Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Final paling manis

Posted: 03 Jun 2014 10:49 AM PDT

Kangar: Pemain badminton Selangor, Zulfadli Zulkiffli mengesahkan statusnya selaku pemain perseorangan lelaki terbaik di pentas SUKMA kali ini selepas menewaskan pilihan kedua juga dari Selangor Chong Yee Han dengan 21-12, 21-18 di Dewan Badminton Kompleks Sukan Negeri, semalam.

Kejayaan pemain berusia 21 tahun itu sekali gus mengulangi pencapaian dilakar di Pahang dua tahun lalu dan dia menyifatkan kemenangan kali ini sebagai hadiah perpisahan paling manis dalam saingan sukan terbesar negara itu.


"Menutup karier dengan dua emas satu pencapaian yang cukup istimewa. Walaupun saya diletakkan sebagai pilihan pertama, tapi saya tidak anggap ia sesuatu yang mudah.

"Saya tetap bangga dengan kejayaan di temasya ini. Saya anggap SUKMA sebagai medan pemanas badan terbaik untuk saya kembali beraksi di peringkat antarabangsa.


"Pada masa sama, SUKMA ini menjadi batu loncatan untuk saya mempersiapkan diri menghadapi beberapa kejohanan di luar negara sepanjang tahun ini," katanya yang turut bergelar juara remaja Asia.


Terdahulu, atlet Pulau Pinang Goh Jin Wei (gambar kecil), 14, mencipta kejutan terbesar dalam acara perseorangan wanita apabila menewaskan pilihan pertama yang juga pemain skuad Piala Uber negara, Yang Li Lian 20-22, 22-20, 21-15.

Foto

ZULFADLI menang mudah perlawanan akhir, semalam.

"Kemenangan ini sesuatu yang amat mengejutkan. Saya sendiri tidak percaya mampu menewaskan Li Lian dalam perlawanan tadi.


"Hasil daripada kemenangan ini, motivasi dan keyakinan diri semakin bertambah dan saya bercita-cita mahu menjadi antara pemain terbaik dunia selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Falcao kempunan

Posted: 03 Jun 2014 10:26 AM PDT

Campana, Argentina: Penyerang berbakat Colombia, Radamel Falcao terlepas aksi Piala Dunia selepas gagal pulih daripada kecederaan lutut ketika beraksi bersama Monaco, Januari lalu.

Nasib pemain berusia 28 tahun itu disahkan jurulatih Colombia, Jose Pekerman semalam.


"Hari yang menyedihkan. Dengan rasa sedih saya perlu menyatakan kepada anda, Radamel Falcao dan Luis Perea tidak dapat beraksi pada Piala Dunia kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan," kata pengendali dari Argentina itu pada sidang media di kem latihan skuadnya di Campana.

Falcao yang menjaringkan 20 gol dalam 51 penampilan antarabangsa, mengalami kecederaan ligamen lutut yang serius ketika beraksi untuk kelabnya pada saingan Piala Perancis, 22 Januari lalu dan tidak beraksi sejak itu.


Dia pernah menjalani latihan bersama skuad Colombia hujung bulan lalu, tetapi tahap kecergasannya gagal memuaskan hati pakar perubatan pasukan Colombia.


"Saya berdepan situasi sukar ketika ini. Saya akan terus memberi sokongan kepada pasukan dengan segala yang termampu.

"Barisan penyerang yang terpilih untuk beraksi di Piala Dunia adalah mereka yang terbaik yang mendapat sokongan keseluruhan pasukan dan jurulatih.


"Mereka menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim," kata Falcao.

Pekerman memberikan bayangan perbezaan pendapatnya dengan pasukan perubatan Persekutuan Bolasepak Colombia.


"Saya mahu dia beraksi walau apapun yang berlaku. Kadang kala seseorang manusia itu mampu mendaki gunung, tapi kadang kala kita tidak mempunyai kuasa.


"Keputusan mengenai Falcao adalah hasil penilaian sepenuhnya daripada mereka yang pakar," ujarnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Demichelis pilihan Sabella

Posted: 03 Jun 2014 10:26 AM PDT

Buenos Aires: Pertahanan tengah Martin Demichelis berada dalam senarai 23 pemain Argentina ke Piala Dunia sementara pemain tengah Ever Banega diketepikan.

Jurulatih Alejandro Sabella memanggil Demichelis dalam skuad sementara bulan lalu selepas membantu Manchester City memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris meskipun diketepikan lebih dua tahun.


Barisan pertahanan lain yang terpaksa memberi ruang kepada Demichelis adalah veteran Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Nicolas Otamendi yang dipinjamkan ke Atletico Mineiro.

Pemain sayap Benfica, Enzo Perez turut mendapat tempat dalam skuad ke Brazil bermula 12 Jun ini, tetapi Banega yang menyertai kelab Newell's Old Boys dari Valencia musim ini, gagal mendapat tempat kerana berdepan kecederaan serta bergelut dengan prestasi.


Argentina yang diketuai Lionel Messi, berharap dapat menjulang Piala Dunia buat kali ketiga. Mereka diundi dalam Kumpulan F bersama Bosnia, Iran dan Nigeria. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Detik Sterling pamer belang

Posted: 03 Jun 2014 10:25 AM PDT

Miami, AS: England dijangka memberi peluang kepada pemain Liverpool, Raheem Sterling dan beberapa lagi pemain muda beraksi dalam kesebelasan utama bagi perlawanan persahabatan pra-Piala Dunia menentang Ecuador, awal pagi esok.

Pengurus Roy Hodgson akan menjadikan perlawanan menentang pasukan Amerika Selatan itu di Stadium SunLife sebagai peluang kepada pemain yang tidak beraksi dalam kesebelasan utama Jumaat lalu.


Pada perlawanan itu England menewaskan Peru, 3-0 di Stadium Wembley dan perlawanan selepas ini sudah pasti tertumpu kepada aksi yang bakal dipamerkan Sterling.

"Strategi kami hari ini adalah menurunkan pemain yang tidak beraksi Jumaat lalu.


"Kami mempunyai dua perlawanan lagi, ini peluang terbaik bagi saya menurunkan pemain lain dan menjelang perlawanan Sabtu ini, semua pemain sudah beraksi serta bersedia.


"Selepas itu barulah saya akan membuat keputusan siapa yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama," kata Hodgson.

England akan berdepan Honduras, Sabtu ini di stadium sama, sebelum menuju ke Brazil dan berdepan Itali, Uruguay serta Costa Rica dalam Kumpulan D.


Sterling, 19, antara bakat baru England yang dijangka menyerlah selepas mempamerkan aksi mantap bersama Liverpool musim lalu.

Persembahan cemerlang menentang Ecuador akan membuka peluang buatnya beraksi dalam kesebelasan utama pada perlawanan pembukaan menentang Itali di Manaus, 14 Jun ini.


Seorang lagi pemain muda dari Merseyside yang beraksi bersama Everton, Ross Barkley, mampu diberi peranan di bahagian tengah, manakala James Milner (Manchester City) dan Jack Wilshere (Arsenal) dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama bersama penjaga gol, Ben Foster.


England melakukan persiapan di Florida Selatan selama seminggu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas di Manaus, namun perancangan itu sedikit terjejas berikutan cuaca buruk kelmarin apabila hujan lebat memaksa mereka berlatih dalam dewan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Kagawa bantu benam Costa Rica

Posted: 03 Jun 2014 10:25 AM PDT

Tampa, AS: Penyerang Manchester United, Shinji Kagawa menjaringkan gol pada minit ke-80 untuk membantu Jepun mengalahkan Costa Rica, 3-1 pada perlawanan pemanas badan Piala Dunia buat kedua-dua pasukan, semalam.

Kagawa dilihat sukar mengawal bola yang menuju ke arahnya dalam petak penalti namun dia berjaya mengimbangi badan dan menolak dengan kaki kanan melepasi penjaga gol Costa Rica, Keilor Navas bagi membolehkan Jepun mendahului 2-1.


Yoichiro Kakitani, masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-76, menambah gol pada masa kecederaan buat pasukan Samurai Biru, yang ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.

"Ia sesuatu yang baik kerana kami berjaya bangkit selepas ketinggalan dan memenangi perlawanan.


"Kami sepatutnya menjaringkan gol pada babak pertama. Kami mempunyai peluang terbaik. Kami harus menjaringkan gol terlebih dulu pada Piala Dunia kerana selepas ini perlawanan yang akan dihadapi memang sukar," kata Kagawa.


Kapten Costa Rica, Bryan Ruiz yang beraksi dengan kelab Belanda, PSV membuka tirai jaringan pada minit ke-31 selepas menampan masuk bola ke dalam gawang.

Bagaimanapun, Yasuhito Endo, pemain tengah Gamba Osaka berusia 34 tahun, yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Prandelli idam tebus kecewa 2010

Posted: 03 Jun 2014 10:24 AM PDT

Milan: Jurulatih Itali Cesare Prandelli mungkin tidak mahu mengakuinya, tetapi hakikatnya Piala Dunia di Brazil peluang terbaik buat mereka mengubat kegagalan di Afrika Selatan empat tahun lalu.

Prandelli mengaku mereka tidak akan mendapat laluan mudah dalam Kumpulan D, tetapi jika berjaya melepasi halangan sukar setidak-tidaknya mampu menebus kekecewaan mereka.


"Kami sedar berada dalam kumpulan sukar. Objektif pertama adalah meloloskan diri dan kita tunggu keputusannya nanti.

"Selepas layak ke pusingan kedua, barulah kami boleh mula menetapkan sasaran lebih besar," kata Prandelli.


Suasana pasukan itu dilihat lebih positif sejak akhir-akhir ini, selepas Prandelli menyatakan skuadnya dibentuk untuk mara ke perlawanan akhir.


Pada Disember 2009, mereka berasa lega kerana diundi bersama Paraguay, New Zealand dan Slovakia pada Piala Dunia 2010 Afrika Selatan.

Bagaimanapun, tiga perlawanan yang dihadapi mereka berakhir dengan kesedihan dan cita-cita besar Marcello Lippi berkecai selepas mereka menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan berikutan seri dengan Paraguay dan New Zealand sebelum tewas 2-3 kepada Slovakia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Selamat tinggal!

Posted: 03 Jun 2014 10:24 AM PDT

London: Chelsea terpaksa memenuhi kekosongan di bahagian tengah musim depan selepas penjaring gol terbanyak kelab itu, Frank Lampard mengumumkan dia menamatkan tempoh 13 tahun di Stamford Bridge.

Pemain skuad Piala Dunia England yang menyertai kelab Liga Perdana itu dari kelab pencabar London, West Ham pada 2001 dengan harga £11 juta (RM59.5 juta), menjaringkan 211 gol dalam semua pertandingan buat Chelsea.


"Apapun cabaran saya selepas ini, saya tetap bersama anda dan Chelsea tersemat di hati saya," Lampard memberitahu penyokong kelab itu.

"Saya harap akan dapat berjumpa anda tidak lama lagi dan mengucapkan selamat tinggal dengan cara baik. Pada masa sama terima kasih kepada anda kerana memori dan terus melakar sejarah." Lampard, berusia 36 tahun pada 20 Jun ini dan akan menjadi timbalan kapten England pada Piala Dunia di Brazil, sudah tamat kontrak dan dikaitkan dengan perpindahan ke kelab baru francais MLS Amerika Syarikat, New York City.


Kelab New York itu mengumumkan awal kelmarin penyerang Piala Dunia Sepanyol, David Villa sudah mengikat kontrak tiga tahun dari Atletico Madrid.


Lampard menang tiga kejuaraan Liga Perdana, empat Piala FA, dua Piala Liga, Liga Europa dan Liga Juara-Juara bersama Chelsea.

"Apabila saya tiba di kelab menakjubkan ini 13 tahun lalu, saya tidak pernah membayangkan bertuah bermain banyak perlawanan dan berkongsi terlalu banyak kejayaan," katanya.


"Kelab ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya dan terlalu ramai yang perlu saya ucapkan terima kasih kerana peluang diterima ini. "Pertamanya (bekas pengerusi) Ken Bates yang mengambil saya sebagai pemain remaja dan tanpanya saya tidak berpeluang memulakan pengalaman ini.

"Roman Abramovich, pemilik yang menyelamatkan kelab kami dan melonjakkan kami ke satu tahap baru. "Keghairahannya terhadap bola sepak mengejutkan banyak pihak," jelasnya merujuk kepada bilionair Russia yang membeli kelab itu pada 2003. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Van Gaal tolak Spurs sebelum ke United

Posted: 03 Jun 2014 10:23 AM PDT

Amsterdam: Pengurus Manchester United Louis van Gaal semalam mendedahkan buat kali pertama, beliau menolak tawaran untuk mengendalikan Tottenham Hotspur musim lalu.

Van Gaal yang ketika ini menggalas tugas selaku ketua jurulatih Belanda, akan menyertai United selepas Piala Dunia di Brazil.


Namun Van Gaal yang melakukan persiapan bagi perlawanan persahabatan menentang Wales awal pagi esok di Arena Amsterdam, mengakui hampir menandatangani kontrak dengan Spurs selepas Andre Villas-Boas disingkir sebagai pengurus di White Hart Lane, Disember lalu.

Pengerusi Tottenham Daniel Levy sudah mengadakan perbincangan dengan Van Gaal, tetapi bekas pengendali Barcelona dan Bayern itu menolak pada saat-saat akhir dan memilih United selepas David Moyes disingkirkan sebagai pengurus di Old Trafford, April lalu.


"Saya hampir-hampir menyertai Spurs. Ketika zaman kanak-kanak, saya adalah penyokong tegar Tottenham.


"Jimmy Greaves idola saya. Ia amat hampir. Kenapa? Kerana saya peminat Spurs ketika zaman kanak-kanak. Jersi putih yang menarik dan Greaves." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Jangan putus asa!

Posted: 03 Jun 2014 10:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas tewas dua perlawanan berturut-turut kepada pasukan bertaraf dunia, pengendali skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak mahu anak buahnya berdepan kekecewaan sekali lagi apabila bertemu England, esok meskipun lawan mereka itu menghampiri standard Australia dan Belgium.

Mengaku sedikit kecewa dengan persembahan skuad negara ketika tewas 2-6 kepada Belgium kelmarin ketika beliau meletakkan sasaran sekurang-kurangnya seri, Dhaarma bagaimanapun tidak mahu anak buahnya cepat berputus asa dalam usaha mereka mencari mata pertama di Piala Dunia apabila bertemu England.


"Jika kita mahu beraksi pada penentuan tempat ke-5/6, sasaran seterusnya selepas tewas dua perlawanan adalah dengan cuba menewaskan England.

"Bagi sebuah pasukan yang berada di ranking paling rendah, bermain pada perlawanan penentuan ke-5/6 umpama memenangi emas. "Sekiranya gagal dalam misi pertemuan dengan England, kita akan rendahkan sasaran untuk beraksi dalam penentuan tempat ke-7/8 dan begitulah seterusnya.


"Tapi seperti yang saya tegaskan sebelum ini, secara peribadi saya tidak mahu kita menamatkan kempen Piala Dunia dengan menduduki tempat tercorot walaupun itulah sebenarnya tanggapan semua pasukan terhadap Malaysia," katanya semalam.


Mengenai pertemuan dengan Belgium kelmarin, Dhaarma mengaku barisan pemainnya gagal meneruskan momentum cemerlang seperti separuh masa pertama.

Foto

PEMAIN Belgium, Tom Boon (dua dari kanan) jadi duri dalam daging buat skuad negara.

"Masalah besar kita kerap hilang bola di kawasan tengah. Bila kita hadapi situasi seperti itu, bahagian serangan tidak mendapat bantuan mencukupi.


"Memang saya kecewa, tapi inilah yang mampu kita lakukan apabila bertemu Belgium sebab mereka sememangnya berada dalam kelas tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Doohan warnai aksi WSBK

Posted: 03 Jun 2014 10:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Saingan Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini buat kali pertama menerima suntikan positif dengan pembabitan legenda MotoGP Mick Doohan.

Juara dunia lima kali kategori 500cc itu yang kerap hadir menyaksikan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia di Sepang akan menjadi tetamu undangan khas selain diberi penghormatan selaku pemberi hadiah kepada pemenang.


"Mewakili SIC dan seluruh rakyat Malaysia, kami mahu berterima kasih kepada Doohan.

"Beliau bukan saja bersetuju hadir, tapi turut terbabit dengan aktiviti mempromosi kejohanan ini.


"Ia satu penghargaan buat SIC kerana dapat bekerjasama dengan Doohan yang dikenali di seluruh dunia dan masih mempunyai peminat ramai," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.


Razlan turut memuji barisan pelumba WSBK yang turut memberi komitmen tinggi mempromosi perlumbaan itu.

"Pelumba WSBK sangat membantu mempromosi kejohanan yang bakal berlangsung di Malaysia ini.


"Kita mendapat sokongan padu juara bertahan Tom Sykes yang melakukan demonstrasi pada hujung minggu lalu. Kehadiran Doohan pasti menambahkan lagi kehangatan promosi untuk kejohanan ini.

"Selain sesi tandatangan bersama pelumba WSBK yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad, kami akan mengatur satu sesi untuk mendapatkan tandatangan eksklusif Doohan pada Ahad nanti," katanya.


Doohan, pemenang kejuaraan dunia 1994, 1995, 1996, 1997 dan 1998 dan dianggap antara pelumba yang kerap mendominasi Litar Sepang iaitu pada 1992, 1994, 1995, 1997 dan 1998 sebelum bersara pada 1999.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

No comments:

Post a Comment