Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Seronok jadi 'mayat'

Posted: 15 Jun 2014 03:00 PM PDT

London: Kerjaya sebagai pekerja teknologi maklumat ternyata tidak cukup untuk membawa kepuasan kepada seorang lelaki sehinggalah dia menukar kerjaya menjadi 'mayat.

Chuck Lamb, 56, memperoleh sehingga AS$1,500 (RM4,828) sehari kerana melakonkan watak mayat dalam beberapa rancangan televisyen dan filem.


Sebelum ini Lamb pernah muncul dalam siri televisyen seperti Jury dan filem Horrorween dan Kentucky Fried Horror.

Lamb mendapat idea kerjaya unik itu selepas menonton satu episod siri Law & Order: Special Victims Unit bersama isterinya Tonya.


Lamb berkata, dia mengimpikan watak yang membolehkan dia muncul di televisyen seperti siri penyiasatan itu.


"Ia semua bermula sebagai gurauan.

Foto

GELAGAT Lamb di set penggambaran.

Foto

LAMB ketika melakonkan watak mayat.

"Saya kemudian menyedari anda tidak perlukan sebarang bakat untuk menjadi mayat!" katanya.


Sejak itu Lamb mula menerima tawaran muncul dalam televisyen membawa watak mayat.

Lamb juga bercadang mewujudkan laman sesawang untuk memuat naik gambar dirinya sebagai 'mayat.' - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Remaja 14 tahun tiduri isteri orang dimasuki 'anaconda'

Posted: 15 Jun 2014 02:52 PM PDT

Matshobana, Zimbabwe: Penduduk setempat kini gempar selepas kisah seorang remaja lelaki dimasuki cacing luar biasa gara-gara meniduri isteri orang semakin tersebar.

Menurut sumber, remaja berusia 14 tahun itu kini semakin tenat apabila ada cacing 'anaconda' mengganas di dalam badannya.


"Budak itu mula sakit dua hari selepas meniduri seorang wanita berusia dan sudah bersuami," katanya. Ibu saudara remaja terbabit, Nobuhle Moyo berkata, cacing berkenaan semakin membesar, manakala kesihatan remaja itu semakin merosot.

"Dia mula mengalami masalah kencing berdarah," katanya. Menurut Nobuhle, dia semakin risau kerana anak saudaranya itu kini tidak berselera makan atau minum, Katanya, remaja terbabit hanya bergantung kepada air teh untuk mengisi perut.


"Pada awalnya kami tertanya-tanya mengapa dia mengalami masalah itu.


"Selepas didesak berkali-kali, akhirnya dia mengaku mengadakan hubungan sulit dengan isteri orang," katanya.

Sementara itu sumber berkata, remaja terbabit dibawa berubat dengan seorang bomoh.


"Keadaannya masih belum banyak berubah.

"Kami yakin suami wanita berkenaan menggunakan sihir sebagai membalas dendam," katanya, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Jusuf: Sukan lebih penting

Posted: 15 Jun 2014 02:49 PM PDT

Jakarta: Calon naib presiden Jusuf Kalla semalam berkata, perjuangannya dalam politik menjelang pemilihan bulan depan diletakkan pada keutamaan keduanya kerana menganggap sukan lebih penting.

Bercakap dalam majlis deklarasi deklarasi sokongan atlet badminton kepada gandingannya bersama Joko Widodo (Jokowi) di Stadium Istora Senayan, Jusuf berkata, bidang sukan mampu menyumbang kepada pembangunan negara asalkan ia tidak dipengaruhi rasuah. Jusuf berkata, sukan menjadi elemen sangat penting dalam pembinaan masyarakat yang sihat dalam sesebuah negara.


"Tidak ada sebuah negara pun berjaya tanpa pembangunan sukan yang baik dan tanpa dipengaruhi amalan rasuah. "Kami mahu sukan di negara ini dibangunkan dengan bersih agar mendapat hasil yang baik," katanya. Dalam majlis itu juga dia sempat berkempen mengajak hadirin untuk mengundinya dan Jokowi dalam Pilihan Raya Presiden 9 Julai ini.

Jusuf dan Jokowi kini dalam proses berkempen menghadapi cabaran bekas pegawai tentera elit Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa.


Menurut Jusuf, tanpa rasuah dalam sukan, ia boleh menjadi alat melicinkan pentadbiran negara.


"Jangan sampai sukan dipengaruhi rasuah.

"Bagi saya, sukan nombor satu, presiden nombor dua," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Prabowo pun ada lagu!

Posted: 15 Jun 2014 02:49 PM PDT

Jakarta: Selepas kumpulan artis menyokong Jokowi tampil dengan lagu 'Salam Dua Jari', vokalis kumpulan Ungu juga tidak melepaskan peluang mencipta lagu untuk calon disokongnya, Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa.

Pasha menyatakan lagu ciptaannya itu, 'Gema Indonesia' sebagai tanda sokongannya kepada gandingan calon presiden dan naib presiden terbabit.


Menurutnya, lagu berkenaan dibuat dalam waktu yang singkat dan diharap dapat menjawab pertanyaan peminat mengenai pilihannya.

"Sebelum ada sesiapa meminta saya berikan, dan sebelum orang bertanya maka ini ada buktinya," katanya.


Pasha menyatakan dia mengambil pendekatan yang jelas dan konkrit sebagai tanda sokongan kepada Prabowo dan Hatta pada pilihan raya akan datang.


Katanya, dia mencipta lagu berkenaan untuk menarik lebih ramai pengundi muda menyokong Prabowo Hatta.

"Kini lebih ramai golongan muda celik politik dan fungsi kami adalah untuk memberi penjelasan mengenai apa yang diperjuangkan gerakan ini," katanya.


Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo - bersama sejumlah tokoh muda Indonesia hadir dalam satu rapat umum Gerakan Muda Indonesia semalam. - Agensi Di kesempatan itu, Pasha sempat menyanyikan sedutan lagu Gema Indonesia ciptaannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Waris mangsa Trisakti tidak peduli

Posted: 15 Jun 2014 02:48 PM PDT

Jakarta: Di sebalik dakwaan pembabitannya dalam keganasan zaman reformasi, sebuah keluarga siswa Universiti Trisakti yang terkorban dalam kekacauan Mei 1998 semalam menyatakan sokongan kepada Prabowo Subianto.

Lasmiyati berkata, dia yakin Prabowo tidak terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung kerana sudah mendengar sendiri penjelasan daripada pegawai kanan tentera elit Suharto itu.


"Prabowo mempunyai tekad untuk mententeramkan rakyat Indonesia dan kami mahu dia menjadi presiden. "Sebelum ini, dia bersumpah tidak terbabit dalam kes kematian anak saya yang ditembak pasukan keselamatan ketika menyertai tunjuk perasaan," katanya.

Lasmiyati adalah ibu kepada Hery Hertanto seorang daripada lima siswa maut ketika Indonesia berada di ambang kejatuhan kerajaan Suharto. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Calon Gerindra belum cukup kuat

Posted: 15 Jun 2014 02:48 PM PDT

Jakarta: Ahli politik Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) mengakui calon mereka dalam pilihan raya presiden bulan depan masih belum cukup kuat mendapat sokongan di Sulawesi dan Bali.

Ahmad Riza Patria mengakui, secara perbandingan pengaruh gandingan Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa di kedua-dua pulau itu masih belum dapat mengatasi kekuatan Joko Widodo (Jokowi) - Jusuf Kalla.


"Sulawesi dan Bali menjadi kawasan yang sukar bagi kami meraih sokongan," katanya.

Sulawesi menjadi laluan sukar untuk mereka kerana Jusuf - bekas naib presiden di bawah Susilo Bambang Yudhoyono - adalah anak jati pulau berkenaan.


Jusuf, 72, lahir di Watampone, Sulawesi Selatan ketika Indonesia berada di bawah pendudukan Jepun.


Bagaimanapun Jokowi, 52, adalah anak jati Surakarta, Jawa Tengah.

Ahmad Riza berkata, walaupun berdepan laluan sukar jentera kempen mereka tetap merangka strategi bagi meraih kepercayaan penduduk di wilayah itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Sampah untuk ubat

Posted: 15 Jun 2014 02:47 PM PDT

Malang: Pusat perubatan dikenali sebagai Klinik Insurans Sampah yang terletak di Jawa itu memang lain daripada yang lain.

Tidak seperti pusat perubatan biasa, klinik berkenaan menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma kepada seseorang yang datang membawa sampah untuk dikitar semula.


Dan ternyata kewujudan klinik berkenaan memberi kelegaan amat besar khususnya kepada golongan tidak berkemampuan.

Mahmud, 60, misalnya sanggup mengangkut beg sampah berisi kotak kadbod, botol plastik dan sebagainya untuk mendapatkan rawatan percuma dari semasa ke semasa.


Kata Mahmud, sejak tahu sistem di klinik itu, dia sentiasa menyimpan sampah yang boleh dikitar semula berbanding sebelum ini. "Biasanya saya membuang sampah di tepi jalan," katanya.


Menghidap penyakit artritis, Mahmud kini menjadi ahli Klinik Bumi Ayu yang diasaskan Gamal Albinsaid, 24, dan menawarkan rawatan serta khidmat nasihat kesihatan percuma kepada rakyat miskin setempat.

Foto

JURURAWAT Klinik Bumi Ayu mengumpul sampah dibawa pesakit miskin untuk dikitar semula di Malang.

Namun bukan satu itu saja klinik yang menawarkan khidmat berkenaan.


Di sekitar Malang ada lima pusat perubatan seumpama itu beroperasi setiap hari. Usaha kreatif Gamal itu kini menampung kekurangan semasa ekoran kekurangan pekerja kesihatan profesional ketika kerajaan melancarkan sistem penjagaan kesihatan sejagat di negara.

Selain menawarkan khidmat perubatan percuma, sistem diperkenal Gamal itu secara tidak langsung mengatasi masalah sampah yang meningkat di Malang.


Usaha Gamal diiktiraf Januari lalu apabila dia dianugerahi hadiah Usahawan Muda Mampan oleh Putera Charles di London.


Seiring dengan itu, klinik berkenaan menerima bantuan sebanyak 50,000 euro (RM225,000) sebagai penghargaan. Sebelum mendapatkan rawatan percuma di klinik itu, pesakit dikehendaki membawa sampah setiap Sabtu dan mengumpulnya sehingga mencapai nilai Rp10,000 (RM2.75) sebagai syarat kelayakan menjadi ahli.


Apabila menjadi ahli mereka berhak mendapat pemeriksaan percuma dua kali sebulan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Pusat beli-belah mesti kemuka data sisa buangan

Posted: 15 Jun 2014 02:46 PM PDT

Singapura: Sekurang-kurang 250 kompleks beli-belah dan hotel perlu mengemukakan laporan mengenai data sisa buangan dan bahan kitar semula yang diproses kepada Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) mula tahun depan.

Jurucakap NEA berkata, pemilik terbabit perlu menyatakan berat sampah yang dibuang atau disalurkan untuk dikitar semula dengan mengikut kategori, seperti kertas, logam dan makanan. Katanya, laporan itu perlu mula diterima NEA pada suku pertama 2015.


"Syarikat terbabit juga mesti mengemukakan pelan pengurangan bahan buangan masing-masing," katanya. Jumlah bahan buangan di Singapura sentiasa meningkat setiap tahun. Pada 2013 kira-kira 7.85 juga tan sampah dibuang berbanding 7.27 tan pada 2012. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Penduduk bersatu gali akar pokok cari 'wanita misteri'

Posted: 15 Jun 2014 02:46 PM PDT

Chiang Thong, Thailand: Didorong oleh mimpi aneh yang sama, sekumpulan penduduk kampung menggali akar sebatang pokok setinggi 22.5 meter di daerah Wang Chao bagi 'menyelamatkan' seorang wanita yang terperangkap di situ.

Media tempatan semalam melaporkan, kebanyakan penduduk kampung di situ bermimpi seorang wanita misteri berdiri berhampiran sebatang pokok.


Wanita terbabit dilihat meminta tolong kerana berada di bawah pokok berkenaan sejak beratus-ratus tahun silam. Anehnya, lapor akhbar, penduduk terbabit mengalami mimpi yang sama selama beberapa malam. Selepas mengadakan perbincangan, mereka bersepakat melawat kawasan yang dikenal pasti sama seperti dalam mimpi dan mula menggali pokok berkenaan.

Menggunakan jengkaut, mereka mengambil masa selama empat hari sebelum dapat mengalih pokok mempunyai lilitan 4.7 meter itu.


Namun mereka tidak menemui sesiapa atau kesan manusia di bawah pokok berkenaan.


Penduduk tradisional Thailand percaya pokok hopea odorata (atau pokok ta-khian) itu didiami roh wanita dikenali sebagai Nang Ta-khian.

Mereka kemudian bersetuju menyimpan pokok berkenaan di kuil tempatan kerana beranggapan ia boleh mendatangkan tuah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Thaksin diminta tidak babitkan diri dalam politik

Posted: 15 Jun 2014 02:46 PM PDT

Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra diarah junta tentera Thailand supaya mengakhiri pembabitan aktifnya dalam politik 'demi kebaikan negara.'

Menurut sumber rapat dengan bekas perdana menteri itu, junta tentera juga mahu semua pertemuan Thaksin dengan penyokongnya di luar negara perlu dihentikan serta-merta.


"Sebagai menghormati arahan itu, Thaksin bersetuju mematuhinya," katanya.

Walaupun tidak lagi menjadi perdana menteri, Thaksin dilihat masih mempunyai pengaruh besar terhadap kumpulan Baju Merah.


Dia juga sebelum ini dilihat memainkan peranan mentadbir Thailand melalui adiknya, Yingluck, sebelum diguling tentera. Menurut sumber, mesej junta tentera itu disampaikan sendiri Ketua Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam Kebangsaan, (NCPO) Jen Prayuth Chan-ocha.


"NCPO menghubungi Thaksin memintanya menghentikan campur tangan politik di Thailand dan memberitahu tokoh penting politik mengenai mesej yang sama," katanya.

Menurut sumber itu, sebagai balasan Thaksin meminta junta tentera bersikap adil kepada semua pihak.


Bagaimanapun, apabila ditanyakan mengenai isu itu, Prayuth menafikan dia pernah bercakap dengan Thaksin.

"Jangan benarkan dia terbabit," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

No comments:

Post a Comment