Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tak sempat bentang permaidani

Posted: 12 Jun 2014 12:53 PM PDT

Shah Alam: Seorang ibu tidak menyangka anak perempuannya berusia tujuh tahun maut terjatuh dari balkoni tingkat enam kediaman pangsapuri didiami ketika dia pergi ke kedai berhampiran.

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, mangsa Nur Alisya Mohd Rafiq yang tinggal di rumah bersama abang dan kakaknya berusia lapan dan 10 tahun ditemui orang ramai terjatuh di tingkat bawah Pangsapuri Sri Angkasa Seksyen 28 di sini.

Ibu mangsa, Nur Suzana Abdullah, 38, berkata, tragedi itu hanya disedari ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai berhampiran pangsapuri itu.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat sekumpulan penduduk mengerumuni 'sesuatu' di pekarangan kawasan kediamannya.

Foto

NUR Suzana memangku Nur Alisya yang terbujur kaku di pekarangan Pangsapuri Sri Angkasa Seksyen 28, Shah Alam.


"Saya cuba melihat apa yang berlaku, namun terkejut apabila mendapati Alisya terbaring di atas jalan.


"Alisya sering bermain di balkoni rumah kerana ingin melihat pemandangan. Saya tidak sangka tindakannya itu akan meragut nyawa Alisya," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang semalam.

Dia bagaimanapun tidak dapat meneruskan perbualan kerana terlalu sedih hingga terpaksa ditenteramkan ahli keluarga dan rakan yang turut berada di HTAR.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Shahril Abd Hadi, 27, berkata, dia terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa walaupun sempat melihat mangsa tergantung di balkoni rumah didiami.

"Saya bersama dua lagi jiran berlari ke bawah pangsapuri dan mengambil permaidani untuk menyambut mangsa. Namun, belum sempat kami membentangkan permaidani itu, mangsa sudah terjatuh.

"Saya mendengar jeritan mangsa meminta tolong, tetapi kami tidak mampu berbuat apa-apa. Mangsa jatuh betul-betul di hadapan saya," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Azab lapan tahun wanita VIP

Posted: 12 Jun 2014 12:47 PM PDT

Kajang: Tidak tahan dipaksa menjadi pelacur kelas atasan oleh bapa tirinya sejak lapan tahun lalu menyebabkan seorang wanita jelita bertindak nekad membuat laporan polis minggu lalu.

Wanita terbabit yang kini berusia 25 tahun mendakwa mula dipaksa menjual tubuhnya kepada pelanggan lelaki kaya ketika dia baru menamatkan persekolahan pada usia 18 tahun.

Sumber polis berkata, mangsa mendakwa dipaksa melayan nafsu kira-kira 800 lelaki sejak bergelar pelacur berdasar rekod disimpannya secara sulit.

"Berdasarkan maklumat, bapa tiri mangsa yang berusia 40-an memaksa wanita terbabit menjadi pelacur dengan kadar bayaran minimum RM300 hingga RM500 bagi sekali perkhidmatan.

"Bagaimanapun duit hasil kegiatan pelacuran itu mencecah puluhan ribu sebulan diambil sepenuhnya oleh bapa tiri mangsa.

Mangsa hanya diberikan sedikit wang bagi membeli keperluan diri sahaja," katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun memberitahu menyimpan rekod identiti membabitkan nama pelanggan, nombor telefon, harga perkhidmatan dan lokasi pertemuan diadakan.

"Dia (mangsa) menyimpan semua maklumat itu di dalam diari khas termasuk jumlah wang dibayar oleh pelanggannya sebelum ini.

"Berdasar rekod dikumpul, mangsa mendakwa sudah dilanggani kira-kira 800 lelaki sepanjang menjadi pelacur sejak tahun 2006," katanya.

Malah agak mengejutkan apabila pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat mangsa adalah dikalangan kenamaan, ahli politik, peguam dan ahli perniagaan tempatan.

"Mangsa yang tidak tahan dipergunakan oleh bapa tirinya untuk mendapatkan wang mudah kemudian tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, untuk membuat laporan polis minggu lalu.

"Polis sudah mengambil keterangan daripada mangsa sebelum memulakan siasatan terhadap kes itu.


Susulan itu polis memberkas bapa tiri mangsa sebelum ditahan reman awal minggu ini," katanya.

Menurutnya, kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Janji tak minta sedekah

Posted: 12 Jun 2014 12:46 PM PDT

Pasir Gudang: "Saya berjanji tidak akan mengemis dan akan menggunakan bantuan diberikan dengan sebaik mungkin bagi menaik taraf kehidupan keluarga," kata ibu kepada tujuh cahaya mata dikenali sebagai Nazrina, 48, dari Taman Kota Masai, di sini, semalam, yang bersyukur mendapat pembelaan dan sumbangan daripada pelbagai pihak yang simpati dengan kesempitan hidupnya sehingga terpaksa mengemis.

Nazrina berkata, dia lega apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia meringankan bebannya dengan menghulurkan Bantuan Sekolah Kanak-Kanak (BKK) untuk anak-anaknya.

Malah, selepas cerita keperitan hidupnya menyara dan membesarkan anak disiarkan akhbar ini, beberapa wakil agensi kerajaan turut mengunjungi kediamannya bagi mendapatkan maklumat dalam usaha menyalurkan bantuan sewajarnya.

"JKM juga berjanji menyalurkan bantuan RM400 kepada empat anak perempuan saya yang masih bersekolah di sekolah rendah dan menengah.

Foto

ADNAN (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nazrina sambil diperhatikan Manayi (lima dari kanan).


"Sekurang-kurangnya ia membantu menampung perbelanjaan sekolah mereka yang berusia antara sembilan hingga 17 tahun itu," katanya ketika menerima kunjungan Pegawai JKM Johor Bahru Manayi Ibrahim di rumahnya, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Semua dah selesai

Posted: 12 Jun 2014 12:45 PM PDT

Georgetown: "Hidup saya kembali tenang selepas mayat anak selesai disemadikan dengan lancar," kata ibu Teoh Cheng Cheng, 38, selepas upacara pengebumian anaknya dijalankan di Tanah Perkuburan Cina, Batu Gantung, di sini, semalam.

Tan Mah Suan, 64, berkata, dia dan keluarga tidak tenteram sejak mayat anaknya ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas diambil pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Isnin lalu berikutan Teoh didakwa memeluk agama Islam dan kesnya dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang untuk pengesahan status agama.

Beliau berkata, kebenaran akhirnya berpihak kepada mereka dan mahkamah membenarkan Teoh dikebumikan mengikut agama Buddha dan sebagai ibu, dia berharap upacara pengebumian dilaksanakan segera dan kini semuanya sudah selesai.

"Saya amat sedih dengan apa yang berlaku sehingga tidak selera makan, tidak nyenyak tidur dan hari ini (semalam) semuanya diselesaikan dan mayat Teoh disempurnakan dengan lancar," katanya.

Hadir sama, abang kandung Cheng Cheng, Teoh Beng Koh, 46, serta empat anak Cheng Cheng berusia antara 10 dan 17 tahun serta sanak saudara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir sebelum mayat disemadikan dengan disaksikan peguam, Ram Karpal Singh dan S Raveentaran.

Turut hadir, Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang Wong Hong Wai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota Lau Keng Ee.

Sementara itu, Beng Koh mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelesaikan masalah kekeliruan berlaku ke atas mayat adiknya sehingga upacara persemadian sepatutnya dilaksanakan Isnin lalu ditangguhkan.

Beliau berkata, kini segalanya sudah selesai dan buat masa ini, tiada tindakan lanjut diambil termasuk tindakan undang-undang ke atas JHEAIPP berikutan kekeliruan yang timbul.

Foto

TAN memberikan penghormatan terakhir ke atas mayat anaknya sebelum disempurnakan di Tanah Perkuburan Cina, Batu Gantung, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

Lahir pelajar berdaya saing

Posted: 12 Jun 2014 12:43 PM PDT

Kuala Terengganu: Kementerian Pendidikan meletakkan sasaran tahap pendidikan negara ini berada di kelompok sepertiga teratas dunia menjelang 2025 melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk Sufaat Tumin berkata, dalam tempoh 10 tahun akan datang, kerajaan berharap dapat melahirkan pelajar yang boleh berfikir di aras tinggi, mampu bersaing di peringkat antarabangsa, menjadi pemain global dan boleh menguasai banyak bahasa.

Menurutnya, bagi menimba pengalaman dan berkongsi kepakaran dalam bidang pendidikan, kementerian ke Shanghai, China baru-baru ini kerana negara berkenaan antara yang terbaik dalam pencapaian pendidikan di dunia.

Sufaat berkata, pihaknya sentiasa turun padang mendapat maklum balas masyarakat dengan mengadakan 'town hall' ke seluruh negara selain melantik penasihat serta pakar dari dalam dan luar negara.

"Bagi saya pelan ini dibuat melalui pertemuan cukup luas serta pandangan semua pihak bagi memastikan kejayaan pelan ini," katanya.

Mengulas mengenai perbezaan antara PPPM dengan pelan pendidikan sebelum ini katanya, sebelum ini terdapat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2001-2010 (PIPP) dan PPPM adalah kesinambungannya dengan mengambil kira semangat daripada penyata pendidikan terdahulu dan disesuaikan dengan abad ke 21.

"Ini adalah usaha yang dilakukan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia setanding negara maju.

Sebab itu sasaran kita berada sepertiga di atas di kalangan negara maju dunia menjelang 2025.

"Sekarang kita berada dalam gelombang pertama iaitu kita kini lebih menyokong kepada guru untuk menegakkan kemahiran asas murid, membantu dari segi kepemimpinan sekolah, menyediakan kepemimpinan sekolah yang baik dan dalam usaha mentransformasi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memberikan autonomi atau fungsi kepada PPD bukan saja dari segi inisiatif, malah lebih kepada membimbing, menyokong sekolah dan memantau pelaksanaan pelan pembangunan selaras dengan perubahan bagi gelombang pertama PPPM.

"Untuk mencapai matlamat berkenaan, kementerian menetapkan 11 anjakan dan dalam tiga gelombang iaitu pertama 2013 hingga 2015, kedua 2016 hingga 2020 dan ketiga 2021 hingga 2025," katanya.

Katanya, kementerian juga akan melihat dari segi aspek kecekapan dalam pengurusan dan ia antara perkara yang dijangka akan terdapat dalam laporan yang bakal diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan I pada 17 Jun ini.

Beliau berkata, kementerian juga memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapat peluang pendidikan yang baik contohnya perluasan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Seni, Sekolah Jalinan Bimbingan Kasih, Sekolah Dalam Hospital dan Sekolah Integriti.

"Kualiti pendidikan juga diutamakan misalnya kualiti dalam pentaksiran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lalu yang diubah kepada Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)," katanya.

Foto


Laporan awal PPPM dilancarkan pada 11 September 2012 dan pada 6 September 2013, pelan itu dilancarkan secara rasminya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

No comments:

Post a Comment