Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Hero Oranje

Posted: 14 Jun 2014 10:39 AM PDT

Salvador, Brazil: Robin van Persie dan Arjen Robben masing-masing meledak dua jaringan ketika membantu Belanda membalas dendam kekalahan final 2010 dengan membelasah juara bertahan Sepanyol 5-1, awal pagi semalam.

Selain menjadi rekod paling buruk di Piala Dunia membabitkan juara bertahan, ia kekalahan paling besar Sepanyol dalam tempoh setengah abad selepas dibelasah 6-2 oleh Scotland pada 1963.

Penyerang Manchester United, Van Persie menjaringkan gol menerusi tandukan pada babak pertama dan meledak jaringan keempat Belanda selepas rehat.

"Kami tidak pernah berhenti menyerang dan pada pandangan saya, ia seharusnya enam, tujuh atau lapan gol," kata Van Persie yang dinobat pemain terbaik perlawanan.

Foto

ROBBEN

Foto

VAN PERSIE


"Namun saya pernah merasai perkara sama sebelum ini. Ini kejohanan kelima saya dan ia sekadar satu kemenangan dan tiga mata, kini kami perlu fokus untuk perlawanan seterusnya, menentang Australia."


Tidak boleh dinafikan sumbangan bintang Bayern Munich, Robben yang meledak dua jaringan di babak kedua dengan Stefan De Vrij menambah kesengsaraan juara dunia dan Eropah kendalian Vicente del Bosque itu.

Pemain tengah veteran, Xabi Alonso memberikan Sepanyol gol pendahuluan pada separuh masa pertama apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas penyerang kelahiran Brazil, Diego Costa yang diejek berulang-kali penyokong tempatan, dijatuhkan dalam kotak penalti walaupun dilihat tidak disentuh.

Namun tandukan terbang Van Persie 90 saat sebelum rehat membolehkan Belanda menyamakan kedudukan sebelum Orange mengganas di babak kedua.

Tiga serangkai membabitkan Robben, Van Persie dan Wesley Sneijder mencetuskan pelbagai masalah terhadap pertahanan Sepanyol namun hantaran jauh menarik dilakukan Daley Blind mencipta peluang untuk dua gol awal mereka.

Sepanyol melepaskan dua jaringan di Piala Dunia lalu dan tiga gol ketika kempen kelayakan untuk Brazil 2014 dan Del Bosque kini perlu mencari jawapan kekalahan lima jaringan itu.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Del Bosque belum panik

Posted: 14 Jun 2014 08:56 AM PDT

Salvador, Brazil: Jurulatih Sepanyol Vicente del Bosque (gambar) enggan menyalahkan mana-mana pemain selepas juara bertahan itu tewas mengejut 1-5 kepada Belanda dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Dunia, awal pagi semalam.

Sepanyol mendahului di Salvador menerusi penalti Xabi Alonso pada minit ke-27 sebelum Robin van Persie menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat babak pertama namun juara dunia dan Eropah itu tidak mampu menandingi Belanda di babak kedua.

Ia kekalahan terburuk di Piala Dunia sejak tewas 1-6 kepada Brazil pada 1950 dan kekalahan keempat dalam aksi kompetitif di bawah kendalian Del Bosque sejak mengambil alih pasukan pada penghujung 2008.

"Ia pastinya bukan detik gembira untuk kami," kata Del Bosque, 63.

"Sebagai ahli sukan, tahniah kepada Belanda, mereka mengatasi kami di separuh masa kedua.

"Ini bukanlah masa untuk menyalahkan sesiapa.

Kami harus dipersalahkan.

Foto


Kami perlu memandang ke depan dan melangkah ke perlawanan seterusnya serta memastikan kemenangan ketika menentang Chile." Sepanyol tidak perlu terlalu gusar gara-gara kekalahan perlawanan pembukaan kerana empat tahun lalu, mereka tewas 0-1 kepada Switzerland tetapi layak ke final dan mengalahkan Belanda untuk menjulang Piala Dunia.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

'Tak jangka lima gol'

Posted: 14 Jun 2014 08:55 AM PDT

Salvador, Brazil: Tidak mustahil buat Belanda membolosi gawang Sepanyol, tetapi lima jaringan dicipta dalam kemenangan pertama mereka di Piala Dunia 2014 Brazil sesuatu yang di luar jangkaan.

"Saya tidak jangkakan keputusan ini.

Kami mempunyai pemain yang mampu mengubah perlawanan," kata jurulatih Louis van Gaal.

Kemenangan itu pasti melegakannya kerana berjaya melakukan kejutan terhadap penyandang juara Piala Dunia.

"Saya rasa kami melakukannya dengan baik dan sangat menakjubkan apabila bola dihantar ke bahagian depan berjaya disambar Arjen Robben, Robin van Persie dan Wesley Sneijder," katanya.

Robben dan Van Persie menjaringkan dua gol apabila Belanda ketinggalan satu gol sebelum berpesta jaringan.

"Kami hanya mempunyai lima minggu untuk mempraktikkan sistem baru kerana menggunakan formasi 4-3-3 pada peringkat kelayakan.

Terus terang saya katakan formasi 3-5-2 tidak berjalan dengan baik dalam perlawanan pemanas badan menentang Ecuador, Ghana dan Wales tetapi kami terus berlatih serta berusaha keras.

"Saya tidak rasa kami melakukan dengan baik pada babak pertama kerana Sepanyol menguasai permainan.

"Bagaimanapun selepas pemain menjaringkan gol, mereka mula mempercayai diri sendiri.


Bermain tanpa teragak-agak seperti yang kami lakukan pada 20 minit terakhir dan mereka mempunyai keyakinan apabila mengawal bola, dari situ anda dapat lihat bagaimana kami bermain.

"Sudah tentu perlawanan selepas ini berbeza kerana kami tidak terikut-ikut rentak permainan Sepanyol, mereka yang mengikut rentak kami tetapi menentang Australia sudah pasti berbeza," katanya.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Tuah Peralta

Posted: 14 Jun 2014 08:54 AM PDT

Natal, Brazil: Oribe Peralta menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua untuk membantu Mexico melakar kemenangan ke atas Cameroon, 1-0 semalam pada perlawanan yang sekali lagi menimbulkan persoalan terhadap mutu pengadilan pada Piala Dunia.

Pasukan Mexico kendalian Miguel Herrera mendominasi perlawanan, namun menamatkan babak pertama dengan rasa hampa selepas menyaksikan dua gol yang kelihatan sempurna dibatalkan kerana ofsaid.

Keputusan itu tidak disenangi media Mexico selepas menyaksikan lawan dalam Kumpulan A, Brazil diberikan penalti meragukan ketika menang 3-1 ke atas Croatia pada perlawanan pembukaan kelmarin.

Kemungkinan satu lagi kesilapan pengadil jelas berlegar di fikiran Herrera yang berkata selepas itu: "Saya memberitahu pemain sebelum perlawanan supaya fokus dengan perancangan permainan, tidak kira apapun yang berlaku.

"Kesilapan manusia biasa berlaku.

Kami perlu belajar dengan apa yang kami alami.

Kami tidak memikirkan mengenai pengadil apabila kembali ke bilik persalinan.

"Tumpuan amat penting dan pemain berjaya mengekalkan ketenangan mereka." Jurulatih Cameroon dari Jerman Volker Finke, dengan pasukannya terjejas berikutan perbalahan mengenai bayaran bonus, enggan menggunakan situasi permainan 'sukar' itu sebagai alasan.

Namun selepas mengelak daripada isu keputusan pengadil, beliau mengaku pertemuan Cameroon menentang Croatia selepas ini amat genting.

"Keadaan itu bukannya alasan bagi persembahan kami," jelas Finke yang mengakui Cameroon mendapati sistem 5-3-2 Mexico sukar dibendung.

"Kami berdepan sedikit masalah di bahagian tengah bagi 20 minit pertama, tapi berjaya menanganinya.

Foto

PERALTA (kiri) rai jaringan dengan butnya digilap rakan sepasukan, Miguel Layun.


Babak kedua kami lebih bagus, tapi secara keseluruhannya kami kecewa.

"Kami memiliki beberapa peluang menjaringkan gol, tapi tidak menggunakannya.


Jaringan mereka dibatalkan tapi itulah yang berlaku.

Kini ada lima hari sebelum perlawanan berikutnya yang pasti amat penting bagi kami."- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Eto'o kekal positif

Posted: 14 Jun 2014 08:53 AM PDT

Natal, Brazil: Kapten Samuel Eto'o masih menaruh keyakinan meskipun gergasi Afrika, Cameroon berdepan prospek untuk sekali lagi tersingkir awal selepas kekalahan 0-1 kepada pencabar Kumpulan A, Mexico.

Eto'o hanya berjaya melakukan percubaan tepat ke arah gol pada babak pertama ketika skuad Singa itu longlai dalam hujan di Estadio das Dunas dengan Oribe Peralta meledak gol pada babak kedua untuk menghadiahkan kemenangan kepada skuad kendalian Miguel Herrera.

Cameroon kini menduduki tangga tercorot Kumpulan A, di belakang Croatia, Mexico dan pendahulu Brazil sekali gus memberi bayangan awal kemungkinan mereka bakal mengulangi nasib 2010 apabila skuad dibimbing Paul Le Guen pulang awal dari Afrika Selatan tanpa sebarang mata.

Aksi seterusnya ialah menentang Croatia di Manaus dan Eto'o berharap tuah masih memihak kepada mereka pada 18 Jun ini apabila wakil Eropah itu yang tumpas 1-3 kepada Brazil juga pasti berjuang habis-habisan untuk terus bersaing dalam kejohanan.

"Penting untuk kami kekal positif.

Kami mahu memulakan kejohanan ini dengan keputusan positif, namun Tuhan menentukan sebaliknya," kata Eto'o.

"Kami boleh mengalahkan mana-mana pasukan jika berada di tahap terbaik, tapi kami perlu bersedia untuk mengalahkan Croatia.

Ia bukan mudah kerana mereka juga dalam situasi sama." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Tonik Sanchez

Posted: 14 Jun 2014 08:52 AM PDT

Cuiaba, Brazil: Alexis Sanchez mempamerkan persembahan dinamik untuk membantu Chile mencatat kemenangan 3-1 ke atas Australia dalam saingan Piala Dunia.

Chile berada di depan dengan Sanchez menjaringkan gol pada minit ke-12 sebelum merencanakan gol kedua negaranya yang dijaringkan Jorge Valdiva seminit kemudian.

Bagaimanapun, Australia berjaya bangkit dengan jaringan melalui tandukan penyerang, Tim Cahill pada minit ke-35 dan mengancam Chile pada aksi separuh masa kedua.

Jean Beausejour mengesahkan kemenangan Chile dengan jaringan pada masa kecederaan untuk membantu negara Amerika Selatan itu meraih tiga mata dalam saingan Kumpulan B sama seperti Belanda, yang sebelum itu memalukan Sepanyol 5-1.

"Secara jujur saya katakan ia memang mendebarkan, tetapi kami melepaskan dua gol awal dan ia membunuh perjuangan kami," kata jurulatih Australia Ange Postecoglu.

Sebelum perlawanan lagi, tekanan memang terletak di bahu Socceroos apabila mereka adalah negara paling bawah sekali dalam ranking dunia.

Kehebatan Chile dicacatkan gol Cahill, yang melakukan lompatan menakjubkan, mengatasi pemain pertahanan, Gary Medel selepas menerima hantaran dari sebelah kanan.

"Mereka menjaringkan dua gol, tetapi selepas itu anda dapat melihat ke arah mana mereka bergerak.

Kami sedar mampu mencari sesuatu dalam perlawanan ini dengan terus melawan.

Kami kurang bernasib baik," kata Cahill.

Bintang New York Red Bulls itu melepaskan peluang pada setiap separuh masa perlawanan sebelum melakukan satu tandukan hebat, namun didapati ofsaid.

Chile dilihat sentiasa mengancam gawang Australia terutama menerusi penyerang, Eduardo Vargas, namun lawan berjaya bertahan hingga penghujung saingan sebelum Beausejour melakukan rembatan dari jarak 30 meter pada masa kecederaan.- AP

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Bicara Shebby: Seperti biasa saja

Posted: 14 Jun 2014 08:51 AM PDT

Perlawanan pertama Piala Dunia 2014 tidak menampilkan sebarang pembaharuan atau inovasi. Seperti diketahui, Neymar adalah harapan pasukan Brazil dan dia tidak menghampakan apabila menjaringkan dua gol.

Dani Alves bukan pemain pertahanan dan meninggalkan ruang besar untuk Ivica Olic meliar di sayap kiri.

Pasukan Croatia pula bernasib malang kerana pengadil dari Jepun menghadiahkan sepakan penalti yang meniup nafas baru buat Brazil.

Kesilapan pengadil berterusan hingga ke perlawanan Mexico menentang Cameroon.

Kali ini penjaga garisan tidak membantu pengadil dengan beberapa kesilapan memahami ofsaid.

Akhirnya, pasukan Mexico mengatasi pengadilan amatur dengan satu gol mudah.


Pertahanan Cameroon meninggalkan ruang besar untuk Giovani dos Santos melakukan larian serta sepakan yang walaupun ditampan penjaga gol Cameroon, Charles Itandje tapi disambut Oribe Peralta.


Seperti dijangkakan, tulang belakang pasukan Sepanyol rapuh dibelasah Belanda dalam perlawanan membalas dendam Piala Dunia 2010.

Penjaga gol Iker Casillas mengejutkan dengan persembahan begitu buruk.

Jelas dia sudah hilang ketangkasan selepas tidak beraksi dalam kesebelasan utama pasukan kelab sepanjang musim.

Pemain pertahanan tengah Gerard Piqué terus beraksi sambil lewa manakala Sergio Busquets tenggelam di bahagian tengah.

Xavi Hernandez sudah lama hilang taring menguasai bola serta perlawanan dan amat sedih melihat pemain ini terpaksa beraksi 90 minit.

Di sinilah Vicente del Bosque harus dipersalahkan.

Sebagai jurulatih, del Bosque memilih pemain ternama dan bukan pasukan terbaik.

Pemilihan Diego Costa sebagai penyerang tunggal gagal kerana tidak serasi dengan corak permainan Sepanyol.

Keseluruhannya, pasukan Sepanyol ini harus melakukan rombakan besar-besaran dalam perlawanan akan datang.

Pasukan Belanda pula bermotivasi tinggi terutama pemain yang pertama kali beraksi di Piala Dunia.

Satu lagi generasi pemain handal jelas dilahirkan Belanda dan keputusan membelasah Sepanyol menunjukkan kematangan pemain muda ini.

Pemain seperti Stefan de Vrij, Bruno Martins Indi, Daley Blind serta Daryl Janmaat begitu kebal walaupun masih muda.

Kepantasan Arjen Robben masih mampu mengelirukan barisan pertahanan juara dunia, seperti juga pemain tengah Brazil, Oscar yang memikul tanggungjawab sebagai perancang walaupun usia begitu muda.

Oscar menjadi nadi pasukan Brazil dan tugasnya lebih berat kerana persembahan hambar Hulk, Fred serta Paulinho.

Kita berharap agar pengadil tidak menjadi bintang perlawanan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Bahang Messi

Posted: 14 Jun 2014 08:47 AM PDT

Rio de Janeiro: Argentina pasti boleh menepati ramalan sebagai pasukan yang layak dari Kumpulan F saingan Piala Dunia andai faktor menentang pasukan yang pertama kali beraksi di kejohanan besar dijadikan ukuran.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu di Stadium Maracana di Rio de Janeiro, venue skuad diwakili Lionel Messi (gambar) itu berharap dapat beraksi pada final Piala Dunia pada 14 Julai sekali gus menjulang gelaran buat kali ketiga.

Messi meledak jaringan ke-38 bersama Argentina ketika perlawanan pemanas badan menentang Slovenia minggu lalu, lawan yang mereka anggap mempunyai gaya permainan hampir serupa dengan Bosnia.

Kapten Argentina itu menganggap kejayaannya menjaringkan gol itu sebagai petanda baik ketika dia sedang berusaha mengakhiri badi jaringan di Piala Dunia sejak mewakili negara pada 2006 dan dia juga gagal meledak apa-apa ketika di Afrika Selatan empat tahun lalu.

Selepas mengharungi pelbagai kecederaan yang menjejaskan jumlah jaringannya sepanjang tahun ini, Messi tampil di Brazil dengan semangat baru.

Argentina yang menewaskan Bosnia 2-0 dalam perlawanan persahabatan November lalu tanpa kehadiran Messi, tetapi gol mereka disumbangkan Sergio Aguero.

Ketika itu, skuad Argentina kelihatan kuat di bahagian depan, tetapi sedikit rapuh di benteng pertahanan.

Bagaimanapun, pemain tengah Fernando Gago berkata, mereka pasti menjadi pasukan seimbang dan mampu bermain sebagai satu unit sebaik sahaja Piala Dunia bermula.

"Kami sedar di pusingan akhir nanti, tidak ramai pemain lawan mampu menyaingi kepantasan Angel (Di Maria), Kun (Aguero), Leo (Messi).

Kepantasan itulah yang membezakan mereka dengan pemain lain," kata Gago.

"Daripada posisi yang biasa dimainkan, saya perlu membantu mereka dengan hantaran bola selain memastikan pasukan kami seimbang.

"Kalau boleh, semua pemain membantu serangan dan semua pemain membantu bahagian pertahanan.

Foto


Justeru, setiap penyerang perlu mempunyai larian pantas untuk serangan balas." Penyerang Gonzalo Higuain yang melengkapkan kehebatan jentera penggempur Argentina, menyertai separuh sesi latihan Khamis lalu ketika jurulatih Alejandro Sabella menjangkakan pemain berbahaya Bosnia, Edin Dzeko bakal memainkan peranan besar.

Selain Higuain yang masih bergelut untuk sembuh daripada kecederaan buku lali kiri, Argentina sepatutnya tidak berdepan masalah untuk menurunkan kesebelasan terbaik ketika menentang Bosnia dalam kumpulan yang turut menampilkan Nigeria serta Iran.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Susic rombak taktik

Posted: 14 Jun 2014 08:45 AM PDT

Rio de Janeiro: Jurulatih Bosnia Safet Susic yang terkenal dengan taktik menyerang yang selalu diterapkan, dijangka menampilkan formasi lain ketika menentang Argentina dengan penyerang utama Edin Dzeko bakal bergelar penyerang tunggal di depan lima pemain tengah.

Layak ke kejohanan besar buat pertama kali sejak bergelar negara merdeka, Bosnia tidak boleh memilih untuk bertemu lawan lebih hebat di peringkat kumpulan yang turut menampilkan Nigeria serta Iran.

"Kami berada dalam kumpulan pilihan dengan semua pasukan mengimpikan untuk pergi sejauh mungkin.

Begitu juga kami yang mengharapkan supaya dapat menyelitkan diri dalam kelompok 16 pasukan terakhir," katanya.

Hasrat itu membuatkan Susic pening memikirkan bagaimanakah cara terbaik untuknya menggunakan tenaga pemain tengah, Muhamed Besic yang diarahkan untuk mengawal pergerakan Lionel Messi.

Susic sudah membayangkan beliau sedia mengamalkan apa saja taktik untuk menghalang kemaraan Argentina.

"Memang sukar tetapi saya berkemungkinan besar tidak teragak-agak untuk mengorbankan pemain seperti Besic semata-mata untuk meletakkan pemain lain yang saya fikirkan boleh merantai pergerakan Messi," katanya.

"Messi mungkin tetap mampu bergerak bebas, tetapi setidak-tidaknya kami akan mempunyai pemain yang berada dekat dengannya setiap kali dia memegang bola." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Tebus duka 2010

Posted: 14 Jun 2014 08:44 AM PDT

Ribeirao Preto: Pengajaran berguna diperoleh daripada Piala Dunia empat tahun lalu menjadikan Perancis lebih mantap dan pemain optimis mampu melangkah lebih jauh kali ini.

Pertemuan sukar menentang Honduras dalam saingan Kumpulan E di Porto Alegre, awal pagi Isnin menjadi ukuran awal terhadap pasukan berwajah baru kendalian Didier Deschamps.

Hanya lima pemain dari kempen Piala Dunia 2010 dikekalkan, ketika Perancis memalukan negara apabila melancarkan mogok ketika latihan dan tersingkir pada peringkat kumpulan tanpa memenangi sebarang perlawanan.

Skuad ini dahagakan kejayaan, fokus dan memiliki keazaman tinggi untuk memberi saingan bermakna.

"Sudah pasti kami memiliki banyak matlamat, namun kami tetap merendah diri kerana sedar asal-usul dan pelbagai perkara boleh berlaku dengan sangat pantas dalam bola sepak," kata pemain tengah Perancis, Blaise Matuidi.

"Kami tidak akan terbawa-bawa.

Kami tetap berpijak di bumi nyata meskipun sedar kami pasukan yang bagus dan boleh melakar keputusan yang bagus kali ini." Pasukan itu berubah sejak bangkit memadam defisit 0-2 kepada Ukraine di tempat lawan pada perlawanan pertama play-off Piala Dunia untuk menang 3-0 dalam aksi timbal balik.

Keputusan itu meraih kembali sokongan sebahagian besar peminat yang menderita dan pemain tidak lagi menoleh ke belakang sejak itu, menggunakan tenaga positif untuk meledak 31 gol dalam sembilan perlawanan, termasuk membelasah Jamaica, 8-0 sebelum terbang ke Brazil.

"Penting mencari keseimbangan tepat untuk perlawanan seperti ini, tetapi sudah pasti kami akan mengamalkan corak menyerang tidak kira siapa lawan kami," kata Matuidi.

"Kami jangka mereka akan bertahan dan cuba melakukan serangan balas.


Mereka mempunyai pemain berkualiti yang bermain bola sepak dengan bagus terutama Wilson Palacios di bahagian tengah, yang pernah mewakili Tottenham.


Namun bukan saja dia, kami juga perlu berjaga-jaga." Honduras dalam perlawanan persahabatan menentang England baru-baru ini mempamerkan kekuatan fizikal berbanding kemahiran teknikal, bagaimanapun, Deschamps sudah mengingatkan anak buahnya untuk berwaspada terhadap sebarang konfrontasi.

Masalah kepada Perancis adalah kali terakhir menentang pasukan yang paling agresif, mereka tidak mampu menandingi Ukraine pada perlawanan pertama play-off dengan pertahanan tengah Laurent Koscielny dibuang padang pada lewat perlawanan selepas hilang pertimbangan.

Ketika di Kejohanan Eropah dua tahun lalu, Zlatan Ibrahimovic dan rakan sepasukannya di Sweden membuli Perancis sejak wisel permulaan sehingga tamat perlawanan untuk mencatatkan kemenangan 2-0."Satu-satunya perkara yang saya yakin, ialah kami akan memberikan segala-galanya, dan membaiki semangat sepasukan," kata Matuidi Secara realistik, Honduras perlu lebih bimbang kerana Perancis sudah mula mencetak jaringan.

Penyerang Karim Benzema (gambar) berada pada prestasi terbaik selepas musim gemilang memenangi Liga Juara-Juara bersama Real Madrid.

Dia meledak dua jaringan dan mencipta tiga peluang untuk menggegar gawang Jamaica dan tanpa pemain sayap Frank Ribery, kini penyerang utama di barisan serangan.

"Benzema penjaring gol bertaraf dunia.

Dia penyerang tengah Real, tiada apa yang anda boleh baiki lagi," kata Matudi.

"Saya harap dia meneruskan prestasi semasa untuk membantu kami mengharungi Piala Dunia yang hebat." - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

No comments:

Post a Comment