Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Stor tilam UIAM berapi

Posted: 26 Jun 2014 11:38 AM PDT

Petaling Jaya: "Saya sangka latihan kebakaran sebaik terdengar bunyi loceng amaran. Namun kami terkejut apabila asap mula memenuhi bilik asrama," kata penuntut kejuruteraan, Zairi Ali, 19, yang terselamat selepas bangunan asrama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Seksyen 17 di sini, terbakar petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, dia dan 10 rakan lain yang berada di tingkat tiga bangunan lima tingkat itu bergegas melarikan selepas menyedari kebakaran berlaku di tingkat bawah asrama didiami.

"Saya sempat lihat api mula merebak dan membakar tingkat satu bangunan asrama. Kebakaran berlaku di ruang stor yang dipenuhi tilam dan perabot lama.

"Mujur kami sempat melarikan diri dan tidak terperangkap dalam kebakaran mengejut itu," katanya ketika ditemui wartawan.

Foto

TINGKAT satu bangunan asrama UIAM di Petaling Jaya yang terbakar, semalam.

Foto

KEADAAN stor yang menempatkan tilam dan perabot lama.


Menurutnya, 20 rakan lain yang menghuni asrama itu turut terselamat dalam kejadian kebakaran itu.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.02 petang dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan Seksyen 7 tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran berlaku di tingkat satu bangunan lima tingkat apabila tilam yang berada di ruang berkenaan terbakar.

"Api berjaya dipadamkan pada jam 3.46 petang. Tiada mangsa tercedera dalam kejadian itu.

"Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Jengah sindiket

Posted: 26 Jun 2014 11:30 AM PDT

Pelabuhan Klang: Tindakan sindiket penyeludupan diesel subsidi berselindung di sebalik stor kitar semula gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semalam.

Dalam serbuan sempena Ops Titik di kawasan Perindustrian Bagan Hailam jam 3 pagi semalam itu, sebanyak 56,000 liter diesel bernilai lebih RM500,000 dirampas manakala tujuh lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata, serbuan dijalankan KPDNKK Putrajaya dan Selangor dengan dibantu Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan itu daripada orang awam.

"Bertindak daripada maklumat terbabit, kita telah menjalankan risikan selama tiga hari sebelum membuat serbuan awal pagi tadi (semalam) dengan kekuatan 18 anggota diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasa Megat Zulkifli Megat Abdul Halim.

Foto

BOT tunda ditahan ketika penyeludup sibuk pam diesel.


"Ketika serbuan, semua suspek sedang sibuk memindahkan diesel ke bot tunda yang berlabuh di bahagian belakang pusat kitar semula berkenaan untuk dibawa ke satu destinasi yang masih belum dikenal pasti," katanya.


Mohd Roslan berkata, sindiket terbabit dipercayai menggunakan lori dan juga van yang telah diubah suai untuk membeli diesel subsidi di stesen minyak sekitar Lembah Klang sebelum dikumpulkan di pusat kitar semula itu.

Katanya, selain merampas diesel, pihaknya turut merampas empat tangki, 30 tong fiber dan tong besi yang digunakan sindiket berkenaan.

"Sehingga semalam (kelmarin), KPDNKK telah merekodkan sebanyak 194 kes diseluruh negara dengan nilai rampasan sebanyak RM10.6 juta manakala di Selangor sahaja merekodkan 18 kes dengan nilai rampasan RM1.4 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Buru dua 'panglima'

Posted: 26 Jun 2014 11:28 AM PDT

Kota Kinabalu: Dua rakyat tempatan berstatus 'panglima' diburu pihak keselamatan susulan tertangkapnya seorang suspek pengganas Sulu berpangkat 'panglima' dan lima yang lain dalam operasi khas di Kunak, kelmarin.

Harian Metro difahamkan kedua-dua rakyat tempatan itu dipercayai masih berada di negeri ini dan usaha menjejaki mereka dilakukan menerusi operasi bersepadu oleh pasukan perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut sumber, kedua-dua individu terbabit dikatakan tidak berada di lokasi ketika sepasukan Cawangan Khas Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melakukan serbuan di Kunak itu.

"Kumpulan terbaru ini didapati cuba menyebarkan kembali tuntutan terhadap negeri ini selain mahu mencetuskan kekacauan," katanya.


Beliau berkata, modus operandi digunakan hampir menyamai kejadian pencerobohan pengganas Kiram di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Februari, tahun lalu.


Dalam serbuan kelmarin, enam individu, termasuk pasangan suami isteri dan seorang anggota polis berpangkat koperal yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas Sulu ditahan antara jam 5.30 hingga 6 pagi di Kunak.

Serbuan itu turut menemui kad keahlian dan sijil pelantikan Panglima Kesultanan Sulu serta dokumen berkaitan Kesultanan Sulu selain beberapa senjata tajam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Jumlah sebenar lebih ramai

Posted: 26 Jun 2014 11:27 AM PDT

Petaling Jaya: Polis kini sedang menjejaki lebih ramai anggota militan susulan penahanan enam individu termasuk seorang wanita disyaki pengganas dalam operasi khas di sekitar daerah Kunak, Sabah kelmarin.

Senarai mereka disyaki itu lebih ramai daripada diumumkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina untuk menjejaki mereka.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada tokoh tertentu di Selatan Filipina berusaha mengaktifkan kembali kumpulan pengganas Sulu termasuk cuba meraih sokongan penduduk tempatan.

Katanya, kerjasama dengan pihak berkuasa Filipina itu juga untuk memastikan tiada kebangkitan semula kumpulan pengganas terbabit.

"Penahanan ini bukan langkah jangka pendek dan pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan tiada kebangkitan semula.

"Jika pembendungan ini tidak dilakukan mereka akan menggunakan pendekatan tertentu termasuk menculik mangsa untuk membiayai aktiviti kumpulan mereka dan ia memberi kesan tidak baik kepada negara," katanya mengulas mengenai penahanan enam individu berkenaan kelmarin.

Beliau sebelum itu ditemui selepas Majlis Pelancaran I-Kad untuk pelajar antarabangsa yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, semalam.

Kelmarin, polis Cawangan Khas Bukit Aman dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan Abu Bakar Jayari@Alex, 60; anak Abu Bakar, Ilyasa Abu Bakar@Maharaja Omar; Kassim Ibrahim (disyaki pendatang tanpa izin) bersama isterinya, Sitti Nukah Abdul Lama, 56; Industan@Md Bustan Lumatang@Hindustan, 55, serta Koperal Zainuddin Mislani.

Mereka yang terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang dipercayai dari Filipina itu ditahan selepas didapati mempunyai kaitan dengan Kesultanan Sulu yang membuat tuntutan terhadap Sabah.

Antara dokumen dirampas daripada mereka, sijil pelantikan 'panglima' kesultanan Sulu, kad keanggotaan kumpulan pengganas, beberapa dokumen berkaitan kesultanan Sulu serta senjata tajam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Kemeriahan Sorak Goool! Ahad ini

Posted: 26 Jun 2014 11:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Bagi memeriah dan menghangatkan suasana perlawanan Piala dunia 2014 yang sedang berlangsung di Brazil kini, Harian Metro akan melancarkan Sorak Goool! Harian Metro Piala Dunia 2014 Brazil di sini, Ahad ini.

Acara ini adalah yang kedua pernah dianjurkan dan kali pertama adalah pada tahun 2012 bersempena UEFA Euro.

Sorak Goool! Harian Metro ini bertujuan memberi peluang kepada pembaca Harian Metro turut merasai demam Piala Dunia dengan menonton perlawanan bola sepak berprestij itu di beberapa restoran terpilih di Ibu kota, Pulau Pinang, Melaka dan Johor.

Program ini mendapat tajaan utama daripada Milo sementara Umobile bertindak sebagai rakan penaja.

Untuk memeriahkan suasana, beberapa artis terkenal tanah air iaitu Tomok, Black, Neelofa, Hanez Suraya, Lisa Surihani, Yusry KRU dan Aaron Aziz juga akan hadir di restoran terpilih untuk menonton perlawanan bersama peminat masing-masing.

Di setiap lokasi itu akan diadakan pelbagai aktiviti menarik bermula jam 10 malam hingga perlawanan bermula.

Gerai jualan juga disediakan.

Orang ramai yang menyertai pelbagai acara disediakan itu juga berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditawarkan seperti hamper dari Avon, Loreal, baucar Courts, barangan elektrik dan makan malam di hotel terkemuka di ibu kota.

Bagi memulakan siri jelajah Sorak Goool!, Restoran NZ Curry House di Wangsa Maju menjadi lokasi pertama yang bakal menampilkan dua artis lelaki terkenal, Tomok dan Black, Ahad ini.

Mereka hadir untuk menyaksikan perlawanan antara Belanda dan Mexico yang bermula jam 12 tengah malam.

Peminat juga boleh beramah mesra dengan Tomok dan Black serta berselfie bersama.

Keesokan harinya, Restoran Habeeb di Melaka menjadi lokasi kedua.


Tomok dan Black sekali lagi akan turun padang bagi menyaksikan perlawanan antara Perancis menentang Nigeria.

Dua artis program realiti berkenaan sekali lagi akan turut bersama-sama peminat di Johor iaitu di Restoran Singgah Selalu, Johor Bahru pada 1 Julai ini bagi menyaksikan pasukan Argentina menentang Switzerland.

Pada 4 Julai pula, istimewa bagi orang Pulau Pinang, dua artis wanita Neelofa dan Hanez Suraya akan menemani peminat di Restoran Cafe Route 69.

Sorak Goool! kemudian bergerak ke Restoran Hakim, Shah Alam bersama-sama pasangan suami isteri yang juga pengarah dan pelakon popular, Yusry KRU dan Lisa Surihani pada 5 Julai.

Aaron Aziz pula adalah artis jemputan terakhir di Restoran D'Stall, Kelana Jaya untuk bersorak serta menyaksikan perlawanan akhir pada 13 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

No comments:

Post a Comment