Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lelaki 248kg keluar rumah

Posted: 18 Jun 2014 09:21 AM PDT

Shenyang (China): Seorang lelaki yang berat 248 kilogram buat pertama kali dalam masa tiga tahun keluar dari apartmennya selepas anggota bomba mengangkatnya mengguna cadar.

Hang Hang, 20, tidak mampu meninggalkan rumahnya di wilayah Liaoning kerana saiz terlalu gemuk.

Hang yang ketagih makanan bergula seperti pankek, akhirnya berjaya keluar dari rumahnya dengan bantuan anggota bomba.

Untuk mengangkatnya keluar, dia dibawa turun dengan mengguna cadar tebal menerusi tangga dan diangkat oleh sembilan anggota bomba.

Foto

SEMBILAN anggota bomba membantu mengangkat Hang keluar dari rumahnya, pertama kali dalam masa tiga tahun.


Berikutan kejayaan itu, Hang dapat menikmati udara segar di atas katil yang dibuat khas untuknya, buat pertama kali selepas 36 bulan terkurung di dalam rumah.


Misi 'menyelamat' berkenaan dianjurkan oleh sebuah media tempatan yang terbabit melancarkan kempen membantunya supaya dapat menghirup udara segar.

Ibu Hang memberitahu wartawan, anaknya sejak dulu lagi berdepan dengan masalah berat badan.

Pada usia 17 tahun, beratnya mencapai 146 kilogram.

Beratnya bertambah dan tidak dapat dikawal, meningkat dari 146 kilogram hingga 248 kilogram sejak tinggal bersama-sama ibunya tiga tahun lalu, menyebabkan dia terperangkap di dalam rumah.

Ibunya berkata, untuk sekali makan, Hang boleh menghabiskan 10 pankek, satu mangkuk besar bubur dan sayur.

Bulan lalu seorang lelaki warga Mexico yang pernah disenaraikan sebagai 'manusia paling berat di dunia' mati pada usia 48 tahun.

Manuel Uribe yang beratnya 552 kilogram hanya menghabiskan sisa hidupnya di atas katil.

Bagaimanapun, Uribe berjaya mengurangkan beratnya sebanyak 387 kilogram selepas dinobatkan sebagai manusia paling gemuk oleh Rekod Dunia Guinness pada 2006.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Tak tidur 3 hari, 3 malam kerana tonton Piala Dunia

Posted: 18 Jun 2014 09:14 AM PDT

Shanghai: Seorang peminat bola sepak di China mati akibat serangan jantung kerana dipercayai berjaga selama tiga malam berturut-turut untuk menonton perlawanan Piala Dunia FIFA 2014.

Zhou Meng, 39 rebah di atas sofa selepas diserang sakit jantung ketika menonton perlawanan antara pasukan Uruguay dan Costa Rica, Sabtu lalu.

Dia sebelum ini dikatakan berjaga sepanjang malam pada Khamis dan Jumaat untuk menonton siaran langsung liputan perlawanan itu yang diadakan di Brazil dan bekerja pada siang hari.

Zhou dikejarkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri tetapi disahkan mati beberapa jam kemudian.

Foto

GELAGAT rakyat China menonton perlawanan Piala Dunia.


Menurut pengarah bahagian pembedahan saraf, Gao Liang, mangsa pernah mengalami tekanan darah tinggi sebelum ini.


Zhou bukannya satu-satunya orang yang mengalami masalah seperti itu sejak perlawanan Piala Dunia bermula 13 Jun lalu.

Hospital Shanghai menerima lebih banyak kes kecemasan berbanding kebiasaannya minggu lalu, minggu pertama kejohanan Piala Dunia.

Ini termasuk peminat bola yang menerima kesan akibat berjaga sehingga ke awal pagi dan mengorbankan waktu tidur untuk menonton siaran langsung itu.

Menurut doktor di hospital Huashan, jumlah pesakit meningkat sebanyak 50 peratus hujung minggu lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Lelaki ditahan baling bola dadah ke dalam penjara

Posted: 18 Jun 2014 08:55 AM PDT

Jackson (Michigan): Pihak berkuasa di sini semalam menahan seorang lelaki yang cuba membaling bola berisi dadah dan telefon bimbit ke dalam perkarangan penjara.

Jurucakap polis, Toby Baker berkata, cubaan membaling bola itu tidak berjaya apabila bola itu jatuh antara dua pagar, bukan di dalam padang tempat banduan bersenam.

Pegawai di pusat pemulihan G Robert Cotton itu melihat perbuatan suspek membaling bola dan berjaya menahannya.

Akhbar Detroit Free Press melaporkan, bola itu mengandungi dadah jenis heroin, ganja, tembakau, tiga telefon bimbit serta pengecas telefon.


Berikutan kejadian itu, Christen D. Moore, 20, dihadapkan ke mahkamah daerah Jackson atas tuduhan menyeludup dan ditahan sementara menunggu untuk dibicarakan pada 30 Jun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Wanita bunuh suami kerana dendam 40 tahun

Posted: 18 Jun 2014 08:54 AM PDT

Tokyo: Polis semalam menahan seorang suri rumah berusia 79 tahun yang didakwa memukul suaminya sehingga mati kerana menjalin hubungan sulit dengan wanita lain 40 tahun lalu.

Menurut jurucakap polis, Yoshiko Suzuki menggunakan 'objek seperti kayu' untuk menyerang suaminya, Masaharu, 79, di rumah mereka di bandar Nakai, 60 kilometer ke barat Tokyo, Ahad lalu.

"Suami saya kehilangan kerjayanya 40 tahun lalu kerana menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita.

Hal ini menyebabkan kami sering bertengkar," kata suspek kepada penyiasat.

Polis pernah meleraikan satu pertengkaran di antara mereka September lalu.

Pasangan berkenaan hidup bersama anak mereka berusia 43 tahun yang keluar membeli-belah ketika kejadian.

Yoshiko ditahan atas tuduhan serangan yang menyebabkan kematian dan kesnya diserahkan kepada pendakwa raya di wilayah Kanagawa.

Tahun lalu seorang wanita Jepun memukul suaminya yang berusia 70 tahun hingga mati dengan cawan selepas mengetahui lelaki berkenaan menjalinkan hubungan sulit.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Jalan Gang Dolly dihalang pelacur

Posted: 18 Jun 2014 08:54 AM PDT

Surabaya: Ratusan pekerja seks komersial (PSK) dan bapa ayam yang selama ini bekerja di Jalan Jarak serta Gang Dolly menghalang laluan Jalan Dukuh Kupang menuju ke pusat pelacuran itu sehingga lima hari akan datang.

Jurucakap pasukan peguam Barisan Pekerja Lokalisasi, Anisa berkata, mereka hanya akan membuka laluan berkenaan jika usaha membatalkan penutupan pusat pelacuran itu berjaya.

"PSK di Jalan Jarak dan Gang Dolly menolak penutupan kompleks tempat mereka mencari nafkah kerana menganggap ia menyebabkan kesengsaraan dan menambah jumlah pengangguran," katanya.

Kata Anisa, jika kawasan berkenaan tidak membayar cukai kepada pihak berkuasa tempatan, mereka tidak boleh dipersalahkan.

Sebaliknya, kata Anisa, pihak berkuasa perlu menyalahkan kerajaan tempatan.

"Ketika ini pemerintah Surabaya tidak perlu menguruskan kompleks pelacuran kerana masalah pengangguran lebih penting diperangi.

"Kerajaan perlu atasi dulu masalah itu, sejahterakan rakyat barulah memikirkan isu di Gang Dolly," katanya.

Sementara itu, menanggapi deklarasi penutupan dilakukan pemerintah Surabaya malam tadi, Anisa berkata, tindakan itu menyalahi undang-undang.

"Tak ada kewajipan untuk mentaati keputusan itu.

Kami akan mencabarnya di mahkamah dan menyaman Datuk Bandar," katanya.- Agensi

Foto

PELACUR dan pelanggan di kawasan laluan ke Gang Dolly di Surabaya yang ditutup, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Drebar laknat jual gambar cabul budak

Posted: 18 Jun 2014 08:52 AM PDT

Jakarta: Polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun kerana disyaki menjual gambar dan video mempamerkan aksinya mencabul budak lelaki berusia bawah 10 tahun.

Hanya dikenali sebagai Martono, lelaki terbabit melakukan aktiviti keji itu di bilik sewaannya di Tangerang.

Jurucakap polis Jakarta, Rikwanto berkata, suspek berusia 33 tahun dan bertindak sendirian.

"Bahan lucah itu dijual kepada pelanggan melalui dalam talian," katanya.

Katanya, Martono ditangkap dua minggu lalu.

Katanya, suspek memasang kamera di bilik sewanya sebelum memperdaya mangsa melakukan aksi seksual bersama di situ.

Menurut Rikwanto, suspek bekerja sebagai pemandu dan sudah menjual puluhan gambar serta video aksinya sejak enam bulan lalu.

Hasil daripada aktiviti itu, katanya, Martono memperoleh bayaran sehingga Rp30 juta (RM8,087).

"Polis merampas dua kad SD mikro yang mempunyai kapasiti satu dan 15 gigabit," katanya.

Di dalam kad memori itu, katanya, terkandung ratusan gambar serta video menunjukkan Martono mengadakan aksi seks dengan enam budak lelaki berlainan.

"Sesetengah budak terbabit muncul dalam lebih daripada satu video," katanya.

Bahan itu, kata Rikwanto, dimuat naik di laman sesawang bagi membolehkan pelanggan memilih klip atau gambar yang ingin dibeli.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Filipina mohon tribunal percepatkan keputusan

Posted: 18 Jun 2014 08:52 AM PDT

Manila: Filipina berkata, mereka akan memohon tribunal antarabangsa mempercepatkan keputusan mengenai perairan yang menjadi pertikaian dengan China di Laut China Selatan selepas Beijing enggan menyertai prosidingnya.

Setiausaha Luar Albert del Rosario berkata Manila juga mungkin meminta mahkamah PBB di The Hague mengeluarkan arahan bagi memaksa proses tebus guna di Kepulauan Spratly yang dipertikaikan itu dihentikan.

"Manila memohon pengesahan di tribunal itu bagi memperoleh haknya di kawasan zon eksklusif seluas 200 batu nautika seperti dibenarkan Konvensyen Undang-undang Laut PBB," katanya.

Awal bulan ini China menolak notis tribunal itu yang memberi Beijing tempoh sehingga 15 Disember ini untuk memberi maklum balas atas kes difail Manila.

Del Rosario berkata, disebabkan China enggan menyertai prosiding itu dan pada masa sama keadaan menjadi semakin buruk, dia meminta pasukan peguam mewakili Filipina di AS mencari jalan bagi mengemukakan permohonan untuk mempercepat proses berkenaan.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Kemboja tuduh Thai sengaja usir pendatang

Posted: 18 Jun 2014 08:51 AM PDT

Poipet: Kemboja menuduh junta tentera Thailand sengaja merancang perpindahan pekerja migran keluar dari negara berkenaan dan menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh.

Menteri Dalam Negara Kemboja, Sar Kheng berkata, selepas tentera merampas kuasa mereka bertindak mengusir pendatang tanpa izin dari Kemboja tanpa berunding terlebih dulu dengan Phnom Penh.

"Setakat ini lapan orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya akibat perpindahan beramai-ramai itu," katanya.

Sejak tentera melakukan kudeta 22 Mei lalu kira-kira 180,000 warga Kemboja - yang membantu aktiviti ekonomi Thailand walaupun tanpa permit kerja sah - menyeberangi sempadan untuk pulang ke kampung masing-masing.

Mereka bertindak begitu kerana khuatir tentera akan menangkap mereka kerana masuk ke Thailand tanpa dokumen sepatutnya.

Kata Sar Kheng, junta tentera Thailand perlu bertanggungjawab atas apa yang menimpa warga Kemboja.

Katanya, warga Kemboja membantu mengembangkan ekonomi Thailand - kedua terbesar di Asia Tenggara.

"Apabila mereka pulang, pasti timbul masalah.

"Berdasarkan maklumat tidak rasmi, majikan Thailand mula menyuarakan bantahan dalam isu ini," katanya.

Gabenor Banteay Meanchey, Kor Sam Saroeut berkata, jumlah warga Kemboja yang pulang melalui sempadan Poipet di wilayah berkenaan mencecah 188,000 orang.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Penyebar fitnah petugas Susilo?

Posted: 18 Jun 2014 08:50 AM PDT

Jakarta: Calon presiden Joko Widodo (Jokowi) membayangkan, tabloid Obor Rakyat yang menerbitkan maklumat "tidak berasas" mengenainya mungkin mempunyai kaitan dengan kerajaan.

"Hakikatnya ketua pengarang tabloid itu petugas pejabat presiden.

"Justeru apa lagi yang dapat saya katakan?" katanya kepada media selepas berkempen di Karawang, Jawa Barat semalam.

Kenyataan itu dibuat merujuk kepada anggota pasukan pembantu khas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Setiyardi Boediono, yang dikenal pasti sebagai Ketua Pengarang Obor Rakyat.

Akhbar itu diterbitkan dengan menumpukan laporan mengenai sisi negatif Jokowi, termasuk yang dianggap sengaja direka-reka.

Tabloid berkenaan kemudian diedar secara percuma di beberapa pusat pengajian Islam tradisional Indonesia.

Foto

JOKOWI berucap di depan penduduk Majalengka, Jawa Barat semalam.


Bagaimanapun Jokowi enggan memberi komen sama ada kenyataan itu menjadi bukti pembabitan kerajaan menyerangnya.


"Saya tidak mahu menjawab soalan itu, namun pada hakikatnya Setiyardi adalah petugas Istana Presiden," katanya.

Kelmarin jurucakap polis Indonesia Ronny Sompie menegaskan, pihak berkuasa akan bekerjasama dengan Majlis Wartawan dan Badan Pengawas Pemilihan Umum untuk menyiasat kes Obor Rakyat.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Pelacur Gang Dolly pulau pemilihan presiden

Posted: 18 Jun 2014 08:48 AM PDT

Surabaya: Pekerja seks di Gang Dolly dan Jarak di Surabaya bersepakat memulaukan pemilihan presiden 9 Julai ini sebagai bantahan tindakan penutupan pusat pelacuran di situ.

Menggelar diri mereka sebagai pekerja seks komersial (PSK) mereka menganggap kedua-dua pasangan calon yang bertanding mengabaikan nasib mereka.

Jurucakap mereka berkata, tiada calon datang melawat mereka setakat ini.

"Pihak yang datang melawat kami cuma pemimpin peringkat bawahan dan kami di sini setuju untuk enggan menyertai pemilihan nanti," katanya.

Namun secara peribadi, pelacur itu berkata, dia memang tertarik kepada Prabowo Subianto.


"Prabowo itu orangnya gagah dan mantap.

"Alangkah baiknya jika dia mahu menikahi saya," katanya sambil ketawa.


Mengenai Joko Widodo, dia berkata, dia enggan memberi sebarang komen kerana tokoh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan itu sudah beristeri.

"Tapi Prabowo itu duda," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

No comments:

Post a Comment