Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Seksa tercekik telefon bimbit

Posted: 14 Jun 2014 06:31 AM PDT

Klerksdorp, Afrika Selatan: Insiden seseorang menderita kerana tercekik memang bukan sesuatu yang aneh, tetapi apa yang berlaku di Afrika Selatan ini boleh dianggap luar biasa.

Satu rakaman video dimuat naik di Internet menunjukkan sepasukan kakitangan perubatan berusaha mengeluarkan objek besar - yang kemudian dikenal pasti sebagai telefon bimbit - dari tekak seorang lelaki malang.

Video dirakam di sebuah hospital di Klerksdorp itu menunjukkan lelaki terbabit terbaring dan sukar bernafas ketika doktor menggunakan penyepit besi menarik objek yang menyekat kerongkongnya itu.

Tanpa mengetahui apa sebenarnya objek berkenaan, pasukan perubatan yang bertugas jelas terkejut dan tidak kurang juga ada gagal menahan ketawa apabila mendapati ia adalah telefon bimbit.

Foto

LELAKI tidak dikenali menderita sukar bernafas sehingga dia diselamatkan.


Walaupun video berkenaan baru dimuat naik, ia dipercayai dirakam pada Mei 2012 oleh Edwin Shingo yang juga seorang pegawai keselamatan yang menyaksikan kejadian luar biasa itu.


Bagaimanapun identiti lelaki terbabit tidak didedahkan dan tidak diketahui bagaimana dia boleh tertelan telefon bimbit berkenaan.

Ia bukan kejadian kali pertama seumpamanya.

Pada 2005 seorang lelaki di Missouri dituduh melakukan serangan kejam dengan memaksa teman wanitanya menelan telefon bimbit ketika mereka bertengkar.

Wanita berusia 24 tahun itu terpaksa dikejarkan ke hospital untuk diselamatkan.

Video terbaru bertajuk "The guy with a cell phone in the mouth" mendapat 56,000 tontonan sejak dimuat naik minggu ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Padah 'cari pokok'

Posted: 14 Jun 2014 06:25 AM PDT

Yunlin: Seorang anggota bomba dipecat selepas mabuk dan memandu jentera bomba baru untuk 'bersiar-siar' sambil menyebabkan kerosakan terhadap harta benda awam di sepanjang laluannya.

Chen Huangxin, 32, bertugas di sebuah balai bomba di daerah Yunlin, tenggara China.

Dalam keadaan tidak waras, Chen memandu jentera berkenaan dengan hanya berselipar dan memakai baju tidur.

Di sepanjang laluannya, Chen merempuh pelbagai kenderaan serta kemudahan awam sebelum terbabas.

Foto

JENTERA bomba dipandu Chen rosak teruk selepas merempuh kereta dan bangunan.


Media semalam melaporkan, ujian alkohol menunjukkan paras arak yang ada dalam badannya tiga kali ganda lebih tinggi daripada tahap dibenarkan.


Kata Chen, dia cuma mahu "melihat padang dan pohon menghijau" ketika memandu jentera berkenaan.

"Saya minta maaf kerana menyusahkan orang ramai," katanya.

Ketika memandu dalam keadaan mabuk itu, dia melanggar sebuah lori, sebatang tiang elektrik, beberapa kereta yang diletakkan di tepi jalan sebelum terbabas dan terbalik yang menyebabkan dia cedera.

Jentera berkenaan mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh dibaiki sehingga alat gantinya tiba dari Eropah.

Jurucakap jabatan bomba pula berkata, kemalangan itu adalah insiden paling serius pernah berlaku di jabatan berkenaan.

"Ia adalah jentera kebanggaan kami dan yang terbaik yang kami miliki.

"Chen hampir memusnahkannya sama sekali dan mustahil untuk kami menerimanya bertugas," katanya.

Malang Chen tidak terhenti di situ saja.

Selain dipecat, dia kini berdepan beberapa tuduhan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

"Saya tidak tahu apa yang saya lakukan. Kebiasaannya saya tidak akan memandu ketika mabuk tetapi semuanya berlaku di luar kawalan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Salam 2 jari pukauan Jokowi

Posted: 14 Jun 2014 06:23 AM PDT

Jakarta: "Salam dua jari, jangan lupa pilih Jokowi. Salam dua jari, nombor dua pilih Jokowi," begitu petikan lagu ciptaan khas barisan artis penyokong Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla.

Menurut penganalisis politik, lagu yang dinyanyikan artis seperti Slank, Once, Nidji, Krisdayanti dan ramai lagi selebriti terkenal di Indonesia itu menjadi kempen yang efektif untuk menarik sokongan serta mempromosi kedua-dua calon terbabit.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Niam menyatakan, lagu berkenaan meningkatkan keyakinan orang ramai untuk mengundi Jokowi menjelang pilihan raya presiden 9 Julai nanti.

"Lagunya sedap didengar dan mudah diikuti sekali gus menambah keyakinan rakyat untuk mengundi Jokowi," katanya.

Dia yang sebelum ini kurang mengambil tahu mengenai politik mula sedar kepentingan mengundi Jokowi untuk membina Indonesia yang lebih baik selepas mendengar lagu berkenaan yang dinyanyikan artis kegemarannya.

Tema lagu Salam Dua Jari itu diambil sempena pasangan calon presiden dan timbalan presiden itu berada dalam urutan kedua senarai pencalonan selepas pasangan Prabowo Subianto - Hatta Rajasa.

Kata Niam, lagu itu bukan sekadar nyanyian biasa, sebaliknya lebih kepada meningkatkan kesedaran pendengar untuk melihat perancangan sistematik Jokowi jika dipilih menjadi presiden.

"Tambahan pula calon lain mempunyai rekod silam yang buruk seperti dakwaan terbabit dengan pelanggaran hak asasi manusia, penculikan dan sebagainya," katanya.

Ketua pegawai eksekutif majalah Voice+, Syafiq Alielha menganggap sumbangannya dalam kempen Jokowi melalui lagu yang dinyanyikan barisan artis terkenal itu sangat efektif dalam menarik sokongan rakyat terutama golongan muda.

"Ia satu langkah yang berkesan mempromosi Jokowi di mata rakyat melalui muzik," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Kem Prabowo kenalpasti pembocor rahsia

Posted: 14 Jun 2014 06:22 AM PDT

Jakarta: Persatuan Peguam Bela Merah-Putih (AAM-P) menyatakan, mereka berjaya mengenalpasti empat akaun laman sosial yang menyebarkan gambar dokumen rahsia mengenai pemecatan calon presiden Prabowo Subianto daripada Majlis Tertinggi Tentera.

Ketua Umum AAM-P, Suhardi Somomoeljono memberitahu satu daripada akaun berkenaan dikenal pasti dengan nama UY.

"Perkara ini masih lagi dalam siasatan kerana ia membabitkan jenayah siber," katanya.

Ketika kempen pemilihan presiden semakin rancak, setiap kem meningkatkan serangan melalui pelbagai cara.

Selepas Jokowi didakwa bukan Islam, Prabowo pula dikaitkan dengan salah laku ketika berkhidmat dalam tentera sehingga dia diberhentikan.

Suhardi juga mendedahkan laporan menunjukkan bukti berupa alamat pautan akaun media sosial berkenaan.

"Namun kami dan penyiasat sepakat untuk tidak mendedahkan nama individu berkenaan buat masa ini bagi mengelakkan mereka melarikan diri," katanya.

Dia mendesak polis meneliti keaslian surat berkenaan dan jika ia benar, dia menuntut agar individu bertanggungjawab ditahan dan dibicarakan di mahkamah tentera.

Seorang ahli AAM-P, Toni Tahta Singarimbun mengatakan perbuatan itu melanggar Undang-Undang Maklumat Teknologi Elektronik dan penyebaran gambar berkenaan dikategorikan sebagai jenayah siber.

"Pihak tidak bertanggungjawab sengaja mengambil kesempatan ketika pilihan raya untuk menyebarkan perkara berkenaan kerana akaun berkenaan baru dibuat antara April hingga bulan ini," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Tarik perintah berkurung

Posted: 14 Jun 2014 06:21 AM PDT

Bangkok: Junta tentera semalam mengumumkan menarik balik perintah berkurung di seluruh negara dengan alasan tiada lagi ancaman keganasan serta mahu menggalakkan industri pelancongan.

Pengumuman itu bagaimanapun dilihat mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan demam Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Brazil ketika ini.

Mengumumkan keputusan itu dalam ucapannya, Jen Prayuth Chan-ocha turut menceritakan kejayaan dicapai tentera sejak merampas kuasa pada 22 Mei lalu.

Antaranya, kata Prayuth, merampas senjata yang dikaitkan dengan kekacauan politik, pertemuan mencari perdamaian antara kumpulan bertelagah serta rancangan yang akan dilaksanakan.

"Namun masih ada banyak masalah yang perlu ditangani," katanya.

Sebelum ini junta tentera menarik balik perintah berkurung di pusat pelancongan utama Thailand.

Di sebalik penarikan semula perintah berkurung itu, tentera tetap melarang sebagai aktiviti mengkritik junta serta perhimpunan politik.

Junta tentera juga masih mentadbir Thailand menurut undang-undang tentera.

Sementara itu peminat bola sepak menyambut baik keputusan berkenaan.


Pelancong dari Ireland, Sinead Dowd, berkata tentera membuat keputusan tepat dan menggembirakan orang ramai.

"Malam sebelum ini kami mahu keluar menonton siaran Piala Dunia tetapi tak boleh kerana perlawanan bermula pada jam 2 pagi," katanya.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Warisan Sarekat Islam dipulihara

Posted: 14 Jun 2014 06:20 AM PDT

Semarang: Bangunan yang pernah digunakan sebagai pejabat Sarekat Islam kini diumum sebagai warisan budaya Indonesia dan bakal dipulihara untuk mengekalkan sejarahnya.

Datuk Bandar Semarang membuat keputusan itu awal bulan ini.

Anggota Komuniti Penggiat Sejarah (KPS) Yunantyo Adi S berkata surat pengesahan itu diperoleh beberapa hari lalu.

"Keputusan berkenaan dibuat Datuk Bandar Semarang pada 27 Februari lalu selepas menerima cadangan daripada Balai Pelestarian Warisan Budaya dan proses mengenainya selesai pada 13 Jun," katanya semalam.

Yunantyo berkata, dia sendiri menyaksikan perintah berkenaan disahkan kelmarin.

Bangunan terletak di Jalan Gendong Selatan di Sarirejo, Semarang menyimpan sejarah panjang sejak ia dibina pada 1919.

Ia juga pernah digunakan tokoh pejuang kemerdekaan Indonesia, Tan Malaka, sebagai tempatnya mengajar.

Sarekat Islam adalah antara pertubuhan paling awal menggerakkan kempen membebaskan negara itu daripada penjajahan Belanda.

Ia bermula dengan gerakan melindungi pedagang Muslim Indonesia daripada penguasaan asing sebelum aktivitinya diperluas membabitkan aspek politik.

Sarekat Islam ditubuhkan secara rasmi pada Oktober 1905.

Menurut Yunantyo, sebelum ini KPS membuat laporan kepada pihak yang berkenaan mengenai keadaan bangunan itu yang daif.

"Dengan adanya perintah Datuk Bandar Semarang, bangunan ini akan dipulihara tanpa menjejaskan keaslian bangunan asal," katanya.

- Agensi

Foto

BANGUNAN yang pernah digunakan Tan Malaka ketika zaman pramerdeka Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Kampung Piala Dunia

Posted: 14 Jun 2014 06:18 AM PDT

Hanoi: Demam Piala Dunia 2014 melanda seluruh dunia dan pelbagai cara dilakukan peminat bola sepak untuk meraikan pesta empat tahun sekali itu.

Dia Kampung Bat Trang di pinggir Hanoi, penduduk di situ menggunakan kemahiran masing-masing untuk menyemarakkan semangat mereka dengan mencipta replika piala yang menjadi rebutan pasukan terbaik dunia.

Pengusaha bengkel Vuong Hong Nhat pula menghabiskan masa menyiapkan trofi Piala Dunia seperti ditempah orang ramai.

Menurut Nhat, dia dibantu ahli keluarganya mula bekerja sejak awal pagi sehingga lewat malam setiap hari untuk memenuhi permintaan.

"Setiap hari kami cuba menyiapkan sehingga 50 trofi dan kebanyakannya dijadikan perhiasan pelanggan," katanya.

Pada masa sama permintaan tetap datang dari semasa ke semasa memaksa Nhat menolak sebahagian daripadanya.

Kata Nhat, Piala Dunia memberi manfaat tersendiri kepada perniagaannya.

"Kami gembira kerana Piala Dunia membolehkan kami mendapat lebih banyak wang," katanya.

Nhat menggunakan kira-kira satu kilogram serbuk plaster dan setengah liter air yang dimasukkan ke acuan khas.

Selepas ia menjadi keras, replika itu kemudian disembur cat keemasan.


Kata Nhat, dia menggunakan acuan yang pernah digunakan empat tahun lalu.

"Untuk membuat acuan saya perlukan masa seminggu.

"Disebabkan permintaan amat tinggi ketika ini, kami tidak sempat membuat acuan baru," katanya.


Di kedai lain, peniaga menawarkan pelekat dengan imej pemain popular dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

- Agensi NHAT menyembur cat ke replika yang disiapkan di bengkelnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

'Jangan terkejut ada mayat terapung'

Posted: 14 Jun 2014 06:17 AM PDT

Manila: Gagal menahan marahnya, Timbalan Datuk Bandar Manila semalam memberi amaran untuk mengambil langkah luar biasa bagi menangani masalah pesalah lalu lintas.

Kata Francisco Domagoso, orang ramai diingatkan jangan terkejut apabila suatu ketika nanti ada mayat terapung di sungai sekitar Manila.

Domagoso ditemubual juruhebah radio, Vic de Leon Lima dan David Oro mengenai langkah diambil kerajaan tempatan pimpinan Datuk Bandar Joseph Estrada untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas akibat sikap pengguna meninggalkan kenderaan masing-masing sesuka hati di pusat bandar Manila.

Kata Domagoso, dia dan Estrada melakukan apa yang termampu mengurangkan masalah berkenaan.

"Kadang-kadang penguat kuasa tidak mampu bertindak," katanya.

Walaupun tidak menjelaskan maksud kenyataan itu, Domagoso membayangkan berlaku amalan rasuah atau campur tangan individu berpengaruh ke atas penguat kuasa.

Malah, katanya, kadang-kadang pesalah trafik adalah anggota polis sendiri, termasuk berpangkat tinggi.

"Seorang kapten polis berkali-kali ditahan kerana meletak kenderaan di tempat tidak sepatutnya namun tidak pernah didenda.

"Justeru, andai suatu hari nanti anda melihat ada mayat terapung di sungai atau jalan raya, anda jangan terkejut," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Pesta gay Yahudi

Posted: 14 Jun 2014 06:16 AM PDT

Baitulmaqdis: Ribuan lelaki Israel berparti di sepanjang jalan di Tel Aviv semalam dalam acara perarakan tahunan golongan gay di bandar itu.

Ia dianggap sambutan terbesar seumpamanya di Timur Tengah.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata puluhan ribu lelaki yang mengamalkan hubungan sejenis mengambil bahagian dalam acara sambutan besar-besaran itu.

Acara itu diwarnai dentuman muzik yang kuat serta lelaki yang berpakaian wanita serta tanpa baju berarak sambil mengibarkan bendera berwarna-warni.

Tel Aviv menjadi bandar terbaru yang memberi kebebasan kepada lelaki gay untuk mengamalkan gaya hidup songsang itu.

Ia menjadi satu daripada destinasi pelancongan paling mesra gay beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia jauh berbeza berbanding bandar di sekelilingnya.

Lelaki gay diterima secara terbuka dalam perkhidmatan ketenteraan, parlimen dan ramai dikalangan selebriti negara itu adalah gay.

Namun pemimpin komuniti berkenaan berkata Israel masih belum mampu memberikan hak sama rata kepada golongan gay.

Sehingga kini masih belum ada perkahwinan sejenis yang dilangsungkan di Israel kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang.

Semua perkahwinan mesti melalui rabai Yahudi yang tegas menyatakan hubungan sejenis adalah dilarang dalam fahaman Yahudi.

Namun negara itu mengiktiraf pasangan sejenis yang berkahwin di luar negara.

- AP

Foto

RIBUAN lelaki gay turun berarak di sepanjang Tel Aviv.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

Aktres Bollywood dakwa dicabul

Posted: 14 Jun 2014 06:13 AM PDT

New Delhi: Seorang daripada aktres paling popular Bollywood semalam membuat aduan rasmi kepada polis mendakwa dia dicabul, didera dan diancam bekas teman lelakinya ketika menyaksikan perlawanan kriket.

Sumber berkata, Preity Zinta menuduh Ness Wadia - pemilik bersama kelab Kings XI Punjab - melakukan serangan itu selepas mereka bertengkar ketika menyaksikan perlawanan pasukan berkenaan pada 30 Mei lalu.

Kelab itu yang menyertai Liga Perdana India turut dimiliki Preity.

Sementara itu jurucakap polis Mumbai mengesahkan menerima aduan daripada Preity.

Kata jurucakap itu, Preity mendakwa mereka duduk bersebelahan di Stadium Wankhede di Mumbai apabila tercetus perbalahan.

Ekoran perselisihan pendapat itu Wadia menolak Preity sebelum menghambur kata-kata kesat kepada aktres terbabit.

Sementara itu jurucakap Preity berkata, aktres itu kini berada dalam "waktu sukar."

"Tujuan saya membuat aduan ini bukan untuk menyusahkan sesiapa, sebaliknya sebagai langkah perlindungan," katanya.

Sementara itu Wadia berkata, dia terkejut dengan tindakan Preity dan tuduhan berkenaan adalah "palsu semata-mata." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/15

No comments:

Post a Comment