Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Si mati' melancong

Posted: 19 Jun 2014 09:20 AM PDT

Beijing: Ada yang memilih untuk menulis sajak, sesi terapi atau mencari penyelesaian yang lebih buruk apabila kehilangan orang yang disayangi.

Namun, seorang wanita di China mengambil pendekatan berbeza.

Jinna Yang, 25, memilih membawa kadbod yang dibuat menyerupai bapanya untuk mengelilingi Eropah bagi menunaikan impian bapanya sebelum meninggal dunia akibat barah perut pada usia 52 tahun.

Bapanya, Jay Kwon Yang yang pernah bertugas sebagai jurutera alam sekitar, membesarkan Jinna dan adik beradiknya secara sendirian selepas bercerai.

Foto

JINNA bersama kadbod gambar bapanya di Blue Lagoon, Iceland.

Foto

DI Le Louvre, Perancis

Foto

DI Florence, Itali.


Dia yang juga ahli perniagaan mengenepikan impiannya menjelajah Eropah dan turut melupakan hasrat untuk menjadi pemain golf profesional semata-mata kerana untuk membesarkan anaknya.


Bagi Jinna, April di dedikasikan khas untuk menyempurnakan impian bapanya walaupun hanya mampu membawa replika kadbod bapanya mengunjungi Eropah.

Dia bersama 'bapanya' mengunjungi tempat terkenal seperti Paris, Itali dan Iceland sambil merakamkan gambar kenangan di lokasi berkenaan untuk merasai 'kehadiran' bapanya di sisi.

Kadbod itu disiapkan bapa rakannya yang bertugas sebagai pereka industri dan direka khas agar mudah dilipat dan dibawa ke mana-mana.

'Percutian keluarga' itu menarik perhatian orang ramai yang melihat Jinna bergambar bersama kadbod potret bapanya.

"Selalunya apabila anda melihat kadbod bersaiz manusia, ia pasti mereka yang terkenal seperti Justin Bieber atau One Direction dan kebiasaannya berada di bilik tidur kanak-kanak. Ramai yang turut bergambar bersama kadbod bapa saya," kata Jinna.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Padah miliki payudara, punggung besar

Posted: 19 Jun 2014 09:09 AM PDT

Mudanjiang: Seorang wanita berjaya diselamatkan oleh anggota bomba selepas tersepit antara dua bongkah batu selepas gagal meloloskan dirinya.

Kejadian berlaku setelah wanita itu tersepit kerana punggung dan payudaranya tidak dapat melepasi ruang antara bongkah batu itu.

Senario menakutkan itu seakan satu adegan dalam filem '127 Hours' berdasarkan kisah benar mengenai seorang pendaki, Aron Ralston yang lengannya tersepit di celah lubang sempit di Blue John Canyon, Utah, pada April 2003.

Watak yang dimainkan oleh James Franco dalam filem adaptasi Danny Boyle itu menceritakan bagaimana dia jatuh ke dalam gaung selama 127 jam selepas meneroka sebuah kawasan terpencil.

Foto

GAMBAR dalam bulatan menunjukkan wanita berkenaan tersepit di celah bongkah batu.


Kerana takut mati keseorangan, Ralston memotong tangannya dengan pisau untuk membolehkan dia melepaskan diri.


Bagaimanapun, nasib wanita yang tersepit itu tidak mempunyai kesudahan yang sama kerana dia diselamatkan oleh 12 anggota bomba. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Semburan air halang cubaan bunuh diri

Posted: 19 Jun 2014 09:04 AM PDT

Qingdao (China): Anggota bomba di sini berjaya menggagalkan satu cubaan bunuh diri dengan menggunakan semburan air bertekanan tinggi.

Jun Lo, 34 mengalami tekanan perasaan dan berniat menamatkan hidupnya dengan terjun dari sebuah bangunan.

Dia mengugut membunuh diri dengan duduk di belebas tingkap sebuah apartmen lima tingkat.

Perbuatan membunuh diri adalah perkara biasa di China sehinggakan sebahagian masyarakat sanggup menunggu di bawah bangunan sambil bertaruh sama ada seseorang itu akan 'terjun' atau hanya 'bersandiwara.'

Foto

JUN duduk di sisi tingkap, mengancam untuk terjun dari bangunan itu.

Foto

ANGGOTA bomba memancutkan air tekanan tinggi, memaksa lelaki itu masuk ke rumah.


Bagi sesiapa yang pernah terselamat dari cubaan bunuh diri sebelum ini berkata, perbuatan mereka dipengaruhi aksi rancangan popular yang sering disiarkan di televisyen.


Ketika kejadian semalam, Jun duduk di tepi tingkap selama dua jam sambil merungut mengenai nasibnya dengan perunding polis.

Dia enggan membatalkan niatnya walaupun selepas dipujuk.

Menurut jurucakap polis, dia kelihatan gelisah dan bersedia terjun pada bila-bila masa.

"Pada satu tahap yang mencemaskan, Jun mengambil beberapa helai pakaian dan membakar serta mencampaknya ke bawah.

"Pada mulanya, anggota bomba memasang jaring untuk 'menyambut' Jun apabila dia terjun tetapi akhirnya mendapat idea lebih berkesan - menggunakan semburan air.

"Semburan air tekanan tinggi itu berkesan, ia memaksanya masuk ke dalam dan pegawai sempat menahannya," kata jurucakap itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Gang Dolly rasmi ditutup

Posted: 19 Jun 2014 08:24 AM PDT

Surabaya: Suasana wanita bersidai rumah pelacuran di sebalik tingkap kaca di Gang Dolly bakal menjadi sejarah ketika kerajaan tempatan secara rasmi menutup kawasan itu semalam.

Disaksikan sendiri Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini, seramai 100 residen Gang Dolly di Putat Jaya membacakan deklarasi menutup operasi di pusat maksiat pernah dianggap terbesar di Asia Tenggara itu.

Turut menyaksikan acara itu, Gabenor Jawa Timur, Soekarwo dan Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Salim Segaf Al Jufri.

Melalui deklarasi itu, penghuni terbabit mahu Gang Dolly menjadi kawasan bersih, selamat dan bebas daripada aktiviti pelacuran.

Foto

PELACUR Gang Dolly berdoa di tengah jalan kerana membantah penutupan kawasan itu oleh Datuk Bandar Surabaya.

Foto

RISMAHARINI (kiri) diiringi pegawai kerajaan bercakap dengan bekas pelacur (bertopeng) yang menerima bantuan di Pusat Islam Dukuh Kupang semalam.


Mereka juga mahu kawasan terbabit menjadi pusat pembangunan dan ekonomi berdasarkan kepada agama dan peraturan negara.


Sebelum itu beberapa kanak-kanak yang sebelum ini bernaung di bawah bangunan di daerah 'lampu merah' itu kemudian membaca al-Quran.

Majlis berkenaan diadakan di Pusat Islam Dukuh Kupang.

Berdasarkan data agensi sosial Surabaya, ada 1,020 pekerja seks dan 311 ibu atau bapa ayam beroperasi di Gang Dolly.

Kawasan itu yang mempunyai 52 rumah pelacuran mula dijadikan pusat maksiat pada 1967 oleh Dolly Khavit.

Sementara itu operator rumah pelacuran berkata, mereka menutup sementara aktiviti di situ sebelum menyambungnya seperti biasa hari ini.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Tempat sebar HIV terbesar di Surabaya

Posted: 19 Jun 2014 08:18 AM PDT

Jember: Pertubuhan Palang Merah Indonesia (PMI) menyokong penuh langkah kerajaan Surabaya menutup pusat pelacuran Gang Dolly kerana mereka masih sering menghadapi masalah darah derma tercemar virus HIV.

Bekas Gabenor Jawa Timur, Imam Utomo berkata, kawasan Gang Dolly adalah satu daripada tempat penyebaran HIV terbesar di Surabaya.

"Kini bukan zaman untuk membiarkan Gang Dolly terus beroperasi," katanya, semalam.

Menurutnya, setiap kali ada aktiviti derma darah dijalankan, PMI akan mengesan darah tercemar dengan virus HIV.

Bagaimanapun, Imam tidak menyatakan peratusan darah derma tercemar dikendali PMI.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Pertempuran militan Islam ragut 7 nyawa

Posted: 19 Jun 2014 08:17 AM PDT

Manila: Pertempuran di antara tentera kerajaan dan militan Islam di selatan Filipina menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh anggota keselamatan maut.

Tentera kerajaan menyerang kumpulan Abu Sayyaf pada subuh semalam di kawasan hutan di Patikul, Sulu.

Jurucakap tentera, Lt Col Ramon Zagala berkata, serangan itu mencetuskan pertempuran sengit.

"Tentera bantuan terkena mortar 10 minit kemudian, menyebabkan enam maut dan 13 lagi cedera," katanya.

Menurut Zagala tiga daripada tentera yang cedera itu dalam keadaan parah dan terpaksa dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Wiranto dedah rahsia Prabowo

Posted: 19 Jun 2014 08:16 AM PDT

Jakarta: Prabowo Subianto berdepan tuduhan baru membabitkan perlakuan jenayah selepas bekas ketuanya mendedahkan butiran keputusan majlis tentera yang membawa kepada pemecatannya 16 tahun lalu.

Bekas Panglima Tentera Indonesia, Wiranto, mengadakan sidang media untuk mendedahkan butiran berkenaan semalam.

Menjadi ketua tentera terakhir dalam era Suharto, Wiranto kini mengetuai Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) yang menyokong Joko Widodo (Jokowi).

Dalam sidang media yang disiar stesen televisyen yang menyokong Jokowi itu, Wiranto membacakan butiran keputusan majlis tentera yang membicarakan Prabowo.

Kata Wiranto, Prabowo sengaja menyalah tafsir arahan diterimanya dan mengarahkan tentera yang bukan di bawah kuasanya menangkap aktivis reformasi.

"Dalam dokumen bertarikh Ogos 1998 itu, majlis tentera mendapati Prabowo cenderung mengabaikan sistem operasi, hierarki, disiplin dan undang-undang," katanya.

Dokumen itu juga, kata Wiranto, mengaitkan Prabowo dengan aktiviti menculik aktivis proreformasi.


"Majlis berkenaan membuktikan Prabowo terbabit dalam kes penculikan dan adalah jelas dia dipecat atas alasan itu," katanya.

Kini dianggap mendahului Jokowi, Prabowo adalah bekas pegawai kanan pasukan elit tentera Indonesia - dikenali sebagai Komando Pasukan Khusus (Kopassus) - yang dipecat pada Mei 1998 oleh Presiden B J Habibie.


Prabowo juga pernah berkahwin dengan anak Suharto sebelum rumah tangga mereka dilaporkan berakhir.

Wiranto berkata, kenyataan semalam dibuat bukan atas kapasitinya sebagai ahli politik.

"Sebagai Muslim, menjadi tanggungjawab saya untuk membetulkan apa-apa yang salah.

"Sebagai bekas tentera saya perlu mempertahankan kebenaran dan keadilan," katanya.-Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Gerindra bakal ambil tindakan undang-undang

Posted: 19 Jun 2014 08:15 AM PDT

Bogor: Parti Gerindra akan mengambil tindakan undang-undang terhadap jurucakap bekas presiden negara itu, Wimar Witoelar kerana menghasilkan gambar penyokong Prabowo Subianto - Hatta Rajasa dengan imej pengganas dan Suharto sebagai latar belakang.

Pada gambar itu Wimar menggunakan judul 'Gallery of Rogues.

Kebangkitan Bad Guys'.

Pegawai kanan pasukan kempen Prabowo-Hatta, Fadli Zon berkata, bahan itu kasar dan wajar dikenakan tindakan undang-undang.

"Panel peguam Prabowo-Hatta akan mengkaji gambar itu sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa," katanya.


Menurut Fadli, jika benar Wimar menyebarkan bahan itu jurucakap Presiden Abdurrahman Wahid itu akan diheret ke mahkamah.

Kata Fadli, dia yakin pertubuhan lain yang dikaitkan dalam gambar itu juga akan mengambil tindakan sewajarnya.


Gambar berkenaan diedar Wimar pada 15 Jun lalu.

Ia memaparkan Prabowo dan Hatta yang diapit bekas Presiden Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Luthfi Hasan Ishaaq; Gabenor Jakarta Barat, Ahmad Heryawan; Menteri Penerangan Tifatul Sembiring; ulama radikal Abubakar Baasyir dan Habib Rizieq; Ketua Umum Parti Persatuan Pembangunan Suryadharma Ali; Ketua Umum Golkar Aburizal Bakrie, Presiden PKS Anis Matta dan pendakwah A A Gym.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

ISIS masih bertahan di Baiji

Posted: 19 Jun 2014 08:14 AM PDT

Tikrit: Tentera Iraq bertempur dengan kumpulan bersenjata Sunni semalam dalam usaha menguasai pusat penapisan minyak terbesar negara itu ketika Perdana Menteri Nuri al-Maliki menanti maklum balas Amerika Syarikat berhubung rayuannya untuk melancarkan serangan udara bagi membantu menangani kemaraan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIS).

Pusat penapisan minyak Baiji yang terletak 200 kilometer ke utara Baghdad menjadi medan tempur apabila tentera kerajaan Iraq mengekang kemaraan pejuang ISIS dan sekutunya yang menyerang kawasan berkenaan kelmarin, sekali gus mengancam bekalan tenaga di negara itu.

Seorang jurucakap kerajaan berkata, tentera mengawal sepenuhnya kawasan itu pagi semalam tetapi saksi berkata, pertempuran masih berterusan dan pejuang ISIS masih belum berundur.

Sehari selepas kerajaan Iraq merayu secara terbuka kepada Amerika Syarikat, memintanya melancarkan serangan udara ke atas pejuang ISIS terdapat tanda-tanda Washington meragui tindakan itu akan berkesan memandangkan ia membahayakan nyawa orang awam dan bakal menimbulkan kemarahan sekiranya lebih ramai orang tidak berdosa mati.

Foto

SEORANG pejuang ISIS melambai ketika memasuki kawasan penapisan minyak Baiji, kelmarin.


Sekutu serantau Amerika Syarikat dilihat tidak berminat dengan rancangan berkenaan.


Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan, sekutu NATO, berkata, AS tidak melihat serangan itu secara positif memandangkan ia membahayakan orang awam.

Beberapa pegawai Amerika juga berpendapat seperti itu.

Sumber Arab Saudi berkata, kuasa Barat bersetuju dengan Riyadh bahawa apa yang diperlukan kini ialah perubahan politik dan bukan campur tangan luar bagi mengatasi masalah perpecahan mazhab yang semakin buruk di bawah pemerintahan Nuri.

Rakaman video yang disiarkan stesen televisyen tempatan menunjukkan kepulan asap menyelubungi kawasan pusat penapisan minyak di Baiji itu dan panji hitam yang digunakan ISIS berkibar di sebuah bangunan.

Pekerja yang sebelum ini terperangkap di pusat berkenaan memberitahu, ISIS dilihat menguasai hampir keseluruhan perkarangan kawasan itu dan pasukan keselamatan hanya tertumpu di bilik kawalan loji penapisan berkenaan.

"Kira-kira 250 hingga 300 pekerja yang masih terperangkap di kawasan berkenaan berjaya dibawa keluar awal pagi semalam," menurut sumber.

Baiji, 40 kilometer ke badar Tikrit, kubu kuat bekas Presiden Saddam Hussein, terletak di kawasan yang ditawan beberapa kumpulan pejuang Sunni yang diketuai ISIS yang merancang membentuk sebuah negara Islam di Iraq dan Syria.

Kemaraan mereka disekat dengan penyusunan semula tentera, militia dan sukarelawan Syiah.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Bertempur di Jenin

Posted: 19 Jun 2014 08:03 AM PDT

Baitulmaqdis: Tentera Israel bertempur dengan penduduk Palestin awal semalam ketika askar Zionis itu melancarkan serbuan dalam operasi menjejaki tiga remaja Yahudi yang dipercayai diculik di Tebing Barat.

Ia keganasan terburuk sejak usaha mencari remaja itu dilancarkan seminggu lalu.

Israel yang mendakwa kumpulan Hamas terbabit dalam penculikan itu walaupun tidak mempunyai bukti bertindak menangkap sejumlah besar anggota pergerakan berkenaan sambil melancarkan operasi mencari itu.

Hamas walaupun memuji penculikan remaja berkenaan, tidak mengaku bertanggungjawab.

Ketiga-tiga mereka - Eyal Yifrah, 19, Gilad Shaar, 16, dan Naftali Fraenkel, 16, yang juga mempunyai kerakyatan Amerika - hilang Khamis lalu ketika dalam perjalanan pulang dari kuil Yahudi di Tebing Barat.

Tentera Israel berkata, dalam kejadian semalam, kira-kira 300 penduduk Palestin berhimpun di jalan raya apabila mereka memasuki Jenin kira-kira jam 2 pagi.

Ada yang melepaskan tembakan sementara yang lain melontar batu dan bahan letupan.

Askar Zionis itu bertindak balas dengan melepaskan tembakan.

Seramai 30 penduduk ditahan selepas kejadian itu.

Pengarah hospital di Jenin, Nadir Irshaid berkata, tujuh orang dirawat kerana cedera ringan akibat tembakan dan dipukul.

Sejak operasi mengesan tiga remaja itu bermula, kira-kira 280 rakyat Palestin ditahan, termasuk 200 anggota Hamas.

Pihak berkuasa Israel berkata, mereka sudah mencari di hampir 100 kawasan dan menyerbu institusi yang didakwa digunakan Hamas.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata Hamas perlu 'membayar harga yang mahal' kerana kehilangan ketiga-tiga remaja itu.

Sehingga ini, tidak ada tanda menunjukkan mangsa masih hidup.

Tuntutan wang tebusan atau tuntutan lain daripada penculik juga tidak diterima.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

No comments:

Post a Comment