Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Doktor mati dalam tandas

Posted: 10 Jun 2014 01:52 PM PDT

Alor Gajah: Seorang doktor lelaki yang sedang bertugas ditemui mati tanpa seurat benang dalam keadaan tertiarap di dalam tandas di Hospital Alor Gajah (HAG), di sini, semalam.

Difahamkan, mayat mangsa berusia 29 tahun itu ditemui pada jam 9 pagi oleh beberapa kakitangan hospital terbabit selepas membuka pintu tandas berkenaan yang berkunci dari dalam.

Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, baru dua bulan ditugaskan di hospital itu dan kehilangannya disedari pada jam jam 8.30 pagi.

"Difahamkan, pada jam 6.30 pagi, mangsa menerima panggilan kecemasan dari wad kanak-kanak perempuan di hospital itu.

Foto

AHLI keluarga mangsa di pekarangan bilik mayat, semalam.


"Beberapa jam kemudian, beberapa kakitangan yang menyedari kehilangannya cuba mencari dan menghubungi mangsa sebelum memaklumkan kejadian kepada Pengarah HAG Dr Suraidah Karim," katanya.


Menurutnya, selepas gagal membuka pintu tandas itu, mereka bertindak mengumpilnya sebelum menemui mangsa tertiarap tanpa seurat benang.

"Kakitangan hospital cuba memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa, namun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari mangkuk tandas dalam bilik air yang terletak di bilik doktor di hospital terbabit.

"Kali terakhir mangsa dilihat masuk ke dalam bilik doktor oleh kakitangan hospital pada jam 6.45 pagi, namun kira-kira jam 8.30 pagi, dia gagal dihubungi.

"Mangsa ditemui pada jam 9 pagi di dalam tandas bilik berkenaan oleh Dr Suraidah dan kakitangannya selepas mereka membuka pintu tandas itu," katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat HAG untuk dibedah siasat.

Usaha Harian Metro menemu bual ahli keluarga mangsa gagal kerana mereka terlalu bersedih dan terkejut dengan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Pencuri malang terkepung kena belasah

Posted: 10 Jun 2014 01:49 PM PDT

Butterworth: Dua lelaki menerima habuan segera apabila dibelasah orang ramai selepas ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah kediaman di Taman Chai Leng di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, suspek berusia 28 dan 37 tahun itu menceroboh kawasan rumah berkenaan selepas menyangka pemilik kediaman itu tiada di rumah.

Namun, gelagat dua suspek itu sebenarnya diperhatikan jiran pemilik kediaman terbabit yang kemudian menahan kedua-duanya selepas mengepung rumah itu.

Menurut sumber, suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), namun mereka tidak bernasib baik apabila ditahan ketika cuba menceroboh kediaman terbabit.

Foto

DUA lelaki ditahan selepas disyaki cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Chai Leng, kelmarin.


"Pada mulanya gelagat mereka masuk ke kawasan belakang sebuah rumah disedari seorang penduduk dan dia yang curiga dengan aksi dua suspek itu memaklumkan perkara itu kepada beberapa jiran lain.


"Selain itu, dua pengawal peribadi seorang lelaki yang kebetulan berada di situ memerhati dari jauh dan mendapati suspek cuba memecah masuk pintu belakang untuk masuk ke dalam rumah," katanya.

Sumber berkata, melihat aksi itu, pengawal peribadi berkenaan dengan bantuan orang ramai mengepung kawasan berkenaan bagi mengelakkan suspek meloloskan diri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Reman pasangan lanjut lagi

Posted: 10 Jun 2014 01:47 PM PDT

Shah Alam: Tempoh reman terhadap pasangan suami isteri yang dipercayai terbabit dalam kejadian membuang mayat bayi ke dalam gaung di Genting Highlands, 31 Mei lalu akan disambung bagi membantu pihak polis meneruskan siasatan kes berkenaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Deputi Superintendan Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya sudah memohon tempoh tahanan reman baru terhadap pasangan suami isteri terbabit yang masing-masing berusia 41 dan 33 tahun itu, semalam.

"Suspek lelaki akan disambung reman sehingga 17 Jun ini manakala tempoh reman isterinya akan dipohon esok (hari ini) berikutan dia masih dalam tempoh reman yang lama.

"Siasatan kes setakat ini berjalan lancar dan kita memanjangkan tempoh reman supaya siasatan dapat dilakukan secara lebih terperinci seterusnya membawa suspek yang terbabit ke muka pengadilan," katanya.

Menurut Muhammad Idzam lagi, semua 24 wanita warga asing yang sebelum ini diselamatkan di tiga lokasi berasingan di Subang Jaya, Kota Kemuning dan Kampung Jawa, Klang sudah mendapat Perintah Perlindungan Interim (IPO) daripada mahkamah dan sudah dihantar ke pusat perlindungan di ibu negara.

Harian Metro 5 Jun lalu melaporkan, seorang dalang agensi pembantu rumah haram dikesan memandu kereta sejauh lebih 80 kilometer sebelum mencampak mayat bayi lelaki ke dalam gaung sedalam lebih 70 meter di kilometer (KM) 3.2 Jalan Genting Highlands, Pahang, 31 Mei lalu.

Dia disyaki membungkus mayat bayi terbabit menggunakan plastik sebelum menyumbatkannya ke dalam beg pakaian bagi mengelakkan mangsa ditemui.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas polis menerima aduan daripada ibu mangsa berusia 33 tahun berhubung kehilangan bayi lelakinya itu yang sudah berusia enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Mati berebut lalu titi

Posted: 10 Jun 2014 01:47 PM PDT

Segamat: Hanya kerana berselisih faham ketika mahu melalui titi kecil merentangi parit masuk ke ladang kelapa sawit di Labis, di sini, seorang lelaki menemui ajal selepas 15 jam bertarung nyawa akibat parah dibelasah dua lelaki, semalam.

Mohd Shukri Zakaria, 35, meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat jam 9 pagi semalam akibat parah di kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, anggota di Balai Polis Labis menerima panggilan daripada orang awam jam 5.25 petang mengatakan berlaku pergaduhan antara mangsa yang menunggang motosikal bersama dua lelaki lain.

Katanya, kejadian berlaku berhampiran titi kayu yang merintangi parit berhampiran ladang kelapa sawit terletak bersebelahan Jalan Labis-Chaah.

Foto

MOHD Suhaimi menunjukkan lokasi kejadian abangnya dibelasah.


"Mangsa yang parah di kepala dihantar ke Hospital Daerah Segamat untuk menerima rawatan oleh orang ramai, namun meninggal dunia jam 9 pagi tadi (semalam)," katanya.


Mohd Kamil berkata, hasil siasatan lanjut dijalankan pihaknya menahan seorang daripada suspek iaitu lelaki tempatan berusia 25 tahun berhampiran kandang lembu di sekitar Labis jam 9 pagi semalam.

Katanya, polis kini sedang giat memburu seorang lagi lelaki berusia 20-an yang dipercayai masih berada di sekitar Labis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Tiga hari cari mangsa lemas

Posted: 10 Jun 2014 01:45 PM PDT

Rompin: Mayat pelajar semester akhir Kursus Sijil Servis Kenderaan Ringan Kolej Komuniti Rompin yang hilang ketika mandi sungai di Taman Negeri Endau-Rompin, di sini, petang Ahad lalu ditemui satu kilometer dari lokasi kejadian, semalam.

Mayat Sh Safwan Sh Ahmad Azuden, 20, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 12.55 tengah hari semalam di kawasan Jeram Tunku Puan.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa anak sulung daripada tiga beradik berasal dari Nenasi, di sini, dikatakan pergi ke kawasan itu bersama adik serta dua rakannya jam 1 tengah hari selepas habis waktu kerja di pusat cuci kereta di bandar ini sebelum tiba di lokasi sejam kemudian.

Sebaik tiba di lokasi, mangsa terus mandi sebelum dibawa arus deras tanpa sempat diselamatkan adik serta dua rakannya itu.

Bapa mangsa, Sh Ahmad Azuden Sh Jamaluddin, 49, berkata, arwah tidak menunjukkan perubahan, namun kelihatan teruja serta gembira apabila bakal menamatkan pengajian di kolej berkenaan hujung bulan ini.

"Saya reda dengan ketentuan Allah dan bersyukur mayat arwah ditemui selepas usaha mencari pelbagai pihak serta penduduk kampung selama tiga hari membuahkan hasil," katanya.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, berikutan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Perhutanan dan penduduk kampung berhampiran itu dihentikan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di kampung halamannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

No comments:

Post a Comment