Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jual anak RM700

Posted: 08 Jun 2014 01:35 PM PDT

Kerana terdesak, seorang ibu empat anak menjual bayi yang baru dilahirkannya dengan harga RM700.

Gauri Shah, 32, yang tinggal di kawasan setinggan berhampiran landasan kereta api di sebuah kampung di Jalpaiguri, Benggala Barat bersama-sama-sama tiga anak berusia tiga dan lapan tahun, ditinggalkan suaminya lapan bulan lalu ketika dia hamil anak keempat.

Dia menjual bayi lelaki itu kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat.

Gauri melahirkan bayi itu pada 25 Mei, dan menjual bayi yang masih tidak bernama itu tujuh hari kemudian kerana tidak mampu membesarkannya.

Bagaimanapun, berita mengenainya tersebar dan kerajaan segera bertindak menyelamatkan bayi itu.

Wanita itu enggan menerima semula anaknya menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menyerahkannya kepada rumah kebajikan buat sementara waktu.

Punca pendapatan keluarganya hanya datang daripada ibunya yang berusia 70 tahun, hasil meminta sedekah di jalanan.

Gauri sedikit pun tidak kesal dengan tindakannya sebaliknya berpendapat keputusan yang diambilnya tepat bagi menyelamatkan bayi itu dan tiga anak perempuannya yang lain.

"Suami saya meninggalkan saya dan tiga anak lapan bulan lalu.

Kami bergantung dengan hasil wang sedekah yang diperoleh ibu saya.

Foto
Foto


Saya terpaksa meminjam Rs100 (RM5) dari jiran untuk bersalin.


"Bagaimana saya harus membesarkan anak sedangkan saya tidak mempunyai wang?" katanya.

Menurut Gauri, sepasang suami isteri yang tidak mempunyai zuriat datang dan menawar mengambil anaknya dengan membayar 1,300 rupi (RM700).

"Saya menerima tawaran itu kerana tiada pilihan lain," katanya.

Dia hanya bersedia mengambil semula bayinya sekiranya kerajaan memberinya bantuan.

Pihak berkuasa tempatan memberinya tempoh 60 hari untuk berfikir sama ada menerima bayi berkenaan semula atau mereka akan menyerahkannya kepada keluarga angkat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Nak kebumi guna kabilah

Posted: 08 Jun 2014 10:28 AM PDT

Baha: Penduduk di sebuah kampung di Arab Saudi enggan membenarkan seorang bayi berusia 10 hari dikebumikan di tanah perkuburan kampung itu kerana perbezaan kabilah.

Menurut laporan media tempatan, ahli keluarga yang menguruskan jenazah itu membawanya ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Mereka bagaimanapun dihalang penduduk kampung berhampiran bandar Baha.

"Bapa kanak-kanak itu berkata, keluarganya terpaksa mengebumikan jenazah itu di tanah perkuburan lain yang terletak hampir 15 kilometer dari rumahnya.

"Penduduk kampung bertindak demikian kerana dia bukan kabilah mereka dan bukan penduduk asal kampung itu," lapor akhbar tempatan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Padah bimbang bayi lapar

Posted: 08 Jun 2014 10:27 AM PDT

London: Seorang wanita dari Ghana dituduh membunuh bayinya dengan memberinya makan berlebihan.

Mahkamah turut mengarahkan dia diusir dari United Kingdom.

Wanita itu dikatakan terlalu bimbang anaknya lapar bertindak menuangkan susu ke dalam mulut bayinya dengan mengguna jag.

Akibatnya, bayi malang itu mati kerana radang paru-paru.

Hukuman yang dikenakan terhadapnya bagaimanapun ditolak oleh mahkamah tinggi.

Dia sebaliknya dibenar untuk terus tinggal di England, berdasarkan Artikel 8 Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.

Wanita berusia 33 tahun itu hanya dihukum penjara tiga tahun tetapi dibenar tinggal bersama tiga anaknya yang lain di kediaman yang sama apabila bebas kelak.

Keputusan mahkamah tinggi mendapat kecaman masyarakat.Keputusan mahkamah tinggi itu bagaimanapun dikritik oleh orang ramai.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Terkejut lihat 'mayat' terkebil-kebil

Posted: 08 Jun 2014 10:27 AM PDT

Shanghai: Seorang pekerja rumah mayat di sini berkata dia menemui wanita yang masih hidup dalam laci penyejuk beku mayat setelah menyedari pintunya terbuka. Menurut laporan, wanita itu cuba membunuh diri .

Dia dikatakan pergi ke rumah mayat itu dan tidur dalam satu daripada peti penyejuk beku berkenaan.

Pekerja rumah mayat yang menyedari pintu laci mayat itu tidak ditutup, menjenguk ke dalam dan terkejut melihat mata wanita berusia 70 tahun itu terkebil-kebil.

Laporan sebuah stesen televisyen menyatakan, wanita itu mengalami kemurungan dan pernah cuba membunuh diri sebelum ini.

Sementara itu, dalam satu kes lain di Anhui, seorang budak berusia sebulan yang disahkan meninggal dunia, bangun dan menangis di sebuah rumah mayat sejurus sebelum dia dibakar.

Bayi itu dihantar ke sebuah hospital tempatan sebelum dia diisytihar mati akibat beberapa kecederaan dalaman.

Ekoran kejadian itu, pihak berkuasa bertindak membatalkan lesen doktor yang mengesahkan kematian bayi itu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Usaha satukan semula Prabowo, Titiek

Posted: 08 Jun 2014 10:25 AM PDT

Jakarta: Sayap wanita Parti Amanat Nasional (PAN), Perempuan Amanat Indonesia (PUAN) berhasrat untuk menyatukan semula calon presiden Prabowo Subianto dengan bekas isterinya Titiek Suharto yang sudah 16 tahun bercerai.

"Kami merancang menyatukan mereka semula.

Mungkin beginilah takdir pasangan itu.

Jika dulu mereka bercerai kerana situasi politik, kini kami berharap mereka bersatu semula, juga kerana situasi poltik," kata Ketua PUAN, Erwina.

Menurut laporan, anak bekas presiden Indonesia itu yang nama sebenarnya Siti Hediati Harijadi, tidak menolak atau menyatakan kesediaannya untuk dirujuk semula oleh Prabowo.

Ketika ditemui pada satu majlis di Jakarta Jumaat lalu, Titek yang disoal mengenai kemungkinan itu, tersenyum tersipu-sipu sambil berkata, dia enggan mengulas mengenainya.

Prabowo turut hadir di majlis berkenaan.

Semalam, kedua-duanya menghadiri acara memperingati ulang tahun kedua kematian Suharto di Karanganyar, Jawa Tengah.

Sebelum ini, ketika menghadiri acara di Muzium Suharto di Yogyakarta, Titiek memuji Prabowo dan menganggapnya calon yang sepatutnya dipilih rakyat Indonesia pada pilihan raya 9 Julai depan.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Ketua pemisah Papua mati ditembak

Posted: 08 Jun 2014 10:25 AM PDT

Puncak Jaya: Tentera Indonesia semalam menembak mati seorang anggota kanan Pertubuhan Papua Merdeka (OPM).

Menurut laporan, tembak-menembak berlaku antara tentera dengan kumpulan itu pada awal pagi.

"Tentera yang meronda di daerah Tingginambut, Puncak Jaya diserang sekumpulan aktivis OPM.

"Dalam kejadian itu, anggota tentera berjaya menembak mati Timikia Wonda, pemimpin kumpulan pemisah yang bergiat aktif di daerah terbabit," kata pegawai tentera Indonesia, M Fuad Basya.

Aktivis OPM terdiri daripada orang awam yang bergabung dengan Tentera Pembebasan Nasional Papua, kumpulan yang bertanggungjawab melakukan beberapa serangan terhadap tentera dan polis Indonesia di Papua dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Pakatan Prabowo-Hatta nafi dekati FPI

Posted: 08 Jun 2014 10:24 AM PDT

Jakarta: Pegawai pakatan yang menyokong Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa dalam pilihan raya Indonesia semalam menafikan mereka mendekati Front Pembebasan Islam (FPI) untuk mendapatkan sokongan kumpulan itu yang terkenal kerana tindakan tegas mereka.

"Bukan kami yang mencari sokongan FPI.

Mereka yang datang ke perhimpunan agama kami dan menawarkan sokongan kepada Prabowo-Hatta," kata jurucakap pasukan kempen Prabowo, Bara Hasibuan.

Pasangan Prabowo-Hatta sebelum ini diselar kerana menerima kehadiran FPI, kumpulan radikal yang terkenal kerana menyerang penganut agama minoriti serta menyerang premis jual arak.

Menurut Bara, pakatan yang diketuai Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) pimpinan Prabowo menolak sebarang keganasan atau sikap tidak tolak ansur dalam agama tetapi pada masa sama, mengalu-alukan sokongan kumpulan berkenaan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Ambil tindakan 'kempen hitam'

Posted: 08 Jun 2014 10:24 AM PDT

Calon presiden dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Joko Widodo semalam menggesa Badan Pengawas Pilihan Raya (BAWASLU) bertindak terhadap 'kempen hitam' dan pelanggaran peraturan pilihan raya menjelang hari mengundi pada 9 Julai depan.

Beliau merujuk kepada laporan Jumaat lalu berkait dengan dakwaan beberapa anggota tentera mengugut penduduk Cina Kristian di Jakarta Tengah supaya mengundi calon Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) yang juga bekas panglima pasukan komando negara itu, Prabowo Subianto.

Menurut undang-undang Indonesia, tentera tidak boleh mengundi dan mesti berkecuali.

"Saya menggesa BAWASLU mencari mereka yang terbabit dalam 'kempen hitam'," kata Jokowi pada sidang akhbar di pusat media Bawaslu, merujuk kepada perkataan tempatan bagi taktik politik kotor.

Jokowi turut menggesa badan itu mengesan sumber risalah yang diedarkan dengan mendakwa beliau penganut Kristian.

Risalah itu diedar di kebanyakan pesantren di Indonesia.

Jokowi berulang kali menegaskan dia Islam.

Sementara itu, peguam Teten Masduki, anggota pasukan kempen Jokowi berkata, pembabitan tentera dalam kempen pilihan raya itu semakin meluas, menjangkau luar Jakarta.

"Kita perlu menghargai hak rakyat untuk mengundi.

BAWASLU perlu bertindak memastikan tentera kekal tidak berkecuali," katanya.

Sehubungan itu, BAWASLU berkata, ia akan memanggil pegawai kanan tentera untuk berbincang mengenai kejadian berkenaan hari ini.

Berdasarkan kajian Politicawave.com baru-baru ini, Jokowi dan calon naib presidennya, Jusuf Kalla, menjadi sasaran 'kempen hitam' lebih teruk berbanding Prabowo-Hatta.

"Pasangan Jokowi-Jusuf paling banyak menjadi sasaran kempen hitam.

Kempen terhadap mereka membabitkan bangsa, etnik dan agama," kata pengasas badan penyelidik itu, Jose Rizal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

Pemimpin baju merah setuju berunding

Posted: 08 Jun 2014 10:23 AM PDT

Bangkok: Tentera Thai semalam berkata, beberapa aktivis baju merah bersetuju untuk berunding dengan Majlis Kebangsaan Bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara itu.

Pembantu Ketua Turus Tentera yang juga Ketua Pusat Perundingan Pembaharuan (RCR) yang baru dibentuk oleh NCPO, Lt Jeneral Kampanart Ruddith berkata, perkembangan itu akan memudahkan tugasnya melaksanakan proses keamanan tiga peringkat.

"Semua pemimpin baju merah yang saya temui sebelum mereka dibebaskan bersetuju menyertai proses berkenaan," katanya.

NCPO memanggil sejumlah besar pemimpin baju merah selepas tentera merampas kuasa pada 22 Mei lalu sebelum menahan mereka selama beberapa hari di bawah undang-undang tentera.

Mereka yang dibebaskan dilarang terbabit dalam aktiviti antirampasan kuasa.

Mengkritik junta juga diharamkan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

6,500 tentera, polis dikerah kawal Bangkok

Posted: 08 Jun 2014 10:23 AM PDT

Bangkok: Ribuan tentera dan polis dikerahkan berkawal di bandar raya ini apabila penunjuk perasaan antirampasan kuasa berikrar mengadakan protes di beberapa kawasan bagi menentang larangan berhimpun yang dikuatkuasakan tentera.

Protes kecil-kecilan kerap diadakan sejak rampasan kuasa 22 Mei lalu walaupun junta tentera melarang sebarang bentuk tunjuk perasaan.

Majoriti pasukan keselamatan ditempatkan di ibu negara Thailand yang menyaksikan penunjuk perasaan semakin 'kreatif' untuk mengelak daripada dikesan dan ditahan, termasuk mengguna simbol tiga jari seperti yang terdapat dalam filem 'The Hunger Games.' Simbol itu menjadi lambang tidak rasmi gerakan menentang rejim tentera.

Timbalan Ketua Polis Negara, Somyot Poompanmoung berkata pasukan keselamatan dikerah ke lima lokasi tunjuk perasaan, termasuk berhampiran Istana Besar dan lapangan terbang utama Bangkok bagi mengawal keadaan.

"Seramai 6,500 anggota tentera dan polis ditempatkan di beberapa kawasan utama tunjuk perasaan diadakan," katanya Pasukannya setakat ini menggunakan pendekatan lembut dalam menangani protes yang dijalankan hampir setiap hari serta melakukan penangkapan tanpa menggunakan sebarang kekerasan.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/09

No comments:

Post a Comment