Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Takdir dua beradik

Posted: 02 Jun 2014 11:24 AM PDT

Banting: Dua beradik maut dalam satu nahas selepas kenderaan dinaiki terbabas sebelum terjunam dalam parit Jalan Aman, Kampung Seri Cheeding, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Kejadian berlaku selepas kenderaan Grand Livina dinaiki mangsa berusia 18 dan 21 tahun termasuk ke dalam parit berkenaan menyebabkan mereka lemas akibat terperangkap dalam kereta.

Mangsa, Azma Raifana Marhalim, 21, dan adiknya, Sarah Khalis Marhalim, 18, disahkan mati sejurus tiba di Hospital Banting.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, Mohd Jaslizad Jalil berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat Banting menerima panggilan pada jam 10.37 pagi dan jentera segera bergegas ke tempat kejadian.

Foto

KEADAAN kereta mangsa selepas dibawa naik dari dalam parit.


"Ketika bomba tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian, bomba mendapati kereta jenis Grand Livina yang dipandu adik mangsa terbalik dengan keempat-empat tayarnya menghala ke atas.


"Mayat kedua-dua mangsa dikeluarkan pada jam 11.05 pagi dengan bantuan orang awam yang turut menyaksikan kejadian itu," katanya kepada pemberita semalam.

Jaslizad berkata, berdasarkan keterangan keluarga mangsa, mereka bertolak keluar dari rumahnya di Jenjarom seawal jam 6 pagi semalam untuk bekerja di Sepang.

"Ketika ditemui kedua-dua mangsa masih lagi berada di dalam kenderaan yang terbalik dengan wajah yang sudah kebiruan selain mulut dan hidung pemandu sudah berbuih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Cubaan seludup 50,000 liter diesel gagal

Posted: 02 Jun 2014 11:21 AM PDT

Pelabuhan Klang: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang mematahkan cubaan membawa keluar 50,000 liter diesel bernilai kira-kira RM100,000 yang cuba diseludup menggunakan bot tunda dalam satu rondaan di perairan Klang dekat Tanjung Harapan.

Rampasan dibuat sepasukan anggota polis daripada anak kapal bot ronda RH10 yang melakukan rondaan sempena Ops Tanggo Papa kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Norzaid Ismail berkata, selain rampasan berkenaan pihaknya turut menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun yang berada dalam kapal berkenaan.

Menurutnya, rampasan dibuat selepas pihaknya mendapati suspek membawa keluar diesel berkenaan tanpa memiliki sebarang dokumen sah.

"Barangan serta individu yang ditahan dalam operasi malam semalam (kelmarin) akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) untuk siasatan lanjut.

"Semua barangan yang dirampas termasuk bot yang ditahan dibawa ke pangkalan PPMdi Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pihaknya akan menyerahkan suspek dan barangan terbabit kepada KPDNKK Selangor untuk siasatan susulan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Selangor Osman Nawang ketika dihubungi berkata, sehingga semalam, pihaknya belum menerima sebarang maklumat berkaitan kes terbabit.

"Kami masih menanti laporan PPM Pelabuhan Klang mengenai perkara itu dan siasatan akan dilakukan sejurus maklumat mengenainya diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Penyembelih budak dipengaruhi dadah

Posted: 02 Jun 2014 11:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Suspek lelaki yang menyembelih mati seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan di tepi Sungai Klang, Khamis lalu dipercayai melakukan perbuatan itu atas pengaruh dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pemeriksaan ke atas mayat suspek menemui peket kecil berisi daun kering dipercayai ganja.

"Butiran peribadi suspek belum diperoleh dan pihak polis masih menunggu laporan cap jari dari Pusat Pendaftaran Penjenayah dan semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya semalam.

Menurutnya, laporan bedah siasat terhadap kanak-kanak malang itu yang selesai dijalankan jam 11 pagi Jumaat lalu mengesahkan punca kematian disebabkan hentakan kuat di kepala mangsa.

Katanya, punca kematian itu selari dengan keterangan saksi kejadian yang melihat kepala kanak-kanak malang terbabit dihentak dengan pecahan seramik yang ditemui berhampiran mayat.

"Sehingga kini, polis sudah merekod keterangan daripada 10 saksi termasuk keterangan ibu mangsa bagi membantu siasatan," katanya.

"Meskipun polis sudah menemui suspek bagi kes ini namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti motif sebenar kejadian itu," katanya.

Katanya, bedah siasat pada mayat suspek selesai dijalankan pada jam 1.45 petang semalam.

"Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian suspek disebabkan lemas dan tiada kecederaan lain pada tubuhnya," katanya.

Dalam kejadian jam 9 malam Khamis lalu, polis menemui mayat mangsa, Siti Sofea Emelda yang dilarikan suspek daripada jagaan rakan ibunya.

Mangsa kemudian dibawa berhampiran tebing Sungai Klang di sini, sebelum dipercayai dipenggal atau dihentak di leher sehingga kepalanya terputus dan ditemui berdekatan kakinya.

Polis tidak menolak suspek pembunuhan kejam itu kemungkinan lemas selepas dilihat terjun ke dalam sungai dan dihanyut arus deras.

Mayat suspek kemudiannya ditemui terapung berhampiran sungai tidak jauh dari Plaza Tol Bandar Sunway di sini, kira-kira jam 3 petang Sabtu lalu.

Mayat lelaki lengkap berpakaian itu ditemui orang awam sebelum ia memaklumkan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor serta pihak polis.

Polis mengesahkan rupa paras dan pakaian mayat lelaki terbabit konsisten dengan imej Kamera Litar Tertutup (CCTV) di pusat membeli-belah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Biawak punya hal

Posted: 02 Jun 2014 11:19 AM PDT

Parit Buntar: Akibat mengelak seekor biawak yang melintas, seorang lelaki bersama anak saudaranya berusia lima tahun nyaris maut apabila kereta dipandunya hampir menjunam ke dalam parit besar sedalam lebih tiga meter dalam kejadian di Kampung Parit Mat Ali, Kuala Kurau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, mangsa, Mohd Ikhmal Ibrahim, 25, berkata, ketika dia memandu kereta Proton Saga milik abang iparnya bersama seorang anak saudara, secara tiba-tiba seekor biawak besar melintas di hadapannya menyebabkannya cuba mengelak daripada melanggar haiwan itu.

Menurutnya, akibat terkejut melihat kelibat haiwan itu, dia cuba menekan brek kenderaan sekuat hati, namun faktor jalan yang licin dan berlopak menyebabkan kereta dipandunya terus terbabas ke arah kiri jalan dan menjunam ke arah parit besar.

"Anak saudara yang berada di tempat duduk belakang menjerit ketakutan sewaktu kenderaan kami meluncur ke arah parit.

Foto

KEADAAN kereta dipandu Mohd Ikhmal yang terbabas ke dalam parit selepas cuba mengelak seekor biawak.


"Mujur ketika itu saya memandu agak perlahan kerana keadaan jalan yang becak selepas hujan. Jika tidak, sudah tentu kami berdua akan lemas di dalam kereta," katanya.


Mohd Ikhmal dan anak saudaranya mengalami kecederaan ringan akibat terhantuk pada stereng serta cermin kereta.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

Budak terjun selamat diri

Posted: 02 Jun 2014 11:17 AM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan nekad seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terjun dari kenderaan model Mitsubishi Triton yang sedang bergerak, menyelamatkan mangsa daripada diculik seorang penjenayah, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan membuka pintu kenderaan dan melompat keluar selepas dilarikan seorang lelaki dalam kejadian di AU3 Taman Keramat di sini.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa mengikut bapanya menaiki pacuan empat roda itu ke sebuah bengkel membaiki kenderaan dan mengecat kenderaan di kawasan itu.

Sumber polis berkata, mangsa kemudian ditinggalkan berseorangan di dalam kenderaan tanpa pintu dikunci selain enjin pacuan empat roda itu dibiarkan masih 'hidup'.

Foto

LOKASI kejadian kanak-kanak dilarikan penjenayah di AU3 Taman Keramat, semalam.


Menurutnya, tindakan bapa mangsa mengundang padah apabila seorang lelaki tiba-tiba muncul sebelum melarikan kenderaan itu secara mendadak.


"Suspek lelaki itu dikatakan keluar dari sebuah kereta model Proton Pesona berhampiran bengkel itu sebelum melarikan kenderaan pacuan empat roda milik mangsa.

"Menyedari anak dan kenderaannya dilarikan penjenayah, bapa kanak-kanak itu berusia 40 tahun itu terus menghubungi pihak polis. Susulan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan menemui semula kanak-kanak itu dalam keadaan trauma tidak jauh dari lokasi kejadian 30 minit kemudian," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03

No comments:

Post a Comment