Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Taliban balas dendam

Posted: 09 Jun 2014 10:38 AM PDT

Anggota Taliban yang menyamar pasukan keselamatan menyerang lapangan terbang paling sibuk di Pakistan lewat kelmarin, menyebabkan 28 orang terbunuh dalam pertempuran sepanjang malam.

Serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi, hab perdagangan utama negara itu yang mempunyai 18 juta penduduk, sekali gus memusnahkan prospek rundingan damai antara kumpulan itu dengan kerajaan Perdana Menteri Nawaz Sharif.

Nawaz menjadi perdana menteri tahun lalu dengan janji untuk mengakhiri keganasan menerusi rundingan.

Ia juga memberi tamparan hebat kepada usaha Nawaz untuk menarik lebih ramai pelabur bagi memulihkan pertumbuhan ekonomi negara itu.

Ia mencetuskan persoalan mengenai keselamatan di lokasi penting.

Serangan bermula sejurus sebelum tengah malam waktu tempatan apabila 10 lelaki beruniform dan lengkap bersenjata menyerbu terminal lama lapangan terbang itu yang biasanya digunakan untuk penerbangan sewa khas dan eksekutif.

Pertempuran meletus sepanjang malam sehingga pasukan keselamatan menguasai semula lapangan terbang itu pada waktu subuh.

Penumpang berjaya dipindahkan sementara semua penerbangan diarah mendarat di lapangan terbang lain.

Taliban Pakistan, pakatan yang menggabungkan beberapa kumpulan militan, mengaku bertanggungjawab dengan berkata, ia reaksi kepada serangan tentera ke atas kubu mereka di sempadan Afghanistan.

"Ini mesej kepada kerajaan Pakistan bahawa kami masih hidup untuk bertindak balas terhadap pembunuhan orang tidak berdosa dalam serangan bom ke atas kampung kami," kata jurucakap kumpulan itu, Shahidullah Shahid.

Tentera Pakistan berkata, penyerang terdiri daripada etnik Uzbekistan.

Sudah menjadi kebiasaan bagi pegawai Pakistan menyalahkan militan asing yang bersembunyi di sempadan Afghanistan untuk melancarkan serangan bersama-sama Taliban Pakistan di negara itu.

"Tiga militan meletupkan diri mereka dan tujuh ditembak mati oleh pasukan keselamatan.

Penyerang kelihatan seperti etnik Uzbekistan," kata jurucakap tentera Pakistan, Rizwan Akhtar.

Karachi ialah bandar raya terbesar dan hab utama kegiatan perniagaan.

Bagaimanapun, ia juga lokasi keganasan dan kekacauan, tempat militan dan kumpulan penjenayah beroperasi secara bebas.

Dalam kejadian semalam, pertempuran berlarutan selama lima jam.


Sekurang-kurangnya tiga letupan kuat kedengaran apabila militan yang memakai jaket lengkap dengan bom meletupkan diri mereka.

Menjelang subuh, tentera berkata, mereka sudah menguasai sepenuhnya lapangan terbang itu.


Bagaimanapun, kepulan asap dapat dilihat di atas bangunan.

Tentera Pakistan berkata, sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh, termasuk semua 10 penyerang.

Antara baki 14 mangsa, empat ialah pekerja lapangan terbang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Lelaki paling tua meninggal dunia

Posted: 09 Jun 2014 10:19 AM PDT

New York: Lelaki yang dinobatkan sebagai paling tua di dunia, meninggal dunia di kediamannya di Upper West Side di sini, semalam.

Alexander Imich menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.03 pagi, menurut rakan yang juga penjaganya Michael Mannion dan Trish Corbett.

Menurut data Kumpulan Penyelidikan Gerontology, Imich diiktiraf sebagai lelaki paling tua di dunia yang hidup oleh Buku Rekod Dunia Guinness selepas Arturo Licata dari Itali mati sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-112.

Ketika diwawancara tidak lama dulu, Imich berkata, usianya yang panjang itu disebabkan 'gen yang baik.' Imich dilahirkan di Poland pada 4 Februari, 1903.

Dia berhijrah ke Amerika Syarikat pada 1951 bersama-sama isterinya, Wella.

Mereka menetap di Connecticut dan dia berpindah ke New York selepas kematian Wella pada 1986.

Imich dalam wawancara dengan majalah Times berkata, antara alasan yang mungkin menyebabkan usianya yang panjang ialah tidak mempunyai anak, aktif bersukan dan tidak minum arak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Tak kenang budi!

Posted: 09 Jun 2014 10:18 AM PDT

Seorang pekerja restoran menculik dan membunuh anak saudara bekas majikannya selepas dia berhenti kerja kerana merasakan dirinya tidak dilayan dengan baik. Wang Wenlian, 45, menculik kanak-kanak berusia 10 bulan itu dari restoran Chuanfu di Jiaxing, di wilayah Zhejian, timur China.

Dia dikatakan berdendam terhadap bekas majikan dan rakan sekerjanya kerana melayan dengan buruk dan langsung tidak menghormatinya.

Wang yang kerjanya memotong ayam di restoran itu dilapor berhenti selepas diherdik majikannya kerana terlalu lembap.

Pada hari dia menculik budak itu, Wang cuba bercakap dengan bekas majikannya apabila dia melihatnya dengan beberapa rakan dan anggota keluarga.

Dia kemudian melarikan kanak-kanak itu.

Wang dilapor memberitahu polis, dia terlalu marah apabila kanak-kanak itu menangis tanpa henti lalu bertindak membunuh mangsa dan menanamnya.

Mayat kanak-kanak itu ditemui awal kelmarin.

Wang kemudian ditangkap ketika asyik minum arak tidak jauh dari tempat kejadian.

Ibu mangsa yang bekerja sebagai juruwang di restoran berkenaan menyangka Wang cuba bergurau dengan anaknya.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila anaknya hilang bersama-sama Wang.

Bekas majikannya berkata, dia sebelum ini mengambil Wang bekerja kerana bersimpati dengan lelaki itu.

"Saya masih memberinya wang dan tempat tinggal walaupun Wang sudah berhenti bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Gagal seludup burung dalam seluar

Posted: 09 Jun 2014 10:17 AM PDT

Guangzhou: Seorang pelancong ditahan ketika pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang di sini kerana cuba menyeludup dua ekor burung ke Singapura.

Lelaki itu mendakwa dia berbuat demikian untuk menyelamatkan burung berkenaan daripada pencemaran udara yang melanda Guangzhou.

Kakitangan keselamatan di Lapangan Terbang Guangzhou Baiyuan berkata, mereka menyedari seluar lelaki itu kembung luar biasa apabila memeriksanya sebelum dia dibenar menaiki pesawat ke Singapura 6 Jun lalu.

Setelah menjalani pemeriksaan, pihak berkuasa menemui dua burung masih hidup disembunyikan dalam kain putih di dalam seluarnya.

Lelaki itu memberi alasan yang dia cuba membawa burung itu ke Singapura untuk menyelamatkannya.

Malangnya, lelaki berkenaan terpaksa berlepas dengan pesawat yang tidak membenarkan haiwan hidup dibawa bersama.

Dia bagaimanapun dibebaskan dan terpaksa mendapatkan bantuan seorang rakan untuk menghantar burung itu ke Singapura.

Menyeludup burung dalam seluar untuk menaiki pesawat bukan perkara luar biasa.

Dalam satu kes minggu lalu, seorang lelaki di Cuba cuba menaiki pesawat ke Amerika Syarikat dengan 66 anak burung di dalam seluarnya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Bapa tikam anak racun kakak sendiri

Posted: 09 Jun 2014 10:17 AM PDT

Amman: Seorang lelaki membunuh anak lelakinya yang memaksa kakaknya meminum racun hingga mati.

Menurut jurucakap polis, bapa berkenaan mengaku menikam anak lelakinya selepas dia memaksa kakaknya meminum racun kerana disyaki mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Akhbar di Jordan memetik jurucakap polis sebagai berkata, keluarga itu tinggal di Taj di Amman, tetapi tidak menyebut nama keluarga atau umur mereka.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Ratu Thailand 2014 serah mahkota

Posted: 09 Jun 2014 10:16 AM PDT

Bangkok: Ratu Thailand 2014 Weluree 'Fai' Ditsayabut semalam menyerahkan mahkotanya selepas terbabit dalam krisis politik negara itu.

Dia yang dimahkotakan Mei lalu akan digantikan oleh pemenang tempat kedua pertandingan Pimbongkod 'Ellie' Chankaewbertinda, kata penganjur.

Weluree sebelum ini diselar kerana kenyataannya yang menganggap penunjuk perasaan prokerajaan sebagai 'sampah, jahat' dan 'perlu dibunuh' dalam laman Facebooknya.

Menurut laporan, gadis berusia 22 tahun itu sering menyiarkan kenyataan menghina kumpulan baju merah dalam laman sosial itu.

"Saya tidak berkecuali.

Saya menyokong raja, Saya begitu benci dengan baju merah.

Mereka perlu dibunuh," kata Weluree dalam kenyataannya.

Dia juga berkata, Thailand akan menjadi lebih bersih jika semua penyokong baju merah meninggalkan negara itu.

Penyokong prokerajaan mempersoalkan kemenangan Weluree.

Laman Facebook yang membantah kemenangannya mendapat 10,000 'like', semalam.

Ada pengguna mengkritik kecantikannya dan mendakwa dia menang kerana ada hubungan dengan penganjur.

Timbalan pengarah Human Rights Watch bahagian Asia, Phil Robertson mengecam kenyataan Weluree.

"Dia sepatutnya memenangi gelaran 'Ratu Pecah Belah Thailand," katanya dalam Twitter.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Nafi alukan sokongan FPI

Posted: 09 Jun 2014 10:15 AM PDT

Jakarta: Seorang jurucakap kempen pasukan Prabowo Subianto semalam menafikan mengalu-alukan sokongan daripada kumpulan Islam yang terkenal kerana serangan ke atas penganut agama minoriti.

Bara Hasibuan berkata, media membuat kesilapan kelmarin apabila memetiknya sebagai berkata, pakatan parti yang menyokong Prabowo tidak boleh menolak sokongan Front Pembebasan Islam (FPI).

"Saya tidak mengulas mengenai hubungan pakatan parti yang menyokong Prabowo dengan sokongan daripada FPI atau kumpulan sepertinya.

Kami tidak pernah bertolak ansur dengan keganasan," kata Bara, tokoh politik dari Parti Amanat Nasional (PAN) yang pengerusinya, Hatta Rajasa, menjadi calon naib presiden pada pilihan raya 9 Julai depan.

Media sebelum ini memetik Bara sebagai berkata, 'walaupun FPI terkenal kerana tindakan ganasnya, pakatan itu mengalu-alukan sokongan semua pihak tanpa mengambil kira latar belakang penyokong itu.' - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Jokowi ketinggalan dalam tinjauan pendapat

Posted: 09 Jun 2014 10:15 AM PDT

Jakarta: Tinjauan pendapat terbaru menunjukkan pasangan Prabowo-Hatta mendahului pasangan Jokowi-Jusuf Kalla dalam pilihan raya presiden yang akan diadakan 9 Julai depan.

Setiausaha Agung Generasi PH Jentel Chairnosia berkata, hasil tinjauan itu yang dilakukan kumpulannya mendapati pasangan Prabowo-Hatta meraih 60 peratus undi, sementara Jokowi-JK, 35 peratus.

Baki lima peratus tidak memilih, kata Jentel dalam pertemuan dengan media di Jakarta, semalam.

Menurutnya, kajian itu membabitkan 1,500 responden dan dijalankan secara wawancara oleh 300 sukarelawan Generasi PH, bertujuan mengetahui perkembangan kekuatan kedua-dua pasangan itu menjelang pilihan raya bulan depan.

"Mereka yang dipilih selaku responden dibuat secara rawak di tujuh wilayah, iaitu Banten, Jakarta, Jawa Barat, Lampung, Sumatera Selatan, Sumatera Barat dan Sumatera Utara," katanya.

Dia juga berkata, tinjauan pendapat itu dilakukan dua hari iaitu 6 dan 7 Jun.

Menurutnya, Generasi PH melakukan tinjauan itu sebagai melengkapkan dua kajian sebelum ini oleh Lingkaran Survei Indonesia (LSI) dan Survei dan Poling Indonesia (SPIN).

LSI dan SPIN dalam tinjauan mereka mendapati pasangan Prabowo-Hatta juga mengatasi Jokowi-JK.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

Kredibiliti tercalar

Posted: 09 Jun 2014 10:15 AM PDT

Keraguan mengenai kesesuaian Prabowo Subianto untuk presiden Indonesia jika memenangi pilihan raya 9 Julai depan timbul selepas satu dokumen mengenai punca dia dipecat dari tentera negara itu pada 1998 tersebar di Internet.

Dokumen itu, salinan daripada surat rasmi yang ditandatangani anggota Dewan Kehormat Pegawai (DKP) Tentera Nasional Indonesia yang mendengar kes Prabowo dituduh menculik aktivis prodemokrasi pada 1998, mendedahkan bekas ketua pasukan Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Indonesia itu dipecat daripada jawatannya kerana ingkar.

Mereka yang menandatangani dokumen itu, termasuk Lt Jeneral Susilo Bambang Yudhoyono, presiden Indonesia ketika ini, ketua turus tentera ketika itu, Jeneral Soebagyo Hadi Siswoyo, Lt Jeneral Fachrul Razi dan Lt Jeneral Agum Gumelar.

Jika kesahihan dokumen berkenaan disahkan, ia boleh memberi tamparan kepada kredibiliti Prabowo selaku pegawai tentera dan calon presiden.

Menurut dokumen berkenaan, Prabowo, selaku pemerintah KOPASSUS mengingkari arahan pegawai atasannya dengan mengarahkan dua unit, Mawar dan Melati, untuk 'menangkap dan menculik' aktivis Parti Rakyat Demokratik.

Kedua-dua unit berkenaan adalah di bawah pemerintahan KOPASSUS, tetapi hanya menerima arahan daripada panglima TNI.

Bagaimanapun, ia mendedahkan, unit Mawar tidak bertindak sendiri, seperti yang didakwa pasukan kempen Prabowo.

Menurut dokumen itu, unit berkenaan melakukan penculikan itu selepas Prabowo memberi mereka jaminan bahawa ia sudah dilaporkan kepada pihak atasan dan operasi itu berdasarkan 'arahan daripada peringkat tertinggi,' sedangkan tidak ada laporan dibuat Prabowo kepada panglima tentera ketika itu, Jeneral Wiranto.

Penculikan itu hanya dilapor pada April 1998 selepas tekanan dari Badan Perisikan Angkatan Tentera ketika itu, Mejar Jeneral Zacky Anwar Makarim.

Menurut dokumen itu, majlis kehormat TNI bukan saja memecat Prabowo atas tuduhan mencabul hak asasi manusia berkait dengan penculikan itu tetapi juga atas beberapa tindakannya yang mengingkari pegawai atasan dan salah laku tata cara tentera.

Dokumen itu, yang dimuat naik ke laman web indonesia-2014.com, ialah yang pertama didedahkan kepada umum mengenai pemecatan Prabowo daripada tentera.

Menurutnya, majlis kehjormat TNI bukan saja memecat Prabowo atas tuduhan mencabul hak asasi manusia berkasit dengan penculikan itu tetapi juga atas beberapa tindakannya yang mengingkari pegawai atasan dan salah laku tata cara tentera.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

45 penentang maut

Posted: 09 Jun 2014 10:13 AM PDT

Pertempuran terbaru antara kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) dan pakatan kumpulan penentang serta sayap al-Qaeda di timur Syria menyebabkan 45 orang terbunuh.

ISIL yang ditubuhkan bekas sekutu al-Qaeda di Iraq berdepan tindak balas hebat daripada kumpulan penentang Syria yang lain sejak awal tahun ini dan terpaksa bertempur dengan pakatan termasuk Barisan Al-Nusra.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, pertempuran yang tercetus di bandar Khosham di wilayah timur Deir Ezzor kelmarin menyebabkan 17 anggota Al-Nusra dan 28 pejuang ISIL maut.

ISIL pada awalnya mendapat sokongan kumpulan penentang, tetapi pendekatannya yang ganas atas nama Islam dan kekerasannya terhadap orang awam serta pejuang dari kumpulan lain menyebabkan mereka dipinggirkan.

Ketua al-Qaeda mengarahkan kumpulan itu untuk kembali ke Iraq kerana Al-Nusra juga menentang mereka.

Pertempuran dengan ISIL menyebabkan kira-kira 6,000 nyawa terkorban - sesuatu yang merugikan dalam perjuangan menentang rejim Bashar - sejak ia bermula Januari tahun ini.

Di kawasan lain di negara itu, pemerhati hak asasi itu yang berpangkalan di London berkata, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh akibat diseksa di pangkalan tentera Bashar di Damsyik.

Mereka yang ditangkap sering ditahan di pangkalan berkenaan untuk disiasat sebelum dipindahkan ke penjara.

Pemerhati berkata, keluarga mangsa sudah dimaklumkan oleh rejim Bashar dan mereka diminta mengambil mayat ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu di Damsyik, Presiden Bashar al-Assad semalam mengumumkan "pengampunan beramai-ramai ke atas semua tahanan di negara itu.

Pengumuman itu disiarkan stesen televisyen tanpa mengulas lanjut mengenainya.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada tahanan itu akan dibebaskan.

Sebelum ini, kerajaan Bashar sering memberi pengampunan untuk kesalahan tertentu.

Ia bagaimanapun disifatkan sebagai usaha untuk menunjukkan sikap baik pemimpin Syria itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10

No comments:

Post a Comment