Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cekup 2 lelaki sedut diesel

Posted: 28 Nov 2012 02:33 PM PST

PUTRAJAYA: Sepasukan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) cawangan Sepang menggagalkan penyelewengan 6,000 liter diesel bersubsidi selepas melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori 10 tan di sebuah stesen minyak Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Cawangan PDNKK Sepang, Abdul Wahab Satar berkata, dalam operasi pemantauan pada jam 11 malam itu penguat kuasa mendapati diesel bersubsidi dimuatkan di dalam sebuah tangki besar yang diubah suai pada lori terbabit.


"Pemeriksaan itu dilakukan selepas penguat kuasa melihat dua lelaki dengan sebuah lori di stesen minyak Bandar Baru Salak Tinggi dalam keadaan mencurigakan. "Ketika itu, dua lelaki terbabit sudah mengisi diesel RM500 di stesen minyak berkenaan. Diesel dipam masuk dalam tangki, kemudian disedut menggunakan alat pengepam ke dalam tangki diubah suai. Tangki itu dipercayai boleh menampung sehingga 8,000 liter diesel," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam. Abdul Wahab berkata, lori dan diesel itu yang dianggarkan bernilai RM57,000 disita manakala dua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1976 iaitu memiliki barangan kawalan (diesel bersubsidi) dengan tujuan melakukan kesalahan. Menurutnya, jika didapati bersalah suspek boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

"Tetapi, jika kesalahan kedua, dendanya sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.


Mengulas modus operandi pihak terbabit, katanya, mereka bergerak dari satu stesen ke stesen minyak lain menggunakan lori diubah suai untuk membuat pembelian diesel dalam kuantiti banyak pada harga subsidi RM1.80 seliter.


"Diesel dikumpulkan sebelum dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM2 hingga RM2.50 seliter," katanya. Sementara itu, katanya, sepanjang 11 bulan tahun ini pihaknya sudah menahan empat lori diubah suai atas kesalahan dan modus operandi sama dengan nilai rampasan berjumlah RM115, 000.

"Penyelewengan seperti ini memberi keuntungan lumayan kepada pihak terbabit dan satu kerugian besar kepada kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


‘Turun padang sahkan kenyataan’

Posted: 28 Nov 2012 02:30 PM PST

CHERAS: Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) mencabar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu 'turun padang' bagi mengesahkan kenyataan dikeluarkannya ketika Sidang DUN Selangor yang mendakwa pihaknya membekukan pengeluaran lesen bagi rumah urut, pusat hiburan awam dan pusat siber di negeri itu sejak 2006.

Presidennya, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, dalam pemantauan dibuat LKPJM di sekitar Selangor, pihaknya mendapati pusat hiburan dan rumah urut bagaikan tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan berdasarkan maklumat yang mereka peroleh menunjukkan kebanyakan mempunyai lesen yang diluluskan selepas 2008.


"LKPJM bukan pertubuhan politik, sebaliknya lebih kepada penggerak kepada kesedaran mengenai jenayah, oleh itu dakwaan Ronnie mengatakan tiada sebarang lesen pusat hiburan dan rumah urut dikeluarkan sejak 2006 itu amat bercanggah dengan realiti di negeri ini (Selangor).

"Hasil pemantauan kami, terdapat kawasan yang baru dibangunkan mempunyai lebih 10 premis pusat hiburan, rumah urut dan kafe siber, sekiranya tiada kelulusan diberikan, bagaimana pengusaha berani menjalankan perniagaan mereka secara terbuka?," katanya ketika sidang media di Pejabat Jabatan Presiden di Pusat Perniagaan Cheras, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Rayu kerajaan Selangor pertimbang kadar baru lesen

Posted: 28 Nov 2012 02:29 PM PST

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berharap kerajaan negeri mempertimbangkan semula kadar bayaran baru bagi 40 jenis lesen berikutan dinaikkan berlipat ganda berbanding yang lama.

Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib berkata, daripada jumlah itu, ada beberapa jenis lesen didapati dinaikkan hingga 23 kali ganda dan kadar baru itu dikhuatiri membebankan pemegang lesen. "Terdapat 96 jenis lesen di bawah Undang-Undang Kecil 2007 MBPJ dan selepas diteliti ahli majlis mendapati 40 daripadanya dinaikkan secara mendadak namun ada juga yang diturunkan," katanya.


Menurutnya, kenaikan kadar itu banyak membabitkan lesen perniagaan 'tred' dan MBPJ sudah mengambil tindakan untuk merayu kerajaan negeri bagi mempertimbangkan perkara itu.

"Sekiranya rayuan diluluskan, MBPJ akan mengkreditkan atau rebat wang lebihan yang dibayar pemegang lesen untuk permit tahun depan ke permohonan bagi 2014," katanya.


Sementara itu, Puasa berkata, kawasan pentadbiran Petaling Jaya akan diwartakan sebagai zon kunci tayar mulai Januari depan namun penguatkuasaan awal sudah dilaksanakan minggu lalu di Jalan Cantek, Seksyen 5 dan Seksyen 58. "Ketika ini, pihak majlis dalam proses memasang papan tanda dan akan mengeluarkan notis kepada orang ramai dua minggu sebelum penguatkuasaan bermula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


SMS daripada pencabul

Posted: 28 Nov 2012 02:29 PM PST

KAJANG: "Sya (saya) sempat ambk (ambil) pic (gambar) awk (awak) ngah (tengah) tdo (tidur) ngan (dengan) kwn (kawan) awk (awak) 2 (itu).

"...smlm (semalam) sya (saya) brng (baring) tgh2 (tengah-tengah) pat (tempat) awk (awak) tdo (tidur)... sya (saya) pn (pun) msukn (masukkan) tgn (tangan) kt (dekat) dlm (dalam) slimut (selimut) awk (awak) ngan (dengan) kwn (kawan) awk (awak) 2 (itu).

"...cbe (cuba) awk (awak) tgk (tengok) kt (dekat) tilam sblh (sebelah) awak tido (tidur) 2 (itu) ada x (tidak) kesan air ... yg (yang),".

Itu antara kandungan kiriman SMS bernada bangga yang dihantar seorang penyamun kepada seorang daripada dua mangsanya selepas melarikan barangan berharga selain mencabul mereka dalam kejadian di sebuah rumah di Kajang Sentral, di sini, Isnin lalu.


Kejadian itu hanya disedari dua pelajar berusia 19 tahun itu jam 12.30 tengah hari apabila seorang daripada mereka menerima kiriman SMS itu sebaik selesai membuat laporan kehilangan barang di Balai Polis Kajang, di sini, selepas rumah mereka dipecah masuk.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Kepala berjahit tercampak gelongsor

Posted: 28 Nov 2012 02:26 PM PST

KANGAR: "Saya tidak menyangka percutian yang sepatutnya memberi kegembiraan, bertukar tragedi apabila tercampak daripada gelongsor setinggi empat meter sebelum pengsan," kata Muhammad Aiman Afzal Suhaizam, 14, yang menerima lebih 30 jahitan di kepala dan dagu selepas terjatuh dari gelongsor jenis 'boomerang' di sebuah taman tema di Melaka, minggu lalu.

Dalam kejadian pada 20 November lalu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini, yang juga anak sulung daripada dua beradik itu parah selepas tercampak daripada bahagian atas gelongsor itu angkara tindakan pekerja di taman tema terbabit yang memusingkan pelampung ketika dia bersama seorang rakannya.


Menurutnya, dia pergi ke taman tema berkenaan bersama 80 pelajar lain termasuk beberapa guru pengiring yang menyertai rombongan Jabatan Pelajaran Perlis ke Melaka pada 19 November sebelum tiba di lokasi berkenaan yang juga destinasi pertama dilawati di Bandaraya Bersejarah itu.

Aiman berkata, dia yang baru pertama kali menggunakan pelampung berkenaan dan ketika menaikinya bersama rakan, dia memberitahu pekerja terbabit dia tidak mahu pelampung dipusingkan ketika menuruni gelongsor itu.


Katanya, dia sempat mengingati pelampung dipusingkan pekerja di situ menyebabkan pelampung merempuh dinding gelongsor terbabit sebelum tercampak ke atas simen di luar kawasan gelongsor berkenaan sebelum pengsan.


Ibu mangsa, Sharina Wahad, 39, ketika menceritakan kembali kejadian berkenaan berkata, dia hanya dimaklumkan kejadian itu oleh guru pengiring anaknya, tetapi memberitahu keadaan Aiman stabil tanpa menceritakan secara terperinci keadaannya.

Menurutnya, dia terkejut dan cemas dengan berita yang diterimanya itu sebelum menghubungi suaminya, Suhaizam Sukandan, 38, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Sungai Petani, Kedah sebelum bertolak ke Melaka pada petang hari kejadian.


"Ketika dalam perjalanan, saya dihubungi pegawai perubatan yang merawat Aiman di Melaka, sebelum dimaklumkan Aiman cedera teruk di kepala dan otak berikutan terdapat darah beku.

"Bukan itu saja, Aiman luka teruk di kaki kanannya selain tangan dan bahagian tempurung otaknya dipercayai retak," katanya.


Menurutnya, doktor juga memberitahu anaknya perlu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan pembedahan tempurung kepala bagi membuang darah beku akibat kejadian itu.


"Saya sedih melihat keadaannya yang lebam di seluruh badan termasuk kepalanya berdarah dan benjol akibat kecederaannya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Sharina berkata, anaknya menjalani pembedahan di HKL pada 22 November lalu sebelum dibenarkan pulang tiga hari selepas itu dan dibawa pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Padi, di sini. Katanya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Kenangan, Jalan San Peng, Kuala Lumpur pada 22 November lalu bagi tujuan rujukan selain tindakan lanjut.


Dakwanya, anaknya kini sering pening dan fobia dengan tempat tinggi selain sering mengadu sakit di badan, tangan dan kakinya.


Sementara itu, jurucakap taman tema berkenaan ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sudah menghubungi keluarga mangsa dan meminta mereka menghantar bil serta laporan perubatan anak mereka bagi tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Rempah kari terbakar lapan jam

Posted: 28 Nov 2012 02:23 PM PST

BEHRANG: Sekumpulan 10 anggota bomba dan penyelamat 'diuji' lebih lapan jam apabila dipaksa bertungkus-lumus memadam kebakaran sebuah treler bermuatan serbuk kari, di sini, malam kelmarin.

Lebih menyukarkan, anggota berkenaan terpaksa berdepan beberapa kesulitan apabila rempah kari seberat 17 tan milik sebuah syarikat rempah ratus terkemuka negara itu sukar dipadam dengan air selain serbuk kari berkenaan berterbangan di ruang udara dan memasuki mata serta bau kari yang mengganggu pernafasan.


Kesukaran itu menyebabkan usaha memadam kebakaran gagal dikawal sehingga ia mengambil masa lebih lapan jam untuk dipadam sepenuhnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam di Kilometer 386.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara itu, treler berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Selayang, Selangor menuju ke Ipoh sebelum tayar belakang kenderaan itu meletup dan terbakar.


Bagaimanapun, pemandu treler terbabit berjaya memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum memisahkan kepala treler dengan muatan bagi mengelak kebakaran lebih teruk.


Difahamkan, api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 6.30 pagi semalam, namun beberapa petugas Plus masih membersihkan kawasan berkenaan termasuk memindahkan serbuk kari itu ke dalam lori dan berjaya dipindahkan sepenuhnya kira-kira jam 2.30 petang.

Anggota bomba juga terpaksa berulang-alik lebih 10 kali bagi mendapatkan bekalan air mencukupi bagi memadam kebakaran itu sebelum ia dapat dikawal.


Kelindan treler berkenaan, S Rammurthy, 29, berkata dia dan pemandu dikenali P Mohandass, 22, terpaksa memberhentikan kenderaan selepas dikejutkan dengan dentuman kuat dari arah belakang lori sebelum mendapati bahagian tayar terbakar dan merebak ke muatan.

Menurutnya, tanpa membuang masa, dia memisahkan kepala treler dan menghubungi bomba dan penyelamat untuk meminta bantuan.


"Sebelum bomba tiba, kami cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api yang dibawa, tetapi tidak berjaya mengawal keadaan berikutan api marak dengan cepat.


"Usaha itu turut dibantu beberapa pemandu lori lain serta pengguna jalan raya yang prihatin dengan kejadian itu, namun tetap gagal dipadam dan sukar dikawal," katanya ketika ditemui selepas kejadian itu.


Katanya, dia bersyukur kerana dapat menyelamatkan diri, namun mengakui trauma dengan kejadian itu kerana ia hampir meragut nyawanya serta rakan sekerjanya itu.


Rammurthy berkata, dia bersama Mohandass memulakan perjalanan kira-kira jam 9.00 malam dari Selayang dan tidak menyangka akan terbabit dengan kejadian itu.


Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Tanjung Malim ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima panggilan 11.15 malam kelmarin sebelum tiba di lokasi kejadian 11.35 bersama jentera termasuk lima anggota dari balai bomba dan penyelamat Slim River.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


4 penjenayah ganas diburu

Posted: 28 Nov 2012 02:23 PM PST

KUALA LUMPUR: Polis memburu sekumpulan empat penjenayah ganas yang bukan saja menyamun sebuah pusat urutan refleksologi di Setapak di sini awal pagi Ahad lalu, malah turut menetak telinga penjaga premis hingga hampir putus serta merogol dua tukang urut warga asing.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata aksi kejam keempat-empat suspek terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dan beberapa wajah suspek turut dirakam dengan jelas ketika memasuki pusat urut terbabit.

Menurutnya, semua suspek datang ke pusat urut berkenaan dengan menaiki motosikal dan sebaik masuk ke dalam premis mereka terus menyerang penjaga premis dengan parang serta menggugut mangsa supaya menyerahkan wang tunai selain barang berharga.

"Berdasarkan rakaman CCTV, kita percaya kegiatan samun dan rogol itu dilakukan empat lelaki tempatan berusia 20-an dengan bersenjatakan parang.


"Ketika kejadian, dua lelaki penjaga premis dan dua wanita warga asing tukang urut berada di premis berkenaan, semua suspek bukan setakat menyamun, malah mencederakan serta merogol mangsa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Penuntut dicabul ketika tunggu teksi

Posted: 28 Nov 2012 02:21 PM PST

PETALING JAYA: Seorang penuntut sebuah kolej swasta dicabul sekumpulan 10 lelaki bermotosikal selepas wang tunai dan telefon bimbit miliknya dianggarkan bernilai RM3,000 dilarikan ketika sedang menunggu teksi di Kota Damansara di sini , Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, wanita berusia 21 tahun itu yang sedang menunggu teksi berhampiran stesen minyak terkejut selepas lima motosikal ditunggang 10 lelaki tidak dikenali mengepungnya.


Menurut sumber, mangsa yang ketakutan cuba melarikan diri namun gagal dan dihalang mereka malah tiga daripada lelaki terbabit turut menghampirinya dengan bersenjatakan parang meminta dia menyerahkan barangan berharga.

Katanya, mangsa yang bimbang dicederakan akur dan menyerahkan beg tangan berisi wang tunai serta telefon bimbit. Malah dia juga merayu supaya tidak dicederakan.


"Sangkaan mangsa sebaik mereka mendapat barangan berharga itu, lelaki terbabit akan beredar namun sebaliknya berlaku apabila mereka meraba badannya menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan.


"Panik dengan jeritan mangsa, kumpulan lelaki terbabit terus melarikan diri meninggalkan mangsa yang berada dalam keadaan trauma. Orang ramai yang menyedari kejadian itu datang membantu dan menenangkan mangsa," katanya.

Dia kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Damansara untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Peragut tolak mangsa hingga terima 4 jahitan

Posted: 28 Nov 2012 02:19 PM PST

KUALA LUMPUR: Dua peragut bertindak ganas mengejar seorang wanita dengan motosikal sebelum menolaknya hingga terjatuh dan cedera di kepala hanya kerana berang selepas mangsa membuang beg tangan berisi wang tunai sebanyak RM70 miliknya ke dalam kawasan kediaman jiran di Sri Petaling, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Hooi, 57, terpaksa berjalan beberapa meter dalam keadaan terhuyung-hayang dengan kepala berlumuran darah pulang ke rumahnya sebelum dia dihantar anaknya ke hospital dan terpaksa menerima empat jahitan.


Menceritakan semula kejadian itu, Hooi berkata, dia yang sering keluar pada waktu pagi untuk berjoging terkejut apabila melihat dua lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan menyebabkan dia cuba melarikan diri.

Menurutnya, dia turut membuang beg tangan dibawanya ke dalam kawasan rumah jiran sebelum melarikan diri.


"Tindakan saya itu menyebabkan mereka marah lalu mengejar hingga ke kawasan lorong gelap di tepi kediaman jiran sebelum menolak saya hingga terjatuh dan kepala terhentak ke jalan bertar.


"Kejadian itu menyebabkan kepala saya berlumuran darah dan dalam keadaan kesakitan, saya cuba melihat beg tangan yang dibuang itu namun ia sudah tiada," katanya.

Hooi berkata, dia berjalan pulang ke rumah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada anaknya.


"Anak saya kemudian terus membawa saya ke klinik. Akibat kejadian itu saya terpaksa menerima empat jahitan di kepala. Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Petaling," katanya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku itu adalah kali kedua kerana dua tahun lalu, dia pernah diragut menyebabkan rantai lehernya dilarikan namun tidak mengalami kecederaan.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Az-Lee Abdullah mengesahkan menerima laporan. dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan serta sedang membuat pengesanan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Polis cari lelaki berbadan gempal

Posted: 28 Nov 2012 02:19 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bertubuh gempal kini dikehendaki polis Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Seksual Wanita dan Penderaan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersabit satu kes di Cheras.

Suspek berusia 50 tahun itu diminta hadir di mana-mana balai polis.


Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Siti Hawa Karim di talian 013-9751713 atau 03-21460689 dan 03-21460522 sambungan 584/585.

Sementara itu, Jabatan Siasatan Narkotik IPK Kuala Lumpur meminta tiga saksi utama bersabit satu kes Cheras untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Jenayah (1), Kuala Lumpur.


Mereka ialah Megallah Krisnan (790506-08-5152), Sujithran Deendran (971310-08-6351) dan Yogaprriyatarshini Devendran (950904-08-5174).


Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Kumbat Anak Tan di talian 013-8944360 atau 03-21460522 dan di talian 03-21460522 sambungan 584/585.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


No comments:

Post a Comment