Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Digantung pada pokok

Posted: 22 Jun 2014 03:06 PM PDT

Islamabad: Seorang wanita dirogol secara bergilir-gilir, dibunuh dan mayatnya digantung pada pokok, dalam satu kes yang hampir sama dengan kejadian pemerkosaan dan pembunuhan dua gadis di India bulan lalu.

Polis di Pakistan berkata, Muzammil Bibi, 21, diserang tiga lelaki di sebuah ladang di kawasan Layyah di wilayah Punjab.

Seorang daripada mereka, teman lelakinya yang dikenalinya enam bulan lalu Muhammad Saqib, mengaku merogol dan membunuhnya.

Saqib dikatakan cuba memaksa Muzammil, anak pasangan suami isteri yang buta, melakukan seks dengan dua rakannya.

Foto

MAYAT Muzammil tergantung pada pokok.


Menurut polis, apabila mangsa enggan, mereka bergaduh.


Kejadian dikatakan berlaku Khamis lalu, tetapi dilapor kepada polis keesokannya selepas penduduk tempatan menemui mayat mangsa tergantung pada pokok.

Jurucakap polis, Ghazi Salahudin berkata, Muzammil, anak sulung daripada lapan beradik digantung selepas diperkosa supaya dia dilihat seperti membunuh diri.

Menurut polis, Saqib berkenalan dengan mangsa enam bulan lalu selepas mengunjungi rumahnya selaku pembantu pemborong sayur.

Sehari sebelum pembunuhan itu, Saqib membawa Muzammil ke kedai tempat dia bekerja.

Dia membawanya ke atas loteng bangunan kedai itu, tempat dua rakannya menunggu.
Apabila Saqib memujuknya supaya mengadakan seks dengan ketiga-tiga mereka, Muzammil melawan.

Mangsa kemudian dirogol secara bergilir-gilir sebelum dibunuh.

Dalam kejadian serupa di utara India bulan lalu, dua gadis berusia belasan tahun ditemui tergantung pada sebatang pokok selepas dirogol secara bergilir-gilir.

Tiga lelaki ditangkap sementara dua anggota polis ditahan kerana cuba menyembunyikan jenayah itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Kereta polis paling laju

Posted: 22 Jun 2014 02:58 PM PDT

Dubai: Polis di sini berbangga kerana memiliki koleksi paling banyak kereta peronda mewah di dunia.

Bagaimanapun, menurut laporan terbaru dari London pasukan polis Avon dan Somerset kini mendakwa, mereka mempunyai kereta peronda paling laju. Menurut laporan akhbar The Telegraph, pasukan polis Avon dan Somerset memiliki Ariel Atom yang boleh meluncur selaju 0-62mph dalam masa 2.5 saat.


Menurut laporan itu, kereta laju itu adalah sebahagian daripada kempen untuk mengurangkan kesalahan memandu laju.

Kereta berkenaan yang berharga RM208,000 lebih laju berbanding Lamborghini Gallardo LP560-4 Polizia yang digunakan oleh polis Itali, Audi R8 GTR yang dipandu polis di Jerman mahupun Ferrari FF yang digunakan di Dubai.


Denggan menggunakan lampu aerodinamik Hella dan kelengkapan kecemasan lain, reka bentuk kereta ini adalah berdasarkan Atom 3.5R terbaru. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Gara-gara tak boleh bawa masuk anjing ke restoran

Posted: 22 Jun 2014 02:58 PM PDT

Shanghai: Seorang lelaki merempuh sebuah restoran dengan keretanya selepas isteri dan anjingnya dihalang masuk.

Kejadian berlaku semalam selepas seorang wanita bergaduh dengan beberapa pelayan restoran di Wuhan yang melarangnya membawa masuk anjingnya.

Ia menyebabkan suami wanita itu berang lalu merempuh restoran berkenaan dengan keretanya.

Seorang saksi memberitahu wartawan, wanita itu membawa anjingnya masuk sebelum terdengar bunyi pergaduhan di dalam restoran.


Sejurus selepas itu, wanita itu dilihat meluru keluar bersama-sama anjingnya sambil dikejar lima pelayan sambil mereka memukulnya.


Tidak lama selepas itu, si suami merempuh pintu kaca restoran berkenaan.

Pekerja restoran berkata, wanita itu berkeras untuk makan bersama-sama anjingnya di dalam restoran itu. Atas sebab kebersihan, mereka melarang dia berbuat demikian.

Saksi berkata, wanita itu yang memulakan pergaduhan dengan pelayan terbabit.
Isu itu mendapat perhatian di Internet dan mendapat pelbagai reaksi.

Seorang pengguna menulis: "Tidak kira buruk mana kelakuan wanita itu, dia masih seorang pelanggan dan lima pelayan menyerangnya memang boleh dianggap melampau." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Saing sengit di Jawa

Posted: 22 Jun 2014 02:56 PM PDT

Jakarta: Persaingan sengit antara pasangan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa dan Joko Widodo-Jusuf Kalla dijangka berlaku di Pulau Jawa pada pilihan raya presiden Indonesia 9 Julai depan.

Kajian yang dijalankan Litbang Kompas menunjukkan calon Jokowi-JK akan menang tipis, mengatasi lawan mereka dengan 4.5 peratus undi di pulau berkenaan.


Akhbar Kompas mendedahkan hasil kajiannya itu semalam. Daripada jumlah pengundi di seluruh Indonesia, 58 peratus daripadanya berada di pulau berkenaan.

Akhbar itu tidak menolak kemungkinan Prabowo akan mencapai kemenangan di Jawa pada hari pengundian memandangkan peratusan tinjauan yang begitu tipis.


Tinjauan itu menunjukkan kekuatan kedua-dua calon di Jawa hampir seimbang.


Di bahagian barat, khususnya di wilayah Banten dan Jawa Barat, tinjauan itu mendapati Prabowo-Hatta mengatasi Jokowi-JK. Di bahagian timur yang merangkumi wilayah Jawa Tengah dan Jawa Timur, keadaan adalah di sebaliknya.

Bagaimanapun, keadaan di bahagian itu boleh berubah, memihak kepada Prabowo-Hatta.


Menurut Litbang Kompas, walaupun Jawa Timur dikuasai Nahdlatul Ulama, sekaligus menjadi kubu Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), masih terdapat 27 peratus pengundi yang belum menetapkan calon yang hendak diundi.

Jumlah yang berada di atas pagar di Jawa Timur itu adalah yang terbesar berbanding wilayah Jawa lain.


Hasil tinjauan itu menunjukkan kemungkinan pasangan Jokowi-JK menang di Jawa Timur ialah 42.3 peratus berbanding Prabowo-Hatta, 35.3 peratus.


Jumlah itu tidak termasuk 22.4 peratus yang belum menentukan calon yang akan mereka undi.


Menurut Kompas, golonggan ini yang akan menentukan pemenang pada 9 Julai nanti.


Kajian itu dilakukan dengan menemuramah secara bersemuka 1,950 responden antara 1 hingga 15 Jun lalu di 34 wilayah di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Saya tidak dilahir kaya: Prabowo

Posted: 22 Jun 2014 02:56 PM PDT

Jakarta: Calon Presiden Prabowo Subianto menyangkal dakwaan bahawa dia dilahirkan sebagai orang kaya.

Calon parti Gerindra pada pilihan raya Presiden Indonesia itu sebaliknya mendakwa, dia juga pernah merasakan keperitan hidup kerana kedudukan ekonomi keluarganya.


"Ada yang berkata Prabowo lahir sudah kaya. Itu tidak benar. Bapa saya guru, kemudian menjadi pesnyarah seumur hidup. Dia pegawai negeri yang tidak pernah menerima rasuah.

"Saya pernah miskin dan kerana itu saya memahami perasaan orang miskin," kata Prabowo ketika berucap pada perhimpunan puluhan ribu penyokongnya di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, semalam.


Dia turut menceritakan bagaimana dia terpaksa mengira wang saku ketika hendak mengajak kekasihnya makan ketika usia mudanya.


"Dulu, ketika hendak ajak kekasih saya keluar makan, saya terpaksa mengira duit dalam simpanan saya. Bayangkan malunya kalau saya ajak dia keluar, tetapi tidak dapat belanja makan.

"Dan hingga sekarang saya mengerti perasaan orang yang tidak memiliki wang kerana saya juga dulu pernah tidak boleh tidur kerana memikirkan cara untuk mendapatkan wang," katanya.


Bekas panglima pasukan komando Indonesia itu berjanji akan berusaha mengubah ekonomi rakyat Indonesia sekiranya menang pada pilihan raya 9 Julai depan.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia, Prabowo pada 2003 memiliki harta berjumlah Rp10 bilion (RM2.7 juta).


Bagaimanapun, kekayaan yang dimilikinya selepas bersara berlipat kali ganda. Pada tahun 2009, bekas menantu bekas presiden Suharto itu dikatakan memiliki kekayaan berjumlah kira-kira RM65 juta, termasuk aset tidak bergerak seperti perusahaan, penternakan dan surat berharga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Jokowi tak rela kalah di Jakarta

Posted: 22 Jun 2014 02:55 PM PDT

Jakarta: Calon pilihan raya presiden Indonesia Joko Widodo semalam merayu penduduk bandar raya ini supaya tidak melakukan kesilapan pada hari mengundi kelak.

Bercakap kepada pasukan sukarelawan yang menyokongnya sempena acara Hari Bebas Kereta di Jakarta, Jokowi berkata, adalah penting baginya untuk menang di ibu negara Indonesia itu.


"Jakarta amat penting. Anda pastikan kita tidak kalah di sini.

"Mulai hari ini, tingkatkan kempen kita. Kempen teman-teman anda. Ajak jiran anda keluar mengundi dan memilih pasangan Jokowi-JK pada 9 Julai depan," katanya.


Kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan dia boleh memperoleh antara 70 hingga 90 peratus undi di Jakarta. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Rakyat mahu Prayuth

Posted: 22 Jun 2014 02:55 PM PDT

Bangkok: Sejumlah besar rakyat Thai mahukan Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) mencalonkan panglima tentera negara itu, Jeneral Prayuth Chan-ocha selaku perdana menteri bagi kerajaan sementara yang dirancang ditubuhkan.

Kajian yang dilakukan Nida Poll pada 20 dan 21 Jun lalu menunjukkan 41.3 peratus daripada 1,259 responden mahukan Prayuth memimpin negara itu.


Kajian berkenaan diadakan bagi mengukur pendapat orang ramai mengenai calon yang perlu dikemukakan majlis itu dengan membabitkan responden yang dipilih secara rawak di seluruh negara.

Seramai 8.5 peratus responden memilih bekas perdana menteri dua kali, Anand Panyarachun, 2.8 peratus memilih Setiausaha Agung ASEAN Surin Pitsuwan, 1.43 peratus mahukan bekas menteri kewangan MR Pridiyathorn Devakula dan 1.19 peratus mahukan bekas perdana menteri Somkid Jatusripitak.


Nama lain yang turut dipilih, termasuk bBekas perdana menteri Thaksin Shinawatra dan adiknya Yingluck turut dipilih.


Dalam pada itu, 3.1 peratus responden berkata, mereka mahukan orang yang jujur dan mampu menyelesaikan masalah negara dan mereka perlu dipilih melalui pilihan raya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Tali barut ditembak mati

Posted: 22 Jun 2014 02:55 PM PDT

Pattani: Seorang penduduk kampung yang menjadi pemberi maklumat tentera ditembak mati lewat kelmarin selepas pulang dari solat Isyak di daerah Panare, di sini.

Ketua Polis Daerah Kolonel Payawat Phetchum berkata, Abdulkolik Cheha, 36, ditembak di rumahnya oleh beberapa lelaki bersenjata yang bersembunyi di sebalik kegelapan malam.


Polis yang menyiasat di tempat kejadian awal pagi semalam menemui 13 kelongsong peluru.

Pihak berkuasa percaya kumpulan pemisah selatan Thai bertanggungjawab terhadap kejadian itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Buru sarjan penyangak

Posted: 22 Jun 2014 02:54 PM PDT

Seoul: Tentera Korea Selatan semalam berbalas tembak dengan seorang askar penyangak yang sebelum itu mengamuk, menyebabkan lima rakannya terbunuh.

Seorang ketua platun cedera selepas askar penyangak berpangkat sarjan itu yang hanya dikenali dengan nama keluarganya, Yim, melontar bom tangan dan melepaskan tembakan ke arah tentera yang menghampirinya.


Pegawai berkata, tentera melepaskan tembakan balas selepas itu.

Penduduk kampung berhampiran diberi amaran supaya tidak meninggalkan rumah masing-masing. Ketua kampung, Jang Seok-kwon berkata, dia mendengar sekurang-kurang 10 das tembakan.


Tentera turut membawa ibu bapa Yim ke hutan, kira-kira 10 kilometer dari pos sempadan itu untuk memujuknya supaya menyerah diri.


Kejadian bermula selepas Yim melepaskan tembakan Sabtu lalu di pos kawalan di wilayah Gangwon berhampiran sempadan Korea Utara, menyebabkan lima askar terbunuh dan mencederakan tujuh yang lain.

Foto

TENTERA Korea Selatan membidik senjata mereka ketika operasi memburu seorang askar yang membunuh lima rakannya.

Yim yang dijadual menamatkan perkhidmatannya pada September depan melarikan diri bersama-sama senjatanya.


Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah sebenar peluru yang dibawa bersamanya.

Jurucakap Kementerian Pertahanan mengesahkan Yim dianggap 'askar yang dilindungi dan dalam perhatian'.


Ini bermakna dia memerlukan perhatian istimewa di kalangan tentera.


Dia mendapat gelaran itu berdasarkan ujian personaliti berkala.


Tahun lalu, Yim diletakkan dalam kategori askar dilindungi gred A - seorang yang mempunyai risiko tinggi untuk membunuh diri atau berupaya mencetuskan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

Empat bandar dalam dua hari

Posted: 22 Jun 2014 02:53 PM PDT

Baghdad: Kumpulan bersenjata Sunni berjaya menawan satu lagi bandar di wilayah Anbar menjadikannya kawasan keempat yang ditawan dalam masa dua hari.

Menurut pegawai kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS) berjaya menawan bandar Rutba, kira-kira 150 kilometer ke timur sempadan Jordan lewat kelmarin.

Penduduk di bandar berkenaan dilaporkan berbincang dengan ISIS untuk meninggalkan bandar itu selepas pasukan tentera kerajaan di pinggir bandar itu mengancam melancarkan serangan bom.

Perkembangan terbaru itu sekali lagi memberi tamparan hebat kepada kerajaan Syiah Iraq pimpinan Perdana Menteri Nuri al-Maliki yang kini bergelut mempertahankan karier politiknya disamping tidak lagi mampu mengawal pasukan keselamatan yang mengheret negara itu ke kancah perang saudara.

Foto

Pasukan tentera Iraq melakukan rondaan untuk memburu anggota ISIS di bandar Ramadi.


Bandar Qaim, Rawah, Anah dan Rutba adalah antara bandar terawal yang ditawan di wilayah Anbar sejak ISIS menawan bandar Fallujah dan sebahagian dari wilayah Ramadi awal tahun ini.


Dengan penawanan Rawah di Sungai Furat dan bandar berhampiran, Anah dilihat sebagai sebahagian daripada kemaraan menuju sebuah empangan penting yang boleh menjejaskan bekalan elektrik dan menyebabkan banjir besar.

Tentera Iraq dalam kenyataannya berkata, seramai 2,000 anggota ditempatkan di kawasan empangan itu bagi melindunginya.

ISIS juga turut terbabit dalam pertempuran sengit bagi menguasai kawasan di sempadan Syria.

Kejayaan kumpulan itu menguasai bandar seperti Qaim memudahkan mereka memindahkan senjata.

Sementara itu, kira-kira 20,000 militan Syiah yang kebanyakannya memakai seragam tentera, berarak di bandar Sadr untuk mempamerkan kekuatan mereka dalam menghadapi kemaraan ISIS.

Perarakan serupa juga diadakan di bandar Amarah dan Basra.

Dalam pada itu Amerika Syarikat dilihat kembali campur tangan dalam perkembangan di Iraq apabila menghantar 300 penasihat tentera bagi membantu menangani kemaraan ISIS.

Kumpulan penasihat tentera itu menyertai 275 anggota yang dihantar bagi melindungi kedutaan AS sambil membantu rakyat mereka di sana. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/23

No comments:

Post a Comment