Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Degil sangat

Posted: 13 Jun 2014 12:59 PM PDT

Kuala Lumpur: Keras kepala! itulah gambaran terhadap ramai pemilik kenderaan yang sewenang-wenang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sekitar ibu kota hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Tindakan degil itu menyebabkan pihak polis Trafik Kuala Lumpur terpaksa bertindak tegas mengenakan saman terhadap 86 kenderaan dalam operasi sekatan jalan bermula jam 10 malam kelmarin.

Operasi tertumpu di kawasan Jalan Bukit Bintang, Jalan Alor, Jalan Raja Chulan, Jalan Imbi dan Jalan Tong Shin di sini.

Dalam operasi berakhir jam 1 pagi semalam, sebanyak lapan kenderaan turut ditunda selepas polis gagal mengesan pemiliknya.

Foto

SEORANG anggota polis trafik mengeluarkan saman pada sebuah kereta.

Foto

ANGGOTA polis menunda kenderaan yang diparkir di bahu jalan.


Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi itu dilakukan berdasarkan aduan awam terhadap kesesakan lalu lintas di beberapa laluan tumpuan awam.


Menurutnya, operasi itu dilakukan bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada pemandu kereta supaya tidak meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga mengganggu kelancaran aliran trafik.

"Kita berharap pengguna yang datang ke kawasan tumpuan awam ini lebih bertimbang rasa dan meletakkan kenderaan di kawasan dikhaskan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pengguna juga disarankan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan.

Mohd Nadzri menegaskan operasi seumpama ini akan diadakan dari semasa ke semasa untuk memastikan pemandu kenderaan tidak meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.

Sementara itu, operasi terbabit turut disertai anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membantu polis menunda kenderaan ditinggalkan pemandu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Pecah ATM kebas RM100,000

Posted: 13 Jun 2014 12:47 PM PDT

Alor Setar: Sekumpulan penjenayah menggunakan gas pemotong logam (Oxyacetylene) untuk memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank sebelum melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM100,000 dalam kejadian di Jalan Tunku Ibrahim, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.30 pagi ketika perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 antara Brazil dan Croatia sedang berlangsung apabila penjenayah memecahkan satu daripada empat deretan mesin ATM dan juga mesin deposit tunai (CDM) di premis terbabit.

Sumber berkata, siasatan awal pihak polis mendapati kumpulan penjenayah dipercayai menutup kamera litar tertutup (CCTV) pada mesin ATM terbabit sebelum bertindak memecahkan mesin berkenaan menggunakan gas Oxyacetylene.

Menurutnya, mereka juga dipercayai cuba memecahkan mesin ATM kedua, tetapi gagal apabila sistem penggera berbunyi menyebabkan penjenayah terbabit meninggalkan premis berkenaan.

"Pihak polis hanya dimaklumkan mengenai kejadian apabila kakitangan syarikat kawalan keselamatan terbabit yang melakukan pemeriksaan rutin mendapati mesin ATM dipecahkan lalu membuat laporan polis kira-kira jam 9.30 pagi.

"Ini berikutan syarikat kawalan keselamatan berkenaan hanya menerima isyarat daripada ibu pejabat mereka memaklumkan mesin ATM menghadapi masalah tanpa menyedari ia dipecahkan oleh kumpulan penjenayah sehinggalah mereka melakukan pemeriksaan rutin di premis itu," katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, CCTV berkenaan berjaya merakam imej lelaki berjambang dan memakai topi sebelum ia ditutup dengan pita pelekat.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan sedang dilakukan bagi memburu kumpulan penjenayah dipercayai membabitkan lebih daripada dua orang berkenaan.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 04-7321222.

Foto

UNIT Forensik PDRM memeriksa mesin ATM yang dipecahkan dan kerugian dianggarkan lebih RM100,000 dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Beban tugas melampau

Posted: 13 Jun 2014 12:46 PM PDT

Kuching: Kementerian Kesihatan mendedahkan ada segelintir doktor perubatan di negara ini mengalami tekanan perasaan, selain berisiko mengalami sakit mental berikutan beban tugas melampau yang terpaksa ditanggung setiap hari.

Ketua Perkhidmatan Psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Toh Chin Lee berkata, perkembangan itu berdasarkan kajian kementerian baru-baru ini yang turut memperlihatkan peningkatan membimbangkan jumlah pesakit mental di Malaysia.

"Kami dapati wujud kes tekanan perasaan dan sakit mental membabitkan doktor perubatan.

"Usaha sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti mereka dan kami akan lakukan rawatan awal bagi mengelak implikasi kepada pesakit dirawat," katanya ketika Persidangan Kesihatan Mental Peringkat Negeri, di sini, semalam.

Foto

TOH (kanan) merasmikan Persidangan Kesihatan Mental Peringkat Negeri, semalam.


Toh berkata, perkembangan itu cukup membimbangkan kerana berpandukan kajian yang dibuat menyaksikan jumlah pesakit mental dalam negara semakin meningkat dan membimbangkan.


Katanya, kajian itu turut menunjukkan lebih 20.3 peratus kanak-kanak berusia antara 11 dan 15 tahun dan lebih 11.2 peratus berusia 16 tahun ke atas di negara ini memiliki risiko gangguan mental.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Perkongsian hebat

Posted: 13 Jun 2014 12:35 PM PDT

Kuala Lumpur: Tanpa mengupah kepakaran lain, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa berjaya meningkatkan pembangunan sekolah dengan menggunakan kemahiran dimiliki ahli.

Beberapa siri kejayaan diketengahkan sekolah itu sama ada dalam sukan mahupun akademik dengan bantuan kumpulan sokongan ibu bapa (KSIB) yang ditubuhkan di bawah program Sarana Ibu Bapa dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Perkongsian hebat itu membuatkan PIBG sekolah itu merangkul Anugerah PIBG Cemerlang Terbaik Keseluruhan Peringkat Kebangsaan 2012/2013.

Yang Dipertua PIBG SK Setiawangsa Amiruddin Sahudi berkata, padang sekolah, gelanggang futsal, galeri PIBG serta melatih murid dalam pelbagai aktiviti sukan dan kebudayaan semuanya dilakukan ibu bapa dan guru.

"Ahli kami terdiri daripada pelbagai latar belakang profesion dan kami gunakan kekuatan yang ada tanpa perlu mengeluarkan modal mengupah kepakaran lain.

"Selain wang ringgit dan tenaga, ada sanggup menaja langsir dan cat untuk keceriaan sekolah.

Malah, semua reka bentuk padang dan pembinaan gelanggang sukan permainan menggunakan khidmat ahli kami sendiri seorang arkitek.

"Malah, ada ahli menjadi jurulatih acara sukan hingga mampu bersaing ke peringkat daerah dan wilayah," katanya.

Menurutnya, melalui kaedah sama mereka juga berjaya membina sebuah galeri PIBG yang menempatkan bahan dokumentasi aktiviti dan kejayaan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Mohon masuk penjara

Posted: 13 Jun 2014 12:35 PM PDT

Kuantan: Seorang pengarah syarikat didenda RM29 juta dan dipenjara 10 tahun manakala isterinya didenda RM21 juta dan dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah terhadap 189 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM170 juta lapan tahun lalu.

Hakim Noradidah Ahmad membuat keputusan itu terhadap Datuk Dr Jailani Jabar, 54 dan isterinya, Datin Dr Latifah Taib, 53, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan, 79 saksi pendakwaan dan lapan saksi pendakwaan tampil memberi keterangan.

Dr Jailani menghadapi 106 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM98.7 juta manakala Dr Latifah menghadapi 83 tuduhan membabitkan RM71.3 juta antara Februari 2006 hingga Oktober 2007.

Foto

DR Jailani menghadapi 106 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM98.7 juta.


Mereka yang juga pengarah syarikat Jai Network System Sdn Bhd di Jalan Beserah di sini, dituduh menggunakan wang hasil aktiviti pengubahan wang haram untuk pelbagai kegunaan termasuk membayar deposit pembelian hartanah, pembayaran ansuran pelbagai jenis kereta, pemindahan ke akaun milik mereka serta mendapatkan hak pengedar minyak hidrogen.


Pasangan itu didakwa mengikut Sub Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dan Pegawai Pendakwa Bank Negara, Fahmi Abd Moin dan Mohd Shukri Ahmad Mansor.

Pasangan itu diwakili peguam Mohd Zulfiqri Zakaria, Mohd Firuz Jafril dan Alvin Tan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

No comments:

Post a Comment