Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Wanita terhempas depan mata

Posted: 03 Jun 2014 11:35 AM PDT

Cheras: "Saya sangkakan anak patung jatuh melayang dari tingkat atas bangunan. Namun, saya tergamam apabila seorang wanita jatuh terhempas mati betul-betul di hadapan saya," kata saksi kejadian bunuh diri yang hanya mahu dikenali sebagai Haikal, 25.

Dalam kejadian jam 4.07 petang semalam, mangsa, Woo Kwan Ti, 26, dikatakan terjun dari tingkat tujuh Bangunan Pusat Komuniti, Bandar Tun Razak, di sini.

Haikal yang ditemui berkata, dia sempat melihat kelibat objek jatuh dari atas kepalanya tanpa menyangka ia adalah manusia.

Menurutnya, dia bagaimanapun terkejut apabila tubuh mangsa terhempas di kaki lima tingkat bawah bangunan itu tidak jauh dari lokasi dia berdiri.

Foto

WOO ditemui mati selepas terjun dari tingkat tujuh Bangunan Pusat Komuniti, semalam.


"Saya tergamam seketika, namun segera mendapatkan bantuan orang ramai. Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada organ dalaman," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Taman Mulia Bandar Tun Razak, Cheras.

Menurutnya, mangsa yang masih bujang itu pernah beberapa kali cuba untuk membunuh diri sebelum ini, namun gagal kerana sempat diselamatkan ahli keluarganya.

"Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami masalah psikiatri sejak lima tahun lalu.

"Ibunya turut mengesahkan perkara itu dan mangsa sering mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke PPUKM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Hanya kanta pembesar

Posted: 03 Jun 2014 11:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Rasa teruja seorang lelaki mahu membesarkan kemaluan menggunakan alatan khas dibeli menerusi pembelian atas talian sebalik bertukar hampa apabila mangsa hanya menerima bungkusan berisi kanta pembesar minggu lalu.

Perkara itu bermula apabila mangsa dikenali sebagai Ong, 30-an, dikatakan tertarik dengan satu iklan di sebuah laman sosial berhubung penjualan alat khas untuk membesarkan kemaluan.

Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, berdasarkan laporan diterima pihaknya, mangsa yang berminat dengan iklan itu kemudian segera membuat pembayaran kepada pemilik akaun di laman web terbabit.

"Mangsa ketika itu bersetuju membayar RM450 kerana mempercayai alat berkenaan berupaya membesarkan kemaluannya dua kali ganda.


"Namun, dia yang menerima bungkusan beberapa hari kemudian terkejut mendapati ia hanya berisi kanta pembesar," katanya di sidang media di pejabatnya di sini, semalam.


Hadir sama, Peguam Biro Pengaduan MCA, Alex Kok.

Menurutnya, lebih melucukan apabila 'penjual' alat itu turut meminta mangsa supaya tidak meletakkan kanta berkenaan di bawah sinar matahari.

Chong berkata, kejadian terbaru yang berlaku itu adalah sebahagian daripada puluhan aduan kes penipuan pembelian dalam talian yang diterima pihaknya sejak awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Dua maut treler masuk gaung

Posted: 03 Jun 2014 11:30 AM PDT

Gopeng: Seorang pemandu lori dan rakannya maut akibat dihempap bahagian kepala treler apabila kenderaan dinaiki terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter di kilometer 300.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.15 malam, mangsa, Mohd Mustafa Shafie, 36, beralamat No 112 Persiaran Raya, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, dekat sini, yang parah di bahagian muka dan anggota badan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan.

Sementara rakan mangsa, Long Pos Bah Churek, 37, beralamat Kampung Ulu Kampar, Gopeng, Perak maut di tempat kejadian selepas parah akibat dihempap bahagian kepala lori sehingga menyebabkan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tapah mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkannya.

Ia termasuk menggunakan dua kren jentera bagi mengangkat bahagian treler yang terjunam ke dalam gaung sebelum mayat mangsa dapat dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan lanjut.

Saksi kejadian, K Savan, 34, berkata, dia yang memandu lori tangki berasa pelik melihat treler dipandu mangsa di hadapan kenderaan itu bergerak laju walaupun keadaan jalan adalah mendaki ketika itu.

"Lori itu bergerak ke kiri dan kanan dengan lajunya sedangkan keadaan jalan lurus dan mendaki.

"Secara tiba-tiba lori itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok di kiri jalan sebelum terjunam ke dalam gaung," katanya.

Menurutnya, besar kemungkinan pemandu treler mengantuk kerana tiada kesan tayar pecah atau kesan brek sehingga menyebabkannya terbabas lalu terjunam ke dalam gaung.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan treler Volvo FM12 membawa muatan alat ganti kenderaan.

"Siasatan mendapati treler itu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan bergolek 80 meter di atas tembok jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter.

"Akibat dari kemalangan itu, pemandu lori, Mohd Mustafa Shafie, 36, berjaya dikeluarkan, namun cedera parah di bahagian muka dan beberapa anggota badan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk menerima rawatan lanjut sebelum disahkan mati ketika menerima rawatan di wad kecemasan," katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa yang parah turut maut akibat dihempap bahagian kepala treler.

"Mayat Long Pos Bah Churek dikeluarkan anggota bomba dan pasukan penyelamat selepas bahagian kepala treler yang menghempapnya dikeluarkan menggunakan kren," katanya.

Foto

ANGGOTA polis memeriksa treler yang terjunam ke dalam gaung, semalam.


Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan treler berkenaan rosak teruk di semua bahagian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Datuk 'ketuk' duit peniaga

Posted: 03 Jun 2014 11:27 AM PDT

Shah Alam: Dengan mendakwa menerima gelaran Datuk daripada Sultan Selangor dan bapa artis wanita popular tempatan, seorang lelaki ligat menipu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan peniaga yang mengupah warga asing sebagai pekerja untuk menyara kehidupan mewahnya sejak dua tahun lalu.

Lelaki berusia 60-an itu juga didapati mempunyai 23 rekod jenayah dengan kebanyakannya membabitkan kes tipu di beberapa negeri di pantai timur dan mendakwa mempunyai 'kuasa' yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membanteras PATI.

Berikutan itu, dia mengaut belasan ribu ringgit sebulan daripada mangsanya sebagai 'wang perlindungan' kononnya dapat mengelak daripada ditahan Jabatan Imigresen.

Wang mudah yang diperoleh itu membolehkan beliau memandu pelbagai kereta mewah, sekali gus mengundang kepercayaan orang ramai dia sememangnya seseorang yang mempunyai pangkat dan kedudukan di negeri ini.


Bukan itu saja, lelaki terbabit mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan pegawai Jabatan Imigresen berkaitan penguatkuasaan bagi memudahkannya membuat urusan permit pekerja asing.


Mendedahkan kegiatan 'Datuk' itu, seorang wanita yang mengenalinya berkata, perwatakan lelaki itu pasti membuatkan sesiapa saja terpedaya kerana sering 'menjual' nama istana dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi setiap kali berbicara.

Ini menyebabkan ramai peniaga di kawasan Shah Alam mempercayai dia mampu mengarahkan Jabatan Imigresen melakukan operasi menahan PATI.

"Jika peniaga tidak mahu pekerja asing mereka ditahan, mereka perlu memberi wang kepada lelaki terbabit bagi mengelakkan daripada dijadikan sasaran operasi. Akibat mempercayai kata-katanya ramai peniaga menjadi mangsanya.

"Ada antara warga asing di kawasan ini mendakwa lelaki terbabit sewenang-wenangnya meminta wang perlindungan jika tidak mahu ditahan dan kegiatannya itu hanya dilakukan secara sendirian tanpa bantuan individu lain," katanya yang sering diganggu lelaki itu sejak dua tahun lalu.

Wanita itu yang mengusahakan kedai makan berkata, lelaki terbabit tidak pernah menerima darjah kebesaran daripada mana-mana pihak yang membolehkannya menggunakan gelaran 'Datuk' mahupun mendapat tauliah KDN.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

'Tidak serius'

Posted: 03 Jun 2014 11:26 AM PDT

Kuala Lumpur: "Memang ada keluar beberapa kali tapi kami bertemu atas dasar kerja. Tak ada apa-apa yang serius," kata penyanyi Ahmad Shahir Zawawi berhubung desas-desus hubungannya dengan aktres Erra Fazira, sejak akhir-akhir ini.

Shahir, 26, yang juga juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan mendakwa, gosip itu tersebar berikutan kenyataannya dalam temu ramah sebuah program televisyen baru-baru ini sudah diputarbelitkan daripada fakta sebenar.

"Tolong jangan jadikan ia isu. Bila benda (gosip) itu keluar saya amat terkejut sebab tak ada langsung daripada mulut saya mengaku kami intim.

"Saya tak sebut langsung begitu. Itu bukan kenyataan daripada saya. Harap benda ini dapat diperbetulkan," katanya ketika ditemui pada malam mesra media bersama artis Astro di Hotel Le Meredien di sini, malam kelmarin.


Ura-ura mendakwa Shahir kini intim dengan Erra atau Fazira Wan Chek, 40, menjadi bualan hangat sejak minggu lalu susulan kenyataan penyanyi itu dalam sebuah program televisyen, baru-baru ini.


Erra dalam kenyataannya pada minggu lalu menepis ura-ura itu dan mendakwa kenyataan Shahir sudah dimanipulasi program hiburan terbabit.

Shahir yang cuba dihubungi sebelum ini pula mengelak dan tidak menjawab sebarang panggilan dan SMS yang dihantar.

Beberapa tahun lalu, Shahir pernah dikaitkan intim dengan pelakon dan pengacara Rozita Che Wan, 40, namun kedua-dua pihak menafikannya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

No comments:

Post a Comment