Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Bisa Ronaldo

Posted: 11 Jun 2014 12:27 PM PDT

East Rutherford, AS: Cristiano Ronaldo berpeluang menjaringkan satu gol selain satu percubaannya mengenai palang ketika membantu Portugal menamatkan persiapan Piala Dunia dengan kemenangan 5-1 ke atas Republik Ireland kelmarin.

Penyerang Real Madrid itu yang terlepas peluang untuk beraksi dalam dua perlawanan pemanas badan kerana kecederaan paha dan lutut, tidak berada pada tahap terbaik dalam perlawanan berat sebelah itu.

Bagaimanapun, jurulatih Paulo Bento berasa lega melihat ketua pasukan dan pemain paling penting itu kembali selepas pulih daripada kecederaan yang mengundang resah jika Ronaldo tidak cergas menjelang Piala Dunia di Brazil.

Ronaldo digantikan pada minit ke-65 dalam pertukaran yang sudah dirancang dan tidak ada sebarang kesan kesakitan atas masalah kecederaan dialaminya sebelum ini.

Foto


Dia digantikan dengan rakan sepasukannya di Real, Pepe yang juga terpalit masalah kecederaan ketika persiapan Piala Dunia.


"Ronaldo bermain dengan baik, walaupun sudah lama tidak beraksi secara kompetitif.

"Pemain sepertinya sangat penting untuk mana-mana pasukan dan begitu juga kami. Memang hebat dapat menggunakan khidmatnya kembali," kata Bento.

Portugal, yang terus bergegas ke Brazil selepas perlawanan itu, akan memulakan kempen Piala Dunia Isnin ini dalam saingan Kumpulan G, dianggap sebagai 'kumpulan maut' yang juga dibarisi Amerika Syarikat dan Ghana.

Raul Meireles juga kembali selepas masalah kecederaan, membolehkan Bento menurunkan skuad utamanya buat pertama kali sejak melakukan persiapan Piala Dunia.

"Semua pemain sudah cergas dan kami tidak risau kerana ini adalah petanda positif," kata Bento. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Waspada kekang jentera Belanda

Posted: 11 Jun 2014 12:26 PM PDT

Curitiba, Brazil: Juara dunia, Sepanyol perlu waspada terhadap Belanda yang mampu melakukan serangan balas pantas ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pembukaan Kumpulan B, awal pagi Sabtu, tegas pemain tengah Sergio Busquets.

Bintang Barcelona berusia 25 tahun yang beraksi di final 2010 menentang Belanda pada perlawanan yang menyaksikan Sepanyol menang 1-0 berkata, ketika kebanyakan pemain yang mewakili Sepanyol empat tahun lalu masih kekal, Belanda pula mempertaruhkan ramai pemain muda.

"Secara praktikal kami menampilkan pemain yang sama manakala mereka pula menurunkan sejumlah pemain dan jurulatih baru (Louis van Gaal)," kata Busquets.

"Mereka mengamalkan sistem permainan berbeza, menggunakan lima pertahanan dan berharap untuk menghukum lawan menerusi serangan balas.

"Kami perlu menggagalkan serangan balas mereka dan perlu sentiasa mengawal pemain utama seperti Arjen Robben, Robin van Persie dan Wesley Sneijder.

Kami perlu mendapat keputusan yang bagus untuk tampil dalam baki dua perlawanan peringkat kumpulan (Chile dan Australia) dalam situasi tenang." Busquets yang juga sebahagian daripada skuad juara Euro 2012, mengakui dia sedikit bimbang terhadap cuaca panas dan lembap yang menanti mereka di gelanggang perlawanan pada awal pagi Sabtu di Salvador.

"Bagaimanapun, penguasaan lebih banyak dan hantaran lebih kerap akan memudahkan kami," katanya.

"Kami akan mendapat kelebihan berbanding lawan," tambahnya.

Sepanyol akan turun menentang Chile untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan pada 18 Jun di Rio de Janeiro dan menamatkan pusingan pertama menentang Australia di Curitiba.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

'Rakyat Brazil restui saya...'

Posted: 11 Jun 2014 12:24 PM PDT

Curitiba, Brazil: Penyerang kelahiran Brazil, Diego Costa mendakwa dia mendapat reaksi positif rakyat negaranya walaupun memilih untuk mewakili Sepanyol di Piala Dunia.

Walaupun tampil dalam dua aksi persahabatan untuk negaranya pada 2013, Costa pada Oktober lalu memilih mewakili negara angkatnya, Sepanyol selepas beraksi hampir keseluruhan kerjayanya di negara itu.

Ia mencetuskan kebimbangan dia akan menjadi tumpuan rakyat negaranya apabila kembali ke Brazil untuk beraksi bersama Sepanyol di Piala Dunia.

Namun, penyerang Atletico Madrid berusia 25 tahun itu yang dijangka berpindah ke Chelsea, mendakwa reaksi balas yang diterimanya amat baik.

"Majoriti rakyat di Brazil memahami apa yang berlaku.

Keadaan berjalan dengan lancar untuk saya," katanya.

"Mereka melayan saya dengan baik, seperti yang saya harapkan.


Saya mendapat sokongan kebanyakan orang yang mengetahui apa yang berlaku." Costa disenaraikan pengendali Brazil Luis Felipe Scolari untuk dua perlawanan persahabatan menentang Itali dan Russia pada Mac 2013.

Bagaimanapun, Persekutuan Bolasepak Sepanyol, membuat permohonan kepada FIFA pada September untuk menyenaraikan Costa dalam skuad kendalian Vicente Del Bosque selepas penyerang itu mendapat kewarganegaraan Sepanyol.

Sebulan kemudian Costa mengumumkan keputusannya untuk beraksi bersama Sepanyol, mendakwa Del Bosque menunjukkan keinginan lebih tinggi berbanding Scolari bagi menggunakan khidmatnya sekali gus mencetuskan reaksi kurang senang Scolari yang mendakwa pemain itu "mengkhianati impian berjuta peminat".

Pengarah Kehakiman Gabungan Bolasepak Brazil (CBF) Carlos Eugenio Lopes meluahkan pandangan lebih tegas apabila menuntut Costa dilucutkan taraf kewarganegaraan Brazil manakala Pengerusi CBF Jose Maria Marin mahukan pemain itu diisytiharkan sebagai individu yang tidak dialu-alukan ke negara itu.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Kemulut bonus!

Posted: 11 Jun 2014 12:24 PM PDT

Paris: Bermula dengan isu pemain Cameroon enggan menaiki pesawat ke Brazil hinggalah kepada ganjaran lumayan yang bakal diterima Sepanyol, isu bonus Piala Dunia turut menjadi perhatian sebelum kejohanan terbesar itu bermula.

Negara Afrika kerap bertelagah berhubung isu bonus dan kali ini ia membabitkan Cameroon.

Sebelum ini, Togo berdepan masalah itu pada 2006 di Afrika Selatan dan episod sama berulang apabila pemain Cameroon pula mengancam untuk mogok.

Samuel Eto'o dan rakan sepasukan enggan menaiki pesawat ke Brazil pada Ahad lalu kerana tidak puas hati dengan tawaran diberikan kerajaan.

Tawaran €76,000 (RM330,504) untuk setiap pemain ditolak sebelum mereka menerima dengan syarat tambahan enam peratus daripada pendapatan persatuan negara itu di Piala Dunia.

Walaupun tersingkir di peringkat kumpulan, mereka masih menerima tambahan AS$21,000 (RM67,468) setiap seorang.

Bayaran itu sebenarnya jauh lebih kecil berbanding tawaran lumayan bakal diterima penyandang juara dunia dan Eropah, Sepanyol.

Mereka bakal menerima €720,000 (RM3.2 juta) seorang andai menjulang trofi itu buat kali kedua berturut-turut, namun sekiranya pencapaian mereka kurang memberangsangkan, jumlah itu akan berkurangan.

Bonus mereka tidak sama seperti diterima Jerman dan hanya diberikan apabila melangkah ke suku akhir dengan pemain Sepanyol akan menerima €60,000 (RM260,878) berbanding €50,000 (RM217,406) untuk pemain Jerman.

Andai muncul juara, setiap pemain Jerman akan menerima €300,000 (RM1.3 juta).

Pasukan tuan rumah, Brazil antara yang bakal menerima durian runtuh apabila setiap ahli pasukan dilapor akan menerima sekitar 1 juta reais (RM1.4 juta) jika muncul juara.

Jumlah itu tampak besar namun pembayaran bonus itu sebenarnya bukan masalah memandangkan FIFA akan memberikan AS$35 juta (RM112 juta) kepada pasukan juara, AS$25 juta (RM80 juta) bagi naib juara dengan dua pasukan yang kalah di separuh akhir menerima AS$22 juta (RM70 juta) dan AS$20 juta (RM64 juta) bergantung kepada keputusan perlawanan play-off tempat ketiga.- AFP

Foto

ETO'O (tengah) bersama rakan sepasukan jalani latihan persediaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Lahm tidak peduli kelibat Ronaldo

Posted: 11 Jun 2014 12:20 PM PDT

Santo Andre, Brazil: Kapten Jerman, Philipp Lahm tidak mempedulikan tahap kecergasan Cristiano Ronaldo menjelang pertemuan kedua-dua negara, Isnin ini.

Ronaldo yang bergelut dengan kecederaan lutut dan paha, kembali berlatih bersama seorang lagi rakan sepasukannya yang turut cedera sebelum ini, Raul Meireles dan Pepe menjelang perlawanan dengan Jerman di Salvador.

Bagaimanapun, menurut Lahm, persediaan Jerman untuk perlawanan itu tetap sama tidak kira Ronaldo bermain atau tidak.

"Saya yakin dia akan bermain, tetapi ia tidak memberi sebarang perbezaan buat kami.

"Dia luar biasa, tetapi kami akan bersedia secara normal, seolah-olah dia akan diturunkan.

"Saya rasa dia juga akan berasa sesuatu yang luar biasa dapat berentap dengan kami semula, dia memang terdesak untuk menewaskan kami," kata Lahm.

Kedua-dua pasukan bertemu di peringkat sama pada Euro 2012 dengan Jerman mencatat kemenangan 1-0 dan Lahm menjangkakan kali ini akan tetap sukar seperti dua tahun lalu.

"Portugal bermain dengan baik ketika menentang kami dua tahun lalu dan dengan sedikit tuah kami mampu mencatat kemenangan.

"Mereka pasukan yang bagus terutama dari segi fizikal.

"Saya sudah menekankan selepas undian, kami harus mempamerkan aksi terbaik dan menggunakan taktik yang betul kerana jika tidak menang, kami pasti tertekan," kata pemain berusia 30 tahun itu.

Pada Piala Dunia empat tahun lalu di Afrika Selatan, Jerman menikmati kejayaan mengalahkan England dan Argentina sebelum tewas kepada penyandang juara, Sepanyol di separuh akhir.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Croatia makin matang

Posted: 11 Jun 2014 12:17 PM PDT

Manaus, Brazil: Perancang tengah, Luka Modric berkata, pemain Croatia mempamerkan peningkatan prestasi sejak Euro 2012, tetapi mereka perlu membuktikan keupayaan itu sekali lagi pada Piala Dunia kali ini.

Croatia bertemu Brazil di Sao Paulo pada perlawanan pembukaan awal pagi esok dan Modric melihat tidak banyak perbezaan antara 32 negara yang akan beraksi pada edisi kali ini.

"Kami mampu melangkah lebih jauh jika dapat melepasi saingan peringkat kumpulan.

"Saya dapat melihat dengan jelas majoriti pemain mempamerkan peningkatan individu sejak Euro 2012, tetapi masih belum nampak komitmen kami sebagai satu unit.

"Kami sedar Brazil menghormati kami, tapi kami juga tahu mereka begitu terdesak untuk mencatatkan kemenangan pada perlawanan pertama di halaman sendiri.

"Mereka adalah skuad yang lengkap dengan adanya pemain seperti Marcelo, Thiago Silva dan Neymar iaitu tiga pemain yang cukup hebat.

"Apapun, kami perlu mempamerkan semangat berpasukan kerana kejayaan tidak mampu dicapai andai mengamalkan skil individu ketika menentang antara pasukan terbaik dunia.

"Jentera tengah pasti bersaing sengit.

Kami pasti tewas jika gagal menguasai posisi itu," katanya.

Croatia yang mengejutkan dunia apabila berjaya melangkah ke saingan separuh akhir Piala Dunia 1998, mempamerkan aksi hambar selepas itu.

Mereka gagal untuk melepasi peringkat kumpulan serta turut longlai di Euro 2012.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Elak badi Nishimura

Posted: 11 Jun 2014 12:15 PM PDT

Teresopolis, Brazil: Brazil pastinya mahu mengelak 'layanan buruk' pengadil dari Jepun Yuichi Nishimura yang akan mengendalikan pertemuan dengan Croatia awal pagi esok selepas pengadil itulah yang dikatakan menjadi punca kekalahan Brazil pada Piala Dunia 2010.

Nishimura menjadi tumpuan selepas Selecao tewas 1-2 di tangan Belanda pada suku akhir dan kelmarin, FIFA mengumumkan beliau akan mengendalikan perlawanan pembukaan di Corinthians Arena, Sao Paulo.

Pemain tengah Ramires, 27, antara beberapa pemain skuad Brazil ketika ini yang beraksi pada 2010, meskipun dia sekadar menyaksikan pertembungan dengan Belanda dari bangku simpanan.

"Ketika itu, saya masih baru dalam skuad dan dikelilingi barisan pemain berpengalaman.

"Segala-galanya nampak lancar, tetapi saya dilayangkan kad kuning kedua ketika bertemu Chile pada pusingan kedua sekali gus tidak dapat beraksi menentang Belanda.

"Pasukan beraksi dengan sangat baik pada separuh masa pertama," kata Ramires.

Bagaimanapun, Wesley Sneijder menjaringkan gol penyamaan sebelum Felipe Melo meledak gol kedua sekali gus menamatkan harapan juara dunia lima kali itu.

Menyaksikan Nishimura mengendalikan perlawanan bertemu Croatia pastinya mimpi buruk kepada barisan pemain Brazil, namun Ramires mempunyai mesej ringkas kepada rakan sepasukannya menjelang perlawanan awal pagi esok.

"Apa saja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit.

Kadangkala pengadil boleh melakukan kesilapan.

"Terpulang kepada kami untuk melakukan yang terbaik dan cuba mengelak daripada kecewa lagi," katanya.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Teka-teki Tabarez

Posted: 11 Jun 2014 12:04 PM PDT

Belo Horizonte, Brazil: Jurulatih Oscar Tabarez enggan membuat spekulasi mengenai kedudukan penyerang utamanya, Luis Suarez dalam kesebelasan utama Uruguay.

Suarez kini berusaha meningkatkan tahap kecergasannya selepas menjalani pembedahan lutut.

"Perkembangannya bertambah baik dan semangatnya juga sangat tinggi. Dia menjalani beberapa siri latihan dengan jurulatih kecergasan," kata Tabarez dalam sidang akhbar selepas latihan pertama Uruguay di Belo Horizonte.

"Kami tidak menetapkan sebarang tarikh akhir untuknya. Saya tidak tahu sama ada dia sempat diturunkan pada perlawanan pertama, kedua atau ketiga. Jika anda tanya pada saya, sudah tentu saya mahu dia bermain esok."

Foto


Uruguay memulakan kempen Kumpulan D Piala Dunia menentang Costa Rica diikuti perlawanan dengan England serta Itali.


Dalam laman Twitter miliknya, Suarez memaklumkan kepada semua peminat mengenai ketibaan mereka di Brazil selain memberitahu keadaan lututnya semakin baik selepas menjalani pembedahan pada 22 Mei lalu.

"Saya ingin maklumkan, lutut saya sudah semakin sembuh. Saya kembali berasa selesa dan proses penyembuhan ini perlu berlaku setiap hari, tetapi ia berada di landasan tepat," kata Suarez.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada semua peminat atas sokongan anda dan sudah tentu ketika ini saya banyak memikirkan mengenai Piala Dunia." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

England resah, Welbeck cedera

Posted: 11 Jun 2014 12:02 PM PDT

Rio de Janeiro: Penyerang England, Danny Welbeck masih belum tentu diturunkan pada perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Itali kerana mengalami kecederaan, lapor media British, semalam.

Beberapa akhbar melaporkan, pemain Manchester United itu terpaksa menamatkan sesi latihan di Urca yang terletak berhampiran Rio de Janeiro lebih awal gara-gara cedera dan pahanya dilihat terpaksa dibalut kakitangan perubatan.

Welbeck, 23, beraksi dalam dua daripada tiga aksi pemanas badan England dan dilihat hampir pasti disenaraikan dalam perlawanan pembukaan menentang skuad bimbingan Cesare Prandelli di Manaus.

Andai dia tidak boleh bermain, peluang pasti terbuka luas buat pemain sayap Liverpool, Raheem Sterling.

Foto

WELBECK (kanan) cedera paha.


Pemain berusia 19 tahun itu terlepas aksi menentang Honduras yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan gara-gara dilayangkan kad merah ketika bertemu Ecuador, tetapi pengurus England Roy Hodgson kagum dengan persembahan pemain itu sepanjang sesi latihan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

Benzema, Giroud jadi pilihan Deschamps

Posted: 11 Jun 2014 11:54 AM PDT

Ribeirao Preto, Brazil: Jurulatih Perancis Didier Deschamps yakin dapat menurunkan dua penyerang utama, Karim Benzema dan Olivier Giroud selepas kedua-duanya berganding baik sepanjang aksi pemanas badan sebelum Piala Dunia.

Perancis membelasah Jamaica 8-0, Ahad lalu dengan Benzema serta Giroud masing-masing mencatat nama selaku penjaring.

Deschamps bagaimanapun lebih selesa menggunakan khidmat seorang penyerang sambil dibantu dua pemain sayap dan peluang kedua-dua pemain itu digandingkan dalam satu perlawanan agak tipis.

Namun Deschamps berkata, beliau yakin kedua-duanya mampu membentuk gandingan berbisa sekali gus digeruni lawan.

"Sudah tentu gandingan mereka boleh menjadi.

Semakin kerap kami menguasai bola, semakin mudah kami menghasilkan gol menerusi Karim dan Olivier," katanya.

"Tetapi jika kami tidak dapat menguasai perlawanan, kami perlu mengukuhkan pertahanan dan saya akan memilih perkara itu berbanding meletakkan dua penyerang kembar." Benzema bermain di sebelah kiri ketika menentang Jamaica walaupun diberi ruang besar untuk bergerak bebas manakala Giroud lebih gemar berada di tengah.

Deschamps berkata, beliau sudah ada bayangan pemain yang bakal diturunkan ketika menentang Honduras hujung minggu ini.

"Saya harap tiada masalah menimpa semua pemain kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/12

No comments:

Post a Comment