Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gelaran kian hampir

Posted: 20 Jun 2014 11:16 AM PDT

Johor Bahru: Kejuaraan Liga Super semakin menggamit Johor Darul Ta'zim (Johor DT) yang terus kekal pendahulu liga selepas menewaskan Kelantan 3-0 pada aksi di Stadium Larkin, malam tadi.

Jaringan Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Nazrin Nawi dan Luciano Figueroa memastikan skuad bergelar Harimau Selatan itu terus kebal di laman sendiri apabila mengekalkan rekod bersih sepanjang saingan liga. Mereka akan berkunjung ke Sarawak untuk aksi terakhir liga, Rabu ini.

Lebih manis, kemenangan itu juga membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak menjarakkan jurang mata dengan pencabar terdekat, Selangor yang berdepan Sarawak, malam ini di samping mengharapkan pasukan bimbingan Robert Alberts itu mampu menjinakkan Gergasi Merah.

Aksi awal babak pertama menyaksikan Johor DT tampak kurang konsisten selepas masih tercari-cari rentak untuk mengancam kubu The Red Warriors yang ampuh menghalang gerakan tuan rumah sejak dari kawasan tengah lagi.

Foto

AMIRULHADI (tengah) jaring gol pembukaan Johor DT.

Foto

JOHOR DT kukuh kedudukan di persada liga selepas tumpaskan Kelantan.


Hanya selepas 20 minit baru ada tanda-tanda kesungguhan barisan tuan rumah untuk memburu gol apabila sepakan lintang Mohd Amirulhadi ditanduk kemas Figueroa namun penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sempat melayangkan badan untuk menepis keluar.


Apapun Khairul Fahmi yang memakai lilitan kapten kerana ketiadaan Mohd Badhri Radzi akhirnya tewas pada minit ke-27 selepas bola lorongan Safiq Rahim disambar Amirulhadi yang melepasi perangkap ofsaid anak didik George Boateng untuk merembat leret bagi memastikan gol pertama.

Tanpa berlengah, sebaik aksi babak kedua bersambung, Johor DT bertindak menggandakan asakan dan pada minit ke-53, gol kedua menjelma buat tuan rumah selepas sepakan lintang Amirulhadi cuba disudahkan Figueroa namun kegagalan benteng pelawat menampan bola rembatan menyaksikan Mohd Nazrin pantas untuk menolak bola ke gawang.

Mohd Nazin kemudian menjadi pencetus gerakan untuk Figueroa mencipta gol ke-11 peribadinya pada minit ke-87 apabila dia mudah menewaskan Khairul Fahmi untuk memastikan kemenangan bergaya Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

Perlawanan terakhir jadi penentu

Posted: 20 Jun 2014 11:12 AM PDT

Ipoh: Berdasarkan suasana semasa pengurus Perak Datuk Azhar Ahmad yakin penentuan semua kedudukan Liga Super akan hanya dapat dilakukan pada perlawanan terakhir pada Selasa.

Keyakinan Azhar itu berdasarkan pemerhatian terhadap keputusan dua perlawanan terakhir liga elit setakat ini yang menyaksikan pelbagai kejutan berlaku.

"Siapa sangka ATM boleh kalahkan Johor DT (Darul Ta'zim), Selangor tumpas dua perlawanan berturut-turut dan PKNS mengatasi LionsXII "Semua ini membuatkan saya yakin tiada pasukan yang sudah selamat termasuk yang mendahului dan tercorot.

"Apa saja boleh berlaku dalam baki dua perlawanan ini.

Tengoklah nanti," katanya.

Azhar juga berkata, suara hatinya kuat mengatakan Perak boleh menang ke atas LionsXII di Stadium Jalan Besar malam ini.

"Saya yakin Perak boleh menang.

Perasaan itu dapat dirasakan berbanding ketika kami hendak bertemu T-Team sebelum ini," katanya.

Beliau yakin pemain The Bos Gaurus akan berusaha sedaya upaya untuk mengutip mata penuh malam ini dan juga ketika bertemu Pahang di Ipoh, Selasa nanti.

Walaupun bersikap optimistik, pengurus pasukan Yob itu juga sudah bersedia menerima hakikat Perak mungkin tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

"Saya reda dengan apa yang berlaku.


Tidak ada apa yang hendak dimalukan.


Jika sudah suratan takdir Perak ke Liga Perdana maka kita kena terima kenyataan itu.

"Semua pasukan sudah pernah beraksi dalam Liga Perdana kecuali Perak selama ini.

Jadi mungkin kali ini giliran Perak pula turun.

"Saya yakin ada hikmah di sebaliknya, Apa yang pasti saya bertekad mengembalikan maruah Perak pada musim akan datang dan akan usaha ke arah itu bermula dari sekarang," katanya.

Azhar berkata usaha membentuk pasukan baru akan dimulakan lebih awal dan beliau sendiri akan keluar mencari pemain import dan tidak akan terlalu bergantung dengan ejen.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

Guna keramat Shah Alam

Posted: 20 Jun 2014 11:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Penyerang Selangor, Abdul Hadi Yahya menggesa rakan sepasukan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri dalam baki dua perlawanan yang akan menentukan mahkota Liga Super.

Selangor yang bersaing sengit dengan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) akan turun menentang Sarawak di Stadium Shah Alam malam ini dan hadir menentang pasukan yang di ambang penyingkiran, PKNS FC pada Rabu di stadium sama.

"Secara kebetulan dua aksi terakhir di Stadium Shah Alam.

Saya harap kami mampu memanfaatkan peluang ini bagi meraih mata maksimum dan menjulang piala di hadapan penyokong sendiri," kata bekas penjaring terbanyak Liga Super 2011 itu.

Selepas kembali di Stadium Shah Alam pada Mac lalu, Merah Kuning hanya tewas dua daripada lapan perlawanan di depan penyokong sendiri.

Pemain berusia 29 tahun itu pastinya tidak mahu terlepas kejuaraan pertama bersama skuad senior Selangor selepas meraih kegemilangan bersama pasukan lain.

Selangor dijangka kembali mempertaruhkan gandingan Abdul Hadi bersama Paulo Rangel untuk menggegar gawang Sarawak selepas pemain import dari Brazil itu menjalani penggantungan dua perlawanan kerana kad merah namun tidak dapat menggunakan khidmat Mohd Nazmi Faiz Mansor dan A Thamil Arasu (kerana penggantungan kad kuning).

"Kehadiran Rangel menambah keyakinan kami untuk mengharungi baki dua cabaran kerana semua pihak sedar kemampuannya meledak jaringan bersama Selangor musim ini," katanya.

Abdul Hadi bagaimanapun mengingatkan rakan sepasukan tidak memandang rendah kemampuan Sarawak kendalian Robert Alberts yang mempamerkan kebangkitan sejak kebelakangan ini terutamanya kemampuan mengikat juara Piala FA, Pahang 1-1 pada Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

Usah pandang rendah PKNS

Posted: 20 Jun 2014 11:10 AM PDT

Kuantan: Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan menuntut pemainnya tidak lagi melepaskan tiga mata berharga apabila melayan PKNS FC di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, bukan saja memburu kemenangan, malah matlamat utama untuk memastikan keputusan terbaik dicapai dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurutnya, biarpun peluang menjulang Piala Liga Super begitu tipis, pemainnya diharap memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri dengan meraih tiga mata berharga.

"Saya akui peluang Pahang menggenggam Piala Liga Super tipis, tapi apa saja boleh berlaku.

Pemain seharusnya beraksi baik apabila bertemu PKNS nanti.

"Kemenangan akan membantu kami mencatat kedudukan terbaik kerana semua pasukan sedang berusaha memperbaiki carta masing-masing," katanya, semalam.

Ditanya mengenai prestasi pemain, Zainal Abidin mengesahkan tidak menghadapi masalah dari segi penggantungan dan kecederaan kerana semua pemain boleh beraksi.

Menurutnya, komitmen pemain juga tinggi, sekali gus berusaha untuk memanfaatkan peluang mencatat kemenangan ke atas PKNS.

"Sebab itu saya menuntut semua pemain mempamerkan aksi terbaik dalam baki dua perlawanan menentang PKNS dan Perak (Rabu) yang bakal menjadi penentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

PDRM julang Liga Perdana

Posted: 20 Jun 2014 11:10 AM PDT

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan penantian mereka untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-0 di Stadium Tuanku Abd Rahman Paroi malam tadi.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu nyata tidak mahu menunggu sehingga perlawanan terakhir liga menentang Kedah pada Selasa ini untuk mengesahkan kejuaraan musim ini apabila tiga mata diraih di gelanggang lawan itu memadai untuk menghalang pasukan di tangga kedua Felda United memintas mereka.

Skuad The Cops kini mengumpul 52 mata, lima mata meninggalkan FELDA United yang berkenduri gol dengan kemenangan 8-0 ke atas UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Trofi Liga Perdana itu menjadi pelengkap kepada kejayaan Dollah yang terus mempamerkan sentuhan magis bersama kelab baru PDRM untuk beraksi dalam Liga Super musim depan manakala FELDA United, naib juara Piala FA tidak perlu kecewa kerana tiket kedua ke liga elit itu kini berada dalam jangkauan mereka.

PDRM mempamerkan karektor juara apabila mempamerkan kebangkitan di Paroi selepas rekod bersih mereka dalam 19 perlawanan lebur di tangan FELDA United, 0-1, Isnin lalu.

Anak buah Dollah itu tidak menunggu lama apabila meraih gol pertama menerusi penyerang kebangsaan Bobby Gonzales pada minit ke-7 sebelum Mohd Fauzi Majid menyumbat gol kedua penghujung babak pertama.

Pasukan pelawat kemudian menambah dua lagi jaringan pada separuh masa kedua, kali ini menerusi ayam tambatan Ali Ashfaq pada minit ke-49 dan Mohd Shahril Izwan Abdullah (ke-70) untuk memastikan kemenangan 4-0.

Sementara itu, kemenangan besar FELDA United tidak cukup mengancam kedudukan PDRM namun anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu boleh berbangga apabila mereka akan mengiringi pasukan juara Liga Perdana itu bersaing dengan pasukan elit tempatan musim depan.

Gandingan penyerang import dan tempatan Edward Wilson Junior dan Indra Putra Mahayuddin betul-betul menjadi apabila kedua-dua pemain itu menyumbat hatrik untuk membelasah UiTM 8-0.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

Tinggal Chong Wei

Posted: 20 Jun 2014 11:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Skrip sama berulang di Siri Super Premier Terbuka Indonesia 2014 apabila hanya Datuk Lee Chong Wei (gambar) yang meneruskan kemaraan ke separuh akhir hari ini.

Chong Wei selaku pilihan utama, menewaskan pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus 21-18, 21-11 dalam tempoh 40 minit.

Menanti pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2012 London itu di separuh akhir di Istora Senayan, pemain Jepun, Kenichi Tago yang menumpaskan Hu Yun dari Hong Kong, 21-18, 21-11.

"Chong Wei harus fokus walaupun sudah mara sehingga ke separuh akhir kerana lawannya tidak kira siapa sudah tentu menanti untuk melakukan kejutan," kata jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock semalam.

Foto


Pemain nombor satu dunia itu juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan tidak boleh terlalu yakin.


Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki, pilihan kedua dari China, Chen Long akan menentang Jan O Jorgensen (Denmark).

Chen Long sebelum itu mengenepikan rakan senegara, Chen Yuekun 21-18, 21-16, manakala Jorgensen yang juga pilihan ketiga mengalahkan Son Wan Ho dari Korea Selatan, 21-17, 21-14.

Hasrat melihat gandingan beregu lelaki, Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong mengiringi Chong Wei ke separuh akhir tidak kesampaian apabila kecundang kepada pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong 21-15, 6-21, 19-21.

"Kami kurang bernasib baik terutama pada set penentuan apabila raket saya patah, seterusnya menjejaskan rentak untuk menang permainan itu dan mara ke separuh akhir," kata Wee Kiong.

Kekalahan kepada pasangan berpengalaman Korea Selatan itu harus dijadikan iktibar buat Boon Heong-Wee Kiong, malah persembahan mereka juga harus dipuji kerana berjaya memberi tentangan sehingga mengheret ke rubber set.

"Saya rasa persembahan kami amat baik kerana ini kali pertama kami digandingkan dan bermain di kejohanan besar," katanya yang sebelum ini bergandingan dengan Hoon Thien How.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

Cari ilmu di Eropah

Posted: 20 Jun 2014 11:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurang permainan ketara antara skuad hoki kebangsaan berbanding pasukan gergasi lain dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia di The Hague, Belanda baru-baru ini, perlu diatasi segera jika mahu melihat barisan negara menyerlah pada edisi akan datang.

Justeru, ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mencadangkan barisan pemain sedia ada dibawa berkelana di bumi Eropah dengan menjadikan Belanda sebagai kem latihan skuad negara.

Menurut jurulatih terbaik kebangsaan 2013 itu, cadangan dilontarkan itu berdasarkan rumusan dan kajiannya sepanjang saingan di Piala Dunia lalu yang merumuskan kualiti barisan pemain negara jauh ketinggalan berbanding pasukan lain.

"Sudah tiba masanya pasukan kita berlatih dan bermain di sana (Eropah) sama seperti dilakukan Nicol David di Belanda, Harimau Muda di Slovakia dan skuad basikal negara di Australia jika mahu melihat pasukan hoki kita menggegar di India yang menganjurkan Piala Dunia 2018 nanti.

Foto

PEMAIN India, Rupinder Singh (kanan) menyekat pemain negara, Faizal Saari pada perlawanan Piala Dunia.


"Sebaik saja pulang dari Belanda, saya ada menyuarakan cadangan itu kepada pihak pengurusan MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) agar membuka pusat latihan skuad negara di Eropah. Ia bagus demi pembangunan jangka panjang buat pasukan kita.


"Lihat saja contoh pasukan Argentina, mereka berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga dunia selepas menempatkan pemain mereka berlatih di Eropah sejak 10 tahun lalu dan hari ini mereka antara pasukan terkuat dunia," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Jelas Dhaarma, jika cadangannya itu mendapat perhatian serius MHC dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk direalisasikan, destinasi paling tepat buat pemain kebangsaan menimba ilmu adalah Liga Hoki Belanda.

"Liga hoki di Belanda dianggap sebagai terbaik dunia. Ramai pemain terbaik dunia beraksi dalam liga itu dan ia bagus untuk pendedahan pemain negara.

"Lagipun sekarang, beberapa pemain kita diintai kelab dari sana. Perkembangan positif ini amat bagus tatkala kami (MHC) berusaha memantapkan pasukan bagi menghadapi Sukan Asia Incheon September ini dengan menyasar pingat emas buat slot automatik ke Sukan Olimpik Brazil 2016," katanya.

Pada masa ini dua kelab Jerman, Schwarz-Weifl Neuss dan Kelab Hoki Berlin serta satu kelab di Belanda dilapor berminat mendapatkan tonggak pertahanan negara, Muhammad Razie Abd Rahim serta pasangan adik beradik, Faizal Sa'ari dan Fitri Sa'ari.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

Misi buru hatrik

Posted: 20 Jun 2014 11:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Mohd Zaqhwan Zaidi mahu terus mendominasi perlumbaan CP130 dengan meraih gelaran hatrik pada saingan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Temerloh, Pahang, minggu ini.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu meraih tiga kemenangan termasuk dua berturut-turut di Terengganu (Pusingan 3) dan Melaka (Pusingan 4) dan mensasarkan gelaran juara buat kali ketiga berturut-turut minggu ini bagi terus menjarakkan diri daripada pelumba rookie, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha CKJ) dan juara dua kali CP130/Expert, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) sebelum kejuaraan berhenti rehat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

Keyakinan Zaqhwan memburu hatrik meningkat berikutan kejayaan memenangi gelaran SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Indonesia, baru-baru ini.

Namun Zaqhwan tidak mahu terlalu yakin dan tetap waspada ancaman pelumba lain khususnya Afif dan Norizman yang dilihat turut mempunyai kelebihan di litar sepanjang 1.082 kilometer itu.

"Kemenangan di Indonesia masih dirasai.

Ia kemenangan terbesar karier namun saya perlu memberi tumpuan terhadap Cub Prix minggu ini.

Saya sudah menang tiga perlumbaan setakat ini termasuk dua berturut-turut.

Foto

ZAQHWAN (tengah) menjulang trofi kejuaraan pada pusingan lalu.


Sasaran saya meraih gelaran hatrik.

"Saingan di sini agak mencabar.


Bukan saja berdepan cuaca panas, malah pasukan lain juga semakin menunjukkan peningkatan terutama dari segi jentera.

"Sukar menjangkakan apa yang akan berlaku.

Kami tidak mahu terlalu memberikan tekanan untuk menang, sebaliknya melihat terlebih dulu situasi apabila sesi latihan bermula nanti.

Perlumbaan minggu ini pasti menarik dan mencabar," kata Zaqhwan.

Berikutan tiga kemenangan, Zaqhwan kini berada di tangga teratas dengan 75 mata, 10 mendahului Afif manakala Norizman ketiga dengan 53.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

Amaran Rosberg

Posted: 20 Jun 2014 11:03 AM PDT

Spielberg, Austria: Pendahulu kejuaraan Formula Satu, Nico Rosberg membuktikan dia masih hebat apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas pertama semalam menjelang Grand Prix Austria, esok.

Rosberg melengkapkan catatan sepusingan di litar Red Bull Ring sejauh 4.3 kilometer itu dengan masa satu minit 11.295 saat, 0.140 saat lebih pantas berbanding rakan sepasukan Mercedes, Lewis Hamilton dan 0.311 saat di depan juara dua kali, Fernando Alonso.

Hamilton pada awalnya merakam masa terpantas namun Rosberg pantas mempamerkan dia selesa dengan litar bersejarah Spielberg, menamatkan percubaan selepas hanya 19 pusingan manakala pemandu Britain itu melengkapkan 32 pusingan.

Sekalipun berlumba di laman sendiri, juara dunia empat kali dari Red Bull, Sabastian Vettel dan juara Grand Prix Kanada, Daniel Ricciardo bergelut di litar dalam cuaca hujan renyai.

Ricciardo mencatat masa ke-13 terpantas, 1.275 saat di belakang Rosberg, manakala Vettel berpuas hati di tangga ke-15 dengan perbezaan 1.693s.

Latihan bebas semalam adalah peluang pertama buat pemandu untuk memahami litar itu dan mengumpul maklumat menjelang perlumbaan esok.

Kali terakhir Spielberg menjadi tuan rumah Formula Satu adalah pada 2003.

Namun pemandu menegaskan kekurangan pengetahuan mengenai litar itu tidak mendatangkan masalah.

Selekoh terakhir menuju ke garisan penamat nyata amat mencabar dengan Vettel berpusing seketika selepas terbabas di selekoh itu manakala Ricciardo turut terbabas ke tepi litar.

Bagaimanapun latihan pertama itu nyata mengecewakan buat pemandu Caterham, Marcus Ericsson dan Adrian Sutil dari Sauber, yang terpaksa menamatkan sesi lebih awal kerana masalah teknikal.- AFP

Foto

ROSBERG berpeluang cerah tebus kegagalan juarai GP Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

Padam sejarah hitam

Posted: 20 Jun 2014 11:00 AM PDT

Sao Paulo: Penyerang kontroversi, Luis Suarez gembira dapat membuktikan kemampuan dengan menjaringkan dua gol untuk membantu Uruguay menang 2-1 ke atas England dan dia tetap meluangkan sedikit masa untuk memujuk rakan sepasukan di Liverpool, Steven Gerrard.

Penyerang berusia 27 tahun itu sentiasa mewarnai tajuk akhbar dengan kesalahan yang dilakukannya sejak menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris itu pada 2011.

Dia memulakan aksi musim lalu dengan melengkapkan tempoh penggantungan 10 perlawanan kerana menggigit pemain Chelsea, Branislav Ivanovic, hukuman yang diterima setahun selepas dia digantung lapan perlawanan kerana menghambur kata berbaur perkauman terhadap pemain Manchester United, Patrice Evra, Malah, sebelum menyertai Liverpool, Suarez dikenali sebagai 'kanibal Ajax' apabila menggigit bahu pemain lawan dan digantung tujuh perlawanan.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini.

Saya memang sentiasa mahu membantu pasukan, mahu mendapatkan tiga mata penting tetapi ini bukan perjuangan terakhir.

"Ini adalah impian kerana kami sudah menang dan bagaimana kami memperolehnya, makna kemenangan ini kepada saya serta apa saja yang saya perkatakan sebelum ini," kata Suarez.

Suarez, kembali beraksi selepas empat minggu menjalani pembedahan lutut, meletakkan Uruguay di depan pada minit ke-30 melalui tandukan yang menghasilkan gol sebelum Wayne Rooney menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, pemain Uruguay itu mengesahkan kemenangan apabila mengutip hantaran jauh dan merembat masuk hasil daripada tandukan ke belakang Gerrard.

Suarez yang terlepas untuk beraksi dalam perlawanan menentang Costa Rica berkata, dia gembira dapat membuktikan tanggapan dia mampu beraksi di peringkat dunia walaupun ada yang mempersoalkan tahap kecergasannya.

Ditanya apakah yang dikatakannya kepada Gerrard selepas perlawanan, Suarez berkata, dia menasihatkan pemain itu agar terus berusaha dan melupakan perlawanan itu.-AFP

Foto

SUAREZ punah England.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/21

No comments:

Post a Comment