Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


CONTI TAK SABAR

Posted: 05 Jun 2014 10:52 AM PDT

Wira Piala Malaysia musim lalu, Matias Conti berazam untuk membantu merealisasikan impian Pahang mengucup Piala FA musim ini, selepas kali pertama dan terakhir skuad itu memenanginya pada 2006.

Justeru, pemain berasal dari Argentina itu mengharapkan prestasi terbaik dapat dipersembahkan di samping mendapat sokongan padu daripada rakan seperjuangan untuk melakar sejarah musim ini.

Menurutnya, dia sudah bersedia untuk menggempur pertahanan FELDA United yang dilihat mampu memberi cabaran sengit selepas kelab itu menutup peluang Kelantan yang juga juara bertahan pada aksi separuh akhir.

"Sebagai penyerang saya perlu lebih kreatif untuk membolosi gawang lawan dan pada masa sama pemain juga terutama di bahagian pertahanan lebih kebal.

"Saya harap jurulatih (Zainal Abidin Hassan) kembali menggandingkan saya dan Dickson Nwakaeme, tetapi segalanya terpulang kepada perancangan," kata pemain berumur 24 tahun itu.

Sementara itu, pemain pertahanan import, Damion Stewart yang turut membantu skuad Tok Gajah menjulang Piala Malaysia musim lalu dan Piala Sultan Ahmad Shah musim ini percaya Piala FA akan menjadi milik Pahang.

Menurutnya, prestasi mantap dipersembahkan sepanjang saingan Piala FA diharap berakhir dengan kejuaraan selepas dikecewakan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) musim lalu.

"Peluang terbaik ini seharusnya dimanfaatkan sebaiknya biarpun FELDA United bukan calang-calang pasukan untuk ditewaskan.

"Berbekalkan semangat juang tinggi kami akan memastikan Piala FA akan kembali ke Pahang musim ini," katanya.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Rea tekad bangkit di Sepang

Posted: 05 Jun 2014 10:16 AM PDT

Pelumba Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) Jonathan Rea mahu bangkit daripada keputusan cukup mengecewakan pada perlumbaan terakhir di Donington Park dengan cuba menaiki podium di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad ini.

Rea berjaya memberi saingan sengit kepada juara bertahan Tom Sykes, tetapi di Donington dia gagal menaiki podium ketika Sykes mendominasi kedua-dua perlumbaan sekali gus mengungguli kategori pelumba dengan mengumpul 185 mata.

Begitupun pelumba pasukan PATA Honda itu masih mampu memberikan saingan sengit kepada Sykes apabila hanya ketinggalan 26 mata di tempat kedua.

"Secara jujur, saya tidak pasti apakah saya serta jentera mampu lakukan di sini.

"Kami akan hanya dapat mengetahui segala-galanya apabila turun pada sesi latihan bebas esok (hari ini).

Tapi sudah tentu saya akan memberikan yang terbaik untuk kembali menaiki podium," katanya ketika ditemui semalam.

Ditanya adakah dia mampu merampas kejuaraan dunia daripada Sykes pada musim ini, Rea enggan terlalu memikirkan perkara itu.

"Saya belum fikir sejauh itu.

Selepas empat hingga lima saingan mungkin saya boleh fokus kepada pertanyaan anda itu," katanya.


Rea mengakui dia tidak mempunyai pengalaman luas berlumba di Sepang, namun itu semua bukan menjadi satu masalah besar kepadanya.

"Saya pernah menjalani beberapa siri ujian jentera untuk saingan MotoGP pada 2010.


Ia sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada saya mengenai litar Sepang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Zainal tuntut anak buah lebih fokus

Posted: 05 Jun 2014 10:08 AM PDT

Kuantan: Kesebelasan utama skuad Tok Gajah diminta mempamerkan prestasi membanggakan sepanjang tempoh perlawanan apabila bertemu FELDA United di Stadium Shah Alam malam esok, sekali gus memburu piala kedua musim ini.

Pengendali skuad itu, Zainal Abidin Hassan berkata, fokus adalah perkara perlu diberi perhatian dalam kalangan pemain kerana sedikit kecuaian boleh mengundang padah buat pasukan.

"Pada masa sama, sokongan padu peminat Tok Gajah amat ditagih bagi menyuntik semangat pemain untuk beraksi pada tahap terbaik terutama mengulangi pencapaian 2006.

"Oleh itu saya harap pemain dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan dan memberi tumpuan 100 peratus sepanjang tempoh perlawanan," katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin mahu pemainnya terutama jentera pertahanan cukup bersedia mengekang kepantasan jentera serangan FELDA United yang dilihat nadi utama kelab berkenaan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ketajaman jentera serangan serta dibantu dua pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin dan Shukor Adan pasti memberi impak.

"Sebenarnya, saya lihat kekuatan FELDA United musim ini mula meningkat pada pertengahan musim dan sudah pasti saya perlu menerapkan disiplin tinggi di kalangan pemain.

"Boleh saya katakan FELDA United setanding dengan pasukan teratas Liga Super seperti Selangor, Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT).

"Atas dasar itu saya harap pemain tidak memandang mudah keupayaan lawan biarpun mereka beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Eksperimen Cheh Chang

Posted: 05 Jun 2014 10:02 AM PDT

Rombakan pasangan yang dilakukan jurulatih beregu lelaki negara, Pang Cheh Chang boleh dianggap sebagai misi serampang dua mata menjelang Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Siri Super Jepun dan Australia.

Tujuan utama mengapa jurulatih itu menukarkan pasangan beregu lelaki adalah tidak mahu sesetengah pemain terlalu besar kepala.

"Saya tidak mahu mereka besar kepala, terutama Tan Wee Kiong-Goh V Shem yang memenangi semua empat perlawanan di Piala Thomas 2014 New Delhi bulan lalu," katanya selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, persembahan Wee Kiong-V Shem memang hebat di Piala Thomas dan jika mereka terus konsisten serta memenangi salah satu daripada tiga kejohanan itu mungkin perwatakan mereka boleh berubah.

"Selain tidak mahu mereka besar kepala saya juga mahu pemain yang kurang mata seperti Ow Yao Han dan Lim Khim Wah belajar sesuatu ketika mereka bergandingan bersama di Terbuka Jepun nanti.

"Khim Wah akan berasa dia mempunyai tanggungjawab besar ketika bergandingan dengan Yao Han yang lebih muda," katanya.

Cheh Chang berkata, V Shem pula boleh belajar teknik bertahan dengan lebih mantap bersama Boon Heong apabila mereka digandingkan bersama nanti di kejohanan yang sama.

"Saya juga mahu melihat kombinasi Wee Kiong-Hoon Thien How kembali konsisten apabila mereka digandingkan semula.

Terbuka Indonesia saya akan melakukan perubahan lagi dengan mencuba gandingan berbeza," katanya.

Terbuka Indonesia menyaksikan Yao Han akan bergandingan pula dengan Thien How, manakala Boon Heong pula berpasangan bersama Wee Kiong.

Satu lagi pasangan pula menyaksikan V Shem -Khim Wah kembali bergandingan semula selepas mereka dipisahkan sejak Piala Thomas.

Thien How-Boon Heong akan bergandingan semula di Terbuka Australia, diikuti V Shem-Wee Kiong dan Yao Han-Khim Wah.

Terbuka Jepun akan bermula Selasa depan, diikuti Terbuka Indonesia dari 17 hingga 22 Jun dan Terbuka Australia pula membuka tirai pada 24 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Dendam berbalas

Posted: 05 Jun 2014 10:01 AM PDT

Dendam skuad ragbi Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berbalas apabila muncul juara kejohanan Ragbi Super Six menumpaskan musuh tradisi Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman (STAR) pada final di Stadium Inspen, Putrajaya, baru-baru ini.

Selepas tumpas kepada STAR dalam saingan Liga Ragbi Super Six Mac lalu, MCKK bangkit daripada kekecewaan dengan mencatat kemenangan bergaya 17-7 pada pertembungan final itu.

Bagi jurulatih MCKK Fidzamil Basarudin, beliau menganggap kemenangan yang dilakar anak buahnya petanda kebangkitan mereka dalam arena sukan ragbi tempatan.

"Pertembungan MCKK dan STAR sememangnya me nyajikan aksi penuh klasik kerana kedua-dua pasukan ini adalah musuh tradisi.

Skuad STAR memiliki banyak kelebihan berbanding kami tapi saya percaya kekuatan mental dan fokus pasukan saya menjadi faktor utama MCKK menjulang trofi Ragbi Super Six kali ini.

"Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan MCKK kini sudah kembali bangkit untuk menyekat dominasi STAR dalam sukan sukan ragbi," katanya.

Fidzamil berkata, beliau tidak mahu anak buahnya leka dengan kejayaan itu sebaliknya terus meningkatkan prestasi bersaing di peringkat lebih tinggi.

"Dalam mana-mana sukan, anda tidak boleh sentiasa di atas kecuali anda sentiasa berkerja keras dan fokus ketika beraksi di atas padang.

"Saya percaya STAR akan memberikan saingan lebih hebat pada tahun akan datang.


Tugas saya adalah mempersiapkan pasukan lebih mantap menghadapi kejohanan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Sanchez inspirasi Chile

Posted: 05 Jun 2014 10:01 AM PDT

Valparaiso, Chile: Pemain Barcelona, Alexis Sanchez (gambar) sekali lagi membuktikan kemampuan sebarang perancang apabila mencipta dua peluang gol ketika Chile menewaskan Ireland Utara 2-0 dalam aksi terakhir pemanas badan Piala Dunia awal pagi semalam.

Sanchez yang turut mencipta kesemua tiga gol ketika kemenangan 3-2 mengatasi Mesir pada Jumaat, melakukan hantaran untuk Eduardo Vargas menanduk masuk jaringan pembukaan Chile pada minit ke-79.

Tiga minit kemudian Sanchez menghuru-harakan pertahanan Ireland Utara bagi membolehkan penyerang gantian, Mauricio Pinilla meledak gol kedua.

Arturo Vidal membuat penampilan semula di pentas antarabangsa, apabila dimasukkan lewat perlawanan selepas beberapa minggu menjalani pembedahan lutut.

Pemain tengah Juventus itu diangkat antara pemain utama skuad kendalian Jorge Sampaoli.

Chile berdepan Australia dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia pada 13 Jun sebelum menentang Sepanyol dan Belanda yang dilabel sebagai kumpulan paling sukar di Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Hero baru!

Posted: 05 Jun 2014 10:00 AM PDT

Penyerang Edinson Cavani dan pemain gantian Christian Stuani masing-masing menjaringkan gol untuk membantu Uruguay mencatat kemenangan 2-0 ke atas Slovenia pada aksi pemanas badan menjelang saingan Piala Dunia kelmarin.

Cavani menjaringkan gol cantik selepas mendapat hantaran daripada Diego Forlan sementara Stuani menjaringkan gol kedua pada penampilan keduanya di minit ke-75 selepas meledak gol tunggal ketika Uruguay mencatat kemenangan 1-0 ke atas Ireland Utara.

"Barisan serangan kita kurang meyakinkan pada separuh masa pertama.

Di separuh masa kedua, mereka nampak lebih banyak bekerjasama," kata jurulatih Uruguay Oscar Tabarez.

"Tabarez meminta saya untuk bemain di posisi sayap kanan dan cuba masuk ke dalam kotak penalti.

Saya berharap dapat mempamerkan aksi sama pada Piala Dunia nanti," kata Stuani.

Pertahanan tengah Diego Godin kembali ke dalam pasukan selepas terlepas beraksi ketika bertemu Ireland Utara sekali gus melengkapkan barisan sama yang akan bertemu Costa Rica pada perlawanan pembukaan Piala Dunia di Fortaleza pada 14 Jun.

Penyerang utama Luis Suarez sekali lagi terlepas beraksi selepas belum pulih daripada kecederaan lutut dan mungkin akan cergas sepenuhnya untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang England di Sao Paulo pada 19 Jun.

Uruguay juga akan bertemu Itali di Natal pada 24 Jun.

"Kami sangat berharap Suarez dapat beraksi di Piala Dunia.


Saya tidak pasti sama ada dia dapat diturunkan pada perlawanan pertama atau terpaksa disingkirkan sepanjang saingan Piala Dunia.

Uruguay bergelut untuk mencipta peluang menentang Slovenia yang sekadar memberi sedikit ruang kepada mereka dengan Andraz Kirm dan Rajko Rotman hampir menjaringkan gol.

Pertahanan kiri Maxi Pereira hampir meletakkan Uruguay di depan selepas rembatannya terkena palang gol pada separuh masa selepas menerima hantaran cantik daripada Godin.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Hamilton yakin kembali dominasi

Posted: 05 Jun 2014 09:28 AM PDT

Montreal: Lewis Hamilton akan berusaha untuk kembali mendominasi kejuaraan pemandu apabila kembali beraksi pada litar yang digemarinya iaitu Grand Prix Kanada, Ahad ini.

Pemandu Britain berusia 29 tahun itu yang sudah memohon maaf kepada rakan sepasukan yang juga pendahulu kejuaraan pemandu, Nico Rosberg selepas dilihat tidak menegur pemain itu di Monte Carlo minggu lalu, meraih kemenangan pertama dalam kariernya pada edisi Grand Prix Kanada tahun 2007.

Dia kemudian kembali melakar kemenangan pada 2010 dan 2012 serta menduduki podium ketiga pada tahun lalu.

Jelas Hamilton, hubungannya dengan Rosberg tiada kaitan dengan peristiwa di Grand Prix Monaco yang menyaksikan pemandu Britain itu kurang berpuas hati dengan cara pemanduan rakan sepasukannya sehingga memberi kelebihan pada sesi kelayakan.

Dia berkata: "Kami adalah rakan baik sejak sekian lama dan sebagai seorang rakan, sudah pasti berdepan situasi berbeza.

"Hari ini kami masih lagi bercakap antara satu sama lain.

Tiada sebarang masalah lagi." Sejak perlumbaan di Monaco yang menyaksikan Rosberg menamatkan empat kemenangan berturut-turut Hamilton, Mercedes dilihat cuba menyembunyikan spekulasi keretakan hubungan kedua-dua pemandu mereka itu.

Perkara itu pernah berlaku pada lewat 1980 serta 1990 antara sensasi Perancis Alain Prost serta Ayrton Senna dari Brazil.

Mercedes sedar mereka mempunyai jentera yang mampu membawa kemenangan dan untuk itu perlu memenangi hati kedua-dua pemandu sekali gus menamatkan dominasi Red Bull yang menyaksikan Sebastian Vettel muncul juara dunia empat kali berturut-turut.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Murray idam cipta sejarah

Posted: 05 Jun 2014 09:27 AM PDT

Andy Murray akan membuat percubaan menjadi pemain British pertama layak ke final Terbuka Perancis namun juara lapan kali Rafael Nadal menjadi penghalang.

Bunny Austin adalah pemain Britian terakhir layak ke kejohanan tanah liat itu pada 1937 manakala Fred Perry pemenang terakhir di Paris dua tahun kemudian.

Namun Murray mampu melakukannya selepas mencatat sejarah menjuarai Kejohanan Wimbledon menamatkan kemarau 77 tahun Britain memenanginya.

Pemain 27 tahun itu tewas kepada Nadal di gelanggang sama di Paris pada 2011 tanpa memenangi sebarang set.

Malah Murray yang memiliki karier rekod 5-14 ke atas Nadal tewas kesemua lima pertemuan di gelanggang tanah liat kepada bintang Sepanyol itu.

Nadal sebaliknya memiliki lapan gelaran di Paris, menang 64 perlawanan sekali tewas dan berazam menjadi pemain pertama memenangi lima kejuaraan Roland Garros berturut-turut.

Disebalik rekod tidak memihak kepadanya, Murray percaya dia memiliki kekuatan mental dan fizikal yang menjadi senjata utamanya nanti.

"Saya tahu bagaimana caranya untuk menang.

Tidak seperti dulu walaupun bekerja keras cuba memenanginya," kata Murray yang tidak pernah menang kejohanan tanah liat, apatah lagi mara ke perlawanan akhir.

Cuma cuaca sahaja menjadi musuh Nadal yang gemarkan keadaan panas bagi memudahkannya menguasai gelanggang dan kawalan bola.

Pemain berusia 28 tahun itu juga mahu menutup kritikan yang sangsi keupayaan mara ke final selepas tewas dalam tiga kejohanan tanah liat Eropah.

Dan dia sedar akan ancaman Murray.

"Saya tidak tertarik dengan aksinya bermain di tanah liat kerana dia sebenarnya boleh menguasai apa sahaja permukaan gelanggang.

"Dia adalah calon untuk memenangi kejuaraan kali ini," kata Nadal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Fabregas bakal ke Chelsea?

Posted: 05 Jun 2014 09:26 AM PDT

Madrid: Pertahanan Barcelona, Gerard Pique mendedahkan bahawa rakan sepasukannya, Cesc Fabregas (gambar) akan meninggalkan kelab itu dengan nilai AS$45 juta (RM145 juta).

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan destinasi pemain tengah itu walaupun khabar angin sebelum ini menyatakan Fabregas akan ke Chelsea.

Pique, 27, mendedahkan nilai perpindahan rakannya itu dalam satu majlis di Amerika Syarikat.

Dia mengambil sikap merahsiakan perkara itu tetapi bercakap secara terbuka kepada TVE di satu majlis promosi di Washington DC, lokasi di mana Sepanyol mengadakan latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang El Salvador esok.

Pique memberitahu jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque sebelum bermulanya sidang media bahawa semuanya sudah selesai dan dapat didengari semua orang.

"Dia akan pergi.

Dia beritahu saya AS$45 juta," kata Pique.

Selepas itu, Del Bosque menjawab pemergian Fabregas, 27, adalah satu berita buruk buat presiden, iaitu merujuk kepada Josep Maria Bartomeu.

"Dia tidak boleh berehat.

Anda akan membuatkan dia gila dan berasa resah," kata Del Bosque.

Ia masih belum jelas sama ada Pique dan Del Bosque betul-betul bersembang tanpa menyedari bahawa perbualan itu didengari semua orang.

Sepanyol akan berdepan Chile, Belanda dan Australia dalam Kumpulan B.

Perlawanan pertama mereka akan bermula pada Jumaat depan menentang Belanda, iaitu mengulangi saingan akhir Piala Dunia 2010.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

No comments:

Post a Comment