Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Masih ada harapan

Posted: 18 Jun 2014 10:37 AM PDT

Selayang: Johor Darul Ta'zim (Johor DT) berterima kasih kepada Kelantan yang beraksi cemerlang menewaskan Selangor 2-0 di Kota Bharu, malam kelmarin namun jasa itu bakal dilupakan apabila The Red Warriors (TRW) bertandang ke Larkin esok.

Johor DT tewas mengejut 1-2 kepada pasukan bawahan liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun peluang buat Harimau Selatan muncul juara buat kali pertama terus terbuka selepas kekalahan Merah Kuning dan kedua-dua pasukan kini dipisahkan dengan hanya satu mata dengan baki dua perlawanan.

"Sememangnya kami mahu menang namun sebaliknya berlaku, tetapi Kelantan membolehkan kelebihan kembali berpihak kepada kami.

"Dua perlawanan selepas ini sukar dan kami perlu menewaskan Kelantan dan Sarawak," kata pengendali Johor DT, Bojan Hodak yang jelas kurang senang dengan prestasi pengadil pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu.

Foto

PEMAIN pertahanan Johor DT, Aidil Zafuan Abd Radzak (kanan) mengekang pemain ATM, Fabrice Noel.


Keputusan pengadil perlawanan, Suhaizi Sukri terutamanya pada lewat perlawanan membabitkan beberapa insiden termasuk dalam kotak penalti mencetuskan kemarahan di bangku simpanan Johor DT pada perlawanan yang turut menyaksikan dua kad merah dilayangkan dan salah satu kepada kapten Harimau Selatan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.


"Mengenai perlawanan, apa yang boleh saya katakan kami menggegar tiang dan palang. Saya tidak mahu membuat kenyataan mengenai pengadil perlawanan kerana perlu melihat rakaman video kerana sekali lagi saya kurang gembira terhadap prestasi pengadil.

"Kami akan menghantar rakaman video kepada Persatuan Bolasepak Malaysia," kata bekas pengendali Kelantan itu.

Walaupun menguasai peringkat awal perlawanan, Johor DT yang mendapat sokongan kira-kira 15,000 penyokong termasuk kehadiran Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim gagal memecahkan kebuntuan.

Ketinggalan dua gol kepada lawan menyaksikan Johor DT menggandakan asakan dan serangan sebelum memperoleh gol pembukaan pada minit ke-84 menerusi tandukan pemain pertahanan, Mohd Asraruddin Putra Omar selepas menerima hantaran Amirulhadi Zainal namun gol penyamaan yang dicari gagal menjelma sehingga wisel penamat.

Harimau Selatan tidak mempunyai pilihan lain selain menumbangkan Kelantan di Larkin malam esok diikuti perlawanan terakhir menentang Sarawak di Kuching pada 25 Jun sekiranya mahu bergelar juara Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Kebangkitan ATM

Posted: 18 Jun 2014 10:33 AM PDT

Selayang: Nasib malang yang menimpa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada awal musim semakin berubah menjelang penghujung saingan Liga Super.

Anak buah B Sathianathan mempamerkan kebangkitan apabila tidak tewas tiga perlawanan terakhir menentang 'gergasi Liga Super', bermula dengan mengikat juara Piala FA, Pahang 2-2 serta menewaskan dua pasukan teratas Liga Super, Selangor 2-0 pada Jumaat lalu dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) 2-1 malam kelmarin bagi memastikan misi ATM kekal di Liga Super musim depan terlaksana.

ATM pada awal musim dilabel antara pasukan bakal mencabar kejuaraan, mengalami nasib berbeza apabila sebahagian besar pemain utamanya mengalami kecederaan jangka panjang dengan peledak utama, Juan Manuel Arostegui patah tangan kanan ketika sesi latihan pada Isnin dan kapten pasukan, Hairuddin Omar mendapat kecederaan ketika memanaskan badan untuk menentang Johor DT malam kelmarin.

"Saya tidak pernah mengalami situasi seperti ini (senarai kecederaan panjang) dalam kerjaya sebagai jurulatih, ini satu pengalaman dan pengajaran.

Semalam (Isnin), Arostegui pula mengalami kecederaan dan tersisih enam minggu selepas mula menemui sentuhan jaringan.

Saya tidak tahu, kecuali perlawanan menentang Pahang dan LionsXII yang lainnya kami tidak bernasib baik dengan tujuh cubaan Arostegui sendiri terkena palang dalam beberapa perlawanan sebelum ini," kata Sathianathan.

Kejayaan menumbangkan Johor DT malam kelmarin membolehkan ATM mengumpul 22 mata dengan baki dua perlawanan, namun ia masih belum cukup buat The Gladiators selamat daripada tersingkir dengan sasaran seterusnya menentang pasukan di kedudukan keempat liga, Terengganu malam esok.

Pemain importnya, Fabrice Noel memainkan peranan penting mengucar-kacirkan pertahanan Johor DT apabila hantarannya membolehkan Bruno Martelotto membuka jaringan penghujung separuh masa pertama sebelum sekali lagi mencipta ruang buat Affize Faisal Mamat meledak jaringan kedua untuk memusnahkan harapan pelawat.

"Kami sepatutnya mendapat lebih banyak gol namun tempoh 20 minit pertama, lawan juga melepaskan banyak peluang menjaringkan gol.


Kemenangan ini bukan sesuatu yang luar biasa, apabila sudah mempersiapkan diri serta keyakinan, kemenangan akan dicapai," katanya.

ATM perlu terus mencatatkan keputusan yang positif kerana kini menghuni tangga ke-10 Liga Super dengan 22 mata, hanya memiliki kelebihan dua mata berbanding Perak di kedudukan ke-11 manakala PKNS FC tercorot dengan 17.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Jaringan Ronaldhinho bertaraf dunia

Posted: 18 Jun 2014 10:33 AM PDT

Shah Alam: Pengendali sementara PKNS FC Anuar Abu Bakar lega dengan kejayaan pasukannya meraih tiga mata penting di samping turut memuji aksi bertenaga penyerang importnya Patrick Ronaldhinho yang menjaringkan gol kemenangan buat tuan rumah ketika membenam LionsXII 2-1 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Sambil menyifatkan jaringan Patrick bertaraf dunia, Anuar mahu penyerang berasal dari Liberia itu meneruskan sentuhan pemusnah dalam aksi berikutnya apabila bakal berdepan Pahang di Kuantan pada Sabtu ini serta bertemu Selangor dalam perlawanan terakhir Rabu depan.

"Jika ada anugerah pemain terbaik sudah tentu saya namakan Patrick.

Dia memainkan peranan penting membantu kami meraih kemenangan dan ideanya juga begitu menakjubkan.

"Selepas ini kami akan menghadapi lawan yang lebih kuat, Pahang dan Selangor.

Kedua-dua pasukan itu terutama Selangor ingin mengejar kejuaraan Liga Super dan kami pula berjuang untuk kekal di liga dan sememangnya saingan agak rancak.

"Kami memang meletakkan harapan di bahu Patrick untuk terus menyumbangkan gol kepada pasukan dan seterusnya mencatat kemenangan," katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan, kelmarin.


Skuad digelar Semut Merah itu kini terdesak untuk keluar dari zon penyingkiran bagi mengelak daripada beraksi di Liga Perdana musim depan dengan hanya mengumpul 17 mata kekal di tangga tercorot, namun berpeluang keluar dari zon bahaya dengan syarat menang baki dua aksi seterusnya di samping mengharapkan Perak, T-Team dan ATM keciciran mata.

"Dengan prestasi seperti malam ini, saya ingatkan kepada pemain yang mereka perlu menggandakan usaha untuk aksi selepas ini.


Jika malam ini 95 peratus, lawan Pahang mesti meningkat kepada 100 peratus dan Selangor naik lagi 120 peratus.

"Saya rasa pemain sedar apa yang harus mereka lakukan pada aksi berikutnya kerana nasib pasukan berada dalam tangan mereka, jika kalah saingan Liga Perdana menanti tapi jika menang kami akan kekal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Bazir peluang

Posted: 18 Jun 2014 10:32 AM PDT

Kuantan: Pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan terkilan apabila skuadnya melepaskan peluang terbaik untuk mengekori rapat Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan Selangor selepas dua pasukan teratas Liga Super itu tewas.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu berkata, keputusan seri 1-1 dengan Sarawak kelmarin, tidak akan menghalang impian skuad Tok Gajah untuk merampas takhta liga biarpun dilihat begitu tipis.

Menurutnya, beliau akan memastikan Pahang tidak mempersia-siakan enam mata bagi mendapat kedudukan terbaik dalam saingan liga musim ini dalam baki dua lagi perlawanan.

"Apa yang berlaku sudah ditakdirkan, saya terima dengan sebaiknya sekalipun jika Pahang kekal di tangga ketiga musim ini.

"Tapi saya akan berusaha memastikan kami tidak terlepas enam mata ketika bertemu PKNS FC dan Perak," katanya semalam.

Pada perlawanan kelmarin, Pahang melepaskan peluang keemasan untuk mengekori rapat Selangor dan Johor DT apabila mengutip satu mata ketika bertemu Sarawak.

Pahang sepatutnya pulang dengan tiga mata apabila mendahului 1-0 pada separuh masa pertama, tetapi tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan.

Mengulas keputusan perlawanan, Zainal Abidin tetap puas hati dengan persembahan pemainnya walaupun sedar Sarawak begitu kebal di gelanggang sendiri.

Menurutnya, secara keseluruhan, pemainnya bermain dengan baik dan memiliki peluang menjaringkan gol, tetapi Sarawak begitu kebal bertahan hingga wisel penamat.

"Saya harap pemain mengekalkan prestasi mereka dalam dua baki perlawanan untuk mencatat keputusan membanggakan," katanya.

Foto

KEADAAN kelam-kabut di hadapan pintu gol Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Kelantan yakin tempat keempat

Posted: 18 Jun 2014 10:30 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan masih berpeluang membaiki kedudukan untuk berada dalam kelompok empat terbaik selepas menundukkan Selangor, 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Pengurus pasukan Azman Ibrahim berkata, kejayaan mengatasi pasukan The Red Giants itu membuka peluang kepada pasukannya memburu tangga terbaik liga.

Katanya, kemenangan itu hasil percaturan 100 peratus ketua jurulatih George Boateng meskipun pengendali itu tidak bersama pasukan ketika perlawanan berlangsung.

"Pujian harus diberikan kepada pemain kerana komited mendapatkan tiga mata walaupun mereka masih kepenatan.


"Bagi saya peluang kembali terbuka dan Kelantan berpeluang membaiki kedudukan untuk berada dalam kelompok empat terbaik sebelum tamat musim.


"Kemenangan ini sepenuhnya percaturan ditinggalkan Boateng dan dikendalikan dengan baik kakitangan kejurulatihan yang berada di sini," katanya selepas tamat perlawanan.

Bagaimanapun, Azman yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkata, kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga mahal selepas kehilangan dua tonggak, pertahanan Mohd Farisham Ismail yang mengalami kecederaan selain pemain sayap, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning untuk perlawanan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Perak tekad bangkit

Posted: 18 Jun 2014 10:28 AM PDT

Ipoh: Perak belum menyerah kalah sebaliknya tekad bangkit dalam baki dua perlawanan untuk berusaha menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana.

"Harapan masih ada dan kami akan bermain mati-matian untuk mengatasi LionsXII dan Pahang nanti.

Tiada yang mustahil dalam bola sepak.

Apa saja boleh berlaku," kata pengurus Perak Datuk Azhar Ahmad mengulas kegagalan The Bos Gaurus mengutip mata penuh ketika menentang T-Team di Ipoh, malam kelmarin.


Azhar jelas tidak mempunyai jawapan terhadap persembahan anak buahnya yang dikesan merosot sejak pertemuan dengan PKNS FC di Shah Alam minggu lalu.


Katanya, berbanding persembahan mantap ketika menentang ATM dan Sarawak yang menyaksikan Perak menang 2-0 dan 4-1, skuad Seladang kini seperti hilang selera.

"Tiada kesungguhan seperti dalam dua perlawanan itu.

Malah saya dapati persembahan pasukan menjunam sejak pertemuan dengan PKNS.

Cuma mujur kami menang perlawanan itu," katanya.

Mengenai kedudukan ibarat telur di hujung tanduk Perak ketika ini, Azhar yang juga Bendahari Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkata, beliau sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan yang mungkin berlaku bagi baki dua perlawanan itu.

"Kalau kita kalah juga dengan LionsXII dan Pahang, saya sudah sedia.

Sebagai pengurus, saya akan bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

9 negara membisu

Posted: 18 Jun 2014 10:27 AM PDT

Kuala Lumpur: Adakah benar-benar berminat atau sekadar 'hangat-hangat tahi ayam?'

Itulah yang menjadi persoalan mengenai cadangan bidaan bersama untuk menganjurkan Piala Dunia 2034 di kalangan negara ASEAN yang sehingga kini masih belum mencapai kata putus.

Setakat ini hanya Malaysia yang tampak serius untuk mencuba nasib namun ia tidak akan menjadi kenyataan jika sembilan lagi negara rantau Asia Tenggara tidak berminat untuk bersama-sama menggerakkan pelan penganjuran kejohanan bola sepak paling berprestij itu.

Selepas hampir lima bulan Malaysia menerusi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyatakan persetujuan dengan cadangan untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034, negara lain iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei, Vietnam, Myanmar, Filipina, Kemboja dan Laos masih belum membuat ketetapan seakan seperti kurang berminat walaupun dalam pertemuan sebelum ini masing-masing menyambut baik cadangan itu.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Datuk Azzuddin Ahmad, negara lain masih belum memberikan 'lampu hijau' sama ada mahu bersama-sama melakukan bidaan itu.

"AFF sudah membentangkan cadangan ini kepada Menteri Belia dan Sukan negara-negara ASEAN pada Disember 2013 lalu.

Kini keputusan (untuk membida Piala Dunia 2034) bergantung kepada setiap menteri untuk membawa usul ini kepada kerajaan masing-masing.

"Apa yang pasti, semua kata (usul mengenai bidaan Piala Dunia 2034) akan dibawa ke pengetahuan kerajaan negara masing-masing," katanya.

Dalam laporan Arena Metro sebelum ini, Khairy memberi bayangan jika mendapat persetujuan bersama negara ASEAN, penganjuran kejohanan empat tahun sekali itu mungkin akan dibuat oleh empat negara Asia Tenggara namun Azzuddin menyatakan bahawa ia masih terlalu awal untuk dibincangkan.

"Buat masa ini, tiada sebarang petunjuk (maklumat mengenai negara ASEAN yang layak menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 jika bidaan berjaya)," jelas bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu.

Untuk rekod, penganjuran bersama Piala Dunia pernah dilakukan pada 2002 oleh Jepun dan Korea Selatan manakala cubaan Belgium dengan Belanda dan Sepanyol dan Portugal untuk mendapatkan hak selaku tuan rumah bersama Piala Dunia 2018 tidak berjaya apabila hak itu diberikan kepada Russia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Arif mudah singkir Momota

Posted: 18 Jun 2014 10:26 AM PDT

Kuala Lumpur: Mohamad Arif Abdul Latiff terus mencuri tumpuan di Siri Super Premier Terbuka Indonesia apabila membuktikan perseorangan Jepun, Kento Momota tidaklah begitu hebat selepas menyingkirkan pemain itu di pusingan pertama semalam.

Arif mengiringi dua lagi perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei dan Chong Wei Feng ke pusingan kedua hari ini bagi melengkapkan hari cemerlang buat rangkaian pemain negara.

Pemain bebas itu mengambil masa 34 minit untuk menewaskan Momota 21-19, 21-13 manakala Chong Wei mengecewakan pemain tuan rumah Sony Dwi Kuncoro selepas menang 21-7, 21-11 dan Wei Feng menundukkan Tian Houwei 11-21, 21-15, 21-8.

"Ini kemenangan terbesar kedua saya catatkan selepas menumpaskan Tanongsak Saensomboonsuk (Thailand) di Grand Prix Emas di Johor Bahru Mac lalu," kata pemain kelahiran Negeri Sembilan itu.

Pemain berusia 26 tahun itu mengakui dia bermain tanpa sebarang tekanan dan lawannya yang menduduki ranking ke-11 dunia itu cuba mengajaknya bermain secara rali namun dia mampu bertahan dengan baik.

"Saya akui sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) prestasi saya semakin meningkat dan selepas ini bertemu Jan O Jorgensen (Denmark), saya akan cuba berikan yang terbaik," katanya.

Jorgensen menempah slot ke pusingan kedua selepas mengalahkan pemain Jepun, Takuma Ueda 21-18, 21-14, manakala Chong Wei selaku pilihan utama akan berdepan Brice Leverdez (Perancis) yang menewaskan Chou Tien Chen dari Taiwan 18-21, 21-17, 21-18.

Wei Feng pula bakal berentap dengan pemain pilihan keempat juga dari Jepun, Kenichi Tago yang sebelum itu menewaskan wakil India, Kashyap Parupalli 19-21, 21-8, 24-22.

Beregu lelaki yang baru digandingkan Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong tidak mengecewakan apabila menang 12-21, 21-18, 21-19 ke atas pasangan Thailand, Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech .

Menanti mereka di pusingan kedua ialah pasangan Indonesia, Berry Angriawan-Ricky Karanda Suwardi yang mengejutkan pilihan ketiga dari Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 24-22, 21-19.

Turut mara perseorangan wanita, Tee Jing Yi yang mengalahkan wakil tuan rumah Desi Hera 21-19, 30-28 dan Yang Li Lian pula menyingkirkan Jamie Subandhi dari Amerika Syarikat 21-17, 21-17 Jing Yi akan bertemu juara dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon yang menang 21-18, 19-21, 21-18 ke atas pemain Jepun, Akane Yamaguchi, manakala Li Lian berdepan Bae Yun Ju (Korea Selatan) selepas menewaskan Eriko Hirose (Jepun) 21-8, 21-19.

Bagaimanapun, beregu wanita, Amelia Alician Anscelly-Soong Fie Cho pula gagal mara ke pusingan kedua apabila kalah kepada pasangan tuan rumah, Keshya Nurvita Hanadia-Devi Tika Permatasari 20-22, 18-21.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

'Mana ada masalah'

Posted: 18 Jun 2014 10:23 AM PDT

Kuala Lumpur: "Kenapa apabila skuad negara dapat tempat ke-12 di Piala Dunia baru timbul isu masalah dalaman pasukan?"

Demikian persoalan Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad yang berang dengan tuduhan menyatakan kegagalan skuad negara pada kempen Piala Dunia disebabkan pelbagai masalah berlaku di dalam pasukan negara sebelum bermulanya kejohanan berprestij itu.

Nur Azmi menegaskan, tidak timbul isu gangguan atau masalah dalam pasukan yang menyebabkan skuad negara menduduki tempat tercorot di Belanda.

"Hakikat yang perlu kita terima pasukan lain yang beraksi di Piala Dunia jauh lebih baik daripada Malaysia.

"Jangan lihat Malaysia saja, pasukan lain seperti India dan Pakistan yang sering beraksi di Piala Dunia juga pernah gagal meraih kedudukan terbaik.

"Kenapa ketika skuad negara meraih tempat ketiga di Cabaran Juara-Juara 1 lalu tidak timbul pula cerita gangguan atau masalah dalaman ini?" katanya.

Bekas kapten skuad negara, Mohamad Abdul Hadi menerusi laporan Arena Metro kelmarin mendakwa keputusan mengecewakan pada kempen Piala Dunia kemungkinan besar berpunca daripada pelbagai gangguan yang wujud, baik di dalam MHC atau dalam kalangan pemain.

Antara yang didakwa Mohamad ialah krisis membabitkan bekas jurulatih Paul Revington yang mengambil keputusan sebanyak dua kali untuk meletak jawatan selain mendakwa berlaku situasi tidak harmoni antara pemain remaja dan senior dalam skuad kebangsaan.

Nur Azmi berkata, sekarang bukan masanya untuk membuat sebarang tuduhan melulu, sebaliknya beliau mahu skuad negara terus fokus melakukan persediaan untuk Sukan Komanwel dan Asia.

"Saya masih menunggu laporan rasmi pengurus dan jurulatih berhubung prestasi di Piala Dunia.

Selepas itu, kita akan terus fokus kepada misi untuk layak ke Sukan Olimpik," katanya.

Foto

PEMAIN negara, Mohd Fitri Shaari (kanan) menyekat asakan pemain Afrika Selatan, Jonathan Robinson pada aksi Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Misi besar Ju Pha

Posted: 18 Jun 2014 10:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis 2014, Ju Pha Som Net mempunyai hajat besar di Sukan Komanwel 2014 Glasgow walaupun kali pertama beraksi di temasya itu.

Pelumba trek jarak sederhana itu, mengakui berharap dapat meraih pingat sulung di kejohanan yang dianjurkan empat tahun sekali itu dengan syarat tidak terlampau memikirkan pencabar lain.

"Sasaran memang hendak buat yang terbaik, kalau boleh mesti menang tidak kira warna pingat, janji saya boleh naik podium," kata pelumba kelahiran Perlis itu.
Ju Pha yang meraih anugerah Olahragawati SUKMA Kuala Lumpur 2011 akan beraksi dalam acara perlumbaan mata dan scratch.

"Kini saya masih lagi bercuti selepas menghadiahkan pingat emas buat negeri kelahiran saya di SUKMA Perlis baru-baru ini dalam acara lebuh raya.

"Setakat ini saya tidak akan berlumba di mana-mana kejohanan, kecuali menjalani latihan insentif di Chiang Mai bulan ini," kata pelumba berusia 21 tahun itu.
Selain Ju Pha, seorang lagi pelumba trek wanita negara yang akan beraksi di Glasgow adalah Fatehah Mustapa.

Fatehah akan mengambil bahagian dalam acara pecut, 500 meter ujian masa dan scratch.

Pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2014 Astana Mei lalu, Ju Pha berjaya meraih gangsa dalam perlumbaan mata, Fatehah juga mencatatkan keputusan sama dalam acara 500 meter ujian masa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

No comments:

Post a Comment