Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cantik & Makmur

Posted: 25 Jun 2014 01:11 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan Xing Xing, yang bermaksud makmur dan Liang Liang yang bermakna cantik, sebagai nama tempatan bagi panda gergasi jantan Fu Wa dan betina Feng Yi yang dipinjamkan oleh China.

Perdana Menteri berkata, nama itu dipilih berdasarkan 'Pertandingan Menamakan Pasangan Giant Panda' anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2012.

"Kita tahu pasangan panda gergasi ini ada nama China tapi kita cadang memberi nama Malaysia terutama bila mereka akan berada di sini untuk tempoh 10 tahun akan datang.

"Saya harap pasangan panda ini tidak keliru sebab mereka sekarang ada dua nama iaitu nama China dan nama Malaysia," seloroh Najib ketika berucap merasmikan Pusat Konservasi Panda Gergasi dan sambutan ulang tahun ke-50 Zoo Negara di Hulu Klang, dekat sini, semalam.

Foto

PANDA betina, Liang Liang.

Foto

NAJIB melihat Rosmah memberi makan kepada panda jantan, Xing Xing.


Turut hadir, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.


Menurutnya, pasangan panda itu perlu diberi dengan nama yang lebih menggambarkan identiti tempatan bagi menarik minat orang ramai menyaksikan haiwan itu dan mengunjungi Zoo Negara.

Pasangan panda gergasi yang menjadi simbol hubungan diplomatik 40 tahun antara Malaysia dan China itu tiba di negara ini pada 21 Mei lalu dan akan berada di sini untuk sedekad menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Melalui program perjanjian ditandatangani pada 2012 itu, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan.

Kedua-dua haiwan masing-masing berusia tujuh tahun itu dikuarantin kira-kira sebulan di tempat khas yang siap dibina di Zoo Negara.

Najib menarik perhatian bahawa projek konservasi panda itu adalah kerjasama dua hala antara Malaysia dan China dan ia merupakan penghormatan buat Malaysia selain mencerminkan hubungan erat kedua-dua negara.

"Saya difahamkan sehingga kini, China menghantar hanya 23 ekor panda ke 14 buah negara sahaja. Justeru, sudah pasti penghantaran ini menjadi simbol persahabatan yang kukuh bagi kedua-dua negara sejak zaman dahulu lagi," katanya.

Mengenai pembinaan pusat konservasi panda gergasi itu yang menelan belanja RM25 juta, Najib berkata, ia wajar memandangkan jumlah perdagangan antara Malaysia dan China yang berjumlah AS$200 juta pada 1974 meningkat kepada lebih AS$106 bilion tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

Lubuk 'emas' pendatang

Posted: 25 Jun 2014 01:07 PM PDT

Klang: Dengan menyasarkan tapak pembinaan sebagai lubuk rezeki, warga asing didapati mampu meraih keuntungan ribuan ringgit sebulan apabila bertindak membuka gerai yang menyediakan makanan dan minuman kepada pekerja di tapak pembinaan.

Seorang pengusaha gerai makanan yang juga warga asing yang dikenali sebagai Suri, 40, berkata, pada mulanya dia hanya mengikut suaminya yang bekerja sebagai buruh binaan, tetapi diminta menyediakan makanan secara kecil-kecilan.

Katanya, selepas beberapa kali diminta berbuat demikan, beliau menyedari potensi untuk memperoleh sumber pendapatan lumayan dengan berniaga di tapak pembinaan sehingga mencecah RM5,000 sebulan sejak dua tahun lalu.

"Setiap hari saya hanya perlu menyediakan makanan untuk 20 hingga 30 orang sahaja dan setiap orang saya kenakan bayaran antara RM10 hingga RM12, kerja saya senang kerana mereka (pekerja asing) tidak banyak ragam serta makan apa yang kita sediakan.

"Apabila pembinaan siap saya akan mencari tapak pembinaan lain memandangkan saya kenal ramai orang dan mudah mencari tapak baru," katanya yang turut ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Menurutnya yang berasal dari Jawa Tengah, Indonesia, walaupun kebanyakan buruh membeli secara hutang dan hanya akan bayar sekali sebulan, tetapi itu tidak jadi masalah kerana dia juga perlu bersaing dengan beberapa rakan yang turut menjual makanan.

Katanya, beliau dan suami sudah lapan tahun tinggal di negara ini dan memberikan alasan ditipu RM3,200 oleh seorang ejen yang menguruskan dokumen perjalanannya yang sudah tamat tempoh.

Dalam serbuan yang dijalankan semalam di Bandar Putera 2, Jalan Kebun, di sini, seramai 50 warga asing termasuk 23 perempuan dan empat kanak-kanak ditahan.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, operasi yang dijalankan selama empat jam yang berakhir jam 1.30 tengah hari itu, hasil daripada aduan orang awam dan intipan yang dilakukan anggotanya selama seminggu.

"Operasi yang dijalankan dengan kerjasama anggota RELA (Pasukan Sukarelawan Malaysia) berjaya menahan 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 25 hingga 40 tahun," katanya.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh, Nepal serta Pakistan yang mana ketika serbuan dilakukan mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Othman berkata, memandangkan lokasi serbuan adalah tapak pembinaan segelintir pandatang tanpa izin berjaya melarikan diri masuk ke dalam semak berhampiran.

Menurutnya, mereka yang ditangkap akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1963 dan semua warga asing yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Sementara Imigresen Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, untuk tindakan selanjutnya.

Foto

ANGGOTA imigresen (belakang) menahan buruh warga asing dalam serbuan di Jalan Kebun, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

Masakan ramuan biodiesel

Posted: 25 Jun 2014 11:55 AM PDT

Shah Alam: Minyak masak berkeladak dan hitam yang digunakan terutama dalam industri makanan mampu dijernihkan seperti minyak baru dikeluarkan dari kilang dalam beberapa minit dengan penggunaan sejenis serbuk dikenali sebagai 'bleaching earth' sebelum ia dibungkus semula dan dijual kepada pengguna.

Taktik berkenaan dipercayai digunakan pihak tidak bertanggungjawab yang terbabit dalam industri biodiesel sebagai cara mudah untuk mengaut keuntungan lumayan walaupun mereka tahu ia memberi kesan kesihatan kepada pengguna sedangkan minyak berkenaan hanya sesuai untuk industri biodiesel saja.

Minyak masak terpakai berkenaan dibeli pada harga antara RM1.40 dan RM1.80 sekilogram daripada pengusaha sama ada kedai makan, kantin sekolah atau kilang atau dewan makan asrama sebelum dijual semula pada harga RM2.30 hingga RM2.50 sekilogram di pasaran.

Kebanyakan pelanggan minyak masak terpakai ini adalah mereka yang terbabit dalam industri berkaitan makanan kerana pengusaha tidak boleh membeli minyak masak pada harga subsidi sebaliknya perlu membayar harga industri iaitu RM4.75 sekilogram.

Foto

MOHAMMAD Khairzan menunjukkan kaedah menjernihkan minyak terpakai.


Seorang kakitangan syarikat biodiesel Mohammad Khairzan Idlan Ramli berkata, pihaknya mengesyaki wujudnya aktiviti menjernihkan semula minyak masak terpakai ini sebelum dijual kepada pengguna dalam bungkusan plastik seberat satu kilogram setiap satu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

Tabung Khas bantu Muhammad Firdaus

Posted: 25 Jun 2014 11:52 AM PDT

Seremban: Orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan remaja orang kelainan upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, boleh menghulurkan bantuan menerusi Tabung Khas.

Tabung Khas yang ditubuhkan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu kini sudah mengumpul RM4,000.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Norhayati Omar berkata, untuk permulaan, orang ramai boleh menghulurkan sumbangan mereka di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini atau pejabat JKM kerana akaun tabung berkenaan masih dalam proses pelaksanaan.

Menurutnya, tabung berkenaan sudah menerima derma termasuk dari Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI) Datin Seri Raja Salbiah Tunku Nujumuddin.

"Saya menggalakkan orang ramai terutama pertubuhan bukan kerajaan tampil menghulurkan bantuan kepada Muhammad Firdaus yang menghidap penyakit 'Celebral Palsy' demi memastikan kehidupannya terjamin pada masa hadapan.

"Saya bersyukur kerana banyak pihak mengambil berat keadaan Muhammad Firdaus dan adiknya yang ditempatkan di wad sama di HTJ.

Saya yakin keadaan mereka berdua akan bertambah baik," katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, beliau bersyukur semua keperluan remaja itu dijaga dengan baik termasuk makanan dan lampin pakai buang berbanding keadaannya sebelum ini yang tidak terurus.

Beliau berkata, walaupun tempoh rawatan remaja itu dijangka mengambil masa, namun dengan bantuan semua pihak terutama hospital, beliau yakin Muhammad Firdaus akan pulih.

Gerakan Belia 4B cawangan Amar Penghulu dan Ulu Klawang turut menganjurkan perlawanan amal bola sepak, malam tadi, dalam usaha mengutip derma untuk membantu Muhammad Firdaus.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

Suspek utama direman empat hari

Posted: 25 Jun 2014 11:48 AM PDT

Puchong: Seorang pelajar lelaki tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Puchong Perdana di sini, diberkas polis selepas dipercayai suspek utama yang melarikan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan bayi empat bulan di dalam sebuah kereta Proton Gen 2 awal pagi kelmarin.

Suspek berusia 17 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Puchong Perdana di sini, kira-kira jam 2.15 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, penahanan suspek adalah berdasarkan pengecaman dibuat kanak-kanak berusia sembilan tahun yang dilarikan suspek selain beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan di dalam bilik mangsa menemui sebilah pisau pemotong kertas dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa dan sepasang pakaian seragam sekolah, beg sekolah, beg sandang, dompet jenama Levi's dan wang tunai berjumlah RM117.

Foto

SUSPEK pelajar sekolah yang ditahan awal pagi semalam.


"Siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan setakat ini dia ditahan reman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

No comments:

Post a Comment