Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Krisis dalaman?

Posted: 16 Jun 2014 01:59 PM PDT

Kuala Lumpur: Keputusan mengecewakan diraih skuad hoki negara pada kempen Piala Dunia di The Hague, Belanda baru-baru ini kemungkinan besar berpunca daripada pelbagai gangguan yang wujud, baik di dalam Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) atau dalam kalangan pemain.

Demikian dakwaan bekas kapten skuad hoki negara Mohamad Abdul Hadi yang menganggap banyak punca boleh dikaitkan dengan kegagalan itu, namun beliau berkata, segala punca kegagalan itu sudah dapat dilihat sebelum berlangsungnya saingan Piala Dunia lagi.


"Kalau anda perhatikan, banyak gangguan menjelang persiapan kita ke Piala Dunia. Antaranya cerita (Paul) Revington letak jawatan sebanyak dua kali.

"Malah berlaku suasana tidak harmoni dalam pasukan antara pemain remaja dan senior. Itu belum lagi cerita pengurusan dalaman MHC yang sememangnya banyak bermain politik dan ada konspirasi tertentu.


"Semua itu walau pada tanggapan sesetengah pihak perkara kecil, tapi kesannya cukup besar ketika pasukan melakukan persiapan ke Piala Dunia," katanya.


Mohamad berkata, beliau bukan sekadar bercakap kosong, sebaliknya mengetahui serta memerhatikan segala kisah itu sebelum skuad negara berangkat ke Piala Dunia lagi.

Foto

SKUAD hoki negara menduduki tangga tercorot pada Piala Dunia di Belanda, baru-baru ini.

Ditanya adakah beliau puas hati dengan pencapaian skuad negara yang menamatkan saingan di tempat tercorot dalam kalangan 12 pasukan yang bertanding kali ini, Mohammad jelas tidak dapat menerimanya. "Benar, rata-rata pemain tidak mempunyai pengalaman di Piala Dunia dan skuad ini juga dibarisi ramai pemain muda.


"Tapi kalau menilai persembahan setiap pemain, saya boleh katakan hanya dua tiga orang pemain bermain pada tahap sebenar," katanya.

Justeru itu, Mohamad berharap situasi sama tidak diulangi menjelang persiapan skuad negara ke Sukan Komanwel serta Sukan Asia.


"Saya harap jurulatih (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah) juga dapat mengambil kira pandangan semua pihak dalam usaha kita untuk sama-sama meningkatkan prestasi skuad negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Keyakinan kunci aksi Chong Wei

Posted: 16 Jun 2014 01:50 PM PDT

Kuala Lumpur: Keyakinan tinggi dipamerkan Datuk Lee Chong Wei ketika beraksi di Jepun minggu lalu mampu membantunya mempertahankan kejuaraan Siri Super Premier Terbuka Indonesia 2014 yang bermula hari ini.

Kelmarin pemain nombor satu dunia itu mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan Siri Super Terbuka Jepun buat kali kelima selepas menumpaskan pemain Hong Kong, Hu Yun.


Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock yang sekali lagi akan mengiringi anak buahnya itu dari Tokyo ke Jakarta, yakin Chong Wei mampu meraih kejuaraan berturut-turut.

"Dia bermain dengan baik sepanjang minggu di Terbuka Jepun, rahsianya keyakinan tinggi walaupun baru saja tewas kepada Jepun dalam perlawanan akhir Piala Thomas 2014," katanya.


Seu Bock yang menganggap perlawanan akhir kelmarin berat sebelah, yakin dengan kemampuan Chong Wei untuk mempertahankan kejuaraan walaupun pusingan pertama yang berlangsung esok menyaksikan pemain kelahiran Bagan Serai, Perak itu berdepan wakil tuan rumah, Sony Dwi Kuncoro.


"Saya masih belum berbincang dengannya selepas perlawanan semalam (kelmarin), tapi kami akan melihat kembali situasi dan kesemuanya secara menyeluruh sebelum dia turun ke dalam gelanggang," kata Seu Bock.

Jika muncul juara, Chong Wei bukan saja mempertahankan kejuaraan, tetapi merangkul trofi buat kali kelima tahun ini selepas memenangi Siri Super Premier Terbuka Malaysia, All England, Siri Super India dan Jepun.


Bagaimanapun tumpuan hari ini terarah kepada pemain yang akan beraksi di peringkat kelayakan apabila pemain bebas, Zulfadli Zulkifli, Mohamad Arif Abdul Latiff dan Chan Kwong Beng turun ke Istora Gelora Bung Karno.

Zulfadli akan menentang pemain China, Yuekun Chen, manakala Kwong Beng bertemu Andre Kurniawan Tedjono dari Indonesia dan Arif menentang Christian Lind Thomsen.


Pemain perseorangan wanita, Tee Jing Yi dan Yang Li Lian bersama beregu wanita, Lim Yin Loo-Lee Meng Yean turut beraksi di peringkat kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Tagih 'aura' ATM

Posted: 16 Jun 2014 01:50 PM PDT

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diharapkan sekali lagi menjadi 'pengacau' apabila bertemu pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Skuad kendalian B Sathianathan itu melakar kejutan apabila menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu sekali gus menyebabkan Merah Kuning terlepas kedudukan di puncak liga kepada Harimau Selatan dengan perbezaan satu mata.


"Secara jujurnya, apa yang saya lihat dalam bola sepak Malaysia, mana-mana pasukan mampu mencipta kejutan sekiranya memberikan fokus sepanjang 90 minit perlawanan. Seperti yang berlaku kepada kami (tewas kepada ATM)," kata pengendali Selangor Mehmet Durakovic yang menaruh harapan tinggi untuk menjulang kejuaraan Liga Super pada tahun pertamanya bersama Merah Kuning.

Andai ATM berjaya mengekang Johor DT kendalian Bojan Hodak meraih kemenangan, Selangor akan kembali menerajui Liga Super dengan syarat mereka perlu membawa pulang tiga mata dari Kota Bharu. Anak buah Sathianathan yang masih bergelut di zon penyingkiran ketika ini, mencatatkan keputusan seri 1-1 pada perlawanan pusingan pertama di Larkin pada Mac lalu.


"Kami tidak akan berputus asa hingga perlawanan terakhir. Kami mahu melakar kemenangan dalam baki tiga perlawanan ini," tambah Durakovic.


Selangor masih belum dapat menggunakan khidmat penjaring terbanyak Liga Super, Paulo Rangel yang digantung perlawanan selain pertahanan tengahnya, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid yang masih belum pulih sepenuhnya susulan demam campak.

"Secara jujurnya, memang kami rindukan Rangel kerana dia pemain hebat musim ini, bukan senang beraksi tanpanya ketika saingan menuju ke kemuncak. Saya akan melihat sekiranya perlu perubahan di jentera serangan malam esok (malam ini). Semua pemain sudah memberikan aksi terbaik, namun tidak menjadi seperti diharapkan dan untuk meraih kemenangan, kami perlu meledak jaringan," katanya.


Selangor dijangka berdepan tugas sukar di Kota Bharu kerana lawan turut memburu kedudukan terbaik Liga Super selepas anak buah George Boeteng kecundang 0-1 kepada juara baru Piala FA, Pahang, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Tuntut sengat Arostegui

Posted: 16 Jun 2014 01:49 PM PDT

Kuala Lumpur: Sentuhan pemusnah dimiliki penyerang sensasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Juan Manuel Arostegui (gambar) terus ditagih apabila berdepan dengan sebuah lagi pasukan berstatus bintang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang), malam ini.

Dua jaringan disumbang penyerang kelahiran Argentina itu pada pertemuan menentang Selangor Jumaat lalu, begitu berharga buat pasukannya yang kini bergelut di kelompok bawahan Liga Super untuk keluar dari zon bahaya itu.


Arostegui, 33, mengaku begitu teruja menantikan aksi seterusnya bagi membantu ATM mengutip tiga mata berharga di samping turut memiliki misi peribadi untuk mengecewakan Johor DT yang kini memimpin liga sama seperti ketika membenam pendahulu sebelum ini Selangor yang jatuh ke tangga kedua liga.

"Saya semakin bersemangat untuk mempamerkan persembahan bertenaga dengan fokus menjaringkan gol buat pasukan. Selepas menyumbat dua gol ketika menentang Selangor, motivasi diri kembali memuncak dan saya yakin mampu merobek benteng Johor DT pula.


"Sebelum ini, ramai pihak meragui kehadiran saya di ATM hingga ada yang membezakan saya dengan Marlon (bekas penyerang ATM) dan mengganggu sedikit tumpuan saya.


"Selepas berjaya membantu pasukan dengan menjaringkan dua gol, saya akan cuba meneruskan aksi terbaik dengan mencari gol pada malam esok (malam ini) dan berharap kami dapat keluar dari kelompok bawahan," katanya.

Mengikut rekod lampau penyerang berpengalaman itu, dia pernah mengecapi kejayaan gemilang ketika bersama pasukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (dulu Majlis Perbandaran Petaling Jaya) dengan membawa kelab itu muncul juara Piala Malaysia pada 2003.


Dalam perlawanan akhir itu, Arostegui mencipta hatrik untuk menewaskan Sabah 0-3 yang menyaksikan bekas pasukannya mencipta sejarah selaku kelab pertama menjuarai Piala Malaysia yang ketika itu di bawah kendalian Dollah Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Gembira dibenarkan tengok aksi Perak

Posted: 16 Jun 2014 01:49 PM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Die Hard Fanz Perak Roslan Mat Baharom berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana membenarkan penyokong negeri itu menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Ipoh ketika melayan kunjungan T-Team, malam ini.

"Saya selaku wakil penyokong tegar skuad 'Kejor Yob Skor' gembira kerana FAM membenarkan kami memasuki stadium bagi menyokong pasukan.


"Memandangkan anak buah Abu Bakar Fadzim kini terdesak untuk keluar dari kelompok bawahan, sudah pasti sokongan kami diperlukan bagi menaikkan semangat pemain," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menerusi laporan akhbar Arena Metro kelmarin, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Abdul Aziz Yeop Jamaluddin mengesahkan status baki dua aksi Liga Super tanpa penonton di Stadium Ipoh ditangguhkan hingga rayuan didengar dan peminat dibenarkan menyaksikan perlawanan.


Dua aksi membabitkan pertemuan Perak di halaman sendiri, menentang T-Team (malam ini) dan Pahang (25 Jun) boleh disaksikan penyokong setia pasukan di stadium seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

PDRM kempunan

Posted: 16 Jun 2014 01:45 PM PDT

Kelana Jaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menangguhkan hasrat meraikan kejuaraan Liga Perdana semalam apabila mereka tumpas buat kali pertama musim ini kepada FELDA United 0-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pemain import FELDA United, Zah Rahan Krangar menjadi pemusnah apabila meledak gol pada minit ke-41 ketika pasukan tuan rumah hanya memerlukan seri untuk menjulang kejuaraan selepas mereka tidak pernah kalah dalam 19 perlawanan liga sebelum ini.


Meskipun tewas, PDRM yang dikendalikan Dollah Salleh kekal di tangga teratas dengan 49 mata, lima mata mengatasi FELDA United dan boleh menutup tirai saingan jika meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada baki dua perlawanan liga.

"Kita tidak dapat menutup tirai liga, tapi saya puas hati dengan prestasi semua pemain. Dalam cuaca panas, mereka berusaha habis-habisan mencari gol penyamaan hingga ada pemain yang tidak larat berlari.


"Kita terpaksa tangguhkan pesta dan fokus kepada perlawanan dengan Negeri Sembilan selepas ini. Memang saya agak terkilan rekod bersih lebur, tapi saya yakin kami mampu menyempurnakan misi kerana kami ada lagi baki dua perlawanan," katanya yang menganggap ketiadaan penyerang import, Ali Ashfaq antara punca mereka gagal menemui sentuhan penyudah dalam perlawanan itu.


Dalam aksi semalam PDRM lebih mengancam pada awal permainan apabila mencipta peluang menerusi percubaan Bobby Gonzales pada minit kedua dan 10 apabila penyerang itu diberikan peranan utama selepas ketiadaan Ali yang digantung perlawanan.

Bagaimanapun, skuad The Cops dikejutkan dengan gol pasukan pelawat menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti oleh Zah Rahan, tiga minit selepas gerakan solo di minit ke-38 diselamatkan penjaga gol PDRM Azizon Abd Kadir.


Gol tunggal itu sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat anak buah Irfan Bakti Abu Salim yang masih mempunyai peluang merangkul kejuaraan sekiranya menang baki dua perlawanan yang dilihat agak mudah menentang UiTM dan Perlis sambil mengharapkan keajaiban PDRM tumpas berdepan lawan lebih sukar Negeri Sembilan dan Kedah.

Namun, pengendali itu tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi.


"Kemenangan ini bukan soal kami leburkan rekod PDRM, tapi yang penting kami mahu mengutip mata sebanyak yang boleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Conti azam julang Tok Gajah

Posted: 16 Jun 2014 01:44 PM PDT

Kuantan: Penyerang import Pahang, Matias Conti berazam meneruskan prestasi cemerlang apabila bertemu Sarawak di Stadium Negeri Sarawak, malam ini.

Pemain kelahiran Argentina itu berkata, kejayaan menjaringkan gol tunggal dan kemenangan ketika membantu Pahang menewaskan Kelantan, Sabtu lalu, memberikan suntikan kepadanya.


Justeru, dia akan berusaha membantu Tok Gajah mengutip tiga mata kerana skuad itu masih lagi berupaya merangkul kejuaraan Liga Super.

"Namun, bukan saya saja, rakan lain juga bersemangat mencatat kemenangan kerana perbezaan mata dengan pendahulu liga tidak terlalu jauh.


"Saya harap kami mampu menang biarpun Sarawak bakal memberikan tentangan sengit kerana mereka juga mahukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan," katanya.


Selepas 19 perlawanan, Pahang kini menghuni tangga ketiga dengan memungut 33 mata manakala Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mengungguli takhta liga dengan 38 mata dan kedua, Selangor (37).

Sementara itu, jurulatih Zainal Abidin Hassan mahu semua pemain mempamerkan aksi terbaik untuk mengutip tiga mata berharga selepas kembali berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik ketika ini.


Menurutnya, kejayaan mengutip tiga mata selepas menewaskan Kelantan perlu dipersembahkan dengan corak permainan terbaik jika mahu memberikan tekanan kepada pasukan teratas.

"Pemain pertahanan Saiful Nizam Miswan tidak dapat diturunkan kerana digantung perlawanan, tapi saya percaya pemain lain mampu mempamerkan aksi terbaik.


"Saya juga mengharapkan Zeshan Rehman yang cemerlang mengawal benteng, Sabtu lalu mengekalkan prestasinya selain dibantu ketajaman jentera serangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Terengganu enggan berputih mata

Posted: 16 Jun 2014 01:44 PM PDT

Kuala Terengganu: Dua kekalahan berturut-turut dengan jumlah bolos yang sama, 1-4 kepada Selangor dan 3-4 di tangan Johor Darul Ta'zim (Johor DT), membuatkan Terengganu mengambil pendekatan berwaspada apabila turun bertemu kelab Sime Darby FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Hal ini diakui ketua pasukan skuad Penyu Zairo Anuar Zailani yang membayangkan ujian sukar bakal menanti pasukannya kerana corak lawan yang sentiasa berbeza apatah lagi mereka masih segar dengan kejayaan menundukkan Perak, 4-0.


Bekas pemain kebangsaan itu berkata, beraksi di laman sendiri bukan kelebihan apatah lagi skuad bimbingan Ismail Zakaria itu pasukan liat untuk dijinak seperti ketika menewaskan Terengganu 2-3 dalam aksi pusingan pertama.

"Tumpuan kami untuk mengutip tiga mata bukannya seri selepas dua kekalahan berturut-turut, justeru dengan kekuatan lawan yang tidak kurang hebatnya kami perlu menggandakan asakan untuk memburu kemenangan.


"Selain itu, saya harap barisan pertahanan lebih disiplin mengekang asakan lawan serta meminta jentera serangan diketuai Endres Estupinan dan Mustapha Dabo serta pemain tempatan, mengancam kubu lawan," katanya.


Ketika ditanya misi pasukannya dengan baki tiga perlawanan termasuk bertemu Sime Darby, pemain berusia 32 tahun itu belum mahu mengangkat bendera putih untuk perebutan tangga teratas liga sebaliknya mahu fokus bagi mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Peluang Zamri 'bakar' litar Suzuka

Posted: 16 Jun 2014 01:43 PM PDT

Kuala Lumpur: Mohd Zamri Baba menerima berita gembira apabila Honda Racing Corporation (HRC) mengumumkan pelumba Malaysia itu akan beraksi dalam kejuaraan berprestij Suzuka 8-Hour Endurance Road Race ke-37 di Litar Suzuka, Jepun, 27 Julai ini.

Perkara itu disahkan Honda melalui satu siaran kenyataan seluruh dunia pada Jumaat lalu yang turut menyaksikan senarai pasukan dan pelumba rasmi yang akan membawa cabaran Honda pada acara tahunan itu.


Pemilihan ini menyaksikan Zamri beraksi buat pertama kali dalam perlumbaan Suzuka 8-Hour Endurance dan akan mewakili pasukan Honda Team Asia, pasukan sama diwakili pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman ketika menyertai kejuaraan itu pada 2012 dan 2013.

Sama seperti Azlan, Zamri dipilih berdasarkan prestasi cemerlang dalam saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC).


Pelumba berusia 31 tahun itu yang baru menamatkan perlumbaan ARRC di Sentul, Indonesia akan bergandingan dengan seorang lagi pelumba SuperSports 600cc ARRC dari Indonesia, Dimas Ekky Pratama manakala pelumba ketiga pasukan masih belum diumumkan.


"Saya sangat gembira. Dapat beraksi dalam saingan Suzuka 8-Hour Endurance Race merupakan satu peluang yang besar dalam karier. "Saya berterima kasih kepada Honda khususnya Boon Siew Honda Racing kerana percayakan kebolehan saya," kata Zamri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Prestasi Azlan memuaskan

Posted: 16 Jun 2014 01:43 PM PDT

Kuala Lumpur: Keputusan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19 sekalipun bermula dari petak ke-33 memberi petanda positif buat pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman sebaik menamatkan perlumbaan akhir Moto2 Grand Prix Monster Energy di Litar Catalunya, Sepanyol, semalam.

Pelumba Idemitsu Honda Team Asia itu menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 42:17.199s di belakang juara, Esteve Rabat yang menamatkan perlumbaan dengan masa 41:23.197s.


"Saya gembira dengan aksi di Litar Catalunya kerana litarnya agak teknikal. Saya cuba sedaya upaya memintas beberapa pelumba di depan, namun malang saya melakukan sedikit kesilapan dan ketinggalan di belakang bersendirian. Saya masih bekerja keras untuk mengubah gaya tunggangan agar lebih serasi dengan jentera Moto2 ini. Saya tidak akan mudah mengalah dan terus mencuba sebaik mungkin pada perlumbaan akan datang," katanya.

Pengurus pasukan Tadayuki Okada turut puas hati dengan prestasi dipamerkan Azlan. "Azlan memperbaiki catatan masa terbaik kepada 1:49.126s sewaktu perlumbaan. Ia satu keputusan positif kerana berjaya melakukannya. Kami akan tinggal di sini untuk menyertai sesi ujian di Barcelona dan kemudian dua hari latihan persendirian di Aragon untuk mengumpul data bagi mendapatkan pelarasan terbaik jentera dan memperbaiki beberapa kelemahan pelumba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

No comments:

Post a Comment