Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Polis Indonesia guna Lamborghini?

Posted: 25 Jun 2014 03:22 PM PDT

Jakarta: Dua kereta peronda polis yang dipamerkan di sebuah pusat beli-belah di sini menarik perhatian setiap pengunjung.

Kereta berkenaan yang dihiasi dengan lambang polis Indonesia ialah Lamborghini Gallardo dan Aventador mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengunjung sama ada polis negara itu juga akan mengikuti jejak polis Dubai dalam menggunakan kereta semewah itu untuk menjalankan tugas.


Lamborghini Gallardo itu berwarna kelabu gelap dengan tulisan 'Polisi' di bonet depannya.

Kepercayaan bahawa polis Indonesia akan menggunakan kereta itu semakin kuat apabila siren juga terpasang di atasnya.


Lamborghini Aventador berkenaan pula berwarna latar putih dan ada corak biru dan merah.


Bagaimanapun, jurucakap polis di Jakarta Utara, Azhar Nugroho berkata, kedua-dua kereta mewah itu bukan milik polis.

Foto

LAMBORGHINI yang dikatakan milik polis Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

Kekasih dalam beg

Posted: 25 Jun 2014 03:16 PM PDT

Beijing: Seorang lelaki di Liaoning ditahan kerana menyumbat teman wanitanya ke dalam bagasi dan membawa mangsa pulang ke rumahnya selepas kekasihnya itu cuba memutuskan hubungan mereka.

Menurut sumber, lelaki dikenali sebagai Wang itu mengikat teman wanitanya Mu dan menyumbat wanita itu ke dalam beg berkenaan di Xi'an sebelum membawanya pulang ke rumahnya di Liaoning.

"Dia bagaimanapun ditahan polis sebaik tiba di Liaoning hasil maklumat diberikan dua pemandu yang diupah Wang untuk membawanya pulang.

"Pemandu berkenaan melaporkan terdengar bunyi seperti tangisan dari dalam beg berkenaan sebelum melihat seorang wanita di dalamnya," katanya.


Mereka cuba memujuk Wang membebaskan Mu sebelum menghubungi polis.


Imej dirakamkan CCTV menunjukkan Wang dan Mu mendaftar masuk ke sebuah hotel pada jam 10 pagi.

Wang kemudian dilihat meninggalkan hotel itu dalam keadaan resah pada jam 3 petang malah keluar dari pintu sisi bangunan berkenaan sambil mengheret sebuah beg besar.

Polis menerima panggilan daripada pemandu terbabit sekitar jam 11 malam.

Wang memberitahu polis Mu kekasihnya dan tidak dapat menerima apabila wanita berkenan meminta memutuskan hubungan.

Sebaliknya, dia memujuk Mu dengan berjanji menjaganya dengan baik jika mengikutnya pulang ke Liaoning selain mahu mengupah pembantu rumah untuknya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

J-Lo tidak serik kahwin

Posted: 25 Jun 2014 03:13 PM PDT

Beverly Hills: Jennifer Lopez masih tidak serik terhadap perkahwinan walaupun sudah tiga kali melalui perceraian malah tetap mengimpikan untuk merasai detik manis sebagai pengantin kerana mengakui dirinya 'berjiwa romantik.'

Penyanyi lagu 'Booty' yang baru berpisah dengan kekasihnya Casper Smart, 27, selepas bercinta selama dua setengah tahun itu masih percaya wujudnya cinta sejati.

"Saya pernah berkahwin dan pernah mencuba hubungan jangka panjang dengan harapan dapat berakhir dengan perkahwinan. Memang perkahwinan bukannya sesuatu yang mudah, namun saya tetap yakin dan percaya hubungan seperti itu boleh kekal.

"Pada saya, jika benar-benar sayangkan seseorang, kita perlu bersedia memberi komitmen dan hidup bersamanya sehingga akhir hayat.


"Memang saya berjiwa romantik dan yakin pada jodoh yang ditakdirkan menjadi pendamping hidup kita. Jadi kenalah berusaha mencarinya.

"Saya tidak putus asa walaupun sedih hubungan dengan pasangan sebelum ini terpaksa ditamatkan atas pelbagai sebab yang terlalu peribadi," katanya dalam temubual dengan stesen radio Hot 97.

Jennifer yang mempunyai sepasang anak kembar, Max dan Emme, hasil perkahwinannya dengan suami ketiga, Marc Anthony baru-baru ini dilihat bermesra dengan penari Dancing With The Stars, Maksim Chmerkovskiy, 34, namun menegaskan mereka sekadar bersahabat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

Untung Suarez gigit bahu lawan

Posted: 25 Jun 2014 03:13 PM PDT

Oslo: Seorang peminat bola sepak Norway menang £540 (RM2,740) selepas menaruh sebanyak £3 (RM16) bahawa Luis Suárez akan menggigit seseorang ketika perlawanan Piala Dunia.

Thomas Syverson membuat taruhan 175/1 secara online di laman web Betsson bersama 166 yang lain malah seorang daripada mereka turut memenangi jumlah wang lebih tinggi iaitu hampir £2,000 (RM10,950).

Penyata yang dipaparkan online menunjukkan taruhan sebanyak 32 Krone itu dibuat Syverson yang juga penyokong Blackpool dengan jumlah dimenanginya dicatatkan sebagai 5,600 Krone (RM2,940).

Syverson memberitahu akhbar AftenPosten: "Saya terjaga dari tidur selepas kejadian itu berlaku jadi saya hanya melihat rakaman ulangan yang disiarkan di televisyen.


"Sudah tentu saya gembira kerana menang. Saya menganggap Luis Suárez pemain hebat namun saya penyokong Blackpool jadi sudah pasti tidak akan memakai baju Suarez," katanya.


"Mungkin saya akan membeli satu untuk teman wanita saya," katanya.

Menurutnya, dia mahu membeli hadiah istimewa untuk teman wanitanya yang menyambut hari jadi Sabtu ini.

Pemain Uruguay itu didakwa menggigit bahu pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini di Brazil, hanya 14 bulan selepas terpaksa memohon maaf melakukan perkara sama di Britain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

AS gantung bantuan Thai

Posted: 25 Jun 2014 03:11 PM PDT

Washington: Amerika Syarikat (AS) semalam berkata, mereka menggantung lebih banyak bantuan kepada Thailand sebagai tindak balas terhadap kudeta tentera dan mempertimbangkan untuk memindahkan latihan tentera terbesar di Asia Tenggara ke lokasi lain.

Pegawai Jabatan Negara, Scot Marciel berkata, antara bantuan tambahan yang digantung setakat ini ialah program latihan persenjataan untuk polis Thailand serta lawatan sambil belajar untuk pegawai kanan pasukan itu ke AS.


"Kami juga mengkaji kemungkinan mengadakan latihan Cobra Gold (satu daripada latihan ketenteraan terbesar AS dan signifikan di Asia Tenggara) tahun lalu ke lokasi lain," katanya ketika memberi keterangan untuk anggota Kongres semalam.

Sebelum ini Washington menghalang bantuan berkaitan keselamatan bernilai AS$4.7 juta (RM15.2 juta) atau kira-kira separuh daripada AS$10.5 juta (RM33.9 juta) bantuan tahunan untuk Thailand. Sehari selepas tentera merampas kuasa pada 22 Mei lalu, Washington mengumumkan pembekuan AS$3.5 juta (RM11.3 juta) bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada Bangkok. AS dan Thailand juga mengadakan latihan tentera bersama setiap tahun sejak 1980 dan kali ini sebanyak 13,000 anggota dijadual menyertainya.


Marciel berkata, AS sedang meneliti perkembangan di Thailand dari dekat.


"Apa tindakan lanjut AS bergantung kepada apa yang berlaku di negara itu," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar Kongres AS, Steve Chabot berkata, latihan Cobra Gold jika diteruskan akan memberi 'mesej salah' kepada Thailand serta komuniti sedunia berhubung kudeta tentera bulan lalu.

Chabot juga menggesa pentadbiran Presiden Barack Obama memindahkan latihan itu tahun depan ke Darwin, Australia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

1,000 ditangkap bertaruh dalam Piala Dunia

Posted: 25 Jun 2014 03:11 PM PDT

Bangkok: Polis Thailand semalam berkata, lebih 1,000 orang - termasuk empat warga asing ditangkap dalam operasi memerangi judi tanpa lesen sempena Piala Dunia kali ini.

Tindakan itu dibuat ketika junta tentera bertegas "menegakkan ketenteraman awam" di Thailand negara yang umumnya membenarkan judi anjuran kerajaan serta sejumlah kecil pertandingan lumba kuda. Ketua Polis Thailand Chantavit Ramsut berkata, sejak Piala Dunia bermula seramai 1,023 orang ditahan bertaruh dan sebahagian besar daripadanya adalah pelanggan. Katanya, polis juga merampas kertas judi dengan nilai keseluruhan AS$525,000 (RM1.7 juta) sejak 12 Jun lalu.


"Kelmarin pula polis dan tentera menahan empat warga asing kerana disyaki menyertai judi tanpa lesen sauna di tengah Bangkok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

Ahmad Dhani tetap selamba pakai kostum mirip Nazi

Posted: 25 Jun 2014 03:10 PM PDT

Jakarta: Penyanyi dan pencipta lagu Ahmad Dhani mempertahankan tindakannya memakai konstum mirip tentera Nazi ketika muncul dalam klip video Prabowo Hatta - We Will Rock You.

Ahmad Dhani berkata, kostum berkenaan tidak ada kaitan dengan Indonesia.


"Apa hubungan tentera Jerman dengan Indonesia? Apa kaitan tentera Jerman dengan pemuzik Indonesia? "Kita orang Indonesia tidak ikut membunuh jutaan orang Yahudi, kan?" katanya.

Selain di Indonesia, kostum Ahmad Dhani itu turut mendapat liputan media utama Jerman, Der Spiegel. Baju dipakai Ahmad Dhani didakwa mirip dengan seragam dipakai komandan tentera elit Nazi, Heinrich Himmler.


Katanya, dia tidak menganggap tindakannya salah.


"Saya syak isu ini dihangatkan pihak tertentu," katanya. Menurut suami Maia Estianty itu, jika dia memakai seragam tentera Amerika Syarikat, pihak lain juga akan mempertikaikannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

Sokongan agamawan

Posted: 25 Jun 2014 03:09 PM PDT

Pamekasan: Pasukan Gabungan Merah Putih menyatakan kegembiraan mereka apabila mendapat sokongan daripada sejumlah kiai dan ulama di Jawa Timur, khususnya Madura.

Kata Prabowo Subianto, semangatnya memuncak semalam kerana sokongan diberikan golongan agamawan berkenaan.


"Berkat sokongan ini saya semakin yakin memperjuangkan apa yang menjadi visi saya bersama Hatta Rajasa.

"Apabila kiai berada di pihak saya, tidak mungkin saya akan gentar, ragu-ragu atau berkecil hati," katanya ketika melawat Pondok Pesantren al-Hamidy Banyuanyar Pamekasan, semalam Dukungan itu juga dilihat mendorong bekas pegawai kanan skuad tentera elit Indonesia - yang dikaitkan dengan banyak pelanggaran hak asasi manusia - itu berucap penuh bersemangat. Dengan suara lantang dia menegaskan tekadnya membawa Indonesia "menuju kemakmuran." "Demi Indonesiaku, akan kupertahankan kehormatan negara ini dengan segala kekuatan. "Kita tidak akan ragu-ragu membela kepentingan rakyat. "Untuk Indonesia, kalau perlu, jiwa dan raga kupersembahkan kepada bangsa Indonesia," katanya.


Menurut Prabowo dia ingin selalu dekat dengan kiai dan untuk menjayakan cita-cita akan datang.


"Jika kiai, ulama besar Indonesia bersatu, kita tidak boleh kalah. "Saudara-saudara sekalian, kita berada di jalan yang benar, kita membela rakyat, kita menentang korupsi, kita ingin membasmi kemiskinan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

Megawati: Prabowo tiada banyak pengalaman ketua

Posted: 25 Jun 2014 03:08 PM PDT

Lampung: Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Megawati Soekarnoputri menganggap pencabar Joko Widodo (Jokowi), Prabowo Subianto, tidak mempunyai pengalaman sebagai ketua kerajaan.

Justeru, kata Presiden Indonesia kelima itu, Prabowo tidak mampu menjadi pemimpin negara itu kerana belum benar-benar memahami keperluan rakyat. "Sebagai bekas tentera kemahiran Prabowo adalah bidang pertahanan dan keamanan, bukan isu kesihatan, pendidikan, perekonomian atau seumpamanya.


"Oleh kerana itu dia tidak berkelayakan menjadi calon presiden," katanya dalam ucapan kempen di Lampung semalam.

Megawati pernah menjadi Presiden Indonesia antara tempoh 2001 hingga 2004.


Ketika cuba mendapatkan mandat kali kedua pada 2009 dia berpasangan dengan Prabowo sebagai calon naib presiden.


Kata Megawati, andai mereka menang dalam pemilihan berkenaan Prabowo tetap diberi tanggungjawab sesuai dengan kepakarannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

Undi lebih awal di luar negara

Posted: 25 Jun 2014 03:08 PM PDT

Jakarta: Jadual pilihan raya presiden untuk warga Indonesia di luar negara akan diadakan lebih awal pada 4, 5 dan 6 Julai berbanding tarikh sebenar di negara itu pada 9 Julai.

Ahli Komisi Pemilihan Umum Indonesia Ferry Kurnia Rizkiyansyah berkata, warga Indonesia yang berdaftar boleh mula mengundi mulai jam 8 pagi hingga 6 petang menurut waktu setempat.


Seorang lagi anggota badan itu, Nelson Simanjuntak berkata, mereka memilih hujung minggu mengadakan pemilihan bagi memudahkan orang ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing. "Teknik pemilihan di luar negara juga agak berbeza.

"Selain mengundi di pusat yang ditentukan, mereka juga boleh menyatakan pilihan melalui peti pos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

No comments:

Post a Comment