Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Isyarat untuk SPRM

Posted: 05 Jun 2014 12:27 PM PDT

Bangi: "Kalau (SPRM) hendak siasat, siasatlah dengan betul-betul. Apa-apa yang wajar hendaklah diputuskan segera. Apa juga diputuskan kastam perlulah mengikut prosedur. Apa juga permohonan mestilah mengikut prosedur tanpa merugikan kerajaan.

"Jika berlaku perlanggaran peraturan, kompaun mestilah dikenakan dan hendaklah mengikut prosedur yang tidak merugikan hasil negara," itu reaksi Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.


Beliau mengulas laporan bersiri akhbar ini mengenai 107 kereta mewah dan kelas pertengahan pelbagai jenama bernilai lebih RM100 juta disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas didapati mengelak daripada membayar cukai dengan menggunakan plat G1M atau Gagasan 1Malaysia.

Ia adalah reaksi kedua selepas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed mahu kerajaan bertindak tegas terhadap anggota penguat kuasa yang didapati terbabit dalam penyalahgunaan kuasa sehingga membawa kepada kegiatan penyeludupan kereta mewah ke negara ini.


Dalam kenyataan seperti disiarkan semalam, Nur Jazlan berkata, penyeludupan kereta mewah membawa kerugian hasil kerajaan, sekali gus menyebabkan usaha membangunkan negara terbantut.


Harian Metro dalam siaran bermula 30 Mei lalu mendedahkan, sindiket akan menggunakan taktik mendaftarkan kereta mewah seperti Ferrari, Audi, Bentley, Rolls Royce, Porsche dan Lamborghini manakala bagi kereta dalam kategori kelas pertengahan adalah Toyota, Nissan dan Mitsubishi menggunakan pendaftaran nombor plat G1M di Langkawi sebelum dijual semula kepada pembeli dengan harga jauh lebih murah.

Foto

AHMAD meneliti laporan Harian Metro mengenai pendedahan skandal G1M.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

'Perang' judi bola

Posted: 05 Jun 2014 12:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia mengisytiharkan 'perang' terhadap sindiket perjudian bola sepak sempena Piala Dunia yang bermula 13 Jun ini.

Pengarahnya, Datuk Sri Mortadza Nazareene berkata, JSJK akan mewujudkan satu pasukan khas bagi memantau beberapa laman web perjudian luar negara yang menarik minat kaki judi tempatan sepanjang tempoh kejohanan itu.


Bagi memastikan pelaksanaan operasi berkesan, pihak JSJK akan berganding bahu bersama Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Siasatan berhubung judi bola sepak dilakukan JSJ, namun pihak kami akan bekerjasama dengan mereka untuk menangani judi bola sepak dalam talian (online) yang pastinya menjadi tumpuan kaki judi.


"Ada sesetengah negara yang membenarkan kegiatan perjudian dan kelebihan itu kemungkinan akan dimanipulasikan sindiket untuk menjalankan kegiatan perjudian di negara ini," katanya selepas pelancaran Kempen Kesedaran Jenayah Global Interpol bertemakan 'Turn Back Crime' di Bukit Aman, semalam.


Kempen yang julung kali diadakan itu dilancarkan hasil inisiatif Sekretariat Interpol dalam persidangan mereka di Lyon, Perancis pada 2 hingga 4 April lalu disertai 190 negara anggota.

Beliau berkata, melalui kerjasama dengan polis Interpol, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJK berjaya membanteras sindiket jenayah terancang merentasi sempadan dengan lebih berkesan.


"Selain menjalinkan kerjasama dengan polis negara jiran, kita turut menghantar pegawai dan anggota menjalani latihan sama ada secara teori mahupun praktikal.

"Lebih membanggakan, kita dapat mengurangkan kadar jenayah sindiket wang palsu iaitu hanya 25 kes dicatatkan sepanjang Januari hingga Mei tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Cemas cucu tersepit

Posted: 05 Jun 2014 11:51 AM PDT

Melaka: "Isteri sempat menarik keluar seorang daripada cucu sebelum sekelip mata tebing konkrit itu runtuh menghempap hampir keseluruhan kereta mengakibatkan seorang lagi cucu tersepit," kata Tham Peng Yong, 59, datuk kepada Koh Sue Siang, 9.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Koh hanya mengalami luka kecil pada kaki akibat tersepit selepas tebing konkrit di belakang taman perumahan bersebelahan Toyota Corolla milik datuknya yang diparkir di Jalan C P1/21B, Taman Cheng Perdana, Cheng, di sini runtuh menghempap kereta berkenaan, kelmarin.

Kejadian turut mengakibatkan Tham bersama isterinya, Wong Yok Moy, 57, melalui detik cemas apabila menyaksikan sendiri cucu mereka itu dihempap runtuhan dan terpaksa menunggu hampir setengah jam sebelum kanak-kanak berkenaan diselamatkan.

Dalam kejadian itu, bahagian hadapan sebuah BMW yang diparkir berhampiran turut ditimbus runtuhan dan Toyota Wish dipandu Mohd Akhbar Shahril, 35, yang melalui jalan berkenaan ketika kejadian rosak terkena serpihan runtuhan, manakala sebatang tiang elektrik patah dua dihempap tebing konkrit terbabit.

Foto

KOH tersepit selepas kereta dinaiki ditimbus runtuhan.


Dipercayai tebing konkrit yang baru siap dibina kira-kira enam bulan lalu itu runtuh berikutan berlaku hakisan tanah di kawasan berkenaan kerana hujan lebat berterusan yang melanda negeri ini sejak petang kelmarin.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

8 minit keluar budak

Posted: 05 Jun 2014 11:50 AM PDT

Melaka: Pasukan bomba dan penyelamat hanya mengambil tempoh lapan minit bagi mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang terperangkap selepas kereta datuknya musnah ditimbus runtuhan tebing konkrit di Taman Cheng Perdana, Cheng, di sini, kelmarin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Ahmad Adli Abd Rahman berkata, mangsa, Koh Sue Siang hanya cedera ringan di bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan serta rawatan.


Katanya, pihaknya menerima panggilan jam 10.34 malam dan jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu serta Jalan Kubu tiba di lokasi jam 10.50 malam.

"Ketika tiba, terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun terperangkap di dalam Toyota Corolla yang ditimbus runtuhan berkenaan.


"Namun, dengan kekuatan 11 anggota diketuai Ketua Operasi Ketua BBP Tangga Batu Roslan Jalil dibantu orang awam serta menggunakan sebuah jengkaut, mangsa selamat dikeluarkan jam 10.58 malam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, kelmarin.


Menurutnya, pihaknya sedang memantau keadaan tanah di kawasan itu bagi memastikan ia stabil.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Baru 3 hari dah kemalangan

Posted: 05 Jun 2014 11:41 AM PDT

Seremban: Seorang lelaki yang baru tiga hari memulakan kerja sebagai pemandu lori cedera di kaki, selepas lori yang dipandunya dikatakan mengalami masalah brek lalu merempuh sebuah lori lain dan tembok Plaza Tol Rasah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, lori membawa muatan pasir dipandu mangsa berusia 30-an terbabit dikatakan cuba menekan brek beberapa kali sebelum tiba di plaza tol berkenaan, namun tidak berhasil.


Saksi, Basir Yahya, 61, yang juga pengawal keselamatan di tol berkenaan menyedari kehadiran lori itu sebaik mendengar bunyi brek yang kuat.

"Mangsa cuba memberhentikan lori dipandunya itu sejurus menghampiri plaza tol, namun dia dipercayai gagal berbuat demikian kerana mengalami masalah brek. "Berikutan itu, mangsa cuba mengelak merempuh sebuah lagi lori yang membawa muatan pasir, namun gagal menyebabkan lorinya hilang kawalan lalu merempuh pula tembok plaza tol itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Menurutnya, akibat rempuhan itu, pekerja tol segera membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum bertindak menghubungi bomba dan ambulans.


Basir berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

No comments:

Post a Comment