Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


70,000 gamatkan final

Posted: 07 Jun 2014 07:45 AM PDT

Shah Alam: Final Piala FA edisi ke-25 mendapat sambutan hangat penyokong Pahang dan FELDA United FC, semalam.

Lebih 70,000 penyokong kedua-dua pasukan mewarnai Stadium Shah Alam dengan warna kuning (Pahang) dan oren (FELDA United).


Semuanya kelihatan bersemangat apabila ada yang mula tiba di stadium sejak awal pagi lagi walaupun hanya dibenarkan masuk pukul empat petang.

Kawasan persekitaran Stadium Shah Alam seolah-olah 'berpesta' dengan pelbagai aktiviti dianjurkan selain gerai jualan membabitkan cenderamata kedua-dua pasukan bertanding.


Stadium mula dipenuhi penyokong sebaik pintu dibuka jam empat petang dengan masing-masing sudah tidak sabar untuk menyokong pasukan kesayangan.


Pelbagai kain rentang diletakkan penyokong bagi membakar semangat pemain di atas padang.

Foto

SEBAHAGIAN penyokong Pahang yang hadir ke Stadium Shah Alam, semalam.

Antara kain rentang penyokong Pahang adalah 'Amuk Tok Gajah', 'Empayar Tok Gajah' dan sebagainya.


Lebih menarik terdapat penyokong yang menaiki kereta mengibarkan kedua-dua bendera Pahang dan juga FELDA United yang menunjukkan semangat setia kawan.

Tidak kurang hebatnya sokongan penyokong The Fighters yang tampil buat kali pertama di pentas final Piala FA.


Antaranya 'Serang Bang Serang', 'The Fighters Kebanggan Kami' dan ada juga yang meletakkan kain rentang mewakili kawasan tanah rancangan masing-masing seperti FELDA Sg Kelamah, Majlis Belia FELDA Wilayah Mempaga dan banyak lagi.


Lebih menggamatkan suasana kehadiran penyokong Ultras masing-masing dengan Tok Gajah didokong Elephant Army manakala The Fighters diwakili D'FEL MANIA.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Ribery terpaksa diketepikan

Posted: 07 Jun 2014 07:37 AM PDT

Rio de Janeiro: Bintang Perancis, Franck Ribery tersingkir dari Piala Dunia semalam ketika kebimbangan mengenai keletihan pemain memuncak dengan begitu ramai pemain terlepas peluang ke Brazil disebabkan kecederaan.

Nasib malang menimpa Ribery apabila pemain sayap Bayern Munich itu mengalami kecederaan belakang di kem latihan Perancis di Clairefontaine, tidak jauh dari Paris.


Pengurus Perancis, Didier Deschamps mengesahkan pemain berusia 31 tahun itu tidak akan beraksi di kejohanan itu, begitu juga dengan pemain tengah Lyon, Clement Grenier yang masih belum pulih daripada kecederaan paha.

"Kami memantau tahap kecergasan Ribery minggu ini dan ketika sesi latihan pagi ini (semalam), sebelum memulakan latihan bersama pasukan, dia mengadu sakit belakang," kata Deschamps.


"Kami menjalankan pemeriksaan terhadapnya dan malang sekali mengesahkan kecederaan belakangnya semakin teruk dan tidak mungkin mampu berlatih atau bermain." Ketiadaan Ribery jelas sekali melumpuhkan jentera serangan Perancis, sedangkan tahun lalu dia berjaya menempatkan dirinya sebagai antara pemain bola sepak terbaik dunia.


Tidak lama selepas itu, Jerman pula dikejutkan apabila pemain tengahnya, Marco Reus menjadi korban biarpun pasukannya membelasah Armenia 6-1 di Mainz.

"Saya tidak tahu apa maknanya tetapi kita perlu tunggu," kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.


Pada masa sama bintang Portugal, Cristiano Ronaldo turut bergelut untuk kembali cergas sebelum bermulanya Piala Dunia, di mana pasukannya akan menentang Jerman pada 16 Jun dalam saingan pembukaan Kumpulan G.

Jurulatih Portugal, Paulo Bento membayangkan saingan bola sepak yang sengit di Eropah memberi kesan kepada pemain ternama mereka.


Biarpun Ribery dan Reus beraksi di Bundesliga, yang membolehkan pemain berehat pada pertengahan musim, Bento mempersoalkan sama ada tuntutan fizikal terhadap pemain bola sepak terlalu membebankan.


Masalah itu bukan saja dihadapi Jerman dan Perancis.


Colombia turut menyaksikan kehilangan penyerang berbisa mereka, Radamel Falcao selepas gagal pulih daripada kecederaan lutut.


Sepanyol juga terpaksa menunggu laporan tahap kecergasan pemain Atletico Madrid, Diego Costa, yang mengalami kecederaan hamstring hingga mengehadkan penampilannya di final Liga Juara-Juara. Perkara sama juga dihadapi England di mana Alex Oxlade-Chamberlain terpaksa dikeluarkan daripada perlawanan menentang Ecuador yang berkesudahan 2-2 akibat kecederaan ligamen lutut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

'Masih banyak perlu dibaiki'

Posted: 07 Jun 2014 07:36 AM PDT

Foxborough, Amerika Syarikat: Jurulatih Paulo Bento mengakui banyak yang perlu dilakukan apabila Portugal yang kehilangan sentuhan Cristiano Ronaldo, terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 1-0 ke atas Mexico dalam perlawanan persahabatan semalam.

Mengharapkan kecergasan pemain itu, dengan sepak mula kejohanan itu hanya berbaki empat hari, Portugal hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Greece hujung minggu lalu.


Perlawanan semalam juga hampir berkesudahan seri tanpa jaringan sebelum kapten pasukan Bruno Alves menanduk masuk gol kemenangan Portugal.

Kehadiran pemain sayap Manchester United, Nani bagaikan tidak membawa sebarang makna, manakala penyerang, Eder gagal memberi persembahan meyakinkan, membuatkan Bento perlu bekerja keras menjelang perlawanan pemanas badan terakhir menentang Republik Ireland, Selasa ini.


Bento belum mendapat maklumat terkini mengenai nasib penyerangnya, Ronaldo yang tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan terakhir akibat kecederaan lutut dan paha yang hampir menjejaskan perjuangan Piala Dunia negara itu.


Bento enggan memberitahu bila bintang Real Madrid itu akan kembali.

"Kami bergelut pada awalnya untuk mengekang serangan Mexico," kata Bento, di mana pasukannya akan menentang Jerman pada 16 Jun, diikuti Amerika Syarikat dan Ghana dalam Kumpulan G yang amat kompetitif.


"Kumpulan ini seimbang dengan empat pasukan yang kuat tetapi pada masa sama ia amat sukar. Kami akan berjuang hingga ke akhirnya untuk mencapai matlamat pertama iaitu mara ke pusingan kalah mati," kata Bento. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Scolari pertahan aksi

Posted: 07 Jun 2014 07:36 AM PDT

Sao Paulo: Luiz Felipe Scolari mempertahankan persiapan selepas pasukannya diejek oleh sebahagian peminat di bangku penonton selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Serbia, semalam.

Scolari menyatakan pendapatnya selepas mengatasi Panama 4-0, Selasa lalu, menyaksikan masih ada ruang boleh diperbaiki dan tidak akan membenarkan jurang kemenangan mengabui matanya.


Selepas jaringan Fred melalui tolakan masuk dengan tumit untuk mengenepikan Serbia, arkitek yang membawa Brazil menjulang Piala Dunia 2002 di Jepun itu mengambil keputusan menurunkan semula pemain utama untuk menghalang pasukannya terus dikritik oleh penyokong dan media.

Scolari memberitahu sebelum perlawanan juara dunia lima kali itu sentiasa mendapat layanan sukar peminat Brazil dari kalangan ahli perniagaan dan keadaan itu nyata tidak berbeza pada perlawanan di Stadium Morumbi, venue yang tidak akan digunakan untuk perlawanan Piala Dunia.


"Saya rasa kami datang ke Piala Dunia dalam keadaan yang baik. Kami tidak sabar untuk memulakan aksi pada perlawanan pertama Piala Dunia," kata Scolari selepas mencatat kemenangan itu, enam hari sebelum menjadi tuan rumah bertemu Croatia dalam saingan di sebuah bandar lagi yang masih menjalani proses pembinaan menyiapkan Corinthians Arena.


"Kami merancang dari awal," katanya tetap menerima kemenangan itu walaupun dengan jurang tipis tetapi akan menjadi moral suntikan, biarpun jaringan kurang menarik menerusi Fred yang melakukan penyudah sama seperti beraksi pada final Piala Konfederasi menentang Sepanyol tahun lalu.

"Kedua-dua pasukan cuba mengatasi sama lain dan saya kagum dengan aksi Serbia," kata Scolari. Sewaktu saya melihat kesebelasan utama mereka pada permulaan, saya tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar." "Saya rasa ia perkara biasa mendapat ejekan dan pemain tidak ambil hati. Pada penghujungnya saya yakin seramai 67,000 peminat datang menonton, 65,000 pasti pulang dengan hati yang puas." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Loew hilang khidmat Reus

Posted: 07 Jun 2014 07:35 AM PDT

Mainz: Jurulatih Jerman, Joachim Loew terpaksa menanggung risiko biarpun membelasah Armenia 6-1 pada perlawanan persahabatan yang memberi ancaman terpaksa mengenepikan Marco Reus daripada aksi Piala Dunia.

Pemain sayap Borussia Dortmund berusia 25 tahun itu dikejarkan ke hospital selepas pergelangan kaki kirinya terseliuh dalam satu perebutan bola sebelum babak pertama berakhir.


Ujian imbasan menunjukkan terdapat sedikit koyakan pada ligamen pergelangan kaki yang menjejaskan kempennya di Brazil.

Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) berkata, keputusan akan dibuat sebelum skuad itu terbang ke pangkalan Piala Dunia mereka Porto Seguro daripada Frankfurt, hari ini.


"Marco berada dalam prestasi terbaik dan kecederaan teruk akan menjadikannya lebih sukar diterima," akui kapten Jerman, Philipp Lahm sebelum ujian itu dibuat.


Kecederaan itu menjejaskan persembahan meyakinkan dipamer menerusi jaringan Lukas Podolski, Benedikt Hoewedes dan Mario Goetze, menjaringkan dua gol untuk mengenepikan pasukan kerdil, Armenia, yang mendapat satu gol menerusi sepakan penalti dilakukan oleh Henrikh Mkhitaryan.

Reus yang digantikan oleh Miroslav Klose yang akan berusia 36, esok mencatat sejarah apabila menanduk masuk gol keempat Jerman untuk muncul penjaring terbanyak Jerman sepanjang masa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Jepun tak puas hati

Posted: 07 Jun 2014 07:34 AM PDT

Tampa: Kemenangan kurang memuaskan dicatat Jepun pada perlawanan pemanas badan terakhir membuatkan jurulatih Alberto Zaccheroni masih tercari-cari jawapan terbaik seminggu sebelum pasukannya beraksi pada perlawanan pembukaan di Brazil.

Gol pada waktu kecederaan oleh pemain simpanan Yoshito Okubo memberikan juara Asia itu kemenangan tipis 4-3 mengatasi Zambia, semalam tetapi ia menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding penyelesaian.


"Biarpun kami menang, tetapi saya tidak berpuashati dengan perlawanan itu," kata Zaccheroni menerusi seorang penterjemah. "Saya tidak fokus terhadap keputusan.

"Kami menemui beberapa masalah yang tidak wujud sebelum ini. Kita perlu mengatasi masalah itu supaya pasukan menjadi lebih baik." Skuad Blue Samurai tidak mempunyai banyak masa untuk memperbaikinya. Mereka terbang ke Brazil, semalam, seminggu sebelum membuka perlawanan Piala Dunia mereka menentang Ivory Coast dalam perlawanan Kumpulan C sebelum bertemu Greece dan Colombia.


"Saya tidak berpuashati dengan tekanan diberikan terhadap lawan," kata Zaccheroni, pengurus berbangsa Itali. "Bagaimanapun faktor itu tidak menjadikan anda tidak mempunyai motivasi. Saya perlu memikirkan mengenai kaedah lain untuk meningkatkan tekanan pemain saya terhadap lawan.


"Kecepatan memberi tekanan terhadap lawan bukan satu-satu faktor kami perlu lihat untuk meningkatkan skuad ini sebelum Piala Dunia." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Kecederaan Ramirez gusarkan Colombia

Posted: 07 Jun 2014 07:33 AM PDT

Buenos Aires: Colombia menyempurnakan dua sepakan penalti ketika mencatat kemenangan 3-0 mengatasi Jordan pada perlawanan pemanas badan Piala Dunia, tetapi bergelut dengan laporan tahap kecergasan berikutan kecederaan melanda Aldo Leao Ramirez.

Pemain berpengalaman berusia 33 tahun itu yang memainkan peranan penting ketika Colombia mencatat kejayaan kempen kelayakan sebelum ke Brazil, mengalami kecederaan lutut sewaktu latihan kem pasukan itu di luar Buenos Aires dan masih belum dipastikan dapat beraksi pada kejohanan bermula 12 Jun.


Ramirez akan menjadi pemain keempat Colombia terlepas beraksi pada kejohanan itu akibat kecederaan selepas penyerang, Radamel Falcao, pemain tengah, Edwin Valencia dan pemain pertahanan, Luis Amaranto Perea.

"Kami hanya ada beberapa jam saja lagi sebelum membuat keputusan. Kami akan melihat keputusan ujian imbasan, apa peluang kami tetapi kami berharap dia tidak akan terlepas beraksi pada kejohanan itu," kata jurulatih, Jose Pekerman. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Tamat kemarau di Brazil

Posted: 07 Jun 2014 07:30 AM PDT

Jerman gagal dalam dua Piala Dunia ketika menjadi tuan rumah pada 2006 dan Afrika Selatan 2010.

Ini bermakna dua kali Philipp Lahm kempunan menjulang trofi berkenaan dan kapten Jerman itu mahu mengakhirinya di Brazil tahun ini.

Kegagalan dua temasya itu mematangkan pemain dan pada pendapatnya skuad Jerman berada di kemuncak prestasi untuk menyerlah sekalipun sedar tuan rumah Brazil, juara bertahan Sepanyol, Itali dan Argentina turut berpeluang memenanginya.

Anda adalah kapten skuad kebangsaan Jerman dan Bayern Munich. Mungkinkah mentaliti kejayaan Bayern membantu Jerman menyerlah di Piala Dunia Brazil?

Sudah tentu. Ramai pemain Bayern dalam skuad Jerman biarpun ini bukan jaminan kami boleh juarai Piala Dunia. 31 pasukan lain juga akan berada di sana dengan misi serupa. Kami memiliki gabungan pemain senior dan remaja berkualiti. Saya yakin akan menyerlah di Brazil seperti Bayern pada saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Di Brazil, anda akan berdepan Kevin-Prince Boateng dari Ghana, bintang Portugal Cristiano Ronaldo dan skuad Amerika Syarikat (AS) bimbingan Jurgen Klinsmann dalam saingan Kumpulan G. Perlawanan mana paling anda tunggu?

Semuanya termasuk nama-nama hebat itu. Saya rasa kami berada dalam kumpulan sukar terutama menentang Portugal pada perlawanan pertama. Mereka adalah pasukan kelas atasan dengan kekuatan individu. Anda boleh lihat aksi mereka pada Euro 2012 cuma tidak bernasib baik tewas kepada Sepanyol di separuh akhir.

Kami harus berwaspada sepanjang 90 minit kerana mereka mampu menguasai permainan. Jika tewas pada perlawanan pertama, tekanan lebih menunggu apabila menentang Ghana dan AS. Mereka juga bukan calang pasukan kerana memiliki ramai pemain beraksi dalam Bundesliga. Sebab itu saingan kumpulan ini cukup mencabar.

Selaku naib juara Piala Dunia 2002, ketiga 2006 dan 2010, adakah ini masanya buat Jerman julang trofi?

Saya sentiasa rasa begitu tetapi Brazil, Sepanyol dan Argentina turut memiliki sasaran sama. Jerman sudah bersedia tetapi saya sedar ia bukan tugas mudah. Kami perlu kekal beraksi sebagai satu pasukan seperti sebelum ini dan ternyata ia adalah kekuatan kami.

Jerman sering terkandas dalam beberapa kejohanan besar. Apakah mereka kehilangan sesuatu dalam pasukan?

Mungkin kita belum bersedia untuk menang. Apabila memikir semula Piala Dunia 2006 di tanah air sendiri, kami hampir melakukannya walapun ramai tidak jangka Jerman akan mara sejauh itu. Kami tewas kepada pasukan lebih baik dan Itali memenanginya. Pada 2010, kami kehilangan ramai pemain utama antaranya kapten Michael Ballack sebagai contoh. Kami dibarisi pemain muda yang beraksi di peringkat tertinggi buat kali pertama. Kami bermain baik dan berada dalam kelompok empat pasukan teratas sebelum tewas kepada Sepanyol yang akhirnya menjulang trofi dan kemudian memenangi gelaran Euro. Kita hampir saja layak ke final tetapi mungkin terdapat kekurangan dan tewas. Saya yakin kami sudah matang hasil kekalahan itu.

Ramai pakar memilih Jerman sebagai pasukan pilihan memenangi Piala Dunia. Pasukan mana pada anda bakal menjadi pencabar utama?

Melihat kepada rekod sudah tentu kami antara pasukan pilihan di Piala Dunia. Juara dunia dan Eropah, Sepanyol juga calon utama selepas memenangi tiga kejohanan besar berturut-turut. Selaku tuan rumah, kita tidak boleh nafikan kehebatan Brazil dan juga Argentina. Tidak boleh ketepikan juga pasukan Eropah lain seperti Belanda, Portugal dan Itali.

Kenapa Piala Dunia di Brazil menjadi sesuatu yang istimewa?

Pada saya kerana diadakan di benua lain. Saya bertuah kerana dapat bermain pada kejohanan di Eropah ketika Jerman menjadi tuan rumah dan empat tahun lepas di Afrika Selatan. Sekarang ini benua Amerika Selatan pula. Memang sesuatu yang hebat beraksi di sana. Mereka memiliki peminat yang memuja bola sepak bagaikan satu kepercayaan agama.

Saya tidak sabar kejohanan itu bermula.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Impak Nanaca

Posted: 07 Jun 2014 07:29 AM PDT

Jika tiada pemain keramat ini, Portugal tetap akan berjuang untuk mencari gelaran pertama selaku juara Piala Dunia 2014 di Brazil.

Begitulah pandangan diberi oleh Nani terhadap Cristiano Ronaldo yang dikatakan ketiadaannya akan membimbangkan Portugal.

Apapun, pemain sayap Manchester United itu berharap Ronaldo akan kembali cergas untuk membawa cabaran pasukannya beraksi di Brazil biarpun wujud keraguan terhadap tahap kecergasan terbaru dialami oleh bekas pemain Manchester United itu.

Nani agak bimbang selepas rakan sepasukannya yang juga penyerang Real Madrid itu mengalami kecederaan paha kiri dan kesakitan lutut, tetapi masih berharap dia akan dapat bermain pada Piala Dunia.


Ketiadaan Ronaldo akan memberi tamparan hebat kepada peluang Portugal membuat kemaraan lebih jauh tetapi Nani bertegas pemenang FIFA Ballon d'Or itu langsung tidak bimbang dengan keadaan dialami.


Nani menafikan pemain sayap United turut merasai ketiadaan Ronaldo dalam pasukan itu akan menjejaskan peluang mereka di Brazil.

"Kami berharap Cristiano kembali berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi dan membantu melonjak pasukan. Kami pemain profesional dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan dihadapi pasukan ini," katanya.

"Dia berada dalam keadaan terbaik dan tidak berdepan sebarang masalah. Untuk sesetengah sebab, Ronaldo tidak akan berada di sana atau siapa saja yang akan beraksi mempunyai keyakinan dan kebolehan untuk menyudahkan tugasan mereka di Brazil.

"Piala Dunia? Ia satu jenis cabaran sukar kerana semua pemain terbaik berada dalam kejohanan ini," kata Nani.

"Saya mahu kembali cergas dan berada di tahap terbaik bersama rakan sepasukan. Saya tidak dapat bersama pasukan ini sewaktu di Afrika Selatan empat tahun lalu.

"Sekarang saya rasa gembira kerana dapat menyertai mereka semula di venue penganjuran Piala Dunia penuh bersejarah."

Nani salah seorang pemain yang gemar merendah diri.

Dia bukan sekadar memiliki kemahiran hebat, tetapi sentiasa mendapat kepercayaan daripada skuad kebangsaan.

Tampil antara pemain Portugal yang memiliki kemahiran teknikal paling tinggi dalam skuad dan kalangan tiga pemain mampu membuat hantaran tepat kepada rakan sepasukan.

Dengan gelaran 'Nanaca' diberikan oleh ahli keluarganya, Nani memulakan karier bola sepak bermain kaki ayam kerana tidak mempunyai wang untuk membeli kasut.

Biarpun kakinya cedera, tetapi dia tidak berehat di rumah sebaliknya terus bermain bola sepak di lorong laluan pejalan kaki untuk mencapai impiannya menjadi pemain bola sepak.

PROFIL:

Nama: Luis Carlos Almeida da Cunha
Umur: 27 tahun
Tarikh lahir: 17 November 1986
Tempat lahir: Praia, Cape Verde
Tinggi: 1.75m
Posisi: Pemain sayap
Kelab: Manchester United
Piala Dunia: 2104

Skuad kebangsaan: B-21 Portugal (2006–2007), Senior Portugal (2007 hingga sekarang)

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Pertembungan ke-42

Posted: 07 Jun 2014 07:26 AM PDT

Paris: Rafael Nadal dan Novak Djokovic akan bertembung buat kali ke 42 hari ini untuk merebut kejuaraan Terbuka Perancis selain mencatat rekod baru.

Nadal, pemain nombor satu dunia berharap dapat melengkapkan kejuaraan kesembilan dalam final kesembilan di Paris dan mencatat rekod 66 kemenangan dan satu kekalahan.


Kejayaan itu juga bakal meletakkan pemain berusia 28 tahun itu sebagai lelaki pertama yang menakluki Roland Garros buat tahun kelima berturut-turut, memberikannya gelaran Grand Slam ke-14, kurang tiga daripada 17 kejuaraan yang dimiliki Roger Federer yang dipertahankannya sejak lima tahun lalu.

Djokovic yang menjuarai enam kejohanan utama, memerlukan trofi di Roland Garros untuk menjadi pemain kelapan dalam sejarah yang memenangi keempat-empat kejohanan Grand Slam.


Dia juga mempunyai kelebihan menewaskan Nadal dalam empat pertemuan terakhir mereka termasuk di gelanggang tanah liat dalam final Masters Rome bulan lalu.


Momentum itu bagaimanapun tetap menjadi milik Nadal yang menewaskan juara Wimbledon, Andy Murray dalam enam game di separuh akhir kelmarin.

"Bukan sesuatu yang baru jika Novak mara ke final di sini. Sudah pasti dia mempunyai motivasi untuk menjuarai Roland Garros buat kali pertama," kata Nadal yang memenangi tiga pertemuan mereka di Grand Slam dan keempat-empat perlawanan di Roland Garros sebelum ini.


"Pada masa sama, dia berdepan tekanan untuk muncul juara buat kali pertama." Djokovic tewas kepada Nadal di final 2012 tetapi hampir saja menewaskannya di separuh akhir 2013 apabila mendahului 4-2 di set terakhir.

Pemain Serbia berusia 27 tahun itu yang beraksi di final Grand Slam ke-13 berbanding final ke-20 Nadal, percaya kunci kemenangan adalah mengeluarkan pemain Sepanyol itu dari zon selesa di gelanggang Philippe Chatrier di mana dia hanya kalah sekali, tewas di pusingan keempat kepada Robin Soderling pada 2009.


"Gelanggang itu besar dan luas. Dia sukakan kesan visual itu kerana dia sering berjaya mendapatkan bola," kata Djokovic.


"Dia kelihatan lebih selesa bermain di gelanggang yang lebih besar. Itu antara sebabnya mengapa dia begitu berjaya di sini.


"Menyedari yang saya hampir menewaskannya dua tahun lalu memberikan sebab untuk saya percaya, mampu melakukannya kali ini. Dia bukannya tidak boleh dikalahkan." - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

No comments:

Post a Comment