Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tagih idea Dollah

Posted: 28 Jun 2014 09:52 AM PDT

Kelana Jaya: Sentuhan jurulatih tempatan terus menjadi sandaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad Harimau Malaya apabila melantik bekas penyerang kebangsaan Dollah Salleh, semalam.

Dollah, 50, yang kini membimbing skuad juara Liga Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditawar kontrak dua tahun selaku ketua jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Exco FAM kali pertama bagi penggal 2014-2018 yang dipengerusi Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pemilihan Dollah itu sudah diduga walaupun FAM mempunyai beberapa calon lain termasuk pengendali sementara kebangsaan Datuk Ong Kim Swee serta dua jurulatih warga Jerman, Wolfgang Sidka dan Gert Engels.

Foto

AFANDI (kiri) bersama Hamidin ketika mengumumkan jurulatih baru Harimau Malaya.


Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah dalam sidang media selepas mesyuarat itu berkata, mereka belum memuktamadkan butiran kontrak namun FAM yakin pengendali kelahiran Melaka itu bersedia memikul cabaran baru itu.


"Kami sudah mengadakan perbincangan dengan Dollah sebelum ini dan secara dasarnya sudah ada persetujuan, tapi belum dimuktamadkan lagi.

"Kami akan mengadakan perbincangan akhir untuk memuktamadkan kontrak serta memaklumkan tugas yang akan beliau laksanakan," katanya.

Dollah bukan saja mempunyai pengalaman luas sebagai pemain di pentas tempatan dan antarabangsa malah beliau juga dianggap jurulatih yang mempunyai sentuhan magis apabila menjuarai Piala Malaysia dengan tiga pasukan, Selangor MPPJ, Selangor dan Pahang.

"Beliau mempunyai pengalaman luas, legenda bola sepak negara. Kami juga memilihnya atas dasar rekodnya yang cemerlang sebagai jurulatih.

"Kami mahu melantiknya sebagai jurulatih sepenuh masa dan beliau perlu melepaskan jawatan dengan PDRM. Kami akan selesaikan kontrak Dollah dengan PDRM selepas ini," kata Afandi.

Arena Metro cuba mendapatkan komen Dollah mengenai pelantikan itu namun jawapannya cukup ringkas: "Tak ada komen, terima kasih."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Beregu gagal lagi

Posted: 28 Jun 2014 09:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Impian untuk meraih kejuaraan sulung di peringkat senior dan juga membalas dendam kekalahan pada Piala Thomas 2014 New Delhi, gagal dicapai beregu lelaki negara, Tan Boon Heong-Hoon Thien How,

Boon Heong-Thien How tumpas pada separuh akhir Siri Super Terbuka Australia kepada pilihan keempat dari Korea Selatan, Lee Yong Dae Lee-Yoo Yeon Seong 14-21, 16-21 dalam perlawanan di Kompleks Sukan States, Sydney semalam.

Kekalahan juara remaja dunia 2004 itu bermakna kempen wakil negara pada kejohanan itu berakhir.

Aksi di set pertama memperlihatkan bekas pemenang pingat perak Sukan Asia 2006 Doha itu berjaya memberi cabaran sengit hingga terikat 13-13, namun kesilapan demi kesilapan yang dilakukan menyebabkan mereka ketinggalan 13-20 seterusnya tumbang 14-21.

Set kedua pula menyaksikan pasangan negara itu bermain dengan baik dan pada satu ketika mendahului 7-6, tetapi gandingan Yong Dae-Yeon Seong kembali bertenaga dengan tidak memberi peluang Boon Heong-Thien How bangkit.

Kekalahan itu menyaksikan Boon Heong-Thien How gagal membalas dendam selepas dikecewakan pasangan sama pada perlawanan peringkat kumpulan saingan Piala Thomas Mei lalu.

Ketika itu Boon Heong-Thien How bermain dengan cemerlang apabila hanya tewas 19-21, 19-21 berbanding semalam yang agak jauh jurangnya.

Bagaimanapun, hasrat Korea Selatan untuk bertemu sesama sendiri di perlawanan akhir tidak kesampaian apabila Kim Ki Jung-Kim Sa Rang dikejutkan pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Sin 18-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Belum lagi

Posted: 28 Jun 2014 09:43 AM PDT

London: Venus Williams tegas mengatakan masih belum terfikir untuk bersara daripada arena tenis walaupun tersingkir awal di Wimbledon.

Kekalahan 7-5, 6-7 (2/7), 5-7 pada pusingan ketiga di tangan Petra Kvitova kelmarin bermakna juara Wimbledon lima kali itu gagal melangkah ke pusingan ketiga sejak 2011.

Pada usia 34 tahun, Venus adalah pemain wanita tertua dalam acara perseorangan Wimbledon dan dia tidak pernah memenangi gelaran Grand Slam sejak menjuarai Wimbledon 2008.

Ia membuatkan khabar angin semakin kencang mendakwa Venus akan bersara lebih awal dan kekalahan di tangan Petra menguatkan lagi andaian itu.

Namun Venus yang beraksi pada kejohanan Wimbledon kali ke-17, menolak kemungkinan itu dan menyatakan hasrat untuk terus bermain.

"Saya belum mahu berhenti.

Ramai yang mahu melihat saya bersara sejak saya berusia 25 tahun lagi.

Atas sebab tertentu, memang ada yang mahu melihat seseorang itu bersara," kata Venus ketika ditanya sama ada Wimbledon bakal menjadi gelanggang terakhirnya.

"Ia sesuatu yang pelik.


Anda seolah-olah tidak menggalakkan pemain tertentu untuk terus bermain."- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Asia tetap positif

Posted: 28 Jun 2014 09:42 AM PDT

Sao Paulo: Asia enggan mengetepikan hasrat menjulang Piala Dunia walaupun mempamerkan prestasi terburuk dalam tempoh 24 tahun apabila keempat-empat wakilnya gagal mencatat sebarang kemenangan.

Kekalahan Korea Selatan 0-1 kepada Belgium, Khamis lalu mengesahkan tidak ada pasukan Asia mencatat kemenangan sejak Itali 1990 apabila Taeguk Warriors ketika itu menjadi satu-satunya wakil benua berkenaan.

Selepas Korea Selatan, Jepun, Australia dan Iran tersingkir daripada saingan, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menganggap ia situasi yang mengejutkan.

Pada Piala Dunia 2010, Jepun dan Korea Selatan berjaya mara ke pusingan kalah mati.

Selepas itu, Asia meminta supaya banyak lagi slot diberikan kepada benua itu pada Piala Dunia dan ia mendapat sokongan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Sepp Blatter.

Bagaimanapun, Presiden AFC Sheikh Salman Ebrahim al Khalifa berkata, meskipun kecewa, kejohanan itu sekurang-kurangnya memberi pengajaran berguna buat pasukan Asia.

"Piala Dunia kali ini memberi pengajaran kepada semua negara Asia.

Pasukan Asia membariskan ramai pemain muda, mereka akan menjadi lebih baik dan yang penting kini kami kekal bersatu.

"Asia perlu akur terhadap kelemahannya, tapi pada masa sama harus mempercayai kemampuan diri sendiri.

"AFC berazam menggembleng sepenuhnya potensi yang dimiliki pasukan Asia," katanya.

Keempat-empat pasukan hanya menjaringkan sembilan gol dalam 12 perlawanan dan bolos 25 kali.

Australia bagaimanapun layak dipuji selepas mereka memberi cabaran bermakna terhadap Chile dan Belanda sekali gus meningkatkan harapan menjulang Piala Asia yang akan dianjurkan tahun depan.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Bantu Suarez!

Posted: 28 Jun 2014 09:40 AM PDT

Rio de Janeiro: Kesatuan pemain dan badan bola sepak sepakat penyerang Uruguay dan Liverpool, Luis Suarez perlu mendapatkan bantuan selepas dijatuhkan hukuman berat kerana menggigit pemain lawan buat kali ketiga dalam kariernya.

Suarez kembali ke Montevideo semalam, tiba lewat daripada jadual selepas presiden Uruguay dan ratusan penyokong berkumpul pada malam sebelumnya untuk memberikannya sambutan wira walaupun disingkirkan daripada Piala Dunia.

Di Rio de Janeiro, Setiausaha Agung FIFA Jerome Valcke berkata, insiden kali ketiga membabitkan Suarez adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

"Dia harus mencari jalan untuk berhenti melakukannya, dia harus mendapatkan rawatan," kata Valcke kepada pemberita di Stadium Maracana.

Kesatuan pemain, FIFPro turut melahirkan pandangan sama namun dalam pendekatan yang lebih bersimpati.

FIFPro menganggap keputusan panel disiplin FIFA yang melaksanakan penggantungan sembilan perlawanan antarabangsa dan empat bulan daripada aktiviti bola sepak sebagai melanggar hak Suarez untuk bekerja selain tidak menawarkan rawatan yang diperlukan.

"Suarez seharusnya menerima segala sokongan diperlukan untuk mengatasi sebarang isu luar padang yang mungkin dialaminya ketika ini," umum kesatuan itu sambil menambah rawatan perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian.

Valcke atau FIFPro bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci sama ada rawatan itu termasuk terapi mengawal kemarahan atau kaunseling.

Di Itali, Suarez turut menerima sokongan daripada mangsa terbarunya Giorgio Chiellini yang menggambarkan hukuman itu sebagai melampau.

Pandangan sama turut dikongsi jurulatih Uruguay Oscar Tabarez apabila beliau meletak jawatan sebagai ahli jawatankuasa strategik FIFA dalam protesnya terhadap tempoh hukuman itu.

- AP

Foto

AHLI keluarga Suarez mengeluarkan barangan pemain itu di depan rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

EURO 2016 guna teknologi garisan gol

Posted: 28 Jun 2014 09:37 AM PDT

Rio de Janeiro: Presiden UEFA Michel Platini akan memperkenalkan teknologi garisan gol pada Kejohanan Eropah 2016 di Perancis, menurut Presiden FIFA Sepp Blatter semalam.

Platini, bekas pemain tengah Perancis dan jurulatih pasukan kebangsaan, menjadi penentang utama sistem itu sejak menjadi ketua UEFA tujuh tahun lalu.

Sistem itu diguna FIFA pada Piala Dunia buat julung kali.

Platini tidak merahsiakan tentangannya terhadap penggunaan teknologi video bagi memastikan sama ada bola melepasi garisan gol atau tidak, namun Blatter berkata, Platini sudah mengubah fikirannya.

"Saya sudah bercakap dengan Presiden UEFA Michel Platini yang berkata, beliau akan memperkenalkan teknologi garisan gol pada Kejohanan Eropah di Perancis pada 2016," jelas Blatter yang sebelum ini turut pernah menentang sistem itu.

Blatter mengubah fikirannya selepas gol pemain England, Frank Lampard dinafikan ketika menentang Jerman pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

RvP, Robben gempur Mexico

Posted: 28 Jun 2014 09:36 AM PDT

Fortaleza, Brazil: Robin van Persie kembali menguatkan jentera serangan Belanda untuk berdepan Mexico pada pusingan kedua Piala Dunia, awal pagi esok dengan pertahanan lawan, Hector Moreno bakal menentang bekas mentornya, Louis van Gaal.

Van Persie digantung ketika Belanda menewaskan Chile, 2-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan namun akan kembali bergabung dengan Arjen Robben, gandingan paling berbahaya pada kejohanan kali ini.

Kedua-dua pemain itu sudah meledak tiga gol pada peringkat kumpulan bagi membantu Belanda melangkah ke pusingan kedua dengan tiga kemenangan dan 10 gol, jaringan paling banyak dalam kalangan pasukan yang bertanding di Piala Dunia.

Persembahan cemerlang itu menjadikan mereka pasukan pilihan berdepan Mexico namun rekod pertemuan sebelum ini tidak menggambarkannya.

Dalam enam pertemuan, Belanda menang tiga kali dan Mexico dua kali.

Sejumlah 22 gol dihasilkan dalam pertemuan itu, purata empat gol setiap perlawanan, kedua-dua pasukan meledak 11 gol dan perlawanan tunggal di Piala Dunia pada 1998, berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Kepulangan Van Persie menyaksikan Dirk Kuyt kembali ke bangku simpanan selepas tersenarai dalam kesebelasan utama menentang Chile namun jika dia diturunkan, sejak awal atau sebagai pemain gantian, pemain berusia 33 tahun itu akan meraih penampilan ke-100.

Spektrum berbeza berkaitan umur menyaksikan penyerang berusia 20 tahun, Memphis Depay dijangka bermula di bangku simpanan walaupun sudah meledak dua jaringan dalam dua penampilan.

"Saya perlu realistik," katanya di kem latihan Belanda.

"Lebih logik jika saya berada di bangku simpanan dengan kehadiran pemain hebat seperti Robben dan Van Persie.

Memang sukar dipercayai apa yang Robben mampu lakukan dengan bola." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Chicharito idam singkir Van Gaal

Posted: 28 Jun 2014 09:31 AM PDT

Fortaleza, Brazil: Selepas menamatkan kemarau jaringan dalam 11 perlawanan antarabangsa, penyerang Manchester United, Javier Hernandez berazam menyingkirkan bos barunya di kelab, Louis van Gaal apabila Mexico bertemu Belanda pada pusingan kedua Piala Dunia.

"Sepanjang tahun ini amat sukar.

Pemain amat memerlukan keyakinan dan dalam aspek itu saya kurang.

Hanya segelintir saja masih menaruh kepercayaan kepada saya sejak setahun lalu," kata pemain berusia 26 tahun yang gagal menjaringkan gol dalam tempoh lebih setahun untuk Mexico.

Hernandez yang dikenali sebagai 'Chicharito' (Little Pea), menangis kegembiraan selepas menanduk masuk gol ketiga pasukannya ketika menewaskan Croatia 3-1, Selasa lalu untuk memastikan kemaraan ke peringkat kalah mati dalam enam edisi berturut-turut Piala Dunia.

Tahun yang sukar itu menyaksikan beberapa laporan mendakwa Hernandez akan meninggalkan kelab Inggeris, Manchester United yang akan dikendalikan jurulatih Belanda, Van Gaal selepas Piala Dunia berakhir.

Kembalinya sentuhan jaringan Hernandez dilihat bakal menjadi satu kelebihan kepada Mexico yang mempamerkan peningkatan berterusan sejak pelantikan jurulatih Miguel Herrera tahun lalu.

"Kami perlu kekal tenang, merendah diri dan tidak terbawa-bawa," kata Hernandez.

"Ini salah satu langkah ke depan, sesuatu yang amat penting, namun hanya satu langkah.


Jika boleh kami mahu melakar sejarah menewaskan Belanda dan meneruskan saingan dalam laluan yang kami sendiri tetapkan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Buru gol pertama

Posted: 28 Jun 2014 09:30 AM PDT

Recife, Brazil: Costa Rica berazam menjaringkan gol pertama perlawanan apabila bertemu Greece pada pusingan kedua Piala Dunia di Recife, awal pagi esok.

Benteng Greece memiliki reputasi sukar dibolosi dan menjadi semakin sukar untuk dikalahkan jika berjaya mendahului lawan.

Mereka cemerlang melaksanakan sistem bertahan klasik Itali, 'catenaccio' yang menyaksikan pasukan bermain secara bertahan sepanjang perlawanan dan berharap menjaringkan gol tunggal melalui serangan balas pantas dan kemudian bertahan hingga tamat perlawanan.

Penolong Teknikal Los Ticos Luis Marin berkata, pasukannya perlu menjaringkan gol awal untuk menghalang Greece melaksanakan strategi itu.

"Amat penting kami menjaringkan gol awal, terutamanya kerana Greece akan mengetatkan bahagian pertahanan sebaik mereka menjaringkan gol.

"Perlawanan ini pasti sengit.

Meskipun mereka tewas 0-3 kepada Colombia, jaringan lawan akibat kesilapan mudah.

Greece juga amat berbahaya apabila melancarkan serangan balas." "Penentuan sepakan penalti mungkin menentukan keputusan perlawanan dan kami sudah membuat persiapan menghadapi senario itu.

"Yang pasti kami tidak boleh memperkecilkan kemampuan Greece," kata jurulatih kelahiran Portugal itu.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

Selesa status bukan pilihan

Posted: 28 Jun 2014 09:26 AM PDT

Recife, Brazil: Jurulatih Jorge Luis Pinto mahu terus mengekalkan status Costa Rica sebagai pasukan bukan pilihan apabila mereka melakukan persiapan menjelang pertemuan dengan Greece pada pusingan kedua awal pagi esok.

Pasukan dari Amerika Tengah itu melakukan kejutan dalam Kumpulan D apabila mengharungi perlawanan tanpa kalah menentang tiga bekas juara Piala Dunia untuk berada di tangga teratas kumpulan.

Walaupun Pinto gembira dapat membantu Costa Rica kembali berada di peta bola sepak dunia sejak kali terakhir mara ke pusingan kalah mati pada Piala Dunia 1990, beliau mengakui masih belum sesuai untuk menganggap Los Ticos sebagai pasukan pilihan.

"Sekarang semua orang tahu mengenai Costa Rica, mereka sedar kemampuan kami.

"Saya tidak tahu sama ada kami mahu menjadi pasukan pilihan.

Kami tidak berasa seperti pasukan pilihan cuma kami sudah memberikan segala-galanya.

"Keputusan yang diraih memberikan kami keyakinan dan kestabilan, ia menunjukkan nilai yang kami ada.

"Kami bersedia dari segi fizikal dan memberikan aksi terbaik selain rasa hormat setaraf ketika kami berdepan tiga bekas juara dunia," katanya.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/29

No comments:

Post a Comment