Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Nama dalam mimpi'

Posted: 28 Jun 2014 10:56 AM PDT

Selayang: "Saya sudah mempunyai nama yang diperoleh melalui mimpi dan akan digunakan selepas saya memeluk Islam," kata bekas model Felixia Yeap, 28, yang bakal memeluk Islam pada Khamis ini.

Menurutnya, dia akan hanya mengumumkan nama barunya pada majlis memeluk agama Islam nanti.

"Dalam dua tiga minggu kebelakangan ini, saya sedikit runsing memikirkan nama Islam saya.

"Bagaimanapun, pada suatu malam, nama itu muncul dalam mimpi dan saya terkejut boleh mengingatinya selepas bangun daripada tidur," katanya ketika majlis Santai Ramadan Pertamaku di sini, semalam.

Foto

FELIXIA bersama pengunjung di majlis Santai Ramadan Petamaku, semalam.


Yeap berkata, pada mulanya dia menyangka nama berkenaan tidak membawa apa-apa maksud.


"Namun apabila saya memeriksa maksud nama berkenaan, ternyata ianya mempunyai maksud yang baik dan indah," katanya.

Menurutnya lagi, dia mengimpikan menjadi Muslimah yang baik selepas memeluk Islam.

"Saya mahu masyarakat sekeliling mengambil iktibar kehidupan lampau saya.

"Pada masa yang sama, saya mahu mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat dan sudah tentu mahu berkahwin," katanya yang mengakui sudah mempunyai calon suami yang bukan daripada kalangan ustaz.

Ditanya mengenai pengalaman berpuasa, Yeap berkata, dia pernah cuba berpuasa pada dua tahun lalu iaitu selama sehari, tetapi tidak merasai keindahan.

"Itupun saya diajak oleh kawan saya, namun pada waktu itu, saya ingatkan minum dibenarkan, jadi saya hanya tidak makan saja.

"Pada tahun ini, saya akan berlatih berpuasa bermula hari ini," katanya yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Najwa Latif sebagai ikon wanita bertudung.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Gadis cedera dibelasah bapa

Posted: 28 Jun 2014 10:43 AM PDT

Kuala Kangsar: Hanya kerana enggan mengikut bapanya pulang ke rumah disebabkan lebih selesa tinggal bersama ibu saudaranya, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun cedera di muka, mata dan badan selepas dibelasah bapanya.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi, Rabu lalu, suspek yang datang bersama rakannya turut membelasah bapa saudara mangsa yang ketika itu cuba menenangkan keadaan sehingga menyebabkan mukanya bengkak.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa yang baru pulang daripada makan bersama sepupunya terkejut dengan tindakan bapanya datang bersama rakan dan terus membelasahnya.

Katanya, suspek menelefon anaknya sehari sebelum kejadian dan memintanya pulang ke rumah, tetapi anaknya enggan berbuat demikian kerana mendakwa sering dibelasah bapanya di rumah.

"Suspek yang datang bersama rakannya terus membelasah anaknya sebelum bapa saudara mangsa datang untuk meredakan keadaan.

Bagaimanapun, bapa saudara mangsa pula dibelasah rakan suspek sehingga menyebabkan bengkak di muka.

"Remaja terbabit bukan saja ditampar, malah dipukul serta ditumbuk suspek berulang kali sehingga menyebabkannya cedera di muka, mata dan badan," katanya.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar sejurus selepas kejadian.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Seorang maut setiap hari

Posted: 28 Jun 2014 10:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya seorang pegawai atau anggota polis meninggal dunia dalam tempoh sehari. Itulah hakikat perjalanan hidup tonggak Sang Saka Biru yang tidak pernah jemu mempertahankan dan memastikan negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan damai.

Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, secara purata seramai 32 pegawai dan anggota polis meninggal dunia dalam tempoh sebulan sepanjang tahun ini.

Katanya, ketika pihak tertentu menuding jari kepada PDRM kononnya ganas dan menyalahguna kuasa, ramai tidak tahu seramai 1,342 pegawai dan anggota polis maut manakala 359 yang lain cedera dan terlantar akibat hilang upaya kekal ketika melaksanakan tugas menjaga keamanan negara bagi tempoh lima tahun dari 2010 hingga Mei tahun ini.

"Jumlah itu membabitkan pegawai dan anggota yang terbabit kemalangan, iaitu bencana ketika bertugas serta ketika dalam perjalanan pergi dan pulang ke lokasi tugasan.

Foto


"Sepanjang 2010 saja, tujuh maut manakala 26 cedera ketika bertugas manakala 354 maut dan 25 cedera berpunca daripada sakit akibat tekanan kerja dan kemalangan ketika dalam perjalanan ke lokasi tugasan.


"Pada 2013 pula, 18 maut ketika bertugas, termasuk lapan yang terkorban dalam insiden Lahad Datu, manakala 55 lagi cedera ketika bertugas.

"Berdasarkan statistik itu, sekurang-kurangnya seorang pegawai atau anggota meninggal dunia setiap hari. Walaupun kita tidak minta, tetapi ini adalah hakikatnya," katanya kepada Metro Ahad, baru-baru ini.

Mohamad Fuzi berkata, statistik itu turut membuktikan setiap saat pegawai dan anggota polis terdedah kepada pelbagai risiko dan ancaman ketika melaksanakan tugas murni mempertahankan negara.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Beza PT3 dengan PMR

Posted: 28 Jun 2014 10:40 AM PDT

Tidak dinafikan ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan kaedah Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang menggantikan Penilaian Mene­ngah Rendah (PMR). Ikuti temubual wartawan Harian Metro Rosyahaida Abdullah bersama Ketua Sektor Pengendalian Peperiksaan Mene­ngah Rendah dan Rendah Lembaga Peperiksaan (LP) Johara Abdul Wahab mengenai PT3.

S: Apakah yang dimaksudkan dengan PT3 dan bilakah ia mula diperkenalkan?

J: PT3 adalah komponen Pentaksiran Pusat (PP) di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ia adalah penambahbaikan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dilalui pelajar tingkatan tiga mulai Julai 2014. Pelajar tingkatan satu pada 2012 adalah kohort pertama melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan akan menempuhi PT3 pada tahun ini.

Foto

JOHARA Abdul Wahab

Foto

S: Apakah perbezaan antara PT3 dan PMR? Apakah bentuk penambahbaikan yang sudah dibuat?

J: Secara asasnya, skop pentaksiran PT3 masih sama seperti PMR di mana ia berbentuk pentaksiran sumatif iaitu mengukur penguasaan intelek pelajar secara menyeluruh di peringkat menengah rendah.

Namun, beberapa instrumen seperti ujian lisan misalnya, diperkukuhkan dalam PT3 untuk memastikan pelajar bukan saja menguasai mata pelajaran terbabit secara bertulis malah secara lisan. Pelbagai instrumen pentaksiran lain seperti kajian kes turut digunakan supaya pelajar benar-benar menguasai aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi mata pelajaran yang dipelajari.

S: Adakah PT3 turut menilai keupayaan murid dari segi jasmani, emosi dan rohani seperti di­nyatakan dalam PBS?

J: Melalui PBS, terdapat dua komponen dalam bidang akademik dan dua komponen dalam bidang bukan akademik. Dua komponen dalam bidang akademik ialah Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP) iaitu PT3. Namun begitu, setiap pelajar akan turut diukur dari sudut jasmani melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta dari segi emosi dan rohani melalui Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Pada akhir tingkatan tiga, pelajar akan diberi empat pelaporan iaitu PT3, PAJSK, PPsi dan Pentaksiran Sekolah (PS).

S: Apa pula PS dan mengapa perlunya PT3 sedangkan pelajar turut melalui PS pada akhir ting­katan tiga?

J: PS mempunyai dua bentuk pentaksiran formatif (mengesan perkembangan pembelajaran murid secara berterusan bagi tujuan membaiki kelemahannya membuat penambahbaikan de­ngan serta merta serta sumatif seperti ujian dan peperiksaan bagi mengesan pencapaian murid berdasarkan beberapa unit pembelajaran dan pemeringkatan gred murid. Makluman awal mengenai perkembangan dan pencapaian murid adalah penting bagi membolehkan pihak sekolah melaksanakan intervensi dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru dapat merancang program pemulihan yang diperlukan bagi membantu meningkatkan prestasi murid.

S: Apakah peranan LP dalam pelaksanaan PT3?

J: LP menyediakan soalan untuk digunakan guru dalam menjalankan PT3 di sekolah masing-masing. Bagi ujian bertulis misalnya, pihak LP bertanggungjawab menyediakan item, format instrumen, panduan pemasangan instrumen, panduan penskoran item, peraturan pentadbiran dan format pelaporan PT3.
Manakala, bagi ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kajian kes Sejarah dan Geografi pula, LP akan menyediakan instrumen, panduan penskoran dan peraturan pentadbiran. LP juga menyediakan format pelaporan PT3.

S: Bagaimana pula dengan tang­gungjawab pihak sekolah dalam pentaksiran ini?

J: Pihak sekolah bertanggung­jawab dalam melaksanakan beberapa perkara antaranya memasang instrumen ujian bertulis berdasarkan, Format Instrumen dan Panduan Pemasangan Instrumen, memeriksa skrip jawapan murid dan menyediakan pelaporan.

S: Sebelum ini PMR digunakan sebagai kayu ukur untuk menentukan kelayakan kemasukan pelajar lepasan tingkatan tiga ke sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan seumpamanya. Dengan PT3, bagaimana calon dinilai untuk kemasukan ke sekolah terbabit?

J: Di peringkat menengah rendah, murid akan menerima 4 pelaporan iaitu Pelaporan Pentaksiran Sekolah, Pelaporan PT3, Pelaporan PAJSK dan Pelaporan Pentaksiran Psikometrik.

Pelaporan-pelaporan ini memberi gambaran tentang perkemba­ngan , pencapaian dan potensi murid secara menyeluruh. Pelaporan ini boleh digunakan oleh pihak yang berkepentingan untuk membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan murid ke aliran pendidikan peringkat menengah atas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Rempuh polis

Posted: 28 Jun 2014 10:26 AM PDT

Subang Jaya: Tiga penjenayah 'lalok' selepas mengambil dadah bertindak agresif merempuh kereta peronda polis Ibu Pejabat Polis Subang Jaya berhampiran Batu 3, Subang Jaya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, suspek yang menaiki kereta Proton Perdana menggunakan cermin gelap dikesan anggota polis dalam keadaan mencurigakan berhampiran stesen kereta api di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis menjadi panik dan cuba melarikan diri.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit menjadi agresif merempuh bahagian pintu hadapan kereta peronda polis berkenaan.

"Susulan itu anggota polis terbabit menggunakan alat pembesar suara dalam usaha meminta suspek menyerah diri.

Bagaimanapun suspek terus memecut lari dari kawasan itu.

"Suspek dikesan melarikan diri menghala ke arah Seksyen 22, Shah Alam sebelum merempuh motosikal ketika melalui kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, anggota polis Subang Jaya dibantu Unit Peronda Polis Shah Alam memintas kereta suspek di kawasan Seksyen 20.

"Bagaimanapun suspek bertindak mengundurkan kenderaan dan merempuh bahagian pintu kanan kereta peronda polis sekali lagi.

"Suspek berusia 25 hingga 30-an akhirnya ditahan polis.


Siasatan mendapati kereta dinaiki suspek disahkan adalah kereta dicuri," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek didapati positif mengambil dadah hasil ujian dilakukan di IPD Subang Jaya.

"Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.


Dua suspek adalah warga tempatan dan seorang lagi adalah warga Thailand," katanya.

Menurutnya semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

No comments:

Post a Comment