Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Koleksi Wira Malaysia

Posted: 26 Jun 2014 02:55 PM PDT

Kuala Lumpur: "Kita bukan hanya melancarkan jersi dan corak baru baju atlet kebangsaan, tapi kita lancarkan sekali semangat baru, bermula dengan Sukan Komanwel 2014 Glasgow nanti," kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Semalam Khairy melancarkan secara rasmi pakaian atlet kebangsaan yang diberi nama Koleksi Wira Malaysia hasil sentuhan pereka fesyen terkenal tempatan Melinda Looi.


"Ramai yang memberi komen positif ketika saya mempromosi pakaian rasmi atlet kebangsaan di laman sosial, namun tidak kurang yang memberi pendapat tidak guna pakaian garang tapi atlet tidak, namun inilah yang dikatakan impak psikologi," katanya dalam ucapan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Menurutnya, pembangunan atlet bukan hanya terhadap pengasuhan bakat, tapi bagaimana cara memberi sokongan dan menaikkan moral.


"Sebelum melancarkan jersi Panthera pada 2005, atlet kita tidak ada pakaian seragam, tapi selepas itu ramai rakyat Malaysia memakainya ketika menyokong skuad badminton bertarung di Piala Thomas, memberi sokongan kepada skuad bola sepak kebangsaan di stadium dan menyaksikan perlumbaan membabitkan Azizulhasni Awang serta Josiah Ng di velodrom.


"Saya rasakan sudah tiba masanya untuk meniup nafas segar dan corak baru ini juga lebih menarik, bertenaga serta garang meningkatkan keyakinan atlet yang menggalas harapan besar rakyat Malaysia," katanya.

Khairy yang mula mendapat idea itu sejak awal tahun ini, mengambil contoh sentuhan pereka fesyen terkenal seperti Giorgio Armani yang menyediakan sut untuk skuad bola sepak Itali dan begitu juga Paul Smith bagi England.


"Majlis Sukan Negara (MSN) juga menandatangani dua perjanjian dengan syarikat swasta Sunrise Sports, pengedar jenama Yonex iaitu pengeluar rasmi pakaian kebangsaan dengan corak baru ini akan digunakan atlet serta pegawai hingga 2020.

"Pakaian untuk atlet ini merangkumi baju trek lengkap, kemeja-T berkolar dan tidak berkolar, topi serta beg bernilai RM669.40. Yonex akan menyumbangkan tajaan ini kepada MSN sebanyak 10,000 set bersamaan dengan RM6.69 juta. Ia akan dipakai atlet negara di Sukan SEA 2015, 2017 dan 2019, Sukan Komanwel 2018, Sukan Asia 2019 dan Sukan Olimpik 2016 serta 2020," katanya.


Perjanjian kedua pula membabitkan MSN dan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang akan menjual jersi kepada orang ramai hingga 2016.


Pada majlis itu juga, MSN menyumbang RM50,000 kepada Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MyCAT) hasil royalti penjualan jersi Panthera.


"Kita rasa bersalah jika tidak bekerjasama dengan pertubuhan ini kerana kita bangga dengan jersi dengan corak belang Harimau Malaya, tapi tidak sedar binatang itu makin pupus kerana pemburuan haram yang tidak terkawal," kata Khairy.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Siapa pilihan FAM?

Posted: 26 Jun 2014 02:46 PM PDT

Kuala Lumpur: Perubahan cuaca menjadi lebih panas akibat fenomena El Nino turut memberi kesan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila dikhabarkan bakal melantik jurulatih tempatan berbanding pendirian sebelum ini yang mahu mencari pengendali asing bagi membimbing skuad Harimau Malaya.

Malah beberapa nama turut dikaitkan dengan perubahan itu membabitkan jurulatih sementara skuad kebangsaan dan Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee serta ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh berada dalam senarai terakhir sebelum diumumkan badan induk bola sepak negara itu esok.


Legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh (gambar) bersetuju dengan cadangan FAM mengambil sentuhan anak watan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan pengendali terdahulu Datuk K Rajagopal.

Malah, beliau turut percaya pembimbing tempatan mampu menjulang skuad negara untuk menggegar di kejohanan Piala AFF penghujung tahun ini.


Santokh yang pernah mengecapi kejayaan membawa skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum kerajaan membatalkan hasrat menyertai temasya itu menegaskan, kejayaan sesebuah pasukan bukanlah diukur dengan kehadiran jurulatih import semata-mata selain menganggap pelaburan ratusan ribu untuk melantik kepakaran luar sebagai pembaziran.


"Saya lebih suka memilih jurulatih tempatan berbanding luar. Bagi saya jurulatih tempatan lebih baik dan memiliki sentuhan tersendiri seperti dibuktikan sebelum ini menerusi khidmat Raja (Rajagobal - pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010) serta Kim Swee (pingat emas Sukan SEA 2011).

Foto

"Jika FAM bawa masuk jurulatih asing, mereka sudah pasti mahu membentuk barisan kejurulatihan dari negara mereka sendiri. "Ini sudah pasti mewujudkan masalah komunikasi dalam kalangan pemain sekali gus memerlukan jurubahasa dan hasilnya penyampaian membabitkan saluran ketiga akan kurang efektif," katanya ketika ditemui pada Pelancaran kempen 'Zurich Sayang Bola Sepak' di sini, semalam.


Bekas tonggak pertahanan Selangor yang pernah berganding bersama Datuk Soh Chin Aun dan arwah Datuk Mokhtar Dahari pada era 1970 dan 80-an itu berkata, Dollah Salleh menjadi pilihan utamanya bagi mengisi kerusi panas itu.

"Saya pilih Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan B Sathianathan kerana berwibawa dan wajar dipertimbangkan.


"Walaupun Dollah jadi pilihan, Zainal dan Sathianathan juga bagus dan perlu dipertimbangkan FAM. "Cuma lebih baik jika dibiarkan Kim Swee terus mengendalikan pasukan Harimau Muda kerana peringkat pembangunan juga mesti terus dimantapkan," katanya.


Menerusi laporan Arena Metro Selasa lalu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan mereka semakin hampir untuk menamatkan teka-teki individu yang bakal dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan dengan kriteria utama dilaporkan anak tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Dominasi awang import

Posted: 26 Jun 2014 02:45 PM PDT

Kuala Lumpur: Kelibat penyerang tempatan terus tenggelam selepas kancah Liga Super dan Perdana berakhir pertengahan minggu ini dengan pemain import mendominasi senarai pemenang Kasut Emas 2014.

Penyerang Selangor dari Brazil, Paulo Rangel unggul meneruskan tradisi pemain import apabila muncul penjaring terbanyak dengan 16 gol dalam kancah Liga Super musim ini manakala Edward Junior Wilson dari Liberia pula meledak 19 gol buat FELDA United FC untuk mengungguli Liga Perdana.


Penyerang Terengganu, Norfarhan Muhammad menjadi penjaring terbanyak pemain tempatan dengan tujuh gol ketika nama-nama seperti Luciano Figueroa (11 gol), Juan Manuel Arostegui (9), Matias Conti (9) dan Jorge Pereyra Diaz (8) mendominasi senarai peledak berbisa.

Pemain berpengalaman negara, Indra Putra Mahayuddin membuktikan sentuhannya masih berbisa dengan berada dalam senarai 10 peledak terbanyak Liga Perdana dengan 10 gol.


Kali terakhir penyerang tempatan muncul penjaring terbanyak pada musim 2011 menerusi Abdul Hadi Yahya yang meledak 20 gol (Liga Super) ketika mewakili Terengganu dan pemain PDRM, Khairul Izuan Abdullah dengan 14 gol (Liga Perdana) pada 2012. Sejak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kembali membenarkan penggunaan pemain import bermula musim 2012, kebanyakan pasukan lebih berminat menggunakan sentuhan penyerang import berbanding penyerang tempatan yang dikatakan lebih mampu menjamin kemenangan.


Malah, sepanjang musim ini, tiada pasukan Liga Super menggunakan pemain tempatan mengepalai jentera serangan dan sesetengah penyerang tempatan terpaksa menukar posisi bagi memberi ruang kepada penyerang import atau untuk kekal dalam kesebelasan utama.

Contohnya, juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menggunakan khidmat dua tenaga import dari Argentina, Figueroa dan Diaz untuk mengepalai jentera serangan Harimau Selatan dengan dua penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali terpaksa memanaskan bangku simpanan atau bermain di posisi lain seperti bahagian sayap.


Abdul Hadi yang kini mewakili Selangor hanya meledak satu gol di Liga Super, terpaksa mengorbankan posisi kegemarannya sebagai penyerang utama apabila diarah jurulatih untuk beraksi di bahagian sayap atau tengah.

Namun, situasi ini tidak boleh dipersalahkan terhadap mana-mana pasukan kerana mereka melakukan pelaburan tinggi dan pastinya inginkan pemain terbaik berada dalam kesebelasan utama. Justeru, bagi bergelar juara, sentuhan klinikal diperlukan bagi memastikan kemenangan.


Mahu atau tidak penyerang tempatan perlu mempamerkan kebangkitan dalam persekitaran dibayangi penyerang import yang semakin meniti dalam kalangan peminat tempatan kerana persembahan dan prestasi mereka akan turut mempengaruhi persembahan skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

FAM digesa segera selesai isu jurulatih

Posted: 26 Jun 2014 02:44 PM PDT

Bukit Jalil: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya tidak mengambil masa lebih lama untuk melantik jurulatih baru skuad kebangsaan yang kini sudah berlarutan sehingga enam bulan.

Selepas kontrak Datuk K Rajagobal tidak disambung pada 31 Disember lalu, sehingga kini jawatan itu masih belum ada pengganti dan FAM hanya menggunakan khidmat jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali sementara.


Namun, Kim Swee juga terikat dengan komitmen bersama Harimau Muda A yang beraksi dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia serta persiapan skuad bawah 23 tahun ke Sukan Asia di Incheon pada September depan.

Ini mencetuskan kebimbangan memandangkan Harimau Malaya sudah kesuntukan masa untuk melakukan persiapan bagi mengharungi Piala AFF pada November ini berbanding pasukan lain di rantau ini mula sibuk mengadakan latihan dan perlawanan persahabatan.


Khairy yang sebelum ini menyerahkan kepada FAM untuk memilih calon jurulatih yang layak berkata, masalah ketiadaan jurulatih tetap itu perlu diselesaikan segera supaya perancangan skuad kebangsaan tidak terabai.


"Saya sudah membuat kenyataan mempercepatkan pelantikan jurulatih kebangsaan. Keadaan hari ini tidak ada jurulatih tidak boleh berterusan dan saya harap ia boleh diselesaikan dengan cepat," katanya selepas melancarkan pakaian baru atlet kebangsaan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Kehilangan Rangel 'kacau' rentak Selangor

Posted: 26 Jun 2014 02:44 PM PDT

Shah Alam: Kehilangan penjaring terbanyak Liga Super Paulo Rangel dalam dua perlawanan penghujung aksi membawa padah kepada Selangor apabila tewas dalam dua perlawanan itu dan akhirnya terlepas kejuaraan.

Itu antara rumusan pengendali Selangor Mehmet Durakovic mengenai punca Merah Kuning terpaksa mengalah kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) selepas bersaing sengit dan terpaksa akur dengan gelaran naib juara Liga Super buat dua musim berturut-turut.


"Sudah pasti kecewa kerana kami mendahului sebahagian besar liga musim ini. Kami kehilangan Rangel dalam dua perlawanan kerana digantung selepas menerima kad merah dan ia memberikan kesan kerana Selangor kerana tidak mempunyai skuad yang besar.

"Kami tidak mempunyai penyerang pengganti berkualiti sepertinya," kata pengendali dari Australia itu yang dilantik membimbing Merah Kuning musim ini.


Selangor menamatkan perlawanan terakhir malam kelmarin dengan keputusan seri 2-2 menentang PKNS FC sekali gus mengumpul 41 mata selepas 22 perlawanan manakala Johor DT mempunyai kelebihan tiga mata (44) selepas menewaskan Sarawak di Kuching.


"Bagi saya ini keputusan hebat untuk sebuah pasukan yang hanya dikumpulkan selama tujuh bulan. Tahniah kepada semua pemain saya, ia bukan sesuatu yang mudah untuk bergelar naib juara," katanya.

Durakovic yang dilantik Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dilihat berjaya membina Selangor yang berwajah baru, disifatkannya sebagai 'pasukan tanpa bintang' selepas Merah Kuning kehilangan sebahagian besar tonggak berpengaruh musim lalu seperti Mohd Amri Yahyah, Mohd Asraruddin Putra Omar, Mahali Jasuli dan Norazlan Razali kepada Johor DT.


Malah, bekas kapten Selangor itu berjaya mengembalikan kepercayaan peminat apabila menampilkan corak permainan menarik dan menghiburkan sehingga 'melahirkan' Paulo Rangel yang muncul penjaring terbanyak musim ini dengan 16 gol.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Trofi jelajah selatan

Posted: 26 Jun 2014 02:43 PM PDT

Johor Bahru: Dua tahun lalu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah mengumumkan akan melonjakkan bola sepak Johor ke tahap tertinggi dan impian itu menjadi kenyataan apabila Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mencipta sejarah menjulang trofi Liga Super musim ini.

"Pada 4 September dua tahun lalu, saya pernah berjanji untuk membawa kegemilangan bola sepak Johor dan hari ini saya kotakan janji itu. Terima kasih kepada penyokong yang memberi sokongan padu tidak berbelah bahagi sehingga kejayaan ini tercapai," katanya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) di depan 20,000 penyokong skuad Harimau Selatan yang hadir menyaksikan penyampaian hadiah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.


Ketua jurulatih Bojan Hodak yang gembira dengan kejayaan merangkul kejuaraan liga itu mengakui ramai tidak percaya mereka akan muncul juara ketika beliau mengambil alih tugas membimbing skuad itu daripada Cesar Ferrando Jiminez.

"Ketika itu kedudukan Johor DT berada di tangga keenam liga dan ramai yang tidak yakin pasukan saya bimbing akan menyerlah namun hasil kesungguhan dan kepercayaan pemain, inilah habuannya.


"Walaupun agak kepenatan dengan jadual liga padat, kami sudah melupakan kepayahan dilalui apabila menerima anugerah terbaik ini.


"Pujian menjuarai liga bukan saja untuk pemain malah kesemua jurulatih yang bertungkus lumus merealisasikan impian itu," katanya pada sidang media, semalam.

Hodak juga mengakui kesungguhan Tunku Ismail yang tidak kenal erti kecewa dan sentiasa memberi sokongan dan dorongan menjadi faktor kejayaan Johor DT.


Justeru, katanya, kesemua pemain akan diberi rehat 10 hari sebelum kembali menjalani latihan untuk saingan Piala Malaysia.

"Kita akan tunggu undian untuk menentukan kumpulan dan buat masa ini pemain akan diberikan rehat supaya mereka kembali dengan semangat tinggi," kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Tonik V Shem, Wee Kiong

Posted: 26 Jun 2014 02:42 PM PDT

Kuala Lumpur: Sikap sering tidak berpuas hati menjadi kunci kecemerlangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mara ke suku akhir Siri Super Terbuka Australia 2014, semalam.

V Shem-Wee Kiong dipaksa berhempas-pulas menumbangkan pasangan Indonesia yang juga pilihan keenam, Markus Fernaldi Gideon-Markis Kido 19-21, 21-11, 21-13.


"Memang kami lega dengan kemenangan ini tapi ia masih belum cukup," kata Wee Kiong yang kembali bergandingan bersama V Shem selepas kali terakhir berpasangan di Piala Thomas 2014 New Delhi, Mei lalu.

Wee Kiong juga menjelaskan, tidak ada taktik atau senjata sulit atas kemenangan itu kerana mereka hanya melakukan yang terbaik.


"Kami hanya buat yang terbaik dan bernasib baik segala berjalan lancar. "Saya harap kami mampu beraksi dengan cemerlang sekali lagi," katanya yang akan menentang pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong hari ini.


Yong Dae-Yeon Seong mengalahkan pasangan Jepun, Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata 21-18, 20-22, 21-12.

Turut mara gandingan Hoon Thien How-Tan Boon Heong yang menumpaskan rakan senegara, Lim Khim Wah-Ow Yao Han 21-18, 21-14 dan bakal berdepan halangan sukar menentang Cai Yun-Kai Lu di suku akhir.


Cai Yun-Kai Lu sebelum itu mengejutkan rakan senegara yang juga pilihan ketujuh, Fu Haifeng- Zhang Nan 19-21, 22-20, 21-19. Beregu campuran, Chan Peng Soon-Lai Pei Jing juga mara ke suku akhir selepas mengalahkan pasangan Amerika Syarikat, Phillip Chew-Jamie Subandhi 21-17, 21-11.

Bagaimanapun, pasangan bebas Chan Kwong Beng-Chiang Jiann Shiarng kalah kepada satu lagi beregu lelaki China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan 9-21, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

'Saya takkan berhenti'

Posted: 26 Jun 2014 02:41 PM PDT

Rio de Janeiro: Pengurus England Roy Hodgson membayangkan beliau belum mahu melepaskan jawatannya dan berazam terus membimbing Three Lions walaupun berdepan kempen paling mengecewakan di Piala Dunia sejak 1958.

England pulang Rabu lalu selepas menamatkan saingan di tangga terbawah Kumpulan D dengan satu mata selepas kekalahan 2-1 di tangan Itali serta Uruguay selain seri tanpa jaringan dengan Costa Rica.


Pengendali Itali Cesare Prandelli meletak jawatan selepas pasukannya gagal melayakkan diri ke pusingan kedua, tetapi Hodgson menegaskan beliau tidak akan berbuat demikian.

"Prandelli sudah lama di sana," kata Hodgson mengenai keputusan jurulatih Itali itu untuk meletak jawatan ketika ditanya wartawan di Estadio Mineirao.


Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini yang menyebut Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris masih mahukan khidmatnya.


"Saya gembira kerana mereka mahu saya terus membimbing England," katanya.

Foto

HODGSON mahu terus pimpin England.

"Saya bukan jenis orang yang lari daripada tanggungjawab. Saya sanggup berdepan kritikan. Saya sanggup menerima apa saja komen.


"Itulah yang akan saya lakukan dan saya tidak mahu dibandingkan dengan orang lain. Sebab utama saya masih mahu kekal ialah kerana saya bukan seorang yang mudah mengaku kalah.

"Saya percayakan pasukan ini. Saya percaya FA memang serius mahukan saya membimbing pasukan, begitu juga dengan pemain. Justeru, saya akan terus menjadi jurulatih dan cuba membawa mereka layak ke Euro 2016 dan kami akan mendapat keputusan baik di kejohanan itu nanti." Ketika pemain muda yang dibawa Hodgson mendapat pujian pada pertemuan menentang Itali, kapten Steven Gerrard merasakan persembahan mereka terjejas selepas ditundukkan Uruguay.


Kegagalan England untuk menangani tekanan dikenal pasti sebagai faktor utama kejatuhan pasukan, tetapi Hodgson berkata, tidak realistik untuk mengharapkan pemain muda mempamerkan kematangan sedangkan masanya belum tiba.


"Penguasaan permainan dan kefahaman mengenainya adalah sesuatu yang hanya tiba dengan usia dan pengalaman," kata Hodgson. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Tak pernah belajar!

Posted: 26 Jun 2014 02:40 PM PDT

Brazil: Bekas pemain antarabangsa Itali, Mauro Camoranesi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Mario Balotelli dan mendakwa penyerang itu terlalu diagung-agungkan.

Balotelli dikritik selepas Itali tersingkir pada saingan Piala Dunia dan kegagalan mereka untuk melepasi saingan peringkat Kumpulan D menyebabkan jurulatih Cesare Prandelli meletak jawatan.


Rakan sepasukannya, Daniele De Rossi turut mengkritik Balotelli selepas mereka tewas 1-0 di tangan Uruguay.

Dan Camoranesi, pemenang Piala Dunia 2006 menjadi warga Itali terbaru meluahkan rasa tidak puas hati dengan persembahan penyerang berusia 23 tahun itu.


"Saya sangat yakin Balotelli terlalu diagung-agungkan oleh media dan jurulatihnya," kata Camoranesi yang mewakili Itali 55 kali antara 2003 dan 2010.


"Memang sangat mengecewakan apabila melihat ada pemain yang tidak berusaha ketika bermain sedangkan harapan pasukan bergantung kepadanya. Saya tidak tahu apa sebenarnya masalah dia.

Foto

BALOTELLI gagal bantu Itali melepasi peringkat kumpulan.

"Saya pernah memasang impian untuk bermain seperti Luis Figo, tetapi saya sedar dengan kemampuan saya. Saya juga pernah melakukan perkara bodoh, tetapi saya belajar daripada kesilapan yang dilakukan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

Ghana guna pesawat hantar wang tunai

Posted: 26 Jun 2014 02:40 PM PDT

Brasilia, Brazil: Ghana sudah menyelesaikan pertikaian yuran penampilan sebelum turun menentang Portugal dalam perlawanan terakhir Kumpulan G selepas campur tangan Presiden John Mahama, umum Persatuan Bolasepak Ghana (GFA) dan jurulatih Kwesi Appiah, kelmarin.

Negara Afrika itu terlepas sesi latihan di Brasilia pada Selasa kerana pergeseran dalam kalangan pemain hingga mencetuskan beberapa pertemuan untuk membincangkan perkara itu.


Appiah yang pasukannya berdepan Portugal awal pagi semalam berkata, wang tunai untuk diserahkan kepada pemain akan dihantar terus melalui pesawat khas.

"Terdapat sedikit isu mengenai duit dan pengurusan serta kerajaan cuba menyelesaikannya dan semoga ia dapat diselesaikan dengan segera," katanya.


Appiah berkata, pemain mungkin membunuhnya jika beliau mendedahkan jumlah yang bakal mereka terima dan tambahan tunai yang diperlukan kerana sebahagian besar pemainnya tidak mempunyai akaun bank di Ghana.


Jurulatih itu berkata, situasi itu menyebabkan tidurnya sering terganggu dan ia seharusnya diselesaikan sejak dulu lagi. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/27

No comments:

Post a Comment