Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Dizalimi anak sendiri

Posted: 17 Jun 2014 10:01 AM PDT

Hunan (China): Seorang warga emas berusia 90 tahun dikurung dan dibiarkan supaya mati kebuluran oleh anak-anaknya sendiri.

Bagaimanapun, Xiaoming Tsui yang dikurung di dalam bilik tidurnya berjaya hidup dengan minuman dan bubur yang dicampakkan oleh jirannya ketika anaknya tiada di rumah.

"Tolong, beri saya makanan," adalah perkataan pertama yang diucapkannya ketika polis berjaya memecah masuk ke rumah mangsa minggu lalu selepas kisah wanita itu disiarkan di Internet.

Anak perempuan dan lelaki Xiaoming kini menghadapi tuduhan cubaan membunuh selepas polis menuduh mereka bersikap kejam dan merancang membunuh seseorang kerana merasa susah dan tidak mahu menanggung beban,

Foto

XIAOMING dimandikan selepas hampir sebulan dikurung tanpa diberi makan oleh anaknya sendiri.


Menurut jurucakap polis, sejak wanita itu sakit dan bagi mengelak untuk menjaganya, anak-anaknya cuba membunuhnya dengan membiarkan dia kebulur di dalam bilik yang berkunci.


"Mereka tidak memberinya makan supaya dia tidak perlu ke tandas. Mereka juga tidak membenarkan sesiapa melawat mangsa," kata polis.

Penduduk di Kampung Yangjuan yang menyedari Xiaoming tidak diberi makan berjaya menghulurkan bubur dan air melalui tingkap biliknya.

Seorang daripada mereka memuat naikkan gambar mangsa dalam keadaan yang menyedihkan di Internet hingga membolehkan nasibnya diketahui pihak berkuasa.

"Wanita itu dikatakan berbalah dengan anaknya beberapa kali sebelum ini. Dia dianggap membebankan mereka. Kerana itu mereka mengambil keputusan untuk membiarkannya kebulur hingga mati.

"Mereka kemudian merancang untuk memberitahu polis mangsa mati kerana enggan makan.

"Ini bukan saja pertelingkahan antara keluarga tetapi pembunuhan yang dirancang. Mereka mahu wanita itu mati supaya tidak perlu bersusah payah menjaganya," kata jurucakap polis.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Gara-gara Piala Dunia, rumah tangga terancam

Posted: 17 Jun 2014 09:36 AM PDT

Dubai: Hampir 47 peratus rumah tangga di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mungkin runtuh atau berakhir dengan perceraian kerana gara-gara kejohanan bola sepak Piala Dunia.

"Sehingga 47 peratus keluarga terdedah kepada perkelahian dan perdebatan sengit yang boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga kerana keputusan perlawanan Piala Dunia.

"Suami, isteri, bapa, ibu dan anak perlu menyedari tindakan mereka ketika menonton perlawanan Piala Dunia dan bersorak untuk pasukan kegemaran. Kesannya mungkin amat teruk," kata Ketua Majlis Runding Keluarga Khalifa Mohammad Al Muharrazy.

Beliau berkata, kadang-kala keputusan perlawanan boleh mencetuskan perkelahian antara suami isteri dan mungkin berakhir dengan sengketa yang tidak boleh didamaikan atau perceraian.


Beliau berkata demikian selepas pendedahan hasil kajian terhadap 300 pasangan di UAE yang antara lain mendapati 87 peratus wanita bimbang rumah tangga mereka tegang apabila pasukan yang disokong suami masing-masing kalah.


Keadaan itu akan mencetuskan perkelahian antara mereka walaupun si isteri tidak menonton perlawanan berkenaan.

Sebanyak 12 peratus isteri pula berkata, Piala Dunia tidak memberi kesan kepada rumah tangga mereka.

Kajian itu dijalankan selepas seorang wanita berusia 32 tahun diceraikan suaminya setelah mereka bertengkar kerana lelaki itu tidak dapat mengawal perasaan apabila pasukan yang disokongnya tumpas dalam satu kejohanan lain sebelum ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Mati tonton perlawanan Piala Dunia

Posted: 17 Jun 2014 09:29 AM PDT

Shanghai: Dua peminat bola sepak mati disyaki kerana menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia tanpa rehat.

Menurut laporan media tempatan, mayat seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui mati di depan komputernya Sabtu lalu di bandar Suzhou, di wilayah Jiangsu. selepas perlawanan Chile dan Australia.

Seorang lagi bekas pemain bola sepak juga ditemui mati di Shenyang Sabtu lalu.
Hasil pemeriksaan menunjukkan dia mati kerana kurang tidur.

Bagaimanapun, menurut laporan lain, dia mungkin mati kerana serangan jantung selepas menyaksikan Sepanyol tumpas 1-5 kepada Belanda. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Wanita pilih Jokowi

Posted: 17 Jun 2014 09:25 AM PDT

Jakarta: Sejumlah besar wanita Indonesia akan mengundi pasangan Joko 'Jokowi" Widodo-Jusuf Kala (JK) pada pilihan raya presiden Indonesia 9 Julai depan.

Kajian yang dijalankan Indo Barometer menunjukkan jurang pengundi wanita yang akan memilih pasangan itu lebih tinggi 22 peratus berbanding mereka yang akan memilih pasangan Prabowo-Hatta.

Indo Barometer menjalankan kajian itu bermula 28 Mei hingga 4 Jun membabitkan 1,200 responden di 33 wilayah seluruh Indonesia.

Ketika mengumumkan hasil tinjauan itu di Jakarta semalam, Pengarah Eksekutif Indo Barometer, M Qodari berkata, kajian juga mendapati pasangan Jokowi-JK akan mengatasi Prabowo-Hatta dalam kalangan pengundi lelaki sebanyak empat peratus.

"Pasangan Prabowo-Hatta perlu mencari punca pengundi wanita tidak memilih mereka sebelum pilihan raya diadakan," katanya.

Menurutnya, responden dalam tinjauan itu dipilih secara rambang manakala pengumpulan data dilakukan dengan wawancara secara langsung.

Hasil kajian itu turut menunjukkan Prabowo-Hatta ketinggalan di kawasan kampung sebanyak 23 peratus.

Di kawasan bandar pula, Jokowi-JK mendahului sebanyak empat peratus.

Dari sudut etnik pula, Prabowo-Hatta berada di tempat teratas dalam kalangan pengundi Sunda dengan memperoleh 44 peratus berbanding pasangan Jokowi-JK, 39 peratus.

Bagaimanapun, mereka ketinggalan jauh dalam kalangan pengundi Jawa.

Foto

BEBERAPA wanita yang menyokong Jokowi menyertai kempen di Kalijati, Jawa Barat, semalam.


Hanya 31 peratus pengundi etnik Jawa akan memilih pasangan itu, berbanding Jokowi-JK yang dijangka meraih 60 peratus undi etnik berkenaan.

Dari segi wilayah pula, pasangan Jokowi-Hatta meninggalkan lawan mereka jauh di Jawa Timur dan Jawa Tengah sementara Prabowo-Hatta menguasai pengundi di Jawa Barat.


Di luar pulau Jawa, Jokowi- JK diramal menang dengan hanya dua peratus lebih banyak daripada pasangan Prabowo-Hatta.

Dari aspek latar belakang pendidikan dan pendapatan, hasil tinjauan yang dilakukan Indo Barometer itu menunjukkan pengundi berpelajaran dan bergaji tinggi akan memiliki Prabowo-Hatta sementara Jokowi-JK mendahului dalam kelompok pendidikan dan berpendapatan menengah dan rendah.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Prabowo mahu Indonesia jadi juara Piala Dunia

Posted: 17 Jun 2014 09:23 AM PDT

Jakarta: Calon pilihan raya presiden Indonesia, Prabowo Subianto ingin mengembalikan kegemilangan bola sepak Indonesia jika diberi mandat pada 9 Julai depan.

Dalam laman Facebooknya, Prabowo berkata, beliau amat kecewa dengan prestasi pasukan negara itu ketika ini.

"Ketika ini, Indonesia terlalu sukar untuk berada dalam kalangan pasukan terbaik di peringkat Asia.

Lebih menyedihkan lagi, untuk mengungguli di peringkat Asia Tenggara juga sukar," katanya.

Bekas panglima pasukan elit tentera Indonesia itu berani mensasarkan impiannya untuk membawa Indonesia bertanding dalam pusingan akhir Piala Dunia dan merebut piala berkenaan jika menjadi presiden.

"Adalah menjadi cita-cita saya dan setiap rakyat Indonesia untuk menyaksikan pasukan Indonesia bersaing dalam pusingan akhir dan memenangi Piala Dunia dalam masa terdekat ini," katanya ketika ditemui, semalam.

Prabowo memang terkenal kerana cita-citanya.


Dia sudah membuktikannya di dunia sukan apabila berjaya membawa pasukan polo berkuda Indonesia ke peringkat Asia Januari lalu.


Sebelum ini, pasukan polo negara berkenaan tidak pernah mencapai kejayaan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Tak risau ketinggalan

Posted: 17 Jun 2014 09:22 AM PDT

Jakarta: Pasukan kempen pasangan calon presiden dan naib presiden Indonesia Prabowo-Hatta semalam berkata, mereka tidak bimbang dengan tinjauan pendapat menjelang pilihan raya 7 Julai depan.

Mengulas mengenai kajian terbaru yang dilakukan Indo Barometer, ketua kempen pasangan berkenaan Eggi Sudjana berkata, sudah menjadi kebiasaan wira akan kalah dulu dalam pertarungan.

Indo Barometer semalam mengumumkan hasil tinjauan mereka yang menunjukkan pasangan Jokowi-JK mendahului Prabowo-Hatta dengan 13.5 peratus undi.

"Dalam kebanyakan tinjauan pendapat, ramai responden yang memilih Jokowi-JK kerana kejujuran dan keperibadian Jokowi.

"Tetapi saya yakin, pengundi akan memilih Prabowo-Hatta pada hari pilihan raya kerana tegas, wawasan dan jiwa pemimpinnya.

Menurut Eggi, pengundi akan melihat di saat-saat akhir kempen siapa calon yang paling layak menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono.

"Yang dicari ialah pemimpin, bukan orang bersikap sederhana kerana orang bersikap sederhana ramai.

Dan kualiti seorang pemimpin ada pada Prabowo.

"Dan seperti dalam filem, wira akan kalah dulu.


Begitu juga Prabowo.


Dia mungkin tewas dalam tinjauan pendapat, tetapi akan menang pada 9 Julai depan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Thai, Kemboja capai persetujuan

Posted: 17 Jun 2014 09:21 AM PDT

Bangkok: Pegawai Thai dan Kemboja semalam bersetuju menangani khabar angin mengenai operasi terhadap pekerja haram warga asing oleh junta baru Thai yang menyebabkan hampir 180,000 pekerja Kemboja meninggalkan negara itu.

Warga Kemboja itu yang membantu memacu industri utama Thai tetapi tidak mempunyai permit kerja pulang ke negara asal mereka secara beramai-ramai selepas rejim tentera Thai minggu lalu memberi amaran akan menangkap dan mengusir warga asing yang bekerja secara haram di negara itu.

Pihak berkuasa tentera Thai bagaimanapun berkata, mereka tidak merancang menahan pekerja berkenaan dan mendakwa kepulangan warga Kemboja itu berpunca daripada khabar angin.

"Kami akan bekerjasama untuk menghapuskan kebimbangan dalam kalangan pekerja Kemboja di Thailand," kata duta Kemboja Eat Sophea semalam.

Bercakap selepas berunding dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thai Sihasak Phuangketkeow di Bangkok, beliau berkata pihak berkuasa Thai tidak ada rancangan menangkap dan mengusir pekerja asing, tidak kira status mereka.

Beliau juga menolak khabar angin kononnya berlaku tembakan dan penderaan terhadap pendatang dari Kemboja oleh pihak berkuasa.

"Laporan mengenai tembakan dan penderaan itu hanya khabar angin.

Ia tidak benar.

Kami akan bekerjasama untuk menjelaskan perkara sebenar," kata Eat.

Sementara itu, jumlah rakyat Kemboja yang meninggalkan Thailand meningkat hampir 180,000 semalam.

Foto

SEBAHAGIAN pekerja Kemboja yang tiba di Poipet selepas meninggalkan Thailand, semalam.


"Jumlah warga Kemboja yang kembali dari Thailand menerusi Poipet (pintu sempadan utama Thai-Kemboja) dalam tempoh seminggu mencapai 157,000 orang pagi ini," kata gabenor Banteay Meanchey, wilayah barat laut Kemboja, tempat terletaknya pintu sempadan itu.

Kira-kira 20,000 yang lain pulang menerusi pintu sempadan di O'Smach, 250 kilometer ke timur laut Poipet, menurut pegawai kanan polis Kemboja.

Bun Veasna, pekerja binaan di wilayah Chonburi di timur Bangkok berkata, dia pulang selepas mendengar berita bahawa tentera Thai akan menangkap pendatang dari Kemboja dan kononnya ada yang sudah ditembak mati.

"Semua warga Kemboja di kawasan saya sudah pulang.


Kami tidak mahu ditangkap, dipenjara atau dibunuh di sana.

Kami rasa tidak selamat," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Teruskan rancangan tutup Dolly

Posted: 17 Jun 2014 09:20 AM PDT

Surabaya: Dewan perwakilan Rakyat Daerah Surabaya semalam menggesa pihak berkuasa tempatan meneruskan rancangan menutup kawasan pelacuran di Dolly dan Jarak di sini.

Ketua DPRD Muhammad Mahmud berkata, pihaknya bersedia mempertahankan tindakan Datuk Bandar Tri Rismaharini.

"Kawasan pelacuran di Dolly dan Jarak mesti ditutup.

Tidak kira apa yang terjadi.

Pihak berkuasa tempatan perlu meneruskan rancangan itu," katanya kepada wartawan, semalam.

Menurutnya, hanya anggota Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dalam dewan berkenaan yang menentang rancangan itu.

"Memang ada yang menentang.


Dan sehingga saat ini, anggota DPRD dari PDI-P masih terus menolak rancangan menutup Dolly dan Jarak walaupun ia sudah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan," kata Muhammad, semalam.

Selain PDI-P, kebanyakan pelacur di kawasan berkenaan juga menentang keputusan pihak berkuasa tempatan itu.

Menurut kajian, lebih 14,000 orang bergantung hidup dengan kegiatan pelacuran di kedua-dua daerah itu.

Sepertiga daripada mereka ialah kanak-kanak sekolah yang ibu mereka terbabit dalam pelacuran atau ibu bapa mereka bekerja di kawasan itu sebagai tukang cuci, tukang jahit dan berniaga.

Pemerintah Indonesia sebelum ini memperuntukkan Rp8 bilion (RM220,000) untuk membantu pelacur berkenaan memulakan kehidupan baru.


- Agensi Wang itu juga akan digunakan untuk menghantar mereka pulang ke kampung halaman masing-masing selepas kawasan pelacuran itu ditutup hari ini,

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Dua ahli Abu Sayyaf ditahan di Manila

Posted: 17 Jun 2014 09:19 AM PDT

Manila: Pasukan keselamatan Filipina menangkap dua anggota Abu Sayyaf, termasuk seorang yang didakwa terbabit dalam penculikan seorang remaja belasan tahun Amerika Syarikat dan seorang lelaki Australia.

Menurut sumber, polis dengan bantuan tentera menangkap Jimmy Nurilla dan Bakrin Haris dalam serbuan di tempat persembunyian mereka di Kampung Sangali di bandar Zamboanga, kelmarin.

Bagaimanapun, menurut sumber berkenaan, seorang lagi lelaki bersama-sama mereka dapat melarikan diri.

Jurucakap polis berkata, mereka turut merampas bahan letupan dan beberapa dokumen dalam serbuan berkenaan.

Nurilla dipercayai terbabit dalam beberapa penculikan, termasuk ke atas remaja Amerika, Kevin Lunsmann yang berusia 14 tahun apabila dia berjaya meloloskan diri daripada Abu Sayyaf selepas ditahan selama lima bulan di Pulau Basilan pada 2011.

Kegiatan menculik untuk tujuan mendapatkan wang tebusan sudah sekian lama menjadi masalah di selatan Filipina.

Kebanyakan penculikan dilakukan oleh Abu Sayyaf, kumpulan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda serta di dalam senarai pertubuhan pengganas Amerika Syarikat.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

ISIS hampiri Baghdad

Posted: 17 Jun 2014 09:18 AM PDT

Baghdad: Polis berkata, kumpulan militia Syiah yang prokerajaan membunuh kira-kira 50 tahanan Sunni selepas kumpulan bersenjata Sunni cuba merempuh sebuah penjara dan membebaskan mereka di timur laut Baghdad.

Laporan itu belum dapat disahkan.

Bagaimanapun, dakwaan militia Syiah membunuh pengikut Sunni itu adalah tanda pertama perang antara kaum meletus semula di negara itu.

Kumpulan bersenjata Sunni juga dituduh melakukan pembunuhan di kawasan yang mereka kuasai sejak minggu lalu.

Dalam kejadian semalam, militia Syiah mematahkan serangan anggota Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS) ke atas bandar Baqouba, daerah paling hampir dengan Baghdad sejak anggota Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS) memulakan kemaraan mereka, merampas beberapa bandar utama di utara Iraq yang sebahagian besar penduduknya berfahaman Sunni.

Pertempuran sengit dilapor berlaku sekitar dan luar penjara bandar berkenaan.

Terdapat laporan bertindih mengenai pertempuran itu dan cara tahanan terbabit dibunuh.

Baqouba terletak kira-kira 60 kilometer ke tenggara Baghdad.

Tiga anggota polis berkata, balai polis yang dilengkapi penjara kecil diserang oleh pejuang ISIS dalam usaha mereka membebaskan tahanan, kebanyakannya disyaki anggota kumpulan itu.

Ketiga-tiganya berkata, militia Syiah yang tiba untuk mempertahankan balai bverkenaan, membunuh tahanan terbabit dari jarak dekat.

Seorang petugas rumah mayat berkata, ramai mangsa yang terbunuh ditembak di kepala dan dada.

Keempat-empat pegawai itu enggan mendedahkan nama mereka kerana bimbang terhadap keselamatan sendiri.

Bagaimanapun, ketua jurucakap tentera Iraq, Lt Jeneral Qassim al-Moussawi memberitahu Associated Press, 52 tahanan yang ditahan di balai polis berkenaan mati selepas anggota ISIS membedilnya dengan mortar.

Dia juga memberitahu, sembilan anggota ISIS turut terbunuh dalam serangan berkenaan.

Kumpulan ISIS sebelum ini berikrar untuk mara ke Baghdad dan ke bandar Syiah, termasuk Karbala dan Najaf, ancaman paling buruk kepada kestabilan Iraq sejak tentera Amerika Syarikat berundur.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

No comments:

Post a Comment