Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


‘Usah terlena kemenangan ini’

Posted: 28 Nov 2012 01:34 PM PST

"LUPAKAN kemenangan malam ini (semalam) dan fokus kepada perlawanan seterusnya. Itu mesej jelas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal selepas menyaksikan anak buahnya mencatat kemenangan pertama menewaskan Laos 4-1 pada aksi Kumpulan B Piala Suzuki AFF malam tadi.

Katanya, kebangkitan yang dipamerkan pemain selepas tewas 0-3 di tangan Singapura pada perlawanan pertama Ahad lalu memberikan keyakinan untuk berdepan Indonesia Sabtu ini bagi mencari tempat ke separuh akhir.


"Saya mengarahkan pemain bermain dengan agresif dalam permainan. Kami mengawal permainan tapi kesilapan Safiq Rahim memberikan bola kepada pasukan lawan membolehkan Laos menyamakan kedudukan.

"Gol penyamaan itu memberikan keyakinan kepada Laos dan sepatutnya kita menjaringkan empat dan lima gol pada babak pertama. Pemain beraksi dengan baik dan kami berhak menang perlawanan ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.


Saingan Kumpulan B kini terbuka dengan Indonesia mendahului menerusi empat mata, diikuti Singapura dan Malaysia berkongsi tiga mata manakala Laos satu mata di tangga tercorot.


Rajagobal berkata saingan merebut dua tempat ke separuh akhir pasti menarik Sabtu ini.

"Semua pasukan mahu menang, ia bukan mudah. Indonesia bermain dengan bagus pada perlawanan kedua, saya harap kami boleh meneruskan kecemerlangan ini," katanya.


Bagi jurulatih Laos, Kokichi Kimura beliau memuji permainan Malaysia dan mengakui anak buahnya gagal menyaingi kepantasan skuad juara bertahan itu.

"Perlawanan hari ini agak pantas dan pada babak pertama kami bernasib baik menjaringkan gol. Pemain saya kurang stamina manakala pemain Malaysia pula bermain dengan baik.


"Pemain Laos tidak mempunyai pengalaman, perlawanan terakhir lebih sukar tapi kami tidak akan berputus asa. Walaupun tenaga kurang dan pemain mengalami kecederaan kami tidak akan putus asa," katanya.


Laos mengikat Indonesia pada perlawanan pertama 2-2 namun beliau menganggap kekuatan Malaysia dan Indonesia tidak jauh berbeza.


Skuad kendalian Kimura akan membuat perhitungan terakhir Kumpulan B menentang Singapura di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Curi 1 mata

Posted: 28 Nov 2012 01:31 PM PST

LONDON: Perlawanan pertama Harry Redknapp sebagai pengurus Queens Park Rangers (QPR) menyaksikan kelab yang menghuni bahagian bawah Liga Perdana Inggeris itu mengutip satu mata ketika seri tanpa jaringan sewaktu berkunjung ke Sunderland, semalam.

Keputusan seri itu mata pertama QPR sejak mereka terikat 1-1 dengan Reading pada 4 November, tapi keputusan itu bermakna kelab barat London itu yang minggu lalu menyingkirkan Mark Hughes sebagai pengurus mereka, kekal mendiami bahagian terbawah senarai liga.


"Kami bekerja keras dan berhak mendapat satu mata," kata Redknapp yang pemiliknya berasal dari Malaysia, Tony Fernandes menaruh harapan terhadap beliau mahu mengulangi misi menyelamatkan kelab itu agar terus kekal dalam saingan Liga Perdana selepas permulaan buruk, seperti mana dilakukannya dengan Portsmouth dan Tottenham.

"Kami bertahan baik bagi menafikan mereka peluang," Redknapp, memberitahu Sky Sports. "Saya rasa lebih optimis malam ini berbanding Sabtu (ketika QPR tewas 3-1 kepada Manchester United). Daripada apa yang saya lihat, saya fikir kami boleh bermula dengan skala kecil sebelum meletakkan diri kami dalam kelompok pencabar," kata pengurus veteran Inggeris itu.


Pengurus Sunderland, Martin O'Neill pula berdepan dengan perasaan 'kecewa' apabila berkata: "Saya fikir kami boleh menang perlawanan ini. Saya tahu QPR mungkin masih belum stabil kerana Harry Redknapp baru dilantik, jadi saya harap kami boleh mengambil kesempatan untuk menang. Hakikatnya, kedua-dua pasukan ini sebenarnya mempunyai peluang untuk menang, jadi bagi saya, keputusan perlawanan ini agak mengecewakan." Perlawanan semalam turut menyaksikan Liga Perdana Inggeris kini mencapai 250 juta penonton yang hadir di stadium dalam tempoh 20 tahun sejak mereka melancarkan kiraan itu pada 15 Ogos 1992.


Stadium of the Light menyaksikan 36,513 penonton hadir manakala aksi di Villa Park ketika Aston Villa menentang Reading (28,692) sekali gus meletakkan jumlah itu melepasi tanda aras 250 juta. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Chelsea mohon maaf kepada Clattenburg

Posted: 28 Nov 2012 01:31 PM PST

LONDON: Chelsea melahirkan rasa kesal dengan cara mereka mengendalikan tuduhan terhadap pengadil Mark Clattenburg selepas aksi Liga Perdana Inggeris, bulan lalu.

Kelab itu turut memohon maaf kerana tekanan media yang terpaksa Clattenburg hadapi selepas perlawanan menentang Manchester United yang mana mereka mengadu mengenai 'bahasa kurang elok' yang digunakan terhadap pemain tengah mereka dari Nigeria, John Obi Mikel.


Clattenburg didapati tidak bersalah oleh Persatuan Bolasepak pada Khamis lalu.

"Kelab ini kesal kerana tidak mengambil sebarang langkah sebelum mengeluarkan kenyataan pada petang Ahad 28 Oktober lalu," kata Chelsea menerusi kenyataan dalam laman web mereka.


"Kelab ini juga kesal dengan impak yang dihadapi Mark Clattenburg dan keluarganya berhubung tekanan media. Pengadil itu mengakui yang Chelsea FC bertindak dengan niat baik selain bertanggungjawab di bawah peraturan FA untuk melaporkan tuduhan itu." Chelsea berkata, mereka mengalu-alukan Clattenburg untuk kembali ke Stamford Bridge persatuan pengadil itu berkata, mereka tidak akan teragak-agak untuk melantiknya bagi mengendalikan perlawanan membabitkan Blues memalukan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Aksi sebenar

Posted: 28 Nov 2012 01:26 PM PST

KEJAYAAN besar menewaskan Laos dengan empat jaringan membuktikan kemampuan sebenar pemain negara dalam mempertahankan Piala AFF.

Pemerhati bola sepak negara, Reduan Abdullah berkata, perubahan yang dilakukan pengendali negara, Datuk K Rajagobal dalam kesebelasan utama nyata berkesan malam tadi terutamanya gandingan kapten pasukan, Safiq Rahim dan perancang Kelantan, Shakir Shaari.


"Saya nampak kehadiran Shakir memberi ruang yang luas kepada Safiq membuat hantaran kepada barisan serangan dan saya berharap ia dapat diteruskan apabila menentang Indonesia nanti," katanya, malam tadi.

Menurutnya, wujud perubahan ketara dalam corak permainan skuad negara dengan kehadiran beberapa pemain yang diletakkan di bangku simpanan sebelum ini berbanding kesebelasan utama ketika menentang Singapura.


"Kehadiran Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mahali Jasuli jelas menonjol," katanya mengenai kedua-dua pemain itu.


Namun bekas pemain bola sepak kebangsaan itu mahu pemain negara tidak terus dibuai dengan kemenangan itu.

"Jentera serangan perlu lebih tajam lagi. Terdapat banyak peluang yang gagal disempurnakan, terutama pada babak pertama," katanya. Mengenai perlawanan menentang Indonesia nanti, beliau berkata kejayaan skuad Garuda itu menewaskan Singapura perlu diambil kira.


"Kita kena tingkatkan lagi permainan. Peluang kini terbuka untuk ke separuh akhir, jadi jangan sia-siakannya," katanya.

Empat gol Malaysia malam tadi dijaringkan Safiq diikuti Safee Sali, Mohd Khyril Muhyameen Zambri dan Wan Zack.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Filipina tidak mahu sia-siakan peluang

Posted: 28 Nov 2012 01:26 PM PST

FILIPINA menganggap situasi berada di kedudukan kedua kumpulan A menjelang perlawanan terakhir menentang Myanmar esok tidak boleh disia-siakan untuk mereka mengiringi Thailand ke separuh akhir Piala AFF.

Skuad bimbingan Michael Weiss itu tidak boleh mengharapkan Thailand untuk menewaskan Vietnam ketika juara tiga kali itu berhasrat merehatkan beberapa tonggak penting, kerana hanya kemenangan akan memastikan mereka ke saingan kalah mati.


"Jika kami menewaskan Myanmar, kami akan mara tapi kami juga boleh mara dengan keputusan seri," kata Weiss.

Begitupun Myanmar bukannya pasukan yang mudah untuk ditundukkan dan perlawanan antara pasukan itu dengan Vietnam membuktikannya.


"Tiada siapa boleh menganggap Myanmar sebagai pasukan paling lemah dalam kumpulan ini. Anda lihat ketika mereka menentang Vietnam, mereka bermain cemerlang, cuma tidak bernasib baik untuk mencapai kemenangan.


"Mereka menewaskan pasukan bawah 23 tahun kami 5-0 tahun lalu dan orang yang menganggap mereka lemah, silap.

"Saya tidak akan benarkan sikap memandang rendah lawan di kalangan pemain saya kerana kami perlu berkerja keras untuk mendapatkan kemenangan itu," kata jurulatih kelahiran Jerman itu.


Filipina kini tiga mata di belakang Thailand yang mengumpul maksimum enam mata. Mereka akan mendapat semula khidmat pemain tengah FC Energie Cottbus (Jerman), Patrick Reichelt pada perlawanan terakhir kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Perlawanan terakhir serentak

Posted: 28 Nov 2012 01:25 PM PST

BANGKOK: Perlawanan terakhir kumpulan A Piala AFF Suzuki membabitkan Filipina menentang Myanmar esok, ditukar dari Stadium Muang Thong kepada Stadium Supachalasai, di Bangkok.

Keputusan itu dibuat Jawatan Kuasa Penganjur (LOC) selepas bermesyuarat petang semalam.


Kedua-dua perlawanan terakhir kumpulan akan dilangsungkan serentak pada jam 8.20 malam waktu tempatan.

Stadium Supachalasai akan menganjurkan perlawanan Filipina-Myanmar, manakala Stadlium Rajamangala menjadi tuan rumah perlawanan Thailand-Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Gol Andik beri Garuda nyawa

Posted: 28 Nov 2012 01:24 PM PST

JARINGAN tunggal 'Messi Indonesia', Andik Vermansah menghidupkan peluang Indonesia untuk terus bersaing ke separuh akhir Piala AFF apabila menewaskan Singapura 1-0, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Ia juga amat bermakna kepada pengendali Indonesia, Nil Maizar yang turut mendapat pelbagai tekanan dan harapan menggunung peminat selepas sekadar seri 2-2 dengan Laos pada perlawanan pembukaan.


"Saya berbangga dengan corak permainan dipamerkan pemain. Mereka sangat bermotivasi dan bersemangat," katanya.

Katanya kerja keras yang dipamerkan anak buahnya menjadi kunci yang menyumbang kepada kemenangan itu.


Andik sebelum itu tampil sebagai pemain gantian pada awal separuh masa kedua dan jelas menimbulkan masalah kepada lawan.


Kelincahan dan kepantasan lariannya nyata mengundang padah buat Singapura sehingga pemain pertahanan, Irwan Shah Arismail dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasarinya pada minit ke-66.

Ternyata perancangan untuk menggunakan kepantasan Andik dan kudrat Bambang Pamungkas pada babak kedua membuahkan hasil untuk Nil.


Situasi terbabit digunakan sepenuhnya Indonesia untuk memberi tekanan kepada barisan pertahanan Singapura yang tampak sudah tertekan selepas turut kehilangan perancang tengah, Hariss Harun pada penghujung babak pertama yang turut terlepas aksi menentang Laos pada Sabtu ini kerana penggantungan kad kuning.

Hasilnya sepakan percuma pemain lincah itu pada minit ke-86 untuk menewaskan Izwan Mahbud di gawang Singapura.


Kemenangan itu turut meleburkan rekod enam perlawanan tanpa kalah yang dipegang Singapura dalam kejohanan ini.


"Seperti yang saya jangkakan ini akan menjadi perlawanan sukar. Saya fikir beberapa perkara mengubah perlawanan seperti kad merah," kata pengendali Singapura, Rodojko Avramovic.


Menurutnya, Singapura seharusnya mendapat penalti apabila Khairul Amri Kamal dijatuhkan dalam kotak penalti namun dia sebaliknya diberikan kad kuning.


"Saya masih belum tertekan. Saya mahu memberikan fokus perlawanan seterusnya bagi mara ke separuh akhir," katanya.


Mengenai situasi barisan pertahanan apabila membawa hanya lima pertahanan ke Kuala Lumpur, beliau berkata masih terdapat pemain lain boleh mengisi kekosongan yang berikutan penggantungan Irwan Shah dan kecederaan yang dialami Shaiful Esah Nain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


‘Mentaliti kena kuat’

Posted: 28 Nov 2012 01:24 PM PST

KEJAYAAN mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara, di Quilmes, Argentina seharusnya mendapat pujian, namun skuad bimbingan Paul Revington tetap perlu berhati-hati ketika bertemu Afrika Selatan di suku akhir ini, kerana semua lapan pasukan bertanding masih berpeluang muncul juara.

Berdasarkan analisis di peringkat kumpulan, Malaysia menjaringkan empat gol dalam setiap perlawanan sekali gus menjadikan jentera serangan skuad negara yang paling tajam di kejohanan kali ini dengan 12 gol berbanding Argentina, juara Kumpulan B yang membolosi gawang lawan 10 kali.


Di atas kertas, skuad negara di ranking ke-13 dunia menjadi pasukan ranking keempat tinggi dalam kejohanan, di belakang Korea (7), Argentina (10) dan Afrika Selatan (12).

Justeru pertemuan menentang Afrika Selatan, tetap dianggap rumit dengan kemenangan akan membolehkan pasukan negara melangkah ke separuh askhir menentang sama Korea Selatan atau Jepun.


"Apa yang penting sekarang adalah memastikan mentaliti kemenangan berterusan. Saya mahu pemain meletakkan keyakinan tinggi terhadap kebolehan masing-masing," kata jurulatih negara, Revington.


"Kami ada peluang baik ke separuh akhir dan pemain sedar betapa pentingnya perlawanan esok (hari ini). Saya yakin dengan kebolehan mereka. Ini adalah satu proses jangka panjang untuk mencapai sasaran kerana ini baru kejohanan pertama saya bersama pasukan." Format pertandingan menunjukkan betapa saingan peringkat kumpulan tidak penting, namun jika skuad kebangsaan berjaya menundukkan Afrika Selatan, itu akan menjadi bukti kebangkitan hoki Malaysia ke persada antarabangsa.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Cabaran Juara-Juara pada 2003 di Randburg, Afrika Selatan dengan Revington ketika itu menjadi jurulatih Afrika Selatan.


"Pasukan ini mesti kekal berada di landasan proses pembentukan keyakinan dalaman yang lurus, inilah resipi terbaik untuk berdepan peringkat kalah mati," kata Revington.

Jurulatih itu menggilirkan penjaga gol dengan memberi peluang buat S Kumar dan Roslan Jamaluddin satu perlawanan seorang.


Malah beliau juga melakukan pertukaran hampir semua pemain dalam tempoh tujuh hingga 10 minit permainan terakhir, bertujuan menyuntik kesegaran pemain setiap kali berada di atas gelanggang.


Skuad kebangsaan diletakkan sasaran untuk menamatkan saingan di kedudukan empat teratas, namun Revington mahu menerima lebih cabaran dengan mensasarkan pentas final sebagai pentas terbaik.


Sementara itu, lawan hari ini, Afrika Selatan, amat mengenali corak permainan Malaysia yang cukup pantas.


"Malaysia sebuah pasukan yang cukup pantas dan kami akan pastikan memberi cabaran sengit kepada mereka," kata jurulatih Afrika Selatan, Gregg Clark.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Iskandar sandaran lompat bergalah

Posted: 28 Nov 2012 01:24 PM PST

JIKA hasrat untuk mempertahankan pingat menerusi acara lompat bergalah wanita seakan kelam kini harapan itu mungkin boleh disandarkan kepada atlet muda negara, Iskandar Alwi untuk kategori lelaki.

Selepas mendominasi acara wanita selama empat temasya berturut-turut menerusi Roslinda Samsu, Iskandar yang baru mencecah usia 18 tahun itu tampak mempunyai kelebihan untuk melakarkan kejutan selepas berjaya melepasi ketinggian 4.90m selain merangkul emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma), Jun lalu.


Jurulatih lompat bergalah negara, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, atlet kelahiran Johor itu dilihat mempunyai potensi tinggi dan hanya perlu melepasi ketinggian 5m sekiranya bercita-cita untuk beraksi di Sukan Sea, Myanmar tahun depan.

"Saya yakin, Iskandar mempunyai potensi yang cerah. Pada usianya yang baru mencecah 18 tahun dia sudah berjaya melepasi ketinggian 4.90m dan tidak mustahil dia mampu melepasi 5m sekiranya berusaha lebih keras. "Jika diberi peluang ke Sukan Sea atau ke temasya lain dia mungkin dapat menilai tahap kemampuannya sekali gus memperbaiki kelemahan," katanya.


Rekod acara lompat bergalah negara dipegang Teh Weng Chang dengan ketinggian 5m yang dilakukan pada 2002 manakala kali terakhir negara membawa pulang pingat dalam acara itu adalah menerusi Muhd Hafizuddin Sahadan selepas ketinggian 4.50m untuk merangkul gangsa ketika Sukan Sea Laos.


Rekod acara itu di Sukan Sea, dipegang atlet Thailand, Kreeta Sintawacheewa yang melakarkan ketinggian 5.21m di Laos.

Iskandar melakar kejayaan hebat apabila memecahkan rekod acara lompat bergalah lelaki Sukma untuk membawa pulang pingat emas selepas melepasi ketinggian 4.80m selain memecahkan rekod kejohanan 4.71m yang dipegang Wong Teck Ho pada Sukma Kedah 2006.


Katanya, rekod itu menjadi lompatan terbaik peribadinya., mengatasi rekod sebelum ini iaitu 4.73m yang diciptanya pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Kangar, Perlis, Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Masyuri impi cipta sejarah layak ke Piala Monsun

Posted: 28 Nov 2012 01:23 PM PST

PEMENANG pusingan ketiga Sirkit Match-Racing Malaysia (MMRC) 2012, Masyuri Rahmat mengimpikan untuk mencipta sejarah dengan layak ke Piala Monsun, leg terakhir dalam kalendar Alpari World Match Racing Tour (AWMRT).

Namun skiper pasukan Royal Malaysian Navy Match Racing Team 1 (RMNMRT1) yang berumur 30 tahun ini perlu terlebih dulu memenangi pusingan akhir MMRC di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong bermula semalam hingga Jumaat untuk berpeluang mencipta sejarah.


Mata yang diperoleh dan dikumpul enam pasukan yang bertanding dalam empat sirkit MMRC akan menentukan satu slot wildcard untuk mewakili Malaysia di Piala Monsun (3-8 Dis) yang juga leg final kalendar AWMRT.

"Siri terakhir kali ini, saya perlu lebih fokus di setiap perlumbaan. Saya fikir peluang tetap ada untuk mengalahkan Jeremy (Koo) kerana dia pesaing yang sukar dan mempunyai tumpuan kuat ketika di atas air.


"Saya tidak pernah menang lagi kejohanan ini (MMRC) dan seterusnya melayakkan diri (Piala Monsun) serta diharapkan ia akan menjadi kenyataan apa yang saya idamkan selama bertahun ini," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.


Masyuri yang menang pusingan ketiga di Tanjong Leman, Johor, (28-30 September) kini menduduki di tempat kedua MMRC dengan memungut 66 mata, tiga mata di belakang pendahulu Jeremy Koo (KFC/Koo Racing Team), menang peringkat pertama dan dua MMRC di Lumut (11-13 Mei) dan Pulau Indah dekat Pelabuhan Klang (29 Jun hingga 1 Julai). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


No comments:

Post a Comment