipe Massa yang memulakan perlumbaan di petak utama, menamatkan saingan di tangga keempat.

Juara empat kali, Sebastian Vettel berdepan masalah enjin di pusingan kedua dan terpaksa menarik diri di pusingan ke-36.

Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak kesembilan, berjaya memintas pesaing untuk menamatkan saingan di tempat kedua.

Rosberg memintas Bottas sebelum selekoh pertama, tetapi pendahuluannya itu gagal bertahan lama ketika Massa ketinggalan di kedudukan keempat selepas kelompok teratas berhenti di hentian pit pertama.

Sergio Perez muncul pendahulu hingga pusingan ke-27 sebelum dipintas Rosberg yang mencatat masa terpantas sepusingan sekali gus menjarakkan dirinya dengan Hamilton yang gagal memintas Perez.

Memasuki pusingan ke-30, empat pelumba teratas mula menjarakkan diri dan kelebihan sudah mula memihak kepada gandingan pelumba Mercedes.

Rosberg mendahului sejak pusingan itu dan dia menutup ruang dengan bijak bagi menghalang Hamilton untuk memintas.

Perlumbaan di Austria membuktikan keupayaan Mercedes menyerap peraturan baru menggunakan enjin 1.6-liter turbo.

Hamilton menang empat perlumbaan berturut-turut manakala Rosberg tidak pernah menamatkan saingan di kedudukan lebih rendah daripada tempat kedua.

Cengkaman Mercedes hanya berjaya dileraikan dua minggu lalu di Montreal oleh Daniel Ricciardo, tetapi Red Bull gagal memberi tekanan kepada pasukan pendahulu itu walaupun perlumbaan berlangsung di litar mereka di Austria.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

No comments:

Post a Comment